IMAN adalah kedua-dua : cahaya dan kekuatan ; dengannya
manusia meningkat setinggi-tingginya sehingga mencapai nilai yang melayakkannya ke Syurga.
Dengan kegelapan KUFUR, ia jatuh serendah-rendah darjat yang membawanya ke Neraka..
KUALA LUMPUR - Presiden JATI Datuk Dr Hasan Ali hari ini mencadangkan
supaya usaha dibuat untuk mewujudkan gabungan kerjasama antara PAS dan
Umno sebagai langkah menyekat kemaraan DAP.
Beliau berkata
keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) semalam sepatutnya membuka
ruang lebih luas untuk diadakan perbincangan serius berhubung kerjasama antara kedua-dua parti itu.
"Sudah sampai masanya Umno dan PAS melupakan sengketa lama untuk secara
serius duduk merancang dan memikirkan aganda umat secara bersama demi
perpaduan dan kebaikan ummah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Keputusan PRU13 menyaksikan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno,
kembali berkuasa setelah memenangi 133 kerusi parlimen, diikuti DAP
(38), PKR (30) dan Pas (21).
Hasan menarik perhatian
berdasarkan keputusan pilihan raya itu, jelas kelihatan kehadiran Pas
dalam pakatan rakyat hanya menguntungkan DAP, bukan sebaliknya.
Menurutnya, pengundi Melayu atas nama setiakawan pakatan rakyat memberi
undi kepada DAP di Gelang Patah tetapi di kebanyakan tempat dengan
minoriti Cina, keadaan serupa tidak berlaku dan menyebabkan calon Pas
kecundang di kawasan-kawasan berkenaan.
"Atas dasar ini,
bukankah munasabah untuk dilihat secara serius gabungan kerjasama antara
Pas dan Umno untuk menyekat kemaraan DAP," katanya.
Perebutan bagi kerusi parlimen Gelang Patah di Johor menyaksikan Menteri
Besar Datuk Abdul Ghani Othman dikalahkan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Hasan turut berkata kegagalan memperoleh mandat dua pertiga di pihak BN
menunjukkan mungkin sudah sampainya BN dan Umno bermuhasabah untuk
mengenal pasti dan memperbaiki segala kelemahan supaya selari dengan
kehendak dan aspirasi majoriti pengundi dan penyokong mereka.
Dalam pada itu, Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menerima suara rakyat
yang disalurkan melalui PRU13 walaupun kecewa dengan keputusan itu.
Menurutnya, segala permintaan untuk menambah baik proses pilihan raya
dan amalan demokrasi di negara ini telah dituruti kerajaan, namun masih
ada yang mempertikai keputusan suara rakyat pada PRU13.
"Kita
nak bekerja dan memenuhi mandat diberi rakyat dan bukan terus menerus
bergaduh macam ni yang hanya akan merugikan negara. BN pun bukan menang
besar, tapi kita terima hakikat itu kehendak rakyat," kata Syed Ali
kepada Bernama.
Sementara itu, Gabungan Dewan Perniagaan dan
Industri Cina Malaysia (ACCCIM) mahu pemimpin kerajaan yang baru dipilih
di peringkat persekutuan dan negeri supaya mempunyai iltizam politik
yang kuat untuk sentiasa memperbaiki dasar-dasar sosio-ekonomi.
Dalam satu kenyataan, Presiden ACCCIM, Datuk Lim Kok Cheong berkata
membantu komuniti perniagaan, terutamanya sejumlah besar perusahaan
kecil dan sederhana, adalah penting untuk meningkatkan produktiviti dan
mengurangkan kos menjalankan perniagaan.
Beliau juga menyeru
agar semua janji yang dibuat semasa kempen pilihan raya yang ditunaikan
dan bagi kerajaan membina Malaysia yang lebih harmoni dan progresif
dengan melaksanakan program-program transformasi sosio-ekonomi yang
memberi manfaat semua kaum.
No comments:
Post a Comment