Pages

Thursday, April 14, 2011

IMAM AL-SYAFIE & BID’AH HASANAH







Antara ucapan (qaul) Imam al-Syafie yang disalah ertikan oleh sebahagian masyarakat Islam sehingga menjadi isu kontroversi dan polemik ialah tentang maksud dan pembahagian bid’ah yang mana beliau pernah berkata:

ينقسم البدعة الى حسنة وسيئة، او محمودة ومذمومة. وعلى هذا تشتمل كل حادث بعد عصر الرسول الله صلى الله عليه وسلم وعصر. الخلفاء الراشدين.

Bid’ah itu terbahagi kepada yang baik (hasanah) dan yang buruk (sayyi’ah) atau terpuji (mahmudah) dan tercela (mazmumah). Dalam perkara ini, termasuklah setiap yang diada-adakan selepas zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan zaman Khulafa’ al-Rasyidin. [2]

عن حرملة بن يحي رحمه الله قال: سمعت الشافعي رحمه الله تعال يقول: البدعة بدعتان. بدعة محمودة و بدعة مذمومة. فما وافق السنة فهو محمود وما خالف السنة فهو مذموم.

Dari Harmalah bin Yahya rahimahullah berkata: Aku mendengar al-Syafie rahimahullah berkata: Bid’ah ada dua iaitu bid’ah yang terpuji dan bid’ah yang tercela. Apa yang bersesuaian dengan al-Sunnah maka itu adalah terpuji dan apa yang bertentangan dengan al-Sunnah maka itu tercela.[3]

وقال الربيع رحمه الله: قال الشافعي رحمه الله تعال: المحدثات من الامور ضربان: احدهما ما احدث يخالف كتابا او سنة او اجماعا او اثارا فهذه البدعة الضلالة. والثاني من الخير لا خلاف فيه لواحد من هذا فهي غير مذمومة.

Berkata ar-Rabi’ rahimahullah: Telah berkata al-Syafie rahimahullah: Perkara-perkara yang diada-adakan itu terbahagi kepada dua: Yang pertama, apa yang dicipta bertentangan dengan al-Kitab, al-Sunnah, ijmak atau atsar, maka inilah bid’ah yang sesat. Kedua, apa yang dicipta berupa kebaikan yang tidak bertentangan dengan salah satu dari perkara (al-Kitab, al-Sunnah, ijmak atau atsar sahabat), maka itu ciptaan yang tidak tercela. [4]

Persoalan-persoalan (syubhat) yang timbul dari qaul Imam al-Syafie di atas telah dijelaskan oleh ulamak al-Salaf al-Shalih, antaranya Abdul Qayyum bin Muhammad Nasir as-Sahaibani rahimahullah. Beliau telah membincangkan dengan membawa keterangan berikut:

PERTAMA:

Tidak seharusnya diterima perkataan seseorang manusia yang bertentangan dengan perkataan (sabda) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam walau siapa pun orangnya. Perkataan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam adalah hujah bagi setiap orang dan bukan pula perkataan seseorang itu menjadi hujah untuk menentang (meninggalkan) sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam[5] sedangkan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda tentang persoalan bid’ah:

كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلُّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ.

"Setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat itu ke dalam neraka".

Dalam hal ini Abdullah bin Abbas radhiallahu ‘anh berkata:

لَيْسَ اَحَد اِلاَّ وَيُؤْخَذُ مِنْ رَاْيِهِ وَيُتْرَكُ مَا خَلاَ النَّبِي صَلَّى الله ُعلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Tidak ada pendapat seseorang (yang boleh terus diterima kerana) ia boleh diambil atau ditinggalkan kecuali pendapat (sabda) Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.[6]

KEDUA:

Sesiapa yang mahu memberi perhatian (memahami) tentang qaul Imam al-Syafie (membahagikan bid’ah kepada yang baik dan tercela) maka tidak akan meragui bahawa yang dimaksudkan oleh Imam al-Syafie ialah bid’ah dari segi bahasa bukan syar’i. Ini berdalilkan (kenyataan Imam al-Syafie) sesungguhnya setiap bid’ah dalam syarak (agama) adalah bertentangan dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Imam al-Syafie sendiri mengaitkan bid’ah yang baik dengan apa yang tidak bertentangan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah kerana setiap bid’ah dalam syarak bertentangan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dan al-Hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:[7]

Hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu.[8]

قال رسول الله صَلَّى الله ُعلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

Bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: Sesiapa yang mengada-adakan (mencipta) yang baru dalam urusan (agama) ini yang bukan darinya maka ia tertolak. [9]

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

Barangsiapa yang mengerjakan satu amal yang bukan dari suruhan kami maka ia tertolak.[10]

Apa yang dimaksudkan oleh Imam al-Syafie sebagai bid’ah yang mahmudah (baik/terpuji), misalnya pembukuan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan sembahyang tarawih, ini amat tepat menurut definisi bahasa kerana walaupun ia tidak ada contoh sebelumnya tetapi ia ada dasarnya dari syarak.[11] Begitu juga dengan pembinaan madrasah kerana belajar itu wajib menurut syarak, pastinya pembelajaran yang sempurna dan selesai ialah madrasah. Semua yang berkaitan dengan dunia yang tidak memudaratkan adalah bid’ah keduniaan yang hasanah dan tidak bertentangan dengan syarak.

Penjelasan di atas menunjukkan bahawa setiap bid’ah yang dikatakan terpuji sebenarnya ia bukanlah bid’ah, kerana ia tidak melibatkan urusan agama hanya disangka sebagai bid’ah lantaran kurang memahami istilah bid’ah dari segi bahasa dan syarak. Adapun bid’ah yang dianggap keji dan sesat setelah didapati secara qath’i (pasti) ialah yang bertentangan dengan al-Kitab dan al-Sunnah dan jelas tiada dalilnya dari syarak.[12]

KETIGA

Memang sudah diketahui tentang pendirian Imam al-Syafie rahimahullah yang tegas, beliau sangat teliti dalam mengikuti (ittiba’) kepada sunnah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dan sangat benci kepada muqallid (orang yang bertaklid buta) dan orang yang menolak hadis Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini terbukti semasa beliau disoal tentang sesuatu perkara maka beliau menjawab:

Wahai orang yang bertanya! Bumi manakah yang akan aku pijak dan langit manakah yang akan aku berlindung apabila aku telah meriwayatkan sesuatu hadis Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam kemudian aku tidak berkata dengannya? Sewajarnya bagiku mendengar dan melihat (patuh dan taat kepada hadis).

Kalau demikianlah pengakuan, sikap, pendirian dan pegangan Imam al-Syafie rahimahullah terhadap hadis Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka tidak sepatutnya seseorang itu berprasangka terhadapnya sehingga melagakan pandangan beliau dengan hadis sahih[13] terutamanya hadis di bawah ini:

فَاِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

"Sesungguhnya setiap yang bid’ah itu menyesatkan."

Yang paling tepat dan benar ialah perkataan Imam al-Syafie rahimahullah ini semestinya diletakkan di tempat yang sesuai dengan hadis di atas bukan (dijadikan alasan) untuk menentang hadis tersebut, kerana apa yang dimaksudkan oleh Imam al-Syafie rahimahullah ialah bid’ah dari segi bahasa[14] (لغوي) sahaja bukan dari segi syarak atau dalam persoalan agama.

Imam al-Syafie rahimahullah pernah menegaskan dengan perkataan beliau:

قال الشافعي رحمه الله تعالى: اذا وجد تم فى كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فقولوا بها ودعواما قلته.

Berkata al-Syafie rahimahullah: "Apabila kamu temui di dalam kitabku apa yang bertentangan dengan sunnah Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka berkatalah (ambillah/berpeganglah) kamu dengan sunnah tersebut dan hendaklah kamu tinggalkan apa yang telah aku katakan. "[15]

قال الشافعي رحمه الله تعالى: كل حديث عن النبي صلى الله عليه وسلم فهو قولي و ان لم تسمعوه مني.

Berkata al-Syafie rahimahullah:" Setiap hadis daripada nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam adalah ucapanku (ikutanku) walaupun kamu tidak pernah mendengar dariku."

قال الشافعي رحمه الله تعالى: كل مسالة صح فيها الخبر عن رسول الله صلى الله عليه وسلم عند اهل النقل بخلاف ما قلت، فانا راجع عنها فى حياتي وبعد موتي.

"Setiap masalah yang benar datangnya daripada Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam menurut ahli Naql sedangkan ia bertentangan dengan apa yang telah aku katakan, maka aku akan kembali merujuk pada hadis itu selama hidupku atau setelah kematianku." [16]

عن الامام ابي حنيفة ومالك والشافعي واحمد انهم قالوا: لايحل لاحد ان يفتى بكلامنا او ياْخذ بقولنا ما لَم يعرف من اين اخذنا.

Dari Imam Abu Hanifah, Malik, al-Syafie dan Ahmad mereka berkata: Tidak dihalalkan bagi seseorang untuk memberi fatwa dengan perkataan kami atau berpegang dengan perkataan kami selagi dia tidak mengetahui dari mana kami mengambil perkataan tersebut.[17]


10 SEBAB MENGAPA BID'AH HASANAH WAJIB DITOLAK [18]

Syeikh Abd al-Qayyum bin Muhammad dalam bukunya al-Luma’ Fi ar-Rad Ala Muhassini al-Bida’, ms. 49-55 telah menyenaraikan sepuluh sebab mengapa bid’ah hasanah wajib ditolak di sisi syariat agama, antaranya:

PERTAMA:

Bahawa dalil-dalil yang mencela bid’ah sifatnya adalah umum, tidak dikhususkan. Dalil-dalil yang banyak jumlahnya itu semuanya tidak menunjukkan pengecualian sama sekali. Tidak terdapat dari dalil-dalil tersebut yang menetapkan bahawa di antara bid’ah-bid’ah itu ada yang sifatnya sebagai al-Huda’ (petunjuk) dan tidak terdapat riwayat yang menyatakan: Bahawa bid’ah itu adalah sesat kecuali ini dan itu.” Dan tidak ada pun nas yang bermaksud seperti itu.

Maka jika di sana ada bid’ah menurut pandangan syarak sebagai bid’ah hasanah (bid’ah yang dianggap baik), sudah tentulah akan disebutkan oleh ayat atau hadis. Akan tetapi, ianya tidak ada. Perkara ini menunjukkan bahawasanya dalil-dalil yang banyak jumlahnya itu wajib difahami menurut zahir dari nas-nas tersebut yang sifatnya menyeluruh dan umum untuk semua bid’ah yang tidak seorang pun yang boleh terlepas dari ketetapan ini.

KEDUA:

Telah ditetapkan dalam kaedah Ushul Fiqh bahawa setiap kaedah yang menyeluruh atau dalil-dalil syarak yang menyeluruh, bilamana ia terulang dalam pelbagai keadaan, pada semua waktu dan keadaan yang berbeza-beza, kemudian bersamaan itu pula, ia tidak diiringi dengan sesuatu yang mengkhususkan atau mengecualikan, maka perkara ini menunjukkan ketetapan dalil-dalil yang berlaku menurut ketetapan zahir lafaznya yang mutlak dan umum. Bertolak dari sinilah, adanya hadis-hadis yang mencela dan memperingatkan dari bid’ah yang bersifat mutlak, umum dan menyeluruh itu.

KETIGA:

Ijmak (kesepakatan) al-Salaf al-Shalih dari kalangan sahabat, tabi’in dan para ulamak setelah mereka di atas pencelaan terhadap bid’ah, menghinakannya, menjauhkannya serta menjauhi sesiapa sahaja yang terpengaruh dengan bid’ah tersebut. Juga tidak terjadi pada mereka sikap berdiam diri terhadap perkara ini. Tidak ada pula ada pengecualian daripada mereka tentang bahaya dan buruknya perkara bid’ah. Maka sikap ini merupakan ijmak ulamak yang telah baku yang menunjukkan bahawa bid’ah itu semuanya tercela, tidak ada kebaikan sedikit pun padanya.

KEEMPAT:

Bahawasanya bid’ah hanya bergantung pada bid’ah itu sendiri (tidak bersumber daripada syariat) kerana bid’ah merupakan tindakan menyaingi dan menolak syariat, maka segala sesuatu yang keadaannya seperti ini mustahil untuk dikatakan sebagai baik atau buruk. Ataupun tidak mungkin di sana ada sebahagian yang terpuji dan sebahagian yang lain tidak terpuji, kerana ia tidak dibenarkan baik secara dalil aqli mahu pun naqli untuk menganggap baiknya suatu perkara yang menyelisihi syariat.

KELIMA:

Pendapat yang mengatakan adanya bid’ah hasanah akan membuka pintu-pintu bid’ah untuk orang masuk ke dalamnya. Kemudian tidak mungkin membantah apa pun bid’ahnya, kerana setiap pelaku bid’ah akan mengaku bahawa amalannya itu adalah bid’ah hasanah. Maka golongan Syiah akan mengatakan bid’ahnya dengan bid’ah hasanah. Begitu juga Muktazilah, Jahmiyyah, Khawarij dan golongan-golongan yang lain. Sebaliknya wajib ke atas kita untuk membantah mereka dengan hadis: “Semua bid’ah adalah sesat.”

KEENAM:

Apakah sandaran untuk menyatakan baiknya bid’ah? Dan ucapan dan pendapat siapakah yang dirujuk dalam persoalan ini? Bilamana dikatakan: “Rujukannya adalah mestilah sesuai dengan syariat.” Kita katakan: “Semua yang bersesuaian dengan syariat sama sekali bukanlah bid’ah.” Jika dikatakan: “Rujukannya adalah akal.” Kita jawab: “Akal itu berbeza-beza dan berlainan, maka akal yang manakah yang digunakan sebagai rujukan itu? Dan manakah yang diterima hukumnya? Kerana semua pelaku bid’ah akan menyangka bahawa amalan bid’ah hasanah adalah baik menurut akal?

KETUJUH:

Pendapat adanya bid’ah hasanah akan membawa kepada penyimpangan dan kerosakan agama, kerana setiap (zaman) muncul satu kaum, mereka akan menambah ke dalam agama suatu peribadatan yang kemudian diberi nama dengan bid’ah hasanah. Sehingga akan semakin banyaklah kebid’ahan dan bentuk-bentuk peribadatan dalam syariat agama, lalu agama akan berubah dan akhirnya rosak seperti rosaknya agama-agama yang terdahulu.

KELAPAN:

Bolehlah dikatakan kepada orang yang mengatakan adanya bid’ah hasanah: Bilamana boleh menambahkan perkara agama dengan alasan bid’ah hasanah , bererti mereka juga boleh mengurangi dan menolak ajaran agama ini kerana tidak ada perbezaan di antara menambah dan mengurangi. Kerana bid’ah itu boleh berupa melakukan amalan dan boleh juga berupa meninggalkan amalan. Maka jika demikian, akan rosaklah agama ini dengan menambah dan menguranginya, cukuplah dengan perkara ini akan terjadi kesesatan.

KESEMBILAN:

Sesetengah orang mengatakan: Jika dalam syariat ada bid’ah hasanah, maka sesungguhnya kita akan berbuat bid’ah dengan meninggalkan bid’ah hasanah tersebut dan kami menilai bahawa tidak mengamalkannya lebih bermanfaat bagi agama dan dunia, lebih mempersatukan kalimat kita dan menjauhkan dari perpecahan dan perselisihan. Jika pendapat kami ini benar, maka tidak boleh seorang pun menyelisihi kebenaran yang ada, tetapi sekiranya tidak, maka bid’ah hasanah boleh diterima menurut pendapat kalian. Jadi, bid’ah dalam semua keadaan adalah batil sifatnya. Inilah yang kami maksudkan dalam kenyataan kami itu.

KESEPULUH:

Bagi yang telah mengetahui bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah makhluk yang paling mengetahui al-haq (kebenaran), paling fasih dalam menerangkan dan bertutur-kata serta orang yang paling banyak memberikan nasihat, dan dia akan mengetahui bahawa pada diri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam terdapat kesempurnaan ilmu yang haq, kemampuan yang sempurna dalam menjelaskan dan keinginan yang sempurna untuk menyampaikan al-haqnya itu. Maka dengan kesempurnaan unsur-unsur ilmu, kemampuan serta kemahuan ini memestikan adanya hasil dalam bentuk yang sempurna pula. Di sinilah, dia akan mengetahui bahawa sabda-sabda baginda shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan ucapan yang paling tepat, paling sempurna dan paling besar haknya dalam menjelaskan perkara agama ini. Maka sesiapa yang tersemat di dalam hatinya pemahaman seperti ini, kemudian mengimaninya dengan mantap, dia akan mengetahui dengan yakin bahawa sekiranya di sana ada bid’ah hasanah, nescaya telah dijelaskan kepada kita dan sudah pasti ianya telah dikhabarkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Tetapi ini tidak baginda lakukan, maka kita dapat mengetahui bahawa semua bid’ah itu adalah sesat.[19]


Nota Kaki:

[1] Dipaparkan dengan izin Ustaz Rasul Dahri (semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala sentiasa memberkati beliau dan ahli keluarga beliau), dinukil daripada Wasiat Imam Syafie (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2001). Sila lihat bab: Ucapan Imam Asy-Syafie Yang Kontroversi, ms. 23-36. Diikuti dengan beberapa tambahan daripada penulis sebagai pelengkap perbahasan.

[2] Lihat البدعة تحديدها ومو قف الا سلام منها ms. 160. Dr. Izzat Ali ‘Atiah. Darul Kitab al-Arabi, Lebnon.

[3] Lihat الباعث على انكار البدع والحوادث ms. 12. Abu Syamah asy-Syafie.

[4] Lihat الحاوي jld. 1, ms. 539 oleh Imam al-Suyuthi, Tahqiq oleh Muhammad Muhyidin Abdul Hamid. Terbitan at-Tijariyah.

[5] Lihat:

1) اللمع فى الرد على محسني البدع ms. 36 Abdul Qayyum bin Muhammad bin Hashir as-Sahaibani.

2) منا قب الشافعي jld. 1, ms. 469.

3) الباعث على انكار البدع والحواد ث ms. 94. Syihabudin Abu Muhammad Abdul Rahman bin Ismail (lebih dikenali dengan laqab) Abu Syamah.

[6] Lihat فتاو ائة المسلمين ms. 138 Mahmud Khatab as-Subki. Al-Istiqamah.

[7] Lihat اللمع فى رد على محسني البدع ms. 37. Abdul Qayyim bin Muhammad bin Nashir as-Sahaibani.

[8] Surah al-Maidah: 5.

[9] Hadis riwayat Ahmad (no. 24840) dan al-Bukhari (no. 2499).

[10] Hadis riwayat al-Bukhari.

[11] Lihat: اللمع فى رد على محسني البدع ms. 38.

[12] Ibid.

[13] Ibid. ms. 39.

[14] Ibid. ms. 39.

[15] Lihat المجموع jld. 1, ms. 63.

[16] Lihat سير اعلام النبلاء jld. 10, ms. 34.

[17] Lihat:

1) الا حكام فى اصول الا حام jld. 1, ms. 145. Abu Ali bin Hazam al-Andulusi.

2) جامع بيان العم وفضله jld. 1, ms. 147. Abu ‘Umar Yusuf bin Abd al-Barr al-Qurthubi.

3) الفتاوى jld. 1, ms. 147.

[18] Dinukil daripada Membela Sunnah Nabawiyah karya Ustaz Abdul Wahab Bustami, ms. 36-38.

[19] Terdapat beberapa buah buku di pasaran tempatan berkaitan persoalan bid’ah hasanah yang amat bermanfaat untuk dibaca. Buku yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

1) Bid’ah Hasanah: Tokok Tambah Amalan Rasulullah karya Mohd Yaakub Mohd Yunus (Karya Bestari Sdn Bhd, Selangor).

2) Bid’ah Hasanah Istilah yang Disalah Fahami karya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru).

3) Adakah Bid’ah Hasanah? karya Abdul Qayyum Muhammad Nashir as-Sahabani (Cahaya Tauhid Press, Malang).

by Mohd Hairi Nonchi ; October 1, 2010

Penulis: Ustaz Rasul Dahri [1]

Disusun semula: Mohd Hairi Nonchi

Sumber: Siapakah Pengikut Imam al-Syafie dan Mazhab Syafie yang Sebenar? (Edisi Revisi) karya Mohd Hairi Nonchi dan Mohd Yaakub Mohd Yunus (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru). Untuk membuat tempahan secara online Edisi Pertama buku ini, sila klik: http://www.jahabersa.com.my/bimbingan-dan-nasihat/siapakah-pengikut-imam-al-syafie-dan-mazhab-syafie-yang-sebenar

Makluman: Sila dapatkan juga nota-nota saya yang lain (klik "notes" di wall FB saya) dan kongsikan ia dengan rakan-rakan yang lain. Syukran.

---------------------------------------------------------------------------

Mohd Hairi Nonchi

Perhatikan, Imam al-Syafie menegaskan bahawa sesuatu yang dikategorikan sebagai bid'ah yang hasanah/baik itu hendaklah terlebih dahulu menepati salah satu daripada syarat-syarat berikut:


[1] Sesuai dengan ajaran al-Qur'an.
[2] Sesuai dengan petunjuk al-Sunnah.
[3] Sesuai dengan atsar para sahabat.
[4] Termasuk dalam perkara yang disepakati (ijmak). Pastinya ijmak ini adalah merujuk merujuk kepada ijmaknya para sahabat).

Ini bermakna apa juga ibadah yang tidak bersumberkan kepada salah satu daripada keempat-empat syarat di atas maka serta merta ia termasuk dalam bid'ah yang sesat di sisi Imam al-Syafie sekalipun bid'ah tersebut cuba dihasanahkan oleh para penggemarnya. Perincian Imam al-Syafie terhadap keempat-empat syarat inilah yang sering diabai dan disembunyikan oleh para pencipta dan penggemar amalan bid'ah yang sentiasa berusaha mengecualikan amalan mereka daripada dikategorikan sebagai bid'ah yang sesat. Wallahua'lam.
Md Said A Rahman
Bila sebut bida'ah biasanya masyarakat berfikir ianya bermakna sesat. Sesat dalam masyarakat Melayu amat keji pada pemahaman kebiasaannya.
Bila disebut ada bida'ah yg hasanah maka menjadi terkeliru mereka2 itu. Bagaimana ada sesat yg baik pulak ? kata mereka.

Kita cuba cari jalan penyelesaiannya dalam hal pemahaman ini.
Bida'ah = sesat atau tak diterima atau tertolak.
Yg bida'ah hasanah kita katakannya sunnah kerana ada sandarannya.

Kemudian baharulah dibersihkan mana yg perlu/boleh agar lebih menepati sunnah.
Wallahu'alam.

Mohd Hairi Nonchi
Md Said A Rahman: Benar ya akh. Sebab itu pernah saya katakan:
"Jika mereka mendakwa bahawa amalan mereka sebagai bid'ah yang hasanah, maka ditanyakan kepada mereka: Bagaimanakah penentuan hasanah itu dilakukan? Jika mereka jawab bahawa ia ditentukan berdasarkan al-Qur'an/hadis/atsar/ ijmak, maka dikatakan kepada mereka: Jika demikian maka katakanlah sahaja ia sebagai sunnah kerana sunnah ialah sesuatu yang ada sandarannya di sisi syarak manakala bid'ah pula ialah sesuatu yang didasarkan kepada dukungan nas-nas syarak."

Md Said A Rahman
Ustaz Hairi>>Ya begitu shj lebih mudah. Balik kpd hadith "tiap yg bukan dr ku adalah bidaah dan tiap bidaah itu sesat" lbhkurang begitu maksudnya bukankah begitu?
Tp harus juga kita jgn cepat menetapkan hukum, samada haram, halal, bidaah, su..

2 comments:

  1. Artikel yang bagus, semoga Alloh SWT memberi barokah kepada Anda...
    by :
    layanan aqiqah solo

    Barokallohufiyk...

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas pencerahannya,saya hanya sedikit nambahin dalilnya di http://antiwahabi.heck.in/bidah-hasanah.xhtml

    ReplyDelete