Showing posts with label ekonomi. Show all posts
Showing posts with label ekonomi. Show all posts

Thursday, August 30, 2012

Pembiayaan pembelian rumah secara Islam alternatif



 

 

 

Perbankan dan kewangan Islam di Malaysia berperanan memenuhi keperluan pengguna yang ingin urus niaga kewangan mereka bebas daripada riba, atau faedah. Justeru, institusi kewangan Islam di negara ini telah memperkenalkan beberapa kaedah pembiayaan pemilikan rumah yang mematuhi Syariah. Antara kaedah yang dominan ialah al-bay’ bithaman ajil (BBA) dan kontrak perkongsian musyarakah mutanaqisah (MM).

Kaedah BBA atau jualan dengan bayaran tertunda adalah popular di negara seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei. Sementara kaedah MM atau perkongsian berkurangan lazimnya diamalkan di Timur Tengah, Amerika Syarikat, Kanada, England dan Australia. Pakar Syariah di Timur Tengah umumnya menolak kontrak perkongsian BBA.


Di Malaysia, di mana BBA diamalkan, suara-suara tidak puas hati mula kedenganaran daripada para pelanggan. BBA dikritik sebagai instrumen urus niaga yang ‘tidak adil’ berbanding sistem gadai janji konvensional.


Sebagai contoh, dalam pembelian rumah, aspek harga jualannya dikatakan tidak melambangkan harga pasaran sebenar ekoran tambahan harga tokokan yang besar bagi pembayaran tertunda. Selain itu, bagi bayaran penebusan awal, bakinya selalunya lebih tinggi, malah pada bila-bila masa sekalipun, sehinggalah bayaran penyelesaian dibuat. Ini boleh dilihat seperti di bawah:

Sebagai contoh, seorang pelanggan membeli sebuah rumah pada harga RM200,000. Dia membuat bayaran muka sebanyak 10 peratus, atau RM20,000. Bakinya RM180,000 dibiayai menerusi BBA. Andaikan Kadar Keuntungan Tahunan (APR) yang dicaj oleh bank ialah sebanyak 10 peratus setahun dan tempoh pembiayaan adalah 20 tahun. Di bawah BBA, bank akan membeli rumah berkenaan, kemudian menjualnya kepada pelanggan dengan keuntungan tertentu, dengan bakinya dibayar secara tertunda selama 20 tahun.


Ansuran bulanan bagi pembiayaan di atas ialah sebanyak RM1,737.04 (dikira berdasarkan formula standard bagi nilai kini anuiti), dan dibayar selama 240 bulan. Jumlah semua pembayaran adalah sebanyak RM416,889.35. Perbezaan antara jumlah ini dengan angka pembiayaan asal ialah sebanyak RM236,889.35. Amaun ini ialah jumlah keuntungan yang diperolehi oleh bank. Di bawah kaedah gadai janji konvensional, ia mewakili jumlah faedah yang dibayar bagi pinjaman selama 20 tahun. Keuntungan RM236,889.35 itu diraih terlebih dahulu menurut kaedah BBA, sementara di bawah kaedah konvensional, faedah tidak akan dikira matang sehingga tempoh matangnya tiba.


Satu perbezaan penting antara BBA dengan kaedah gadai janji konvensional ialah baki pembiayaan yang masih tinggal sebelum kontrak tersebut luput. Baki BBA selepas 10 tahun (iaitu selepas 120 ansuran) misalnya, ialah jumlah baki 120 ansuran, iaitu sebanyak RM208,444.80. Di bawah kaedah konvensional, bakinya ialah nilai kini ansuran tersebut, iaitu sebanyak RM131,443.76 (bank tidak mengenakan faedah ke atas baki 10 tahun itu).


Dalam kes BBA, bank mungkin memberi rebat tertentu bagi penebusan awal. Namun begitu, amaunnya ditentukan mengikut budi bicara bank semata-mata kerana Syariah melarang rebat disebut sebagai sebahagian daripada kontrak. Perhatikan bahawa walaupun setelah 10 tahun membayar ansuran, baki di bawah kaedah BBA masih mengatasi amaun pembiayaan asal sebanyak RM180,000.


Kelemahan BBA ini tidak dapat dielakkan, memandangkan persekitaran kewangan di mana ia beroperasi. Dua sistem kewangan yang berbeza yang wujud bersama akan bertumpu ekoran aktiviti arbitraj antara kedua-duanya. Perbankan Islam secara beransur-ansur bertumpu dengan sistem konvensional sedia ada. Ia bertumpu daripada prinsip ‘perkongsian keuntungannya’ yang asal kepada kaedah pembiayaan berkadar-tetap, seperti kaedah murabaha (tokok kos) dan ijarah (pajakan).


Peralihan ini mewujudkan peluang arbitraj yang luas antara pasaran berkadar-tetap Islam dengan kadar-terapung pasaran konvensional, terutamanya melalui swap kadar faedah. Oleh itu, tidaklah memeranjatkan sekiranya pemain pasaran dan juga pakar Syariah kini mula bercakap mengenai swap kadar faedah, pinjaman salingan dsb., yang merupakan instrumen inovatif bagi mengarbitraj perbezaan antara dua sistem perbankan itu.


Kaedah BBA yang berkadar-tetap ini juga mencetuskan masalah pengurusan risiko-kecairan kepada perbankan Islam di mana kadar keuntungannya kekal konstan sepanjang tempoh pembiayaan sedangkan sumber dananya umumnya bersifat jangka pendek. Masalah ini jelas kelihatan semasa krisis kewangan 1997-98 apabila bank-bank Islam gagal bertindak balas terhadap kenaikan kadar faedah yang tinggi ketika itu.


Kini, kewangan Islam mula bertumpu kepada pasaran berkadar-terapung. Bank Negara telah membenarkan BBA yang berkadar-terapung dengan pelanggan perlu membayar ansuran bulanan yang lebih tinggi, tetapi pada saat yang sama menerima rebat yang bergantung kepada kadar faedah lazim. Keperluan membayar ansuran bulanan yang lebih tinggi sebelum menerima rebat boleh menyebabkan masalah aliran tunai dan terbukti membebankan. Dalam pada itu, bertumpunya dua sistem perbankan ini turut menimbulkan masalah-masalah lain. Pelanggan yang tidak berpuas hati misalnya, akan menuduh perbankan Islam sebagai tidak Islamik dan tidak ada bezanya dengan perbankan konvensional.


Lakuna dalam BBA ini mungkin boleh diatasi oleh bentuk kontrak perkongsian yang lain, iaitu musyarakah mutanaqisah (MM). Kaedah MM atau kaedah perkongsian berkurangan kini dikemukakan sebagai alternatif kepada BBA.


Terdapat dua bahagian dalam kontrak ini. Pertama, pelanggan membuat perkongsian (musyarakah) dengan bank di bawah konsep syirkah al-milk (pemilikan bersama). Pelanggan misalnya, membayar 10 peratus sebagai saham pendahuluan untuk memiliki-bersama rumah berkenaan, sementara bank membayar bakinya. Pelanggan kemudiannya membayar secara beransur-ansur untuk menebus saham pembiaya sebanyak 90 peratus itu pada kadar dan tempoh yang dipersetujui sehingga rumah itu dimiliki sepenuhnya oleh beliau.


Kedua, bank memajak sahamnya ke atas pemilikan rumah berkenaan kepada pelanggan di bawah konsep ijarah (pajakan). Setiap pembayaran sewa adalah dikongsi bersama antara pelanggan dengan bank menurut nisbah pemegangan saham masing-masing, pada masa berkenaan itu, yang sentiasa berubah apabila pelanggan terus-menerus menebus saham pembiaya. Justeru, nisbah saham pelanggan akan terus meningkat selepas setiap pembayaran sewa sehinggalah ia dimiliki sepenuhnya. Oleh sebab itu, kaedah MM ini adalah sesuai bagi pembiayaan aset seperti rumah atau peralatan yang boleh dipajakkan. Kaedah MM ini boleh dijelaskan seperti berikut:


Kita lihat kembali contoh pembiayaan rumah di atas. Pelanggan membayar 10 peratus daripada harga, iaitu RM20,000, sementara pembiaya membiayai bakinya sebanyak RM180,000. Di bawah BBA dan kaedah urus niaga konvensional, pelanggan akan membayar RM1,737.04 sebulan kepada pembiaya. Andaikan sewaannya ialah RM1,000 sebulan (dengan nisbah Sewa Tahunan/Harga sebanyak 6 peratus), maka jadual ‘pelunasan’ bagi MM boleh dilihat dalam Jadual 1 di bawah, dengan bayaran bulanan sebanyak RM1289.58 sahaja. Pelanggan jimat RM447.46 sebulan. Tambahan RM289.58 kepada sewa bulanan RM1000 adalah diperlukan bagi membolehkan pelanggan menebus saham pembiaya dalam tempoh 20 tahun.


Jadi, di bawah MM, walaupun pelanggan hanya membayar RM1289.58 sebulan, dia masih dapat memiliki rumah tersebut dalam tempoh 20 tahun. Sekiranya dia memilih untuk membayar ansuran bulanan sebanyak RM1737.04, maka dia akan memilikinya dalam tempoh 12 tahun 3 bulan, sekali gus menyelamatkan bayaran bulanan selama 8 tahun.


Walaupun kaedah-kaedah gadai janji konvensional, BBA dan MM adalah berbeza dari segi konsepnya, namun terbitan matematik bagi MM menunjukkan bahawa formulanya masih sama dengan gadai janji konvensional dan BBA. Unsur yang berbeza hanyalah penggantian kadar faedah dengan kadar sewaan. (Kolum berlorek dalam Jadual 1 adalah masing-masing sama dengan bahagian pembayaran, kadar faedah dan baki pinjaman seperti gadai janji konvensional).*


Kadar pulangan di bawah MM adalah ditentukan oleh kadar sewa semata-mata, iaitu dalam kes ini, 0.5% sebulan (dan APR sebanyak 6%). Pulangan kepada pembiaya ini tidak ditentukan oleh, sama ada modal pendahuluan yang disediakan olehnya maupun oleh tempoh kontrak. Justeru, pembiaya di bawah kaedah MM ini mungkin akan hanya berminat membiayai rumah yang tinggi nilai sewaannya, sedangkan pelanggan pula mahu sewa yang rendah.


Bagi kes penebusan awal, baki di bawah pinjaman konvensional dan MM adalah sama (bagi APR yang sama), sementara baki di bawah BBA akan kekal lebih tinggi. Malah pengiraan MM adalah serupa dengan angka-angka di bawah gadai janji konvensional, dengan perbezaan hanya pada struktur pemilikannya. Ini kerana kaedah gadai janii konvensional dan MM menuruti jadual baki berkurangan. Oleh sebab itu, baki di bawah kaedah konvensional dan MM tidak pernah melebihi sumbangan asal pembiaya. Akan tetapi di bawah BBA, ia adalah sebaliknya.



Jadual 1


Jadual Pembayaran bagi Kontrak Musyarakah Mutanaqisah

Bahagian Sewaan
Bulan Sewa Bulanan
(RM) Penebusan Bulanan
(RM) Jumlah Bayaran
(RM) Nisbah Pemilikan Pelanggan Pelanggan Pembiaya Ekuiti Pelanggan (RM) Ekuiti Pembiaya (RM) Aliran Tunai Pembiaya
(RM)
A B C=A+B D E F G H
0 0.10000 20,000.00 180,000 (180,000)
1 1,000 289.58 1,289.58 0.10195 100.00 900.00 20,389.59 179,610.4 1,289.58
2 1,000 289.58 1,289.58 0.10391 101.95 898.05 20,781.11 179,218.9 1,289.58
3 1,000 289.58 1,289.58 0.10587 103.91 896.09 21,174.59 178,825.4 1,289.58
4 1,000 289.58 1,289.58 0.10785 105.87 894.13 21,570.05 178,430.0 1,289.58
5 1,000 289.58 1,289.58 0.10984 107.85 892.15 21,967.48 178,032.5 1,289.58
6 1,000 289.58 1,289.58 0.11183 109.84 890.16 22,366.89 177,633.1 1,289.58
. . . . . . . . . .
. . . . . . . . . .
. . . . . . . . . .
. . . . . . . . . .
240 1,000 289.58 1,289.58 1.00000 993.59 6.41 200,000 0 1,289.58
Jumlah = RM309,499.20 IRR= 6%


Berdasarkan hujah di atas, adalah jelas kaedah MM tidak begitu menarik kepada bank berbanding kontrak BBA. Justeru, MM adalah sesuai untuk diamalkan oleh, misalnya, koperasi perumahan yang modalnya disediakan oleh ahli untuk manfaat diri mereka sendiri. Selain menyediakan rumah yang lebih murah untuk ahli koperasi, MM juga menawarkan peluang untuk melabur dalam harta tanah kepada mereka.


Walau bagaimanapun, jika harga rumah dinilai-semula secara berkala, seperti cadangan penasihat Syariah Bank Negara, Dr Mohd Ali Hj Baharum, maka laba modal akan terus meningkatkan pulangan kepada pembiaya, sekali gus menjadikan kaedah MM sekurang-kurangnya sama menarik dengan kaedah konvensional atau BBA.


Sesungguhnya konsep MM ini telah diguna pakai oleh sebilangan penyedia khidmat kewangan Islam di serata dunia. Model yang berjaya termasuklah Islamic Housing Cooperative (Kanada), Ansar Cooperative House (Kanada), Ansar Housing Limited (England), Arab Banking Corporation dan Lloyds TSB (England), LARIBA Finance House (California), Guidance Financial Group (Virginia) dan skim ‘Rumah Mudah’ Bank Meezan (Pakistan). Dalam hal ini, langkah proaktif Maybank untuk mempertimbangkan pengenalan MM harus dipuji.


Walaupun begitu, MM tidaklah bebas sepenuhnya daripada masalah operasi. Sebagai contoh, menjejaki nilai sewaan mungkin rumit, terutama sekali bagi lokasi yang pelbagai. Mengikut peredaran masa, nilai sewaan biasanya akan meningkat, namun tidaklah mudah untuk meyakinkan pelanggan bahawa dia kini harus membayar sewaan yang lebih tinggi.


Oleh itu, sesetengah pihak mencadangkan penggunaan kadar faedah pasaran seperti KLIBOR, BLR, LIBOR dan sebagainya sebagai penanda aras bagi sewa. Akan tetapi, dengan formula matematik yang sama, ini akan menjadikan MM serupa dengan pembiayaan konvensional berkadar-terapung (dengan perbezaan hanya pada struktur pemilikan).


Oleh sebab banyak kajian harta tanah menunjukkan bahawa harga harta merupakan angkubah penting dalam menentukan sewa, maka kami mencadangkan suatu bentuk indeks harta tanah digunakan sebagai penanda aras, seperti Indeks Harga Rumah dalam kes Malaysia (yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Penilaian dan Harta Tanah, Kementerian Kewangan, Malaysia. Lihat: www.jpph.gov.my). Justeru, berbeza daripada kadar faedah, indeks harga rumah akan dikaitkan secara langsung dengan usufruk aset tersebut (dengan nilai indeks yang berbeza menurut lokaliti).


Pelaksanaan MM mungkin juga memerlukan pindaan terhadap peraturan percukaian bagi membolehkan hanya caj sewa yang menyumbang kepada keuntungan dikira sebagai pendapatan bank. Dengan perkataan lain, caj sewa yang menyumbang kepada ekuiti pelanggan tidak boleh dikenakan cukai.




Terbitan matematik dan lembaran hamparan Microsoft Excel yang menghasilkan jadual bagi MM (serupa dengan Jadual 1) boleh diperolehi daripada pengarang di alamat emel: akameel@iiu.edu.my.









Oleh : Dr Ahamed Kameel Mydin Meera - October 14, 2008.

Dr Ahamed Kameel Mydin Meera adalah Dekan, Pusat Kajian Lepasan Ijazah, Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia.
Credit to : http://al-fikrah.net/index.php?option=com_content&view=article&id=175:pembiayaan-pembelian-rumah-secara-islam-alternatif&catid=46:ekonomi&Itemid=176

Tuesday, May 15, 2012

Fasa Awal Mekah & Madinah sebagai Nadi Ekonomi Islam




Mukadimah- sejarah awal ekonomi Arab

Institusi politik, sifat kenegerian, mahu pun hubungan dengan kuasa luar telah banyak memberi kesan kepada sejarah semenanjung Arab. Penduduk asli di tanah Arab berkongsi perbezaan dalam pemilikan ekonomi, penstrukturan sosial, pengalaman politik dan budaya tabiat hidup. Perdagangan dan pasaran lah yang berperanan sebagai penghubung kepada perbezaan dalam masyarakat Arab yang telah sedia ada itu. Mekah contohnya, sebelum datangnya Islam, menjadi terkenal kerana berperanan sebagai pusat perdagangan dan tempat tumpuan beribadah.
Penglibatan kumpulan-kumpulan penduduk dalam kegiatan perdagangan di Mekah memberi gambaran bahawa garis pemisah kepada struktur sosial ketika itu sama ada penduduk tetap, penduduk nomad atau pensyair ialah pada kedudukan taraf pencarian sosial(sebagai hamba contohnya) serta gaya hidup masyarakat ketika itu.
Komponen utama perdagangan dan pasaran  ketika itu ialah karavan(kendati). Ia digunakan sebelum kedatangan Islam lagi dan  adalah komponen asas yang penting kepada ekonomi Arab ketika itu dimana ia melibatkan dan menemukan kabilah-kabilah Arab.

Karavan luar yang singgah di tempat perdagangan Arab membawa barang dagangan serta rempah ratus untuk berurus niaga dan kemudian keluar ke destinasi dagang lain dengan membawa produk-produk tempatan Arab bersama mereka sebagai barang dagangan pula.

Menerusi ini, mereka yang terbabit dalam pasaran di Arab telah mewujudkan pertukaran dagangan melibatkan elemen monetary. Pengaruh perdagangan serta pemajuan pasaran menjadikan Mekah dan kemudian Madinah menjadi terkenal sebagai pusat perkembangan serta pentadbiran  agama Islam.

Dalam sistem kabilah, yang dianggap ketua ialah yang menguasai kekayaan termasuk kawalan ke atas tanah. Mereka bukan sahaja menentukan pengusaha tanah dengan aktiviti usaha tanah bahkan mereka menguasai hasil keluaran tanah serta lebihan hasil keluaran.

Ketua-ketua kabilah ini terdiri dari golongan elit yang mempunyai pengaruh politik telah juga membentuk gabungan kesatuan antara mereka bagi menjaga kepentingan masing-masing. Mereka memastikan perjalanan karavan dagang mereka selamat yang seterusnya mendatangkan hasil lumayan dari dagangan produk-produk mereka.

Apabila mereka berjaya menjaga keselamatan karavan dan produk mereka terjamin dagangannya, secara langsung kabilah-kabilah ini menguasai pasaran serta pertukaran dagangan.Hasilnya ialah kabilah-kabilah itu memonopoli ekonomi akhirnya berlakulah penguasaan kekayaan serta kuasa politik.


Islam dan solusi perdagangan dan pasaran

Keadaan penguasaan kabilah dan corak perdagangan telah menimbulkan krisis di kalangan masyarakat Arab. Antaranya ialah krisis autoriti, ketidak seimbangan pendapatan, identity social dan perpaduan masyarakat.

Walaupun situasi ini timbul secara kuasi-independent, ia saling berkait-rapat. Sehinggakan keadaan ini mewujudkan kontek untuk penerimaan kepada kepercayaan baru, yang mengenengahkan dan menyelesaikan krisis yang dihadapi melalui kepimpinan yang berprinsip, rukun yang 5 dan 1 ummah;Islam.

Berlatar belakang krisis ekonomi itu di mana terhasilnya juga pasaran dan aktiviti perdagangan, terbukti corak sosio-politik kabilah tidak dapat mengatasi keperluan serta hak masyarakat ketika itu yang sedang berada di tengah-tengah kepesatan dan perkembangan pasaran yang tidak diduga.

Islam datang dengan jalan penyelesaian yang komprehensif kepada masalah sosial dan politik masyarakat Arab dan terpaksa berdepan dengan masyarakat pedagang. Kedatangan Nabi Muhamad saw sebagai rahmat Allah membawa jalan penyelesaian kepada setiap masalah yang dihadapi oleh penduduk Arab dan pedagang ketika itu.

Autoriti: Allah dan syahadah. Ketidak seimbangan pendapatan: zakat dan sedekah. Identiti sosial serta perpaduan masyarakat: solat, puasa, haji dan ummah. Islam menganjal dan dinamik dalam masyarakat pedagang kerana solusi yang diberikan memenuhi kehendak masyarakat pedagang yang aktif.

Nabi saw menyampaikan tentang keinginan serta keperluan mereka yang tiada saluran modal dagang; mengambil kira masalah riba yang berleluasa ketika itu menjadikan Islam mendapat perhatian dari masyarakat dagang. Perbezaan struktur masyarakat dirapatkan melalui zakat dan solat yang berperanan menjalinkan perhubungan erat antara kelas sosial.

Walaupun ada pedagang yang telah berjaya serta memperoleh manfaat dari apa yang dibawa oleh Nabi, mereka sebagai satu organisasi telah juga berjaya mengurus dan mengagih sumber, peluang yang baru malah membebaskan yang dibeban dan ditindas dalam struktur sosial dan ekonomi. Kesan terus daripada dakwah Islam ialah berlaku reorganisasi sosio-ekonomi.

Kesan lain dari dakwah Islam ke atas ekonomi Arab ketika itu adalah ke atas pedagang yang telah berperanan memajukan pertukaran dagang serta memperoleh keuntungan daripadanya tetapi mengalami pergolakan akibat dari krisis ekonomi itu tadi.

Mereka memilih jalan yang disampaikan Nabi saw bagi mengatasi krisis yang dihadapi dengan jayanya. Nabi memberi penghormatan serta pengiktirafan ke atas kepintaran mereka dalam urusan berdagang serta menikmati autoriti politik malah mereka berterusan berperanan besar mempengaruhi serta menjamin institusi pasaran benar-benar mengikut tuntutan Islam.

Kumpulan pedagang tersebut telah memperoleh manfaat dari larangan yang telah diwahyukan. Mereka memelihara serta menjamin kebajikan ekonomi yang suatu masa dahulu sebelum kedatangan Islam begitu sempit dan bersifat menindas.

Dengan wahyu yang diberi dengan kesan yang efektif, Nabi dan para Sahabat telah berjaya mengislamisasikan pasaran di waktu itu dan sehingga ke hari ini.


Madinah Al-Munawarah- pusat ekonomi Islam pertama

Dengan mengambil kira pengeluaran dan perdagangan sebagai elemen utama kearah pembangunan penempatan, transformasi yang dilakukan ke atas Madinah membuktikan ruang pasaran di Madinah banyak dipengaruhi dari hikmah penghijrahan Nabi dan para Sahabat ke Madinah.

Pada awalnya, penduduk Islam berhadapan dengan serba kesulitan dan kekurangan kerana ruang urus niaga yakni pasar kebanyakannya dikuasai oleh kaum Yahudi
.
Mereka, kaum yang kufur dan engkar yakni Yahudi, banyak menjalankan urusan yang bertentangan dengan seruan agama. Kaum muslimin mengambil langkah mengasingkan diri dari ruang pasar Yahudi dan mengambil langkah membuka pasar baru yang dikuasai sepenuhnya oleh penduduk Islam.

Mereka mengamalkan konsep pasaran terbuka dalam semua aktiviti urus niaga pasar berkenaan.
Kaum Muslim terpaksa melalui pelbagai halangan serta kesusahan ketika berhadapan dengan pasaran dikuasai Yahudi. Nabi saw sendiri pernah dicemuh oleh penghuni pasar Yahudi dan penguasaan mereka berakhir dengan pengusiran Bani Qainuqa’ oleh Nabi saw. Pengusiran itu berlaku akibat dari pembunuhan seorang wanita kerana perselisihan dengan seorang tukang emas dari Bani Qainuqa’.

Nabi saw memilih tapak baru bersebelahan masjid yang dibina awal-awal lagi, bagi menempatkan pasar baru sebagai pusat kegiatan ekonomi orang Islam di Madinah. Penempatan pasar baru mengambil kira pengurusan ruang pasar serta membukanya kepada semua penduduk di Madinah.

Lokasi Madinah memberi kelebihan kepada potensi dagang pasar itu kerana jalan masuk ke Madinah terletak di tengah-tengah perjalanan pedagang dari arah mana pun mereka datang. Dengan lokasi yang strategik, kaya dengan kepelbagaian bekalan komoditi dan reputasi Madinah sebagai bandaraya yang bersih menjadikan ia tarikan semua
.
Pasar Yahudi lama kelamaan hilang kedudukannya sebagai pusat perdagangan begitu juga penduduk Yahudi semakin kurang kuasa mereka ke atas ekonomi Madinah. Ini adalah kemenangan psikologi kepada penduduk Islam, justru melebarkan permusuhan yang telah sedia ada.
Pasar yang dibina cukup besar untuk menampung segala aktiviti urus niaga termasuk tukang emas, peniaga kulit, peniaga minyak wangi dan gaharu, binatang ternakan, pakaian, alatan perang dan banyak lagi keperluan.
Pasar Madinah adalah visi Nabi saw kerana Madinah ketika itu sedang membangun dengan pesat sekali dalam semua sektor dan kependudukan semakin bertambah dengan pelbagai kabilah dan komuniti yang turut berkembang.

Madinah menjadi tumpuan dengan rahmat serta keberkatan yang Allah limpah ke atasnya.
Benarlah firman Allah yang bermaksud: “..Jika penduduk satu negeri beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan keberkatan dari langit dan bumi.” (Al A’raf: 96)
Ustaz Ahmad Fauzan bin Yahaya, Al-Madinah International University.
Penulis adalah lulusan sarjana hadis dari Universiti Islam Antarabangsa.
siaran akhbar 12 Mei 2012.
sumber:http://ilmuanmalaysia.com/2012/05/15/fasa-awal-mekah-madinah-sebagai-nadi-ekonomi-islam/

Sunday, August 22, 2010

Pasca-Pelancaran Dinar dan Dirham kelantan: Sedikit Perkongsian Mendasar

Musafir ke Kelantan pada Khamis lalu, sempena pelancaran Dinar dan Dirham kelantan di Kelantan Trade Center, Kota Bharu, meninggalkan 1001 nostalgia yang tidak boleh dilupakan. Bermula dengan cara bagaimana proses hendak ke sana, pengisian selama saya di sana, sehinggalah dalam perjalanan saya pulang ke Kuala Lumpur pada hari Jumaatnya.

Salah satu pengalaman sepanjang berada di Kelantan ialah diskusi-diskusi ringkas tetapi mendasar, antara saya bersama Prof umar Vadillo, berkenaan dengan perjuangan meletakkan semua kerangka Muamalat Islam ditempat asalnya. Beberapa diskusi berlaku, bukan sahaja antara saya dengan beliau, tetapi juga meliputi bersama beberapa orang pemuda dari Selangor, kedah, Palestin, Singapura dan beberapa lagi negara lain.

Diskusi kali ini, prof Umar menekankan aspek tujuan, asas, dan fokus utama, mengapa isu Muamalat Islam ini perlu di perjuangkan. Selama hampir 3 jam diskusi, beliau menekankan kepentingan perjuangan ini adalah sebagai tanda keimanan kita kepada Allah swt. Sebagai tanda rasa cinta dan kesungguhan serta ‘kegilaan’ kita kepada Allah swt. Sebagai tanda ketaqwaan kita kepada Allah swt. Ini penyebab utama, mengapa Muamalat Islam ini diperjuangkan.

Beliau tidak menafikan, terdapat manfaat-manfaat lain yang akan diperolehi apabila penggunaan dinar-dirham berlaku dalam masyarakat, seperti kalis inflasi, menjaga kekayaan yang diperolehi, keadilan dan sebagainya. Tetapi yang lebih utama daripada itu adalah sebagai tanda keimanan dan keyakinan kita terhadap ayat-ayat Allah yang menceritakan perihal penggunaan dinar-dirham sebagai medium pertukaran zaman berzaman.

Saya melihat perkara ini dari dua sudut. Sudut pertama adalah dari sudut pengkajian berterusan untuk memastikan peng-implimentasi-an sistem ekonomi berasaskan emas dapat dilaksanakan dengan baik, menggunakan mekanisma-mekansima tertentu. Dari sudut lain, saranan daripada al-Quran yang berulang kali menyebut perihal penggunaan dirham (sebagai contoh) dalam kisah-kisah al-Quran, seperti kisah Ashabul Kahfi, Nabi Yusof AS dan lain-lain kisah, merupakan satu hikmah yang perlu dirungkai oleh umat Islam khususnya dalam usaha memahami mengapa penggunaan dinar-dirham ini menjadi wajar diletakkan pada tempat asalnya.

Sejak pelancaran Dinar dan Dirham Kelantan pada minggu lepas, bersamaan dengan 2 ramadhan 1431H, pelbagai pihak merespon isu ini melalui kaca mata masing-masing, hujah masing-masing berdasarkan pembacaan, perbincangan, pembelajaran dan diskusi masing-masing. Ini adalah petanda positif kerana masyarakat Malaysia mula cakna isu pengembalian dinar-dirham sebagai medium pertukaran. Tidak kurang juga banyaknya respon-respon yang terbit atas dasar jahil terhadap apa yang diperkatakan, terutama yang berstatus ‘menteri’, kerana ia mencerminkan ketidak-layak-kan seseorang itu berada di kedudukan antara yang tertinggi dalam ekonomi negara Malaysia ini.

Sudah sampai masanya, kita mengambil perhatian untuk mengkaji lanskap sistem ekonomi baru bagi bersedia menghadapi kejatuhan dan kebobrokan sistem kapitalis-liberalis yang semakin komplikated(contohnya: dari segi inovasi instrumen kewangannya) sehingga memaksa para eksekutif syariah institusi-institusi kewangan ‘terpaksa’ mengikut arus ‘islamisasi sistem kewangan’ (terma yang sebenarnya saya tidak suka guna) semasa.

Perkara yang saya pelajari dalam hal ini, ialah keperluan kepada persediaan kendiri dalam usaha mencari solusi kepada permasalahan ekonomi dan kewangan semasa dengan menjadikan keimanan, ketaqwaan dan rasa cinta pada Allah sebagai asas pertama dan penting untuk merealisasikan kesinambungan perjuangan ini.

Satu perkara yang penting juga untuk ditegaskan ialah, perjuangan dinar-dirham ini bukan semata-mata emas dan perak itu sendiri, tetapi sebagai tanda keyakinan atas kebijaksanaan Allah swt dalam menjelaskan perihal dinar-dirham sebagai medium pertukaran.

Lagi satu, pengimplimentasian dinar-dirham ini hanya merupakan langkah pertama daripada beberapa langkah seterusnya yang akan membawa kepada perubahan lanskap ekonomi semasa.

Perjalanan masih jauh, kerja para ‘alim-ulama’ yang ahli semakin diperlukan untuk merealisasikan perkara ini, oleh itu, bagi sesiapa yang ingin turut serta dalam dalam perjuangan bersifat intelektual ini, amat digalakan dan ia adalah peluang untuk kita semakin mengenal Allah!

August 16, 2010

by Aliff Bin Basri