Pages

Monday, June 20, 2011

LAYANAN NABI S.A.W. TERHADAP ADUAN ROGOL TANPA EMPAT SAKSI ....

Layanan Nabi s.a.w terhadap aduan rogol tanpa empat saksi




Dalam perundangan Islam, mangsa rogol yang membuat aduan dirinya dirogol seseorang, diberikan pembelaan. Nasibnya dibela. Aduannya itu diterima, diambil kira dan disiasat. Samada aduan yang dilakukannya itu disokong empat saksi, atau disokong bukti-bukti lain yang berwibawa, yang menunjukkan berlakunya kes rogol.


Justeru, tanggapan banyak pihak, seseorang mangsa rogol yang melaporkan bahawa seseorang merogolnya, tanpa mengemukakan empat saksi, telah melakukan kesalahan qazaf, adalah tanggapan yang nyata salah.


Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dalam Sunannya sangat jelas menunjukkan 'ketersasaran' tanggapan tersebut dari hakikat sebenar.

Hadis yang diriwayatkan oleh Alqamah bin Wa'il al-Kindi daripada ayahnya itu, seperti berikut :


عن علقمة بن وائل الكندي عن ابيه : أن امرأة خرجتْ على عهد رسول الله صلى الله عليه و سلم تريد الصلاة، فتلقاه رجل فتجللها فقضى حاجته منها فصاحتْ فانطلق ومر عليها رجل فقالتْ : "إن ذاك الرجل فعل بي كذا وكذا"، ومرت بعصابة من المهاجرين فقالتْ : "إن ذاك الرجل فعل بي كذا وكذا"، فانطلقوا فأخذوا الرجل الذي ظنتْ أنه وقع عليها، وأتوها فقالتْ : "نعم هو هذا"، فأتوا به رسول الله صلى الله عليه و سلم، فلما أمر به ليرجم قام صاحبها الذي وقع عليها فقال : "يا رسول الله، أنا صاحبها"، فقال لها : "اذهبي فقد غفر الله لك" وقال للرجل قولا حسنا وقال للرجل الذي وقع عليها : "ارجموه"، وقال : "لقد تاب توبة لو تابها أهل المدينة لقبل منهم".

Terjemahan :

Sesungguhnya [terdapat] seorang wanita telah keluar [dari rumahnya] pada zaman Nabi s.a.w [kerana] mahu [mengerjakan] solat [di masjid]. Lalu seorang lelaki menemuinya [di tengah jalan] lalu menindih dan merogolnya serta melempiaskan hajat [nafsu] nya.

Lantas wanita tersebut bertempik lalu perogolnya melarikan diri. [Selepas itu] seorang lelaki menemui wanita tersebut, lalu beliau berkata, "sesungguhnya lelaki itu telah melakukan ke atas ku [perkara] demikian [yakni merogolnya]".

Kemudian wanita itu bertemu pula sekumpulan orang-orang Muhajirin lantas berkata, "sesungguhnya lelaki itu telah melakukan ke atasku [perkara] demikian [yakni merogolnya]".

Lalu mereka terus beredar dan menangkap lelaki yang disangka oleh wanita itu bahawa dia yang telah memperkosanya, lantas mereka membawanya kepada wanita itu seraya dia berkata,"ya, dialah orangnya [yang telah merogolku]".

Mereka terus membawa lelaki tadi kepada Rasulullah s.a.w. Tatkala Baginda s.a.w memerintahkan supaya lelaki itu direjam, bangun seorang lelaki yang [sebenarnya] telah merogol wanita itu sambil berkata, "wahai Rasulullah, akulah orangnya [yang merogol wanita itu]".


Lantas Baginda s.a.w bersabda kepada wanita itu, "pergilah, sesungguhnya Allah telah mengampunkanmu". Baginda [seterusnya] berkata kepada lelaki [yang didakwa oleh wanita itu sebagai orang yang merogolnya] dengan kata-kata yang baik.

Seterusnya Baginda s.a.w bersabda kepada lelaki yang [mengaku] merogolnya, "rejamlah dia" sambil bersabda, "sesungguhnya dia telah bertaubat [kepada Allah] dengan taubat yang jika seluruh penduduk Madinah bertaubat seperti itu, nescaya diterima [Allah] daripada mereka [taubat itu]".

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam Sunannya dalam Kitab al-Hudud, bab Ma Ja'a Fi al-Mar'ah Iza Ustukrihat 'Ala al-Zina dan beliau berkata, “[hadis] ini hasan gharib sahih” (Sunan Tirmizi, jil.6, hlm.35).


Hadis ini turut direkodkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya dalam bab في صاحب الحد يجيء فيقر


Menurut al-Albani, hadis ini adalah hadis sahih dalam kategori Hassan kecuali sabda Baginda s.a.w yang berbunyi "rejamlah dia".

Menurut al-Albani, berdasarkan pendapat yang kuat, lelaki yang mengaku merogol itu tidak direjam (Lihat al-Jami’ al-Sahih Sunan al-Tirmizi, jil.4, hlm.56).


Layanan Nabi s.a.w terhadap mangsa rogol

Dalam hadis ini, Nabi s.a.w menerima aduan mangsa rogol yang mengadu bahawa dirinya dirogol seseorang, biarpun mangsa tidak mengemukakan 4 saksi.

Baginda s.a.w tidak juga menuntut mangsa mengemukakan 4 saksi yang menyaksikan kejadian rogol. Apatah lagi terus menjatuhkan hukuman qazaf ke atas mangsa disebabkan kegagalannya mengemukakan 4 saksi dalam aduannya itu.

Nabi s.a.w menerima aduan rogol oleh mangsa yang tidak disokong 4 saksi itu, kemudian melakukan siasatan. Siasatan yang dilakukan Baginda s.a.w mendapati mangsa benar-benar dirogol, iaitu dizinai secara paksa.

Justeru, mangsa dibebaskan dan tidak dikenakan hukuman qazaf biarpun hakikatnya beliau telah 'menuduh' seseorang melakukan zina terhadapnya (iaitu secara paksa) tanpa mengemukakan 4 saksi.

Sabda Baginda s.a.w kepada mangsa, "pergilah, sesungguhnya Allah telah mengampunkan mu", jelas menunjukkan bahawa mangsa tidak melakukan apa-apa kesalahan apabila melaporkan bahawa seseorang merogolnya tanpa membawa 4 saksi.


Aduan mangsa sebaliknya, hanya disokong oleh bukti-bukti lain yang berwibawa yang tidak disebutkan dalam hadis yang dinyatakan.

Lebih dari itu, Baginda s.a.w tidak juga mempersoalkan tindakan mangsa yang memberitahu dirinya dirogol seseorang kepada orang ramai, iaitu sebelum memaklumkannya kepada Nabi s.a.w selaku pihak berkuasa.

Baginda s.a.w tidak juga mengenakan apa-apa hukuman ke atasnya yang telah ternyata silap mengenalpasti perogolnya yang sebenar, sehingga mendakwa orang lain yang tidak bersalah sebagai orang yang merogolnya.

Inilah layanan 'istimewa' yang diberikan Nabi s.a.w kepada mangsa rogol seperti yang dinyatakan dalam hadis di atas.

Penegasan Imam al-Baji

'Ketidakmestian wujud 4 saksi dalam aduan rogol', dikuatkan lagi oleh Imam al-Baji, seorang ulama bermazhab Maliki. Beliau berkata (Al-Bāji, Sulaiman Ibn Khalaf (1999), al-Muntaqā Syarh Muwatto’ Mālik, Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, jld 4, hlm. 21) :

فإن لم يشهدا لها بالإكراه ولا باحتمالها مكرَهة والمغيب عليها ولكن جاءت متعلقة به وهي تدمى إن كانت بكرا أو لا تدمى إن كانت ثيبا وقد فضحت نفسها، ففي كتاب ابن المواز عن عبد الملك وغيره "لا تحد هي لما رمته به"

Terjemahan : "Jika kedua-dua orang [saksi] tidak melihatnya (iaitu wanita yang mendakwa dirogol) dipaksa [melakukan persetubuhan] dan [tidak juga menyatakan] kemungkinan dia dipaksa [melakukan persetubuhan], tetapi dia datang [kepada pihak berkuasa] sambil berpaut padanya (iaitu pada tertuduh) dalam keadaannya [kemaluannya] berdarah jika dia [seorang] gadis, atau [datang sambil berpaut pada tertuduh dalam keadaan] tidak berdarah jika dia seorang janda…maka dalam kitab Ibn al-Mawāz [yang memetik] daripada Abdul Malik dan [ulama-ulama] selainnya, [dinyatakan bahawa] “dia tidak dikenakan [hukuman] hudud (iaitu hukuman qazaf) disebabkan tuduhannya ke atasnya (iaitu tertuduh)".

Rumusan penting daripada kenyataan Imam al-Baji ini ialah mangsa rogol yang membuat aduan dirinya dirogol seseorang, dengan membawa bukti-bukti lain yang berwibawa selain 4 saksi, tidak dikenakan hukuman qazaf.


Proses siasatan aduan rogol

Jelasnya, Nabi s.a.w melayani aduan kes rogol oleh mangsa-yang tidak disokong 4 saksi-seperti Baginda s.a.w melayani aduan-aduan kes lain. Iaitu menerimanya jika ia disertakan dengan bukti-bukti yang berwibawa, dan seterusnya menyiasat kebenaran laporan yang dibuat. Bukannya terus mensabitkan pelapor dengan hukuman qazaf disebabkan aduan kes rogol yang dilakukannya tidak disokong 4 saksi.


Sebagaimana yang dapat difahami dengan mudah, tulisan ini adalah berkaitan dengan aduan rogol oleh mangsa rogol itu sendiri. Dalam erti kata lain, aduan zina secara paksa oleh mangsa sendiri yang tidak disokong 4 saksi.

Justeru, tidak perlulah mana-mana pihak 'mengkucar kacirkan' perbincangan tentang isu ini dengan memperkatakan tentang isu-isu lain yang tidak berkaitan.

Dengan keterangan hadis Nabi s.a.w dan kenyataan Imam al-Baji yang dinyatakan, adalah diharapkan isu samada mangsa rogol mesti mengemukakan 4 saksi ketika melaporkan dirinya dirogol, atau tidak perlu berbuat demikian, dapat dimuktamadkan.

Wallahu a'lam
Sumber: warisan- semasa
Post yang berkaitan :Karikatur tidak hina Islam

No comments:

Post a Comment