Pages

Monday, November 17, 2014

WAHHABI & HADIS DHA'IF

 

 

FAKTA 40: WAHHABI & HADIS DHA'IF



Soalan:

Orang kata Wahhabi ialah mereka yang menghukum bid’ah amalan yang bersumberkan hadis-hadis yang dha’if (lemah).

Jawapan:

Jika demikian takrifan Wahhabi, maka Imam al-Nawawi asy-Syafi’e rahimahullah adalah Wahhabi kerana menolak amalan yang dianjurkan oleh hadis yang dha’if. Perhatikan kata-kata beliau berikut:

أن السنة فى السلام من الصلاة أن يقول السلام عليكو ورحمة الله عن يمينه السلام عليكو ورحمة الله عن شماله ولا يسن زيادة وبركاته وأن كان قد جاء فيها حديث ضعيف وأشار إليها بعض العلماء ولكنها بدعة إذ لم يصح فيها حديث وغيره فى تركها.
Maksudnya:

Sesungguhnya yang menjadi sunnah bagi salam dalam solat ialah dengan berkata: “Assalamu’alaikum wa rahmatullah” sebelah kanan dan: “Assalamu’alaikum wa rahmatullah” sebelah kiri. Tidak disunnahkan menambah: “wabarakatuh”. Ini sekalipun tambahan ini terdapat dalam hadis yang dha’if dan diisyaratkan oleh sebahagian ulamak. Namun, ia adalah bid’ah kerana tidak ada hadis yang sahih (yang menganjurkan beramal dengannya). Bahkan yang sahih dalam hadis ini dan selainnya ialah meninggalkan tambahan itu. [al-Minhaj Syarh Shahih Muslim 4/153]

Dalam kenyataannya di atas, Imam al-Nawawi dengan tegas menolak bahkan menghukum bid’ah penambahan kalimah “wabarakatuh” dalam ucapan salam selepas mengerjakan ibadah solat. Penolakan beliau ke atas tambahan kalimah “wabarakatuh” ini adalah kerana dua sebab berikut:

1) Kedha’ifan atau kelemahan hadisnya.
2) Ketiadaan hadis sahih yang menganjurkannya.

Dalam kenyataannya yang lain, beliau mengkritik golongan yang suka mengikuti hadis-hadis yang dha’if dan meninggalkan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang jelas kesahihannya. Beliau menulis di dalam mukadimah kitabnya, Khulashah al-Ahkam:

Sepantasnya bagi setiap orang untuk berakhlak sesuai dengan akhlak Rasulullah, mencontohi ucapan, perbuatan dan apa-apa yang didiamkannya dalam masalah hukum, adab dan semua cabang-cabang Islam. Dan hendaknya dalam hal ini setiap orang berpegang kepada dalil sahih serta menjauhi dalil dhaif, jangan terpedaya oleh orang-orang yang menyalahi sunnah yang sahih, jangan bertaklid kepada orang-orang yang berpegang kepada hadis-hadis dha’if. [Shahih Kitab al-Adzkar wa Dha’ifuhu karya Syaikh Salim bin ‘Id al-Hilali 1/17]

Bukankah Imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani membolehkan beramal dengan hadis yang dha’if ?

Benar bahawa Imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani ialah antara ulamak yang membolehkan beramal dengan hadis yang dha’if. Namun hendaklah diketahui bahawa kebolehan untuk beramal dengan hadis yang dha’if menurut mereka ini bukanlah secara mutlak. Akan tetapi ia diikat dengan beberapa syarat seperti berikut:

1) Hadis tersebut diamalkan dalam rangka meraih fadhilat (keutamaan atau kelebihan) yang dianjurkan oleh sesuatu amalan yang terbit berdasarkan dalil yang sahih. Dalam perkataan lain, hadis dha’if tidak berdiri sendiri dalam mensabitkan sesuatu tatacara ibadah melainkan terdapat dalil sahih yang mengsyariatkan tatacara amalan tersebut. Dengan mengutip penjelasan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani asy-Syafi’e rahimahullah berkenaan syarat beramal dengan hadis yang dha’if, Imam as-Sakhawi menulis:

أَنْ يَكُوْنَ مُنْدَرِجًا تَحْتَ أَصْلٍ عَامٍ، فَيُخْرُجُ مَا يَخْتَرِعُ، بِحَيْثُ لَا يَكُوْنَ لَهُ أَصْلٌ أَصْلًا.

Hendaklah amalan itu tercakup oleh suatu dasar (dalil) yang bersifat umum, sehingga amalan yang diada-adakan dan tidak memiliki dasar hukum (dalil) sama sekali tidak dimaksudkan di sini. [al-Qaulul Badi oleh as-Sakhawi, ms. 363]

2) Hadis tersebut memiliki kecatatan yang ringan di sisi para ulamak hadis. Adapun hadis yang berada di bawah tingkatannya seumpama hadis yang terlalu lemah (dha’if jiddan) dan maudhu’ (palsu), maka ia merupakan bid’ah yang tercela di sisi syarak. Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani:

مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ أَنْ يَكُوْنَ الضَّعْفُ غَيْرُ شَدِيْدٍ، فَيَخْرُجُ مِنَ انْفِرَدِ مِنَ الْكَذَّابِيْنَ وَالْمُتَّهِمِيْنَ بِالْكَذِبِ وَمِنْ فَحْشِ غَلَطِهِ.

(Syarat) yang disepakati oleh seluruh ulamak: Hendaklah hadis itu tidak terlalu lemah (dha’if jiddan). Dengan demikian hadis-hadis yang hanya diriwayatkan oleh para pendusta (pemalsu hadis), orang-orang yang dituduh berdusta (memalsukan hadis) dan orang yang banyak melakukan kesalahan dalam periwayatan hadis tidak dimaksudkan dalam hal ini. [al-Qaulul Badi oleh as-Sakhawi, ms. 363]

3) Hadis tersebut tidak dinisbahkan secara terus lagi pasti kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Masih bersama al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani:

أَنْ لَا يَعْتَقِدُ عِنْدَ الْعَمَلِ بِهِ ثُبُوْتُهُ، لَئَلَّا يُنْسَبَ إِلَى النَّبِيِّ مَا لَمْ يَقُلْهُ.

Hendaklah ketika mengamalkannya, tidak diyakini akan keabsahan hal tersebut, agar tidak dinisbahkan kepada Nabi suatu hal yang tidak pernah disabdakan oleh baginda. [al-Qaulul Badi oleh as-Sakhawi, ms. 363]

4) Hadis tersebut tidak bersangkut paut dengan hukum-hakam. Para ulamak telah berijmak (bersepakat) bahawa hadis dha’if tidak boleh dijadikan sandaran dalam menetapkan suatu hukum dan amalan. Imam al-Nawawi rahimahullah menjelaskan:

قَالَ الْعُلَمَاءُ مِنَ الْمُحَدِّيْثِيْنَ وَالْفُقَهَاءِ وَغَيْرِهِمْ: يَجُوْزُ وَيَسْتَحِبُّ الْعَمَلُ فِيْ الْفَضَائِلِ وَالتَّرْغِيْبِ والتَّرْهِيْبِ بِالْحَدِيْثِ الضَّعِيْفِ، مَا لَمْ يَكُنْ مَوْضُوْعًا، وَأَمَّا الْأَحْكَامُ كَالْحَلَالِ وَ الْحَرَامِ وَالْبَيْعِ وَالنِّكَاحِ والطَّلَاقِ وَغَيْرِ ذَلِكَ فَلَا يَعْمَلُ فِيْهَا إِلَّا بِالْحَدِيْثِ الصَّحِيْحِ أَوِ الْحَسَنِ إِلّا أَنْ يَكُوْنَ فِيْ احْتِيَاطٍ فِيْ شَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ.

Ulamak hadis dan fiqh dan yang lainnya menyatakan: Boleh dan dianjurkan dalam hal fadha’il (keutamaan suatu amalan), at-Targhib wa at-Tarhib (galakkan dan ancaman) untuk menggunakan hadis dha’if (lemah) selama tidak termasuk hadis maudhu’ (palsu). Adapun berkenaan dengan hukum-hakam seperti halal, haram, jual-beli, pernikahan, penceraian dan selainnya, maka tidak boleh diamalkan kecuali dengan hadis yang sahih atau hasan (sahaja), kecuali dalam rangka kehati-hatian dalam hal-hal tersebut. [al-Adzkar, ms. 7-8]

Seperkara yang perlu difikirkan oleh para penggemar hadis yang dha’if, apakah terdapat dalam urusan ibadah yang terlepas daripada hukum-hakam? Jika tidak ada, maka apakah manfaatnya mengamalkan tatacara ibadah yang hanya bersandarkan kepada hadis yang dha’if ? Bukankah ini bercanggah dengan syarat yang digariskan oleh para ulamak seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi rahimahullah di atas?
Catatan Tambahan


Kalaulah setiap orang yang tidak ingin beramal dengan hadis dha’if adalah Wahhabi, maka menjadi Wahhabilah ramai para ulamak Islam terkemuka yang menolak hadis dha’if. Syaikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi rahimahullah menjelaskan:

Hadis-hadis dha’if tidak boleh digunakan secara mutlak untuk hukum-hakam mahupun untuk fadha’il al-A’mal. Hal ini disebutkan oleh Ibnu Sayyid an-Nas dalam kitabnya (berjudul) ‘Utun al-Atsar, dari Yahya bin Ma’in dan disebutkan juga di dalam kitab Fath al-Mughits. Ulamak yang berpendapat demikian ialah Abu Bakar Ibnu al-‘Arabi, Imam al-Bukhari, Imam Muslim dan Imam Ibnu Hazm. [Qawa’id at-Tahdits min Fununi Musthalah al-Hadits (tahqiq Muhammad Bahjar al-Baithar), ms. 113]

Sebenarnya terdapat beberapa sebab mengapa golongan yang ditohmah sebagai Wahhabi menolak kebolehan beramal dengan hadis dha’if, antaranya:

1) Masih terlalu banyak tatacara ibadah yang diajarkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menerusi hadis-hadisnya yang sahih, lalu mengapa perlu beralih kepada hadis-hadis yang masih diragukan kesahihannya? Bukankah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

دَعْ مَا يِرِيْبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيْبُكَ.

Tinggalkanlah apa yang meragukanmu (dengan beralih) kepada apa yang tidak meragukanmu. [Hadis riwayat Imam at-Tirmidzi, no. 2518 dan beliau menjelaskan bahawa hadis ini hasan shahih]

2) Berpegang kepada pendapat bolehnya beramal dengan hadis yang dha’if hanyalah mendatangkan sangkaan kepada para pengamalnya. Padahal bersangka-sangka dalam berbicara dan beramal dalam hal yang membabitkan urusan agama amatlah ditegah oleh Allah dan Rasul-Nya. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

إِيَّكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيْثِ.

Jauhilah oleh kamu dari bersangka-sangka kerana sesungguhnya bersangka-sangka itu adalah ucapan yang paling dusta. [Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no. 6064 dan Muslim, no. 2563]

3) Bermudah-mudahan dalam menyebarkan hadis-hadis yang dha’if kepada orang ramai hanya akan membuka pintu kepada perbuatan berdusta atas nama Allah dan Rasul-Nya. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

حَدِّثُوْا لنَّاسَ بِمَا يَعْرِفُوْنَ، أَتُحِبُّوْنَ أَنْ يُكَذِّبَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ ؟

Berkatalah kepada manusia sesuai dengan apa yang diketahui oleh mereka. Apakah kamu suka mereka itu berdusta atas nama Allah dan Rasul-Nya? [Hadis riwayat Imam al-Bukhari, bersama Fath al-Bari 1/225. Lihat Shahih at-Targhib wa at-Tarhib oleh Syaikh al-Albani, ms. 52]


~ November 16, 2014 at 3:15pm
Oleh: Mohd Hairi Nonchi @ Cikgu Arie

No comments:

Post a Comment