Pages

Saturday, August 20, 2011

LAILAT AL-QADR




إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِى لَيْلَةِ القَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَىكَ مَا لَيْلَةُ القَدْرِ (2) لَيْلَةُ القَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوْحُ فِيْهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (4) سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الفَجْرِ (5)

"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu ? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. ( Al-Qadr : 1-5)"

Pengajaran Ayat :

1. Berdasarkan ayat (1) di atas Al-Quran diturunkan pada malam Lailat Al-Qadr. Malam tersebut sangat mulia sehingga mendapat gelaran ( سَيِّدَةُ الَّيَالِي ) : Penghulu Semua Malam.

Ayat ini ditafsirkan oleh ayat (3) suarah Al-Dukhan:

( إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِى لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ ) :

Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Quran) pada malam yang diberkati.
Lailat Al-Qadr penuh berkat bermakna : pada malam itu ganjaran akan dilipat gandakan oleh Allah setiap amal soleh yang dilakukan oleh seseorang.

Berdasarkan ayat (3) diatas “Lailat Al-Qadr“ lebih baik dari 1000 bulan atau hampir 84 tahun. Sungguh istimewa ganjaran sesiapa yang memperolehi malam tersebut. Itulah sebabnya pertanyaan tentang malam tersebut menggunakan istilah (وَمَا أدْرَىكَ ) : Dan tahukah kamu ?

Menurut disiplin Ilmu Tafsir segala pertanyaan dalam bentuk tersebut : mesti membawa makna hebat dan istimewa ;

seperti ( وَمَا أَدْرَىكَ مَا القَارِعَة ) : Dan tahukan kamu apakah itu Hari Kiamat itu ?

( وَمَا أَدْرَىكَ مَا يَوْمُ الدِّيْنِ ) : Dan tahukan kamu apakah itu Hari Pembalasan itu ?


Kalau ( لَيْلَةُ ) maksudnya Malam, lalu apakah makna ( القَدْرُ ) ?

Ada tiga makna Al-Qadr

1. Kemuliaan ;

2. Sempit ;

3. Penentuan Taqdir.

1. Malam Kemuliaan ; Sungguh tepat jika malam tersebut dikatakan sebagai malam kemuliaan. Malam tersebut adalah malam yang diberkati Allah ( إنَّا أنْزَلْنَاهُ فِى لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ ) sebagaimana Allah SWT nyatakan tentangnya dalam ayat 3 Surah Al-Dukhan. Lihat Nota 038 : Nuzul Al-Quran. Ia digelar sebagai Penghulu Semua Malam. Segala yang bergelar penghulu pasti membawa makna istimewa dan hebat, sebagaimana istilah Penghulu Ayat Al-Quran untuk Ayat Al-Kursi ; Nabi Muhammad SAW Penghulu Semua Nabi dan Rasul ; Ramadhan Penghulu Semua Bulan ; Jumaat Penghulu Semua Hari dalam seminggu ; Hari Arafah Penghulu Semua Hari dalam setahun ; Jibrail Penghulu Semua Malaikat dan lain-lain. Oleh sebab itu, sesiapa yang menginginkan kemuliaan hendaklah bersungguh-sungguh mendapatkan Lailat Al-Qadr pada 10 Akhir Ramadhan.

2. Malam Yang Sempit ; Menurut bahasa Arab diantara makna perkataan ( القَدْرُ ) adalah sempit. Ini sebagaimana firman Allah : ( اللهُ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ ) : Allah meluaskan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki dan Dia (pulalah yang) menyempitkannya (Al-Ra’d : 26) ; Mengapa Malam Lailat Al-Qadr dikatakan sebagai malam yang sempit ? Sebanya ialah kerana pada malam itu sungguh banyak malaikat turun dari langit, sehingga tidak ada ruang dipermukaan bumi yang kosong melainkan diisi sepenuhnya oleh para malaikat. Hakikat ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya ( تَنَزَّلُ المَلَائِكَةُ وَالرُّوْحُ فِيْهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ ). Setiap tempat yang dipenuhi atau dihadiri oleh para malaikat pasti diberkati Allah SWT dan dijanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda.

Bandingkan antara fadhilat amalan yang dilakukan di rumah dengan di masjid ;

Mengapa majlis ilmu dikatakan sebagai Taman Syurga ; Kelebihan tersebut ada kaitannya dengan kehadiran malaikat yang sangat ramai ditempat-tempat tersebut. Jadi disebabkan oleh bilangan malaikat yang turun dari langit sangat ramai sehingga memenuhi permukaan bumi, maka setiap amal soleh yang dilakukan pada malam itu akan dilipat-gandakan oleh Allah SWT melebihi ibadat yang dilakukan 1000 bulan atau 83 tahun 4 bulan.


3. Malam Penentuan Taqdir ; Perkataan Al-Qadr mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan Taqdir. Menurut keyakinan kita bahawa setiap manusia sudah ditulis taqdirnya sejak azaliy, apakah yang baiknya atau yang buruknya.

Menurut Rasulullah SAW bahawa taqdir setiap manusia telah ditulis oleh Qalam (pen) atas perintah Allah SWT sejak 50.000 tahun sebelum Allah SWT mencipta langit dan bumi.


Sayogia dimaklumi bahawa Taqdir Manusia terbagi dua, iaitu :

1. ( تَقْدِيْر مُبْرَم ) : Taqdir Mubram dan

2. ( تَقْدِيْر مُعَلَّق ) : Taqdir Mu’allaq.


Taqdir Mubram : Taqdir yang pasti dan tidak akan berubah seperti setiap yang bernyawa pasti merasakan kematian.


Taqdir Mu’allaq : Taqdir yang tergantung. Taqdir jenis ini akan menimpa makhluk sesuai dengan masa atau ketika yang telah ditetapkan oleh Allah. Taqdir jenis ini boleh dirubah oleh Allah SWT atas permintaan manusia seperti memohon panjang umur, mohon hidup bahagia, mohon rumah tangga aman dan harmoni, mohon agar anak lulus peperiksaan dengan cemerlang dan lain-lain.

Hakikat ini tergambar dalam firman Allah :

( تَنَزَّلُ المَلَائِكَةُ وَالرُّوْحُ فِيْهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ ) :

"Turunlah para malaikat dan roh (Jibrail) pada malam itu dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur urusan manusia "
.
Jadi maksudnya : Pada Malam Lailat Al-Qadr para Malaikat akan menulis Taqdir Manusia dari jenis Taqdir Mu’allaq untuk setahun akan datang.


5. Atas sebab itulah sudah menjadi amalan tetap Rasulullah SAW beliau bersungguh-sungguh menekuni masjid atau I’tikaf selama 10 Akhir Ramadhan. Baginda SAW akan bangunkan ahli keluarganya untuk sama-sama beribadat kepada Allah SWT.

Masa inilah yang paling tepat jika kita ingin memohon kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Sila renung Nota berikutnya : I’tikaf 10 Akhir Ramadhan. Walaupun Rasulullah SAW banyak beribadat kepada Allah sepanjang tahun, namun pada 10 Akhir Ramadhan baginda SAW akan lebih bersungguh-sungguh lagi mendekatkan dirinya kepada Allah ‘Azza Wa Jalla.

Baginda SAW berbuat demikian, padahal baginda SAW telah dijamin masuk syurga. Bagaimana dengan kita ? Kita semua sebagai umatnya akhir zaman belum ada jaminan masuk syurga. Seharusnya kesungguhan kita beribadat kepada Allah, khasnya memohon kebaikan pada 10 Akhir Ramadhan melebihi kesungguhan Rasulullah SAW.

Antara doa yang diajar oleh Nabi SAW ialah : ( اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي ) : Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh sebab itu ampunkanlah dosa-dosaku.

Sesetengan ulama menyarankan agar kita selalu membaca doa ( اَللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ المُوَفَّقِيْنَ بِلَيْلَةِ القَدْرِ ) : Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang layak mendapat Lailat Al-Qadr.

NOTE : I’tikaf 10 Akhir Ramadhan bimbingan Ustaz Dr. Abdullah Yasin akan diadakan di Masjid Nahdhah Al-Diniyah – Kg. Malaysia Tambahan – Sg. Besi – Kuala Lumpur bermula hari ini 19hb Ogos hingga 28hb Ogos dengan ketentuan berikut : Setiap malam genap seperti malam ini 19hb Ogos/Ramadhan malam 20 Ramadhan bermula dengan qiyam pada jam 3.00 pagi hingga Subuh. Dan setiap malam ganjil seperti esok 20hb Ogos/ Ramadhan malam 21 Ramadhan bermula dari berbuka puasa Maghrib hingga Subuh. Makan minum selama program I’tikaf disediakan. Semua Muslim dan Muslimat dijemput hadir. Ingat ! Tiada jaminan setiap kita akan menemui Ramadhan akan datang. Oleh itu, jadikanlah Ramadhan tahun ini lebih baik daripada Ramadhan sebelumnya. Amin.


by Abdullah Yasin on Friday, August 19, 2011

No comments:

Post a Comment