Pages

Thursday, November 27, 2014

Setiap Amal Soleh Terdapat Pintu-pintu Khusus Di Syurga .






Setiap Amal Soleh Terdapat Pintu-pintu Khusus Di Syurga .

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang berinfak dengan sepasang hartanya di jalan Allah maka ia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga, ‘Hai hamba Allah, inilah kebaikan.’ Maka orang yang termasuk golongan ahli solat maka ia akan dipanggil dari pintu solat. Orang yang termasuk golongan ahli jihad akan dipanggil dari pintu jihad. Orang yang termasuk golongan ahli puasa akan dipanggil dari pintu Ar-Royyan. Dan orang yang termasuk golongan ahli sedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.”

Ketika mendengar hadis ini Abu Bakar pun bertanya, “Ayah dan ibuku sebagai penebus anda wahai Rasulullah, kesulitan apa lagi yang perlu dikhawatirkan oleh orang yang dipanggil dari pintu-pintu itu. Mungkinkah ada orang yang dipanggil dari semua pintu tersebut?”.

Maka baginda pun menjawab, “Iya ada. Dan aku berharap kamu termasuk golongan mereka.” (Hadis Riwayat Bukhari [1897 dan 3666] dari sahabat Abu Hurairah radhiyallahu’anhu).

Berdasarkan hadis sahih di atas jelaslah kepada kita semua bahawa setiap amal soleh dan amal kebaikan yang kita kerjakan di dunai ini semuanya tidak akan disia-siakan oleh Allah SWT. Segala kebaikan akan dibalas dengan kebaikan, sehinggakan setiap amal soleh yang banyak dikerjakan oleh seseorang mukmin di dunia ini terdapat pintu-pintu khusus untuk dia memasukinya.Ini menunjukkan bagaimana Allah SWT mencintai para hamba-Nya yang beristiqamah dengan amal-amal soleh dan kebaikan dengan melipatgandakan amalan tersebut.

Terdapat 5 amal soleh yang mempunyai pintu-pintu khusus di syurga iaitu :
Pertama : Pintu Infak - Sesiapa yang banyak infakkan hartanya dijalan Allah SWT.
Kedua : Pintu Solat - Sesiapa yang banyak mengerjakan solat.
Ketiga : Pintu Jihad - Sesiapa yang sentiasa berjihad di jalan Allah SWT.
Keempat : Pintu Ar-Royyan- Sesiapa yang banyak mengerjakan puasa
Kelima : Pintu Sedekah. - Sesiapa yang banyak melakukan sedekah.

Huraiannya :
Pertama : Pintu Infak - Sesiapa yang banyak infakkan hartanya dijalan Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : “Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata : ‘Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)’. Dan salah satu lagi berkata ; ‘Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan kerugian.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sedangkan yang dimaksud dengan berinfak di jalan Allah dalam hadis ini mencakup berinfak untuk segala bentuk amal kebaikan, bukan khusus untuk jihad saja (Al-Minhaj, 4/352).

Kedua : Pintu Solat - Sesiapa yang banyak mengerjakan solat.
Mereka yang boleh masuk melalui pintu solat adalah mereka yang sentiasa solat 5 waktu di masjid atau surau secara berjemaah dan mereka khyusuk di dalam solat. Selain daripada solat fardu mereka juga tidak meninggalkan solat-solat sunat terutama solat tahajud.
Firman Allah SWT maksudnya : “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “Solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. (Surah al-Israa’ ayat 79)

Ketiga : Pintu Jihad - Sesiapa yang sentiasa berjihad di jalan Allah SWT.
Berjihad dijalan Allah SWT cukup luas bukan sahaja mengangkat senjata memerangi golongan kafir tetapi bekerja dan berusaha amar makruf nahi mungkar adalah termasuk berjihad dijalan Allah SWT. Berusaha untuk menegakkan sistem hidup Islam, menyebarkan fikrah dan kefahman Islam samaada melalui di media masa, internet , buku, risalah, television, radio dan lain-lain adalah termasuk kerja-kerja jihad dijalan Allah SWT.
Berjihad di jalan Allah SWT berlaku umum bagi seluruh kaum muslimin. Masing-masing mereka wajib berjihad sesuai dengan kemampuannya. Dan perintah agar berjihad dengan sebenar-benarnya ini perintah-Nya untuk bertakwa dengan sebenar-benarnya. Seperti firman Allah SWT maksudnya " Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan." (Surah al-Hajj ayat 78)

Keempat : Pintu Ar-Royyan- Sesiapa yang banyak mengerjakan puasa.
Untuk terpilih memasuki Pintu Ar-Royyan seseorang itu bukan setakat mengerjakan puasa Ramadan sahaja tetapi mereka perlulah banyak mengerjakan puasa-puasa sunat yang lain.
Mengerjakan puasa-puasa sunat hendaklah dengan ikhlas dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dan membatalkan pahala puasa.

Kelima : Pintu Sedekah. - Sesiapa yang banyak melakukan sedekah.
Salah satu sifat yang mulia yang perlu ada pada seorang mukmin adalah sifat pemurah dan ada perasaan belas kasihan dan suka membantu kepada golongan fakir-miskin dan anak-anak yatim. Hidup ini akan lebih harmoni hanya apabila kita banyak bersedekah dan memberi bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Seorang anak lelaki bertanya Rasulullah SAW : "Sedekah mana yg lebih besar pahalanya?
Nabi SAW menjawab, "Sedekah yg diberikan sedangkan pada masa itu engkau masih sihat dan sebenarnya engkau bakhil (merasa sayang nak dermakan harta kerana takut jadi fakir dan engkau berangan jadi kaya) maka jangan menangguh sedekah sehingga apabila roh sampai dikerongkongan lalu pada masa itu kau berkata, "ini untuk si anu ini untuk si anu sekian" dan sebenarnya harta engkau pada masa itu memang akan dimilki oleh orang lain." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sesiapa yang banyak bersedekah akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT Sehinggakan Nabi SAW ada menyatakan di dalam hadisnya bahawa salah satu daripada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan daripada Allah SAWT. di hari akhirat nanti adalah mereka yang bersedekah kerana Allah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dihulurkan oleh tangan kanannya.

Didalam riwayat yang yang lain Nabi SAW ada menyatakan bahawa seorang dermawan yang ikhlas kerana Allah akan dimasukkan ke dalam syurga lebih awal daripada ulama dan orang yang mati syahid dan akan dipelawa untuk memasuki syurga melalui pintu sedekah.

Marilah sama-sama kita pertingkatkan amal ibadah dan amal soleh kita ketika di dunia ini. Jika kita berusaha di dunia ini untuk memilih bidang khusus untuk memenuhi minat dalam kerjaya kita maka kenapa kita tidak memilih salah satu bidang khusus untuk beramal soleh sebagai bekalan kita di hari akhirat nanti dan boleh memasuki pintu-pintu syurga yang disediakan?

~ Abu Basyer

No comments:

Post a Comment