Pages

Tuesday, May 6, 2014

Kelebihan Rejab Berdasarkan Kitab-Kitab Syi’ah




 Kelebihan Rejab Berdasarkan Kitab-Kitab Syi’ah


Kita sering mendengar pelbagai kelebihan khusus berkenaan bulan Rejab sama ada kelebihan berpuasa, amalan sunat, kelebihan malam-malam tertentu seperti malam dua puluh tujuh Rejab dan sebagainya. Namun begitu apakah kita semua mengetahui dari manakah punca kelebihan tersebut dan apakah yang menyebabkan bulan tersebut begitu istimewa sehingga hampir pasti menenggelamkan keistimewaan bulan Ramadhan yang merupakan bulan paling mulia di sisi kita.

Bulan Rejab sebenarnya merupakan antara bulan istimewa di sisi ajaran Syi’ah bahkan mungkin bulan paling utama di sisi mereka. Pelbagai kelebihan dinukilkan di dalam kitab-kitab utama mereka tentang kelebihan setiap malam dan amalan berkaitan dengannya kecuali beberapa malam sahaja kerana ia berkebetulan dengan peristiwa sedih di sisi mereka seperti malam kedua puluh lima kerana ia adalah malam kematian Imam Musa al-Kazim. Mereka mengisi bulan tersebut dengan pelbagai amalan sebagaimana kita Ahlus Sunnah mengisi bulan Ramadhan dengan pelbagai amalan sunat.

Apa yang dibimbangi ialah kita dalam keadaan tidak sedar sebenarnya mempromosi ajaran yang lain supaya ia tidak begitu susah untuk menyelinap masuk ke dalam masyarakat Ahlus Sunnah Wal Jama’ah.

Kelebihan Bulan Rejab Di Dalam Kitab-Kitab Syi’ah.

Antara kelebihan Rejab yang terdapat di dalam kitab-kitab Syi’ah:

روى أبان بن عثمان، عن كثير النوا عن أبي عبدالله عليه
السلام قال: " إن نوحا عليه السلام ركب السفينة أول يوم من رجب فأمر عليه السلام من معه أن يصوموا ذلك اليوم، وقال: من صام ذلك اليوم تباعدت عنه النار مسيرة سنة، ومن صام سبعة أيام أغلقت عنه أبواب النيران السبعة، ومن صام ثمانية أيام فتحت له أبواب الجنان الثمانية، ومن صام خمسة عشر يوما أعطي مسألته، ومن زاده زاده الله عزوجل                                                                    .
 Aban bin Uthman meriwayatkan daripada Kathir bin al-Nawa daripada Abi Abdillah a.s. katanya: “Sesungguhnya Nuh a.s. menaiki bahtera pada hari pertama Rejab lalu baginda memerintahkan orang yang menaiki bersamanya supaya berpuasa pada hari tersebut sambil berkata: “Sesiapa yang berpuasa pada hari tersebut akan dijauhkan api neraka daripadanya selama setahun perjalanan, sesiapa yang berpuasa tujuh hari (bulan Rejab) akan ditutup ketujuh-tujuh pintu neraka daripadanya dan sesiapa yang berpuasa lapan hari akan dibuka kepadanya kelapan-lapan pintu syurga untuknya. Sesiapa yang berpuasa selama lima belas hari akan diberikan segala permohonannya dan sesiapa yang menambahkan bilangan harinya Allah akan menambahkan untuknya (ganjaran)”[1]

وقال أبوالحسن موسى بن جعفر عليهما السلام: " رجب نهر في الجنة أشد بياضا من اللبن، وأحلى من العسل، فمن صام يوما من رجب سقاه الله من ذلك النهر ".

Abu al-Hasan Musa bin Ja’far a.s. berkata: “Rejab adalah satu sungai di dalam syurga[2] yang lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu. Sesiapa yang berpuasa satu hari dari bulan Rejab Allah akan memberinya minum dari sungai tersebut”.[3]

وقال أبوالحسن موسى بن جعفر عليهما السلام: " رجب شهر عظيم يضاعف الله فيه الحسنات، ويمحو فيه السيئات، من صام يوما من رجب تباعدت عنه النار مسيرة سنة، ومن صام ثلاثة أيام وجبت له الجنة ".
Abu al-Hasan Musa bin Ja’far a.s. berkata: “Rejab adalah bulan agung. Allah melipat gandakan kebaikan-kebaikan padanya dan Allah menghapuskan keburukan-keburukan padanya. Sesiapa yang berpuasa pada bulan Rejab akan dijauhkan api neraka daripadanya sejauh setahun perjalanan dan sesiapa yang berpuasa selama tiga hari wajiblah syurga untuknya”.[4]


Amalan Di Bulan Rejab.

Malam-malam Rejab dihiasi dengan pelbagai amalan di sisi Syi’ah. Satu contoh sahaja akan dikemukakan di sini iaitu amalan pada malam kedua puluh tujuh:

Malam kedua puluh tujuh merupakan malam yang diberkati kerana ia adalah malam kebangkitan Nabi s.a.w. sebagai rasul. Terdapat beberapa amalan khusus pada malam ini. Diriwayatkan daripada Abi Ja’far al-Jawad a.s. katanya: “Sesungguhnya pada bulan Rejab terdapat satu malam yang paling baik untuk manusia iaitu malam kedua puluh tujuh. Orang yang beramal pada malam tersebut dari kalangan Syi’ah kita akan memperolehi pahala amalan selama enam puluh tahun”. Beliau ditanya: “Apakah amalan tersebut? Lalu dijawab: “Bila engkau telah selesai sembahyang isya’ tidurlah seketika kemudian bangunlah pada mana-mana waktu sebelum tengah malam dan sembahyanglah sebanyak dua belas raka’at. Bacalah pada setiap raka’at al-Fatihah dan surah yang ringkas”.[5]

Seterusnya dikemukakan doa untuk dibacakan selepas sembahyang tersebut.

Di antara amalan pada malam tersebut ialah:

  1. Mandi sunat.
  2. Berdoa sebanyak mungkin dan pohonlah apa jua hajat yang terlintas di hati kerana doa pada malam tersebut diperkenankan.
  3. Ziarah atau membaca doa ziarah Amir al-Mukminin Ali bin Abi Thalib a.s. dan ini adalah amalan paling utama malam tersebut.
  4. Memperbanyakkan zikir selepas tengah malam atau satu pertiga malam dengan zikir ini:
لا اِلـهَ إلاَّ اللهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللهِ عَلَيٌّ وَليُّ اللهِ

Di dalam kitab tersebut juga disebutkan tentang perjalanan Ibnu Bathuthah yang dinamakan Rehlah Ibnu Bathuthah dan beliau juga turut melakukan ziarah Amir al-Mukminin pada malam tersebut di Najaf.[6]

Demikian sebahagian kecil berkenaan kelebihan bulan Rejab di sisi Syi’ah yang terdapat di dalam kitab-kitab mereka. Sebagai peringatan kepada orang yang suka untuk melakukan ibadat secara khusus pada bulan-bulan tertentu hendaklah berhati-hati sekiranya amalan tersebut tidak terdapat di dalam mana-mana riwayat sahih di dalam kitab-kitab Ahlus Sunnah. Apatah lagi bilamana rupa-rupanya ia terdapat dengan jelas dalam kitab muktabar golongan sesat. Kecuaian di dalam meneliti amalan-amalan tersebut dibimbangi akan menyebabkan kita beramal dengan sesuatu amalan yang merupakan kelebihan kepada golongan tertentu yang sebenarnya mahu memesongkan kita daripada amalan Islam yang sebenar yang diwarisi daripada Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabatnya r.a.


[1] Ibnu Babuwaih al-Qummi Man La Yahdhuruhu al-Faqih  Bab Pahala Berpuasa Bulan Rejab jil. 2 hal. 92, Syeikh Al-Mufid Tahzib al-Ahkam jil. 4 hal. 307. Kedua-dua kitab ini merupakan antara kitab paling sahih di sisi Syi’ah dan termasuk dalam kategori kitab yang dinamakan Sihah al-Arba’ah (empat kitab sahih).
[2] Di sisi Ahlus Sunnah Wal Jama’ah berdasarkan riwayat-riwayat sahih yang terdapat di dalam kitab-kitab hadith seperti Sahih al-Bukhari, Muslim dan lain-lain sungai di dalam syurga ialah al-Kauthar.
[3] Ibnu Babuwaih al-Qummi Man La Yahdhuruhu al-Faqih  Bab Pahala Berpuasa Bulan Rejab jil. 2 hal. 93, Syeikh Al-Mufid Tahzib al-Ahkam jil. 4 hal. 307.
[4] Ibnu Babuwaih al-Qummi Man La Yahdhuruhu al-Faqih  Bab Pahala Berpuasa Bulan Rejab jil. 2 hal. 93
[5] Mafatih al-Jinan Bab Malam Kedua Puluh Tujuh Bulan Rejab.
[6] Lihat kitab yang sama di dalam bab yang sama.

~ http://www.darulkautsar.net/print.php?page&ArticleID=2913-Kelebihan_Rejab_Berdasarkan_Kitab

No comments:

Post a Comment