Pages

Tuesday, May 3, 2011

Ciri-ciri Khusus Dan Sifat Utama Ahlus Sunnah Wal Jama'ah



Ciri-ciri Khusus Dan Sifat Utama Ahlus Sunnah Wal Jama'ah (ASWJ )

Maka pehatikanlah adakah kalangan yang mempunyai ciri dan sifat seperti ini , ataupun kita sendiri sudah memenuhi ciri dan sifat-sifat sebegini...( ! ?)


AHLI SUNNAH WAL JAMAA’AH adalah golongan yang selamat dan kelompok yang dimenangkan oleh Allah SWT. Sekalipun ada perbezaan tingkat di antara mereka namun mereka mempunyai ciri-ciri khusus dan sifat-sifat utama yang membuat mereka berbeza dari golongan yang lain.

Antaranya:

(1)Menberikansepenuh perhatian dan meletakkan keutamaan kepada Kitab Allah dalam bentuk hafalan, bacaan dan tafsiran.

Di samping itu juga memberi perhatian kepada hadis dalam bentuk pengertian, pemahaman dan pemilihan yang sahih daripada yang dha’if.
Ini disebabkan karena keduanya merupakan sumber utama pengambilan, dan dengan disertai pengamalan terhadap ilmu yang telah diperolehi.


(2) Masuk ke dalam Islam secara menyeluruh, dan beriman kepada seluruh kandungan Kitabullah, iaitu mengimani seluruh nash yang berkenaan dengan janji (wa’d) maupun ancaman Allah (wa’iid).

Nash yang berkenaan dengan penetapan (itsbat) asma dan sifat Allah maupun yang berkenaan dengan penolakan (tanziih) hal-hal yang tidak layak bagiNya.

Mengimani takdir Allah serta menetapkan bahwa makhluk mempunyai keinginan dan kehendak dan dialah yang berbuat, sebagaimana mereka memadukan antara ilmu dengan ibadah, kekuatan dengan sifat kasih sayang, di samping itu juga mau berusaha dan bekerja tetapi tetap sederhana.

(3) Mengikuti sunnah, meninggalkan bid’ah dan menjauhkan diri daripada perpecahan serta perselisihan dalam agama.

(4) Mencontoh dan mengikuti jejak para tokoh kebenaran yang dapat dipercayai

Yang dicontoh adalah suri teladannya dalam ilmu, amal dan dakwah. Para tokoh kebenaran itu adalah para sahabat serta orang-orang yang mengikuti manhajnya (assalafus soleh). Di samping itu juga menjauhi orang-orang yang menyalahi jalan mereka.

(5) Mengambil jalan tengah (tawashuth), samada dalam pemahaman akidah maupun dalam amal serta tindak tanduk perlakuan.

Bersikap mengambil jalan pertengahan di antara golongan yang berlebihan dan golongan yang melalaikan, berada di antara orang-orang yang melampaui batas dan orang-orang yang bermalas-malas.

(6) Senantiasa menjaga kesatuan umat Islam di atas AL-HAQQ (kebenaran) dan mempersatukan barisan mereka di atas panji TAUHID dan ITTIBA’ (mengikut sunnah).

Di samping itu juga menjauhkan setiap faktor yang dapat menyebabkan pertentangan dan perselisihan di antara umat.

Atas dasar itu, maka mereka tidak memiliki ciri-ciri khusus atas umat dalam prinsip-prinsip agama kecuali dengan sebutan SUNNAH WAL JAMAA’AH. Mereka tidak memihak serta tidak memusuhi sesiapapun melainkan atas ikatan ISLAM dan SUNNAH.

(7) Berdakwah kepada Allah (bukan kepada kumpulan atau peribadi - sheikh atau ustaz ), melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar, berjihad dan menghidupkan sunnah, berusaha untuk TAJDID agama mengikut piawaian syariat serta menegakkan (dan berusaha menegakkan ) syari’at dan hukum Allah dalam segala urusan yang kecil maupun yang besar.

TAJDID iaitu membaharukan (mengembalikan kemurnian apa yang pudar atau tercemar ; sebarang pengurangan atau penambahan ) berkait aqidah dan pengamalan Islam dengan cara kembali berpegang kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah secara murni dan beristiqamah.

(8) Bersikap adil dan bijaksana dan senantiasa memperhatikan hak Allah, bukan hak peribadi atau golongan.

Oleh kerana itu, mereka tidak bersikap berlebih-lebihan terhadap orang yang memihak kepada mereka dan tidak pula berlaku zalim terhadap orang yang memusuhinya. Mereka tidak mengingkari kebaikan yang datang dari siapa saja.


(9) Kesatuan dalam pemahaman dan kesamaan dalam pandangan, sekalipun berjauhan tempat dan berbeza zaman. Inilah salah satu hasil dari kesatuan sumber dan pengambilan.

Paling penting kerana kesatuan yg tidak dibina atas kebenaran tidak akan berjaya malah akan meranap kembali kerana tidak ada persefahaman yang utuh.. Oleh sebab itu,kesatuan ummah itu adalah apabila sumbernya jelas dan pengambilannya juga tidak lari daripada rujukan yang shahih.


(10) Berbuat baik, berkasih sayang dan sopan santun terhadap seluruh umat manusia.

Sebagaimana dimaklumi bahawa Ahli Sunnah wal-Jamaah adalah serahmat-rahmat manusia dalam pergaulan sesama manusia dan sebaik2 manusia dalam membawa kebenaran..

(11) Ikhlas dan setia kepada Allah SWT, Kitabullah, Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam), pemimpin umat Islam dan seluruh kaum muslimin.[Addenu nasehah]


(12) Memperhatikan urusan umat Islam, membela kepentingannya dan melaksanakan hak-haknya. Mereka tidak melakukan tindakan yang menyakiti umatnya.

Mereka Ahli Sunnah sentiasa memperhatikan masalah ummah dan mengambil berat dengan apa yang berlaku tentang polemik dalam ummah, seterusnya berusaha mengubati dan menyelesaikan masalah tersebut dengan cara yang mujarab melalui Kitab & Sunnah mengikut panduan salaful ummah !! Mereka bukan menyelesaikan masalah mengikut emosi dan semangat juang,,akan tetapi melalui petunjuk wahyu..


Wallahu a'lam.. Segala Puji bagi Allah Taala

Sumber Asal drpd kitab : Mujmal Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah (Penerangan umum tentang aqidah ahli sunnah wal-jamaah oleh Syaikh Dr. Nasir bin Abdul Karim Al-Aql Hafizahullah)

credit to : Gomo Ppuah

Oleh Ustaz Abdullah Yasin dan ta'liq dan alih bahasa oleh Abu Urwah Al-Athari..


--------------------------------------------


No comments:

Post a Comment