Pages

Monday, September 19, 2011

Melabel Salafi Sebagai Literal : Upaya Mazhab Islam Liberal

"Reaksi Terhadap Artikel “Fenomana Literalis Agama”



Menanggapi Perbezaan Mazhab Fikir Islam


Islam itu sebenarnya satu. Kemudian ketika Islam bercambah ibarat cendawan selepas hujan, banyak manusia yang dahulunya tidak dididik oleh Rasulullah saw dan masih ada saki baki ajaran nenek moyangnya telah mencemarkan Islam yang mulia dengan beberapa tanggapan dan amalan baharu. Lebih parah apabila berlaku pergeseran politik dan hasutan dari Yahudi dan kaum munafik. Menjadikan Islam yang satu itu berpecah; berpencar-pencar.

Para sahabat dan murid mereka ; tabi’in menjadi kecil jumlahnya ketimbang kaum muslimin yang lain – yang masuk Islam berbondong-bondong dari ufuk Timur hingga ke Barat. Ketika itulah kaum Syiah menetapkan diri mereka sebagai Mazhab yang Benar dan memanggil mazhab sahabat sebagai Nawasib: kaum yang menyakiti Ahlul Bait. Malah sahabat dikafirkan dan dibolehkan untuk dibunuh.

Mazhab sahabat ini diteruskan oleh muridnya tabi’in; itba’ ut tabi’in. Ketika ini gedung penyimpanan ilmu terlarang ilmu kalam – dipecahkan Khalifah Makmun, anaknya Harun Ar Rasyid, dan pemikiran filsafat pun menerpa kedalam kalbu umat Islam. Lantas dibidankan Mu’tazilah, kemudian Jahmiyah, Qadariyah, Muatilah, Kulabiyah dan banyak lagi mazhab yang berputar kepada pemahaman filsafat.

Ketika inilah mereka mengatakan mazhab Sahabat sebagai sesat, penjisim Tuhan (Mujassimah), ahlil bid’ah dan ada yang mengkafirkan seperti kelompok Ahbash.

Namun Mazhab Sahabat atau dahulunya dikenal sebagai Ahlus Sunnah Wal Jamaah tidak memerlukan mereka sebagai lambang pengiktirafan terhadap kebenaran mazhab ini kerana mazhab ini bersambung sanadnya sehingga menuju kepada Rasulullah saw. Mata rantai ini begitu kokoh dan teguh serta tidak dapat dipungkiri oleh mereka semua.

Imam Barbahari menjelaskan hal ini dalam kitab aqidahnya:

Jika anda mendengar seseorang mengatakan “Si Fulan (Salafi) adalah seorang musyabihah” atau “Si Fulan berbicara tentang masalah tasybih (penyerupaan)”, maka dia (penuduh) adalah seorang Jahmiyah. Bila seseorang berkata “Si Fulan (Salafi) termasuk Nashibiyah (kaum yang menyakiti Ahlul Bait)” maka ketahuilah bahawa dia (penuduh) adalah Syiah Rafidhi” (Syarhus Sunnah)


Liberalisme Islam

Terbaru, kelompok Qutubiyyah mengatakan mazhab ini sebagai Salafi Zahiri. Penisbatan seperti ini tidak memberi kesan apa-apa kepada kebenaran Mazhab Rasulullah saw kerana mazhab ini sudah tahan diasak dan digasak. Telah berlalu 1000 tahun lebih percubaan untuk melabel dan menyesatkan mazhab ini namun kekuatan pedang hujjah yang Salafi miliki senantiasa menebas kubah alasan yang mereka bina.

Lantas saya katakana; jika ada seseorang yang mengatakan “Si Fulan mentafsir agama secara harfiyah (literal)” atau “Mereka adalah Salafi Literalis” maka ketahuilah bahawa penuduh adalah Islam Liberal.


Sebenarnya Qutubiyah ini adalah gabungan pemikiran filsafat Liberal dan gerakan Ikhwanul Muslimin yang berpusat di Mesir. Mereka bukan seperti Jaringan Islam Liberal (JIL) yang secara vokal memperjuangkan Liberalisme, namun mereka – Ikhwani dan Qutubiyyah – menggunakan cara yang cukup lembut untuk menegakkan paham Liberal tersebut. Walau terdapat perbezaan antara Ikhwani dan JIL namun mereka tetap berkongsi prinsip yang sama.

Islam Liberal atau “Islam Tanwiri” yang dikatakan sebagai Islam yang sejati menetapkan bahawa aqal menjadi neraca kepada kebenaran. Slogan mereka adalah “la sultana ‘ala al-’aql ill al ‘aql” (tidak ada otoritas terhadap akal kecuali akal sendiri). Maka mereka melakukan rombakan kepada prinsip memahami sumber epistimologi Islam sehinggakan di hujungnya adalah mereka menolak sumber Islam itu sendiri.



Dasar Islam Tanwiri meliputi tiga struktur yang paling utama iaitu:

[1] Liberalisasi Tauhid : ekualisasi dalam semua mazhab aqidah

[2] Liberalisasi Al-Qur’an : dekonstruksi kitab suci

[3] Liberalisasi Syariat Islam : kontekstualisasi ijtihad

Tiga perkara diatas terjadi lantaran cara mereka melihat eksistensi naqal tidak multak. Mereka beranggapan bahawa Al Qur’an itu diterjemah oleh Nabi Muhammad, mengikut konteks masyarat dan zaman tersebut. Dengan demikian Al Qur’an harus difahami bukan secara tekstual dan tradisional, sebaliknya mengikut tafsiran baharu. Seperti yang dinamakan oleh mereka sebagai kaedah Tafsir Kontekstual, Tafsir Hermeneutik, Tafsir Kritis dan Tafsir Liberal.

Kontekstual, Harmeneutika dan Kritis adalah metode tafsir yang berasal dari Yunani dan Nasrani yang berkembang pesat sebagai metode intepretasi Bibel. Diacak keatas Bible lantaran terdapat banyak percanggahan didalam Bible sehingga menimbulkan keraguan kepada penganut Nasrani, keraguan tentang keabsahan Bible sebagai Kitab Suci. Malah umum mengetahui bahawa Bible ditulis oleh banyak pengarang sehinggakan perlu wujud satu kaedah tafsir yang mampu memahami setiap maksud pengarang yang hidup dalam zaman yang berbeza dan kultur budaya yang berlaian.

Namun kedudukan Bible dan Al Qur’an sangat jauh bedanya, yang menyebabkan tidak mungkin untuk Al Qur’an ditafsir mengikut kaedah tafsiran Bible. Al Qur’an bukan perkataan Muhammad saw walaupun sebuah kalimat. Al Qur’an adalah perkataan Tuhan[Kalam Allah]. Nabi hanya membacakannya kepada para sahabat dan kemudian menjelaskan makna firman Tuhan tersebut, mengikut pemahaman yang Tuhan ajarkan kepada baginda, diistilahkan sebagai hadith.


Liberalisasi Terhadap Tafsiran Al Qur’an

Namun bagi kaum Liberal, walaupun Al Qur’an adalah Kitab Suci(KALAM ILAHI ), tetapi yang disampaikan adalah sebuah prosa sastera yang harus dipahami berdasarkan keadaan zaman, bukannya secara tekstual. Bagi mereka, Al Qur’an harus ditafsir secara historis:

Tokoh Islam Liberal Indonesia, Ahmad Wahib berkata: “Menurut saya sumber-sumber pokok untuk mengetahui Islam atau katakanlah bahan-bahan dasar ajaran Islam, bukanlah Qur’an dan Hadith melainkan Sejarah Muhammad. Bunyi Qur’an dan Hadith adalah sebagian dari sumber sejarah dari sejarah Muhammad yang berupa kata-kata yang dikeluarkan Muhammad itu sendiri. Sumber sejarah yang lain dari Sejarah Muhammad ialah: struktur masyarakat, pola pemerintahannya, hubungan luar negerinya, adat istiadatnya, iklimnya, pribadi Muhammad, pribadi sahabat-sahabatnya dan lain-lainnya.(Catatan Harian Ahmad Wahib, hal 110, tertanggal 17 April 1970).

Sementara itu Prof. Dr. M. Amin Abdullah, Ketua Majlis Tarjih Muhammadiyah, bekas rektor IAIN Jogjakarta berkata:
“Tafsir-tafsir klasik Al-Quran tidak lagi memberi makna dan fungsi yang jelas dalam kehidupan umat.”


Fazlur Rahman berkata:
“suatu masyarakat yang harus memulai hidup dalam kerangka masa lampau, betapa pun manis kenangannya, dan gagal menghadapi realiti kekinian secara jujur, dia pasti menjadi sebuah fosil; dan sudah merupakan hukum Tuhan bahwa fosil tidak tahan lama: “Bukanlah Kami berbuat zalim terhadap mereka, merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri” (Q.S. Hud/11: 101; al-Nahl/16: 33)”.


Dalam kitab Mafhum al-Nass (Penalaran Teks), Nasr Hamid Abu Zayd – seorang penulis Mesir – mengatakan bahawa Nabi Muhammad sebagai penerima pertama wahyu yang sekaligus penyampai teks. Teks tersebut terbit dari realiti masyarakat lokal di Makkah. Jadi Nabi Muhammad sebagai seorang penerima wahyu tidak bertindak sebagai seorang penerima pasif – menuturkan persis apa yang Allah tuturkan[?]. Sebaliknya Nabi Muhammad mengolah dustur ilahi tersebut menggunakan kepintarannya yang terikat kepada faktor sosi-budaya dan sejarah masyarakat Arab.


Bagi Islam Liberal, kaedah pentafsiran al-Qur’an oleh Ahlu Sunnah cukup jumud dengan membuat kesimpulan-kesimpulan berikut:

(1) Tafsir yang benar menurut Ahlu Sunnah adalah tafsir yang didasarkan pada pemahaman ‘ulama Salaf. Justeru Ahlu Sunnah menyusun sumber-sumber utama penafsiran al-Qur’an pada empat hal: penjelasan Rasulullah saw, sahabat, tabi’in, dan terakhir tafsir bahasa. Walhal perubahan zaman menyebabkan perubahan kultur budaya cara kehidupan sehinggakan tafsiran Ahlus Sunnah kelihatan kaku dan tidak realistic untuk diterjemahkan kepada zaman sekarang[?].

(2) Kesalahan yang mendasar pada tafsir Ahlu Sunnah ialah kerana mereka menterjemah “maksud teks” dan dalalah-nya dengan zaman nubuwah, risalah, dan turunnya wahyu. Kaedah ini bukan sahaja kesalahan pemahaman, tetapi juga merupakan suatu sikap yang bersifat keterbelakangan, anti kemajuan dan anti progresif.

Atas natijah ini, Al Qur’an perlu untuk ditafsir semula, dengan meninggalkan tafsiran tradisional yang tekstual – atau dalam sebutan lain adalah literal tetapi haruslah menuju kepada tafsiran yang lebih ilmiyah dan boleh dipertanggungjawabkan iaitu tafsiran secara kontekstual. Melalui tafsiran ini, Al Qur’an akan dilihat sentiasa relevan dan cocok dalam setiap zaman dan kondisi manusia.


Liberalisasi Terhadap Hukum Hadith

Menurut Fazlur Rahman dalam Islamic Methodology in History, – tokoh yang namanya dijadikan hujjah oleh mantan Mufti bagi membantah pemahaman Syeikh Muhammad At Tamimi – sunnah Nabi adalah sebuah konsep “Payung Umum” (a general umbrella concept) yang menafikan “kandungan khusus” yang bersifat spesifik. Semua hadith bersifat umum walaupun kelihatan khusus.

Kehujjahannya adalah secara teori dapat disimpulkan bahawa sunnah adalah sebuah “terma perilaku” (behavioral term) Rasulullah saw terlahir dari reaksi dengan masyarakat di zamannya. Sunnah Nabi merupakan “petunjuk arah” (pointer in the direction) kepada hidup beragama, bukannya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan secara pasti (an exactly laid-out series of rulers).

Oleh karena di dalam praktiknya tidak akan maujud dua buah kasus yang benar-benar sama secara latar belakang, secara moral, psikologis dan material. Maka sunnah tersebut wajib diinterpretasikan dan diadaptasikan mengikut kontek sesebuah zaman dan masyarakatnya.

Lantaran itu Fazlur Rahman mendatangkan sebuah teori dalam memahami Sunnah, yang dinamakan sebagai Tafsir Situasional.

Untuk ini Kaum Muslimin harus melakukan semakan semula terhadap aneka ragam unsur-unsur di dalam hadith dan melakukan pentafsiran semula (reinterpretasi) dengan sempurna terhadap hadith, sesuai dengan kondisi-kondisi moral-sosial yang sudah berubah pada masa kini.

Upaya ini hanya dapat dilaksanakan melalui pendekatan historis dalam studi hadith yang bermaksud mengembalikan hadith menjadi “sunnah yang hidup”. Dengan demikian, penafsiran situasional merupakan kombinasi pendekatan historis dengan pendekatan sosiologis.

Kerangka pendekatan historis dalam “penafsiran situasional” ini digubal dengan beberapa tahapan sebelum sebuah hadith berjaya menjadi “sunnah yang sentiasa segar”:


(1) Memahami makna teks hadith dan memahami latar belakang situasionalnya: memahami situasi Nabi dan masyarakat pada fasa kenabian secara umum (asbab al-wurud makro) dan juga memahami sebab-sebab munculnya hadith (asbab al-wurud mikro).

(2) Memahami petunjuk-petunjuk al-Qur’an yang berkaitan, yang pembicaraannya bersangkutan dengan makna hadith tersebut. Dari langkah ini sebuah hadith dapat dipahami dan dibedakan antara (a) nilai-nilai nyata dan (b) sasaran hukumnya (ratio legis) serta dengan demikian dapat dipahami prinsip idea moral dari hadith tersebut.

(3) Pembinaan kembali hukum hadith, iaitu melalui prinsip idea moral yang telah difahami tadi, sebuah hadith diaplikasikan dan diadaptasikan dalam latar sosiologis saat ini. Ketika ini, waki’ (situasi zaman sekarang) harus benar-benar dimengertikan sebelum pembinaan hukum baharu terhadap hadith dikeluarkan.


Liberalis Menuduh Sunni Sebagai Literalis

Lanjutan dari itu seorang tokoh Liberalis, Al-Nai’im telah mengajak umat Islam menyemak semula hukum mualamat kerana ‘ulama fiqh memahami teks hadith secara literal, al-Na’imi berkata:

“...have shown that Syari’a was infact constructed by Muslim jurists over the first three centuries of Islam. Although derived from fundamental divine sources of Islam, the Qur’an and Sunna, Syari’a is not divine because it is the product of human interpretation took place within a specific historical context which is drastically different from our own. It should therefore be possible for contemporary Muslims to undertake a similar process of interpretation and application of the Qur’an and Sunna in the present historical context to develop an alternative public law of Islam which is appropriate for implemantation today.(Abdull al-Na’im, Towards an Islamic Reformation, 1989, ms. 186).


Begitu juga tokoh yang telah kita bahas diatas, Nasr Hamid Abu Zayd, berkata dalam Naqd al-Khitab al-Dini (Dekontruksi Wacana Keagamaan) bahawa gelombang tajdid (kebangkitan Islam) yang disebut-sebut selama ini telah menghasilkan golongan yang membaca teks agama secara kaku dan literal (harfiyyah), bahkan sampai pada tahap pentakdisan, pensakralan serta pengingkaran terhadap tabi’at manusia dan sejarahnya.

Nada yang sama berlaku seperti yang dibicarakan oleh Ridwan al Makasari dalam Terorisme Berjubah Agama, yang kemudiannya artikel ini disunting oleh Al Mustaqeem M. Radhi sebagai(menjadi ) Bercakap Atas Nama Tuhan:

“… yang mengubah aliran tersebut (pemahaman Jamaluddin Al Afghani dan Muhammad Abduh) dari gerakan liberal menjadi literal, konservatif dan tertutup” (Bercakap Atas Nama Tuhan, ms 16)

Walhal Ahlus Sunnah tidak mengiktiraf kedua tokoh diatas lantaran[?]. Hanya sahaja masyarakat umum berpendapat bahawa Al Afghani dan Abduh sebagai Salafi kerna seruan mereka adalah pembaharuan. Tetapi pada hakikatnya pembaharuan yang mereka impikan adalah taqrib kepada Barat, serta aqidah yang mereka bawa adalah aqidah yang berkecamok.


Ekualisasi Tauhid Dan Mazhab Pemikiran

Ketika mana kedua sumber utama dalam epistimologi Islam telah diruntuhkan melalui tafsiran historis dan sosialogis sekaligus segala hukum yang terbina daripada kedua sumber tadi pun runtuh serentak. Segala hukum yang bertabrakan harus dibina sesuai dengan kontek zaman dan masyarakat setempat.


Yang paling utama untuk disusun semula adalah hukum Aqidah dan Tauhid. Perbicaraan seputar hidup berTuhan dan bersyariat; apakah Islam memusuhi manusia yang tidak menganut Islam dan apakah seorang Sunni harus menyesatkan seorang Syiah, Khariji, Mu’tazili, Qadari, Ikhwani, Sufi dan seterusnya.

Persoalan itu ditangani oleh kaum Liberalis dengan menetapkan bahawa Islam tidak memusuhi agama-agama lain yang dianut oleh manusia. Islam bagi mereka cukup bersifat harmonis dan toleransi sehingga bersedia untuk meraikan kewujudan agama lain.

Nurcholis Madjid – murid kepada Fazlur Rahman – menyatakan: “Rasanya toleransi agama hanya akan tumbuh diatas dasar faham kenisbian (relativisme) bentuk-bentuk formal agama ini dan pengakuan bersama akan kemutlakan suatu nilai yang universal, yang mengarah kepada setiap manusia, yang kiranya merupakan inti setiap agama” [Nurcholis Madjid : 239]

Alwi Shihab berkata: “Prinsip lain yang digariskan oleh Al-Qur’an adalah pengakuan eksistensi orang-orang yang berbuat baik dalam setiap komunitas beragama dan dengan begitu, layak memperoleh pahala dari Tuhan. Lagi-lagi, prinsip ini memperkokoh idea mengenai pluralisme keagamaan dan menolak eksklusifisme. Dalam pengertian lain, eksklusifisme keagamaan tidak sesuai dengan semangat Al-Qur’an. Sebab Al-Qur’an tidak membeda-bedakan antara satu komunitas agama dari lainnya[?].” (Islam Inklusif ; Menuju Sikap Terbuka dalam Beragama).

Sumanto Al-Qurtuby mengatakan: “Jika kelak di akhirat, pertanyaan di atas diajukan kepada Tuhan, mungkin Dia hanya tersenyum simpul. Sambil menunjukkan surga-Nya yang Mahaluas, di sana ternyata telah menunggu banyak orang, antara lain; Jesus, Muhammad, Sahabat Umar, Gandhi, Luther, Abu Nawas, Romo Mangun, Bunda Teresa, Udin, Baharudin Lopa, dan Munir!” (Lubang Hitam Agama).

Lantas Abdul Munir Mulkhan menimpali dengan berkata: “Jika semua agama memang benar sendiri, penting diyakini bahwa surga Tuhan yang satu itu sendiri terdiri dari banyak pintu dan kamar. Tiap pintu adalah jalan pemeluk tiap agama memasuki kamar surganya. Syarat memasuki surga ialah keikhlasan pembebasan manusia dari kelaparan, penderitaan, kekerasan dan ketakutan, tanpa melihat agamanya. Inilah jalan universal surga bagi semua agama. Dari sini, kerja sama dan dialog pemeluk berbeda agama jadi mungkin.” (Ajaran dan Jalan Kematian Syekh Siti Jenar).[?]

Mereka semua mengisyaratkan bahawa Islam meredhai wujudnya pelbagai agama dan menerima agama-agama tersebut dengan tangan terbuka. Sikap ini ditandakan sebagai pluralism – penerimaan kepelbagaian kepercayaan. Malah [bagi mereka ] pluralism ini adalah ketentuan Ilahi kepada umat ini.

Nurcholis Madjid menyimpulkan: “Jadi, pluralisme sesungguhnya adalah sebuah aturan Tuhan (sunnatullah) yang tidak akan berubah, sehingga juga tidak mungkin dilawan atau diingkari.” (Islam Doktrin Dan Peradaban).


Pluralisme Dalam Menyikapi Mazhab(sikap Pluralisme terhadap MAZHAB)


Begitu juga bahawa seorang Salafi tidak harus memusuhi dan membid’ahkan mazhab Khalaf. Kerana Islam tidak diturunkan oleh Allah untuk mencipta persengketaan dan perpecahan. Islam yang dikatakan sebagai “Rahmatan lil Alamin” tidak wajar bersifat inklusif dan arnakis sebaliknya harus bersifat humanis dan menghormati setiap buhul iman yang dianut manusia[?].

Sikap pluralisma antara mazhab ini adalah setingkat bawah daripada pluralisma antara agama. Kerana mazhab Islam Liberal itu pun bertingkat-tingkat; ada yang mengamalkan liberalisma secara parsial (juz’i) dan ada yang secara multak (kulli).


Hal ini dapat difahami sekiranya kita menelusuri sejarah Islam Liberal sejak Rifa’ah Rafi’ al-Tahtawi (Mesir, 1801-1873), Shihabuddin Marjani (Rusia, 1818-1889) dan Ahmad Makhdun (Bukhara, 1827-1897) memasukkan mata pelajaran sekuler ke dalam kurikulum pendidikan Islam sehinggalah lahirnya Rachid Ghannouchi, Fatima Mernissi, `Ali Shari`ati, Muhammad Iqbal, Mohamed Arkoun, Nurcholish Madjid saat ini.


Mereka berbeza dari segi tahap liberal yang diperjuangkan namun pemikiran mereka bersumber kepada asas yang sama iaitu pentafsiran semula naqal menerusi nalar yang sesuai dalam kontek zaman dan masyarakat.


Muhammad al Ghazali mengatakan: “Para da’i umat Islam, baik salaf maupun khalaf seharusnya berpegang pada metodologi al-Qur’an dalam memaparkan persoalan-persoalan aqidah. Mereka hendaknya menyibukkan diri dengan mengemukakan upaya-upaya solusi Islami bagi problem-problem masa kini serta krisis-krisis moral dan materiil yang muncul.

Sebab, itulah sebenarnya yang telah dikerjakan oleh generasi Salaf yang pertama, sehingga hal itu sangat membantu bagi penaklukan-penaklukan negeri-negeri Timur dan Barat.

Adapun orang-orang yang kini menyibukkan diri dengan mengumandangkan perang melawan Jahmiyah, Mu’tazilah dan Asy’ariyah, makajadilah mereka hanya memelihara kemenangan di medan yang tidak ada musuhnya, kemenangan dalam khayalan belaka dan tidak akan memperoleh apa-apa kecuali bayangan saja…” (Humum ad-Da’iyah).


Lantas Muhammad Al Ghazali yang merupakan guru serta teman Dr Yusuf Al Qaradhawi mengajak agar meneliti seluruh fiqh mazhab sesat sebelum membangunkan sebuah hukum fiqh :

“Sesungguhnya hal pertama yang terbaik adalah mempelajari nash-nash semuanya, kemudian mempelajari semua pendapat fikih yang diwariskan dari empat imam madzhab yang masyhur serta dari ahli-ahli fikih kontemporer lainnya, juga dari Khawarij, Zaidiyah, Syi’ah Imamiyah (Kafir), Zhahiriyah dan seterusnya. Dengan catatan bahwa studi perbandingan ini harus bebas mutlak dan sesudahnya harus diperbolehkan bagi seorang Muslim manapun untuk memilih apa yang disukainya dari pendapat-pendapat fikih di atas, atau kalau tidak, memegangi sikap taklid kepada seorang mujtahid tertentu”.


Usaha ini lahir dari imijinasi beliau agar citra ijtihad semakin hampir kepada kebenaran dan sesuai dengan zaman. Namun usaha yang beliau sarankan hakikatnya adalah sebuah cara untuk menghancurkan sunnah dan merosakkan hakikat.


Sebenarnya pluralisma telah dilakukan oleh pengasas Ikhwanul Muslimin sendiri.
Hassan al Banna pernah berkata: “Dakwah Ikhwanul Muslimin tidaklah ditujukan untuk melawan satu aqidah, agama, ataupun golongan, karena faktor pendorong perasaan jiwa para pengembang dakwah jama’ah ini adalah berkeyakinan fundamental bahwa semua agama samawi berhadapan dengan musuh yang sama, iaitu atheisme”. (Qafilah Al-Ikhwan As-Siisi 1/211)


Musthafa As-Siba’i, seorang tokoh Ikhwani berkata:

“Islam bukanlah agama yang memerangi agama Nashrani bahkan mengakui dan memuliakan agama Nashrani.. Islam tidak membezakan antara muslim dan Nashrani. Islam tidak memberikan hak lebih terhadap muslim atas hak Nashrani dalam kedudukan di pemerintahan…”[?]


Hasan At Turabi (Pimpinan Front Islam Nasional – Sudan) dalam kasetnya Ta’dilul Qawanin mengatakan: “Boleh bagi seorang muslim untuk menjadi seorang Yahudi atau Nashrani.



Dr Yusuf Qaradhawi Menganut Islam Liberal


Dr. Yusuf Qardhawi– tokoh Ikhwanul Muslimin yang disanjung oleh Dr Asri, Mantan Mufti Kerajaan BN – terbukti beberapa kali dia menghadiri seminar-seminar yang membahas idea pluralis, seperti seminar di Libya tentang “Islam Dan Kristian” pada tahun 1976, seminar di Sudan dengan tema “Teologi Pluralis Dan Dialog Lintas Agama” pada tahun 1994, dan selainnya. (Ushul Wa Qawa’id dan Raf’ul Litsam)


Dr Yusuf Qardhawi berkata: “Kami memerangi orang-orang Yahudi bukan kerana urusan aqidah akan tetapi kerana urusan tanah. Kami memerangi mereka bukan kerana statusnya sebagai orang-orang kafir akan tetapi keran mereka merampas .” (Surat Kabar Ar- Rayah Qatar edisi 4696 25 Januari 1995. Lihat Al-Quthbiyyah Hiyal Fitnah Fa’rifuha hal. 207)

Beliau juga berkata: “Dari pihak kami, kaum muslimin bersedia untuk mengadakan pendekatan agama. Yang penting pada pihak lain, adanya semangat seperti yang ada pada diri kami…. Mereka sewajarnya melakukan pendekatan serupa dengan pendekatan yang kita lakukan terhadap mereka”

Beliau berkata tentang berbilangnya agama: “Apabila kita membolehkan banyak agama…. mengapa tidak dalam satu agama atau satu peradaban mencakupi lebih dari satu aliran pemikiran? Tiada larangan dalam hal ini, yang penting sentiasa ada gesaan dan keserasian kerjasama yang mampu menampung semua”

Beliau juga berkata: “Sesungguh luas kehidupan itu meliputi agama peradaban dan kebudayaan. Dan sesungguh keberagaman ini termasuk dari maslahat manusia tidaklah bertolak belakang dengan kemaslahatan manusia. maka tidak bisa dipaksakan hanya ada satu peradaban dan satu agama saja di dunia ini.

IIIT (International Institute for Islamic Thought) yang berpangkalan di USA dan Malaysia selalu menerbitkan pemikiran Dr Qaradhawi lantaran Dr Yusuf Al Qaradhawi banyak mempengaruhi pertubuhan tersebut. IIIT merupakan organisasi Islam yang menyebarkan pemikiran-pemikiran Islam Liberal kepada umat Islam. IIIT sebenarnya merupakan cabang gerakan kepada Ikhwanul Muslimin. Ini dinyatakan sendiri oleh Ikhwanul Muslimin dalam web mereka, The Global Muslim Brotherhood Daily Report.


Dekonstruksi Terhadap Hukum Politik

Pendedahan diatas membuktikan bahawa Ikhwanul Muslimin berkedok dalam jubah Islam Liberal semenjak penubuhannya. Diteruskan oleh para pejuang dan para ulama’nya sehingga hari ini. Lantas para pemuja dan pengikut Ikhwanul Muslinin sedikit sebanyak akan iterjangkit dengan pemaham Liberalis tersebut.


Ini dapat dilihat dalam artikel para pendokong BERSIH 2 yang berlaku baru-baru ini. Baca dan nilailah kaedah penghujahan mereka. Cermatilah cara mereka mentafsir hadith dalam memperkaitkannya kepada kaedah kontekstual dan moral.

Saat ini pasti kita akan dapat melihat secara jelas bahawa manhaj yang mereka tempuh – pendokong BERSIH – dalam memahami hadith adalah menggunakan manhaj Islam Liberal, seperti yang diciptakan oleh Fazlur Rahman.


Kerana itu tidak syak lagi apabila Dr Asri Zainul Abidin, Mantan Mufti Negeri Perlis, Kerajaan Barisan Nasional, menggunakan Fazlur Rahman bagi membantah pemahaman Salafi. Beliau berkata:

“bak kata Fazlur Rahman ‘konsep kefahman al-Imam Ibn Taimiyyah’ itu menjadi sempit jika dilihat dari huraian al-Imam Muhammad bin Abdul Wahhab”

Maka, adalah sangat mustahil seorang Ahlus Sunnah akan mengambil pemahaman Fazlur Rahman dalam melihat tatanan politik serta melabel Sunni sebagai Literalis. Melainkan dia adalah sebahagian dari mazhab Fazlur Rahman, atau dia menganut mazhab pluralisma Muhammad Al Ghazali.

Saya menyerahkan penilaian ini kepada para pembaca. Gunakan maklumat yang saya nyatakan diatas, tentang kaedah pentafsiran Islam Liberal terhadap Al Qur’an dan Hadith, kemudian bandingkan kaedah penghujahan pendokong BERSIH.


Kita ambil contoh ucapan mereka dalam menghalalkan demontrasi jalanan:

“Antara yang dibaca dan disebarkan dalam mempertahankan para pemerintah dan menghalang rakyat melakukan kritikan –sekalipun aman- ialah hadis Huzaifah r.a:

“Akan ada selepasku para pemimpin yang berpetunjuk bukan dengan petunjukku, bersunnah bukan dengan sunnahku, dan akan bangkit dalam kalangan mereka lelaki-lelaki yang jantung hati mereka seperti jantung hati syaitan dalam tubuh insan”. Kata Huzaifah: “Apa yang patut aku lakukan wahai Rasulullah, jika aku mendapati keadaan itu?”. Jawab baginda: “Dengar dan taat kepada ketua, sekalipun belakangmu dipukul, hartamu diambil, dengar dan taatlah” (Riwayat Muslim).


Hadis ini dijadikan hujah, sehingga ada yang berkata ‘jika pemerintah membunuh kaum-keluarga saya pun, saya tidak akan mendakwa pemerintah di mahkamah dunia’.

Saya tidak dapat bayangkan jika semua orang Islam faham seperti itu, maka bermaharaja lelalah para pemerintah dunia Islam, menindas mereka. Tidak boleh dibantah bahkan tetap taat. Ketika dunia berusaha mempertahankan hak asasi manusia agar tidak dicemar, tiba-tiba kita pula menarik umat ke belakang dengan tafsiran yang literal seperti itu.

Bayangkan jika seorang yang baru hendak mengenali Islam dihidangkan dengan kefahaman seperti itu, bagaimanakah mungkin beliau ingin melihat keindahan Islam dan keadilannya? (http://drmaza.com/home/?p=1467)

Kita harus memberi fokus kepada (1) hadith yang menjadi pertikaian, (2) tuduhan bahawa pemahaman Sunnah akan menarik umat ke belakang, (3) pelabelan sebagai literalis serta (4) rasional untuk member tafsiran baharu kepada hadith tersebut.


Melalui empat perkara ini kita akan membuat penelitian secara ringkas, apakah perkataan ini sejalan dengan mazhab Islam liberal atau tidak. Inilah yang kita ingin buktikan.

Kalau mengikut pengamatan saya, perkara (2) dan (3) yang dilontarkan oleh penulis adalah sambungan lidah kaum Liberal. Saling tidak tumpah seperti perkataan tokoh mereka yang telah saya nukilkan diatas.

Sedangkan melalui kaedah pendekatan historis oleh Fazlur Rahman dapat disimpulkan bahawa penulis telah berusaha untuk menggunakan etika moralis dalam memahami kontek hadith Huzaifah. Ini dinyatakan langsung oleh beliau dengan “Bayangkan jika seorang yang baru hendak mengenali Islam dihidangkan dengan kefahaman seperti itu, bagaimanakah mungkin beliau ingin melihat keindahan Islam dan keadilannya?”.

Malah beberapa kontekstual atau situasional yang lain dinyatakan bersama seperti: “Jangan bawa tafsiran zaman Abbasiyyah ke zaman yang sudah berubah”. Kenyataan seterusnya sangat jelas menunjukkan penafsiran situasional apabila situasi sesebuah masyarakat serta pola sosiologis dijadikan pedoman dalam pembinaan hukum berdasarkan hadith:

“Hadis tentang taat dan patut sekalipun dirampas harta dan dipukul itu, ia merujuk kepada keadaan di mana jika penentangan dilakukan akan menyebabkan kerosakkan yang lebih besar seperti pemerintah akan membunuh atau memusnah orang lain yang tidak bersalah sedang kita tidak mampu memberikan sebarang kesan kepada mereka. Ini terutama di zaman dahulu yang terkenal dengan penumpahan darah.”


“Namun, apabila dunia berubah. Negara-negara terikat dengan peraturan antarabangsa mengenai hak asasi rakyat. Juga, apabila negara-negara itu meletakkan dalam perlembagaan mereka tentang hak-hak rakyat, dalam ertikata lain membantah pemerintah dalam negara demokrasi aman itu adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap menentang negara kerana diiktiraf dan dijamin oleh perlembagaan negara dan persetujuan antarabangsa. Maka, konteks hadis sudah berbeza. Islam bukanlah agama yang memberikan lesen kepada pemerintah untuk berbuat apa sahaja dan rakyat wajib mendiamkan diri. Jangan bawa tafsiran zaman Abbasiyyah ke zaman yang sudah berubah”.


Penulis menjadikan situasi dan sosio-budaya sebagai alasan untuk memberi tafsiran baharu kepada hadith. Beliau merasakan bahawa tafsiran ulama’ Sunnah agar mentaati penguasa zalim dan larangan untuk melepaskan bai’at kepada mereka selagimana mereka Muslim, merupakan tafsiran yang tidak sesuai dengan konteks zaman ini. Inilah yang dinamakan sebagai kontekstual – melihat kepada tujuan teks. Akhirnya kata kunci untuk menolak pentafsiran kaum fundamental (sunni) adalah kontekstuan dan situasional!


Jelas bahawa kaedah ini berupa kaedah Islam Liberal yang digunakan untuk merosakkan seluruh binaan Islam, atas slogan tajdid dan “menghidupkan sunnah di zaman ini”. Slogan yang sama dipakai oleh Muhammad Abduh, Fazlur Rahman, dan para Liberalis hari ini.


Walhal jika kita mencermati dengan iman yang benar, pasti kita akan dapati bahawa hadith Huzaifah tersebut dengan jelas menunjukkan Rasulullah saw sedang memberi gambaran zaman akan datang serta solusi kepada umat mendatang. Zaman yang tidak akan beliau lalui, sebaliknya zaman dimana kita berada sekarang ini. Kerana itulah beliau berkata “Akan ada selepasku”.


Apa yang Nabi nyatakan adalah kewajiban rakyat untuk membimbing penguasa yang zalim, tidak mencela mereka, menasihati mereka secara sembunyi[?], mendoakan kebaikan mereka agar nantinya Negara akan menjadi baik, serta jika mahu keadilan maka menuntut dengan baik dan mengikut saluran yang ditunjukkan.

Bukan disini untuk saya mengkoreksi artikel Fenomena Literalis Agama tulisan Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin, Mantan Mufti Negeri Perlis, Kerajaan Barisan Nasional. Sebaliknya sahabat saya – Abu Numair Nawawi Subandi, Ketua Biro Penerbitan ILMU – insyaallah akan membantah tulisan yang mengandungi banyak syubhat tersebut.

Tujuan saya sekadar memberi gambaran kepada umum bagaimana kaum Liberalis mentafsir agama dan kaitannya dengan artikel tersebut.


Semoga usaha saya membabat habis pemikiran Liberalisme dan menjulang mazhab Ahlus Sunnah, akan diganjari pahala oleh Allah serta akan dihitung sebagai amal kebajikan.

Reaksi Terhadap Artikel “Fenomana Literalis Agama”

Oleh Abu Amru Mohd Radzi Bin Othman

Tim. S/U Seketeriat Ulama’ Muda UMNO (ILMU)
sumber: loluconagama.wordpress.com

No comments:

Post a Comment