Pages

Monday, April 11, 2011

Taqwa Itu Apa?



Kalimah 'Taqwa' asal maknanya adalah mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.

Menurut Syara', 'Taqwa' bererti :

"Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta'ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat".[2]

Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda yang bermaksud :

"Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintah-Nya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepada-Nya dan tidak mengkufuri nikmat-Nya". ( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha. )

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar :

"Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri?

Jawab Umar: "Ya".

Tanya Ubai lagi: "Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?".

Jawab Umar : "Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati". Balas Ubai : "Itulah yang dikatakan taqwa".

Menurut Ibnu Abbas r.a. : "Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta'atiNya".

Menurut Hasan al-Basri : "Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka".

Berkata Abu Yazid al-Bustami : "Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah".


Martabat Taqwa

Menurut Al-'Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri, taqwa ini mempunyai tiga martabat;


Martabat pertama : Membebaskan diri dari kekufuran

Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan "Kalimat at-Taqwa" dalam firmanNya :

"...lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mu'min dan Allah mewajibkan(mengurniakan dan menetapkan) kepada mereka kalimat taqwa ...". (Surah Al-Fath. Ayat : 26)

Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah : "لا إله إلا الله محمد رسول الله" atau dua kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau punca kepada taqwa.


Martabat kedua : Menjauhkan diri dari segala perkara yang membawa kepada dosa.

Martabat ketiga : Membersihkan batin (hati) dari segala yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah swt.

Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah;

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah swt )." (Surah Ali Imran : 102)

Muslim yang Berjuang dan Bertaqwa

Merentasi era peradaban modern yang menyaksikan keruntuhan akhlak , moral dan aqidah ummah kini di paras bahaya , memerlukan kuasa taqwa yang tinggi untuk kembali membina struktur asas ummat Islam yang kian runtuh .

Taqwa adalah penawar yang sebenarnya yang mampu memulihkan(dengan izin Allah ) kecederaan iman yang sangat parah dewasa kini; yang kian rancak menular khasnya kepada mereka yang mengaku muslim terutama di kalangan generasi mudanya. .

Kecederaan teruk di bahagian iman inilah yang meletakkan ummat Islam turut terjebak dalam kancah perlecehan akhlak, moral dan aqidah.


Saksikanlah, bagaimana dunia kini amnya dan negara kita khasnya dilanda kehancuran peradaban Insaniyyah, sehingga hilang peri kemanusiaan sebaliknya peri kebinatangan menguasai minda sebahagian besar ummat manusia.

Menyedari realiti dunia dan ummah hari ini, marilah kita mengambil kesempatan daripada ibadah puasa yang dijalani sebulan di bulan Ramadhan untuk membina syakhsiyyah muslim-mukmin yang bertaqwa (dan berjuang ); dengan mendidik jiwa, minda dan seluruh pancaindera agar tunduk dan patuh kepada Allah swt serta siap[mampu] untuk memikul tanggungjawab meninggikan kalimah Allah di mukabumi ini ...

Kita seharusnya sibukkan diri untuk memperbaiki dan mentarbiyah diri, menambahkan ilmu yang bermanafaat , membuat persediaan-persediaan yang perlu ke arah memikul tanggungjawab sebagai pejuang untuk menyelamatkan diri serta ummah dari bahana syahwah yang menyimpang jauh dari Manhaj Ilahi ini.

Pejuang yang dikurniakan sifat TAQWA; maka takwa itulah yang menjadikan dirinya lebih hebat di "medan " juang , menjadi sebagai benteng pelindung dan asas kekuatan diri demi memenangi pertembungan antara iman dan kufur , hak dan hatil serta Islam dan jahiliyyah-ketikamana terbukti keimanan mereka pada Kitabullah .Iaitu beriman dan melaksanakan stiap suruhan dan menjauhi larangan Allah di dalam kitabNya (Al Quran)secara keseluruhannya, bukan separuh-separuh (beriman sebahagian dan kufur sebahagian ) .Perbuatan menerima sebahagian dan menolak sebahagian (apabila tak sesuai dengan nafsu ) inilah yang menyebabkan manusia ditimpa kehinaan di dunia dan azab diakhirat .

Firman Allah Taala (ertinya ) :

"...(Sesudah itu) maka patutkah kamu hanya beriman kepada sebahagian (dari isi) al Kitab dan kamu mengingkari sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, sedang pada hari kiamat mereka akan ditolak ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai dari apa yang kamu kerjakan." (Al-Baqarah 2:85)

Perjuangan dan pengorbanan adalah asam garam kehidupan di dunia ini, tiada perjuangan dan pengobanan maka tiadalah hasil(yang bernilai itu).

Bilamana mereka sentiasa mengutamakan redha Allah walaupun tidak disukai oleh kebanyakan manusia, maka ketika itu Allah bersama mereka (menolong urusan mereka ).

Bukan sebaliknya iaitu mencari redha manusia tapi pada masa yang sama mengundang murka Allah SWT sehingga Allah berlepas diri dari kita dan tidak membantu kita, dan biarkan kita .- na'uzubillah min zaalik.

Allahumma nas aluka ridhaka wal Jannah, wa na'uzubika min sakhotika wan naar ; "Ya Allah,Tuhan kami , kami memohon redha dan SyurgaMu, dan kami mohon perlindungan denganMu dari Murka dan nerakaMu". Selawat dan Salam untu kjunjungan kami Muhammad serta keluarga dan Sahabat-sahabat baginda ,dan kesejahteraanlah keatas (mereka semua ).

Sumber : iluvislam.com

No comments:

Post a Comment