Pages

Monday, September 19, 2011

Menangani Penyelewengan Fakta Sejarah



Menangani Penyelewengan Fakta Sejarah




Betapa ramai umat Islam dari dahulu hingga kini beriman bahawa Tsa’labah radhiyallahu ‘anhu adalah seorang sahabat yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya setelah Rasulullah S.A.W. mendoakan agar dia menjadi hartawan.

Disebutkan dari lidah para penceramah dan para pengkhutbah bahawa seorang sahabat yang hanya memiliki sehelai pakaian yang sempurna akan bergegas pulang ke rumah setelah selesai solat berjamaah. Tujuannya hanya untuk membolehkan isteri tercinta menyarung pakaian tersebut untuk mendirikan solat.

Disingkatkan kisah, setelah harta beliau melimpah ruah, perasaan kikir menyelinap ke dalam kalbu. Beliau enggan untuk mengeluarkan zakat sehinggalah zakatnya ditolak Rasulullah walaupun telah insaf. Ini berterusan sehingga zaman Khalifah ‘Utsman B. ‘Affan radhiyallahu ‘anhu. Akhirnya beliau mati dalam keadaan menanggung dosa. Mati dalam hina. Jadilah dia sahabat yang menyeleweng.

Walhal jika kita cermati kisah yang bersumber dari pensejarahan Islam yang tulen, ternyata cerita tersebut berupa sebuah dusta ke atas sahabat baginda. Bukan Tsa’labah sahaja yang ditohmah malah terdapat sekian banyak sahabat yang disesatkan malah dikafirkan oleh para munafik dan penjahat agama.

Para munafik ini berkeinginan agar dasar agama Islam akan luluh satu persatu, kerana mereka mengetahui bahawa asas Islam itu adalah bersumberkan dari para sahabat. Lantas sekiranya para sahabat dicacatkan dan disesatkan malah dikafirkan, natijahnya Islam boleh dirombak dan dibentuk mengikut kemahuan mereka.

Ilmu Hadis Sebagai Benteng Penyelewengan

Namun tipudaya mereka ini tidak kesampaian lantaran Allah sentiasa mengukuhkan sebuah kaum yang jumlahnya kecil sehinggakan disebut sebagai “ghuraba” (kaum yang cukup asing) untuk menjaga kemurnian Islam. Kaum yang asing ini akan terus maujud sehingga langit dilipat pada akhir zaman. Amanah yang mereka bebani akan terus dipindahkan dari satu generasi kepada generasi seterusnya tanpa terputus. Merekalah yang disebut sebagai Ahlul Hadits wal Atsar.

Apa yang mereka wariskan itulah hadis dan atsar; yang menjadi dasar epistimologi Islam. Mengekori peredaran waktu, dibangunkan pula sebuah disiplin ilmu khusus untuk menjaga keabsahan dan keautentikan hadis dan atsar ini, agar kedua sumber ini tidak terkontaminasi sehingga sumber hukum Islam terseleweng. Disiplin ilmu ini sangat ketat dan cabang-cabangnya sangat banyak.

Walaupun telah terjaga dasar hukum Islam dengan adanya para Ahlul Hadith di setiap zaman, dibukukan kitab-kitab hadith, tersebarnya kitab-kitab sejarah yang sahih, namun oleh kerana jumlah umat Islam yang terlalu besar menyebabkan ramai dari kita tidak mendapat sumber yang sahih. Ditambah dengan kemalasan untuk menuntut ilmu, malah lebih parah apabila kita menjulang sikap taqlid buta, menyebabkan kita tertipu dalam hal agama.

Natijahnya, banyak dari para sahabat yang kita calarkan kehormatan mereka. Kita katakan Muawiyah B. Abi Sufyan sebagai penjahat. Kita dendangkan bahawa Amru al-Ash sebagai “putar alam”. Kita kalungkan “lelaki menderhakai ibu” kepada Alqamah sehingga sukar mati.

Maha Suci Allah dari tuduhan-tuduhan hina ini. Sesungguhnya mereka (para sahabat) merupakan manusia yang telah Allah takdirkan untuk menjadi teman Kekasihya-Nya, berjuang dan berkorban bersama sehingga menjadikan batang tubuh mereka sebagai galang ganti nyawa Rasul-Nya. Mereka ditarbiah langsung oleh Rasulullah S.A.W. dan mereka akan ditegur dari atas ‘Arsy sekiranya mereka berbuat salah.

Sejarah Palsu Disebar Oleh Para Pemuka

Kalaulah begitu pasti bidang sejarah yang lain juga telah mengalami pembauran antara fakta dan praduga. Terutama sekali pada “tafsiran sejarah” kerana seperti kata Herodotus bahawa “sejarah adalah milik kaum yang menang”. Sesiapa yang memiliki lidah di dada akhbar, atau media massa yang lain, atau mempunyai gelar “sejarahwan” atau “pakar”, dia mampu untuk berkata semahunya tanpa ditanyakan “mana dalil yang tuan bicarakan itu?”

Lebih berbahaya apabila para penceramah yang tidak mengetahui ilmu-ilmu Islam dibenarkan angkat bicara di atas mimbar. Bicara mereka selalunya akan mengherotkan wajah Islam dan sering menyampaikan berita yang diragukan. Namun walaupun berita itu kadangkala tidak masuk dek akal, tetapi oleh kerana penyampainya orang ternama, kita bulat-bulat menelan berita “aneh” tersebut dengan sebuah keimanan “bahawa mustahil si fulan berdusta”.

Selang beberapa waktu, datang orang lain menerangkan bahawa berita aneh tersebut adalah palsu. Khabar tersebut adalah keliru, atau peristiwa yang dikatakan terjadi itu sebenarnya belum berlaku.

Tabiat Manusia Untuk Menolak Sesuatu Yang Baharu

Justeru, apakah pada saat itu, saat kita dikhabarkan bahawa berita yang disampaikan oleh tokoh yang kita sanjungi berupa sekadar sebuah prasangka, kita akan duduk meneliti segala fakta dari segala sumbernya atau kita terus saja menafikan berita yang disampaikan oleh orang tadi?

Sepertinya Tuhan telah ciptakan kita secara tabi’i untuk menolak khabar yang bertentangan dengan keimanan yang telah lama kita anuti, atau kalimat yang dituturkan oleh guru atau tokoh yang kita sanjungi, atau pengetahuan yang telah kita garap dari pandaindera kita. Inilah tabiat manusia.

Namun sebagai seorang yang mencintai kebenaran, kita tetap akan mengiyakan “haq” walaupun yang menuturkannya syaitan. Dan kita tetap akan terus-menerus berusaha untuk istiqamah di atas kebenaran walaupun pahit untuk ditelan. Kebenaran bukan dinilai kepada tingginya individu tersebut, atau betapa kuat pengaruhnya di kalangan umat, namun kebenaran itu adalah apa yang bertepatan dengan al-Qur’an dan as-Sunnah; yang mengikuti tafsiran para sahabat.

Sepertinya Salman yang merantau dari Parsi yang telah menganut pelbagai agama sebelum menemui agama yang hakiki di tanah Arab. Begitu juga seperti Abu Hurairah yang menerima berita yang sah dari Iblis Sang Pendusta di kebun tamar tentang ayat Kursi. Begitulah sikap seorang Muslim terhadap sebuah khabar. Kerana kita disuruh untuk mengikut kebenaran dan meninggalkan kebatilan walau kebatilan itu terbit dari rumah kita.

Syi'ah Banyak Menyelewengkan Fakta

Sesuatu yang jarang kita ketahui bahawa berita yang direkodkan oleh ahli bid’ah seperti Khawarij, atau Mu’tazilah, atau Qadariyah; boleh diterima setelah sisi-sisi lain dalam ilmu Riwayah dan Dirayah terpenuhi. Namun riwayat yang direkodkan oleh seorang Syi’i walaupun dia tidak pernah berbuat maksiat, walaupun dia terkenal sebagai seorang ulama’ di sisi Syi’ah, riwayat tersebut wajib ditolak.

Kerana kaum Syi’ah terkenal sebagai kaum pendusta sehingga mereka memasukkan “taqiyah” atau kemunafikan sebagai salah satu asas agama mereka. Ironinya kita yang mengaku sebagai Sunni, mengambil berita dari kaum penipu ini dan menuangkan ke dalam buku-buku kita untuk diajarkan kepada anak-anak kita. Hasil dari pendustaan mereka terhadap sejarah; kita boleh lihat dalam buku-buku sejarah yang ada di depan mata kita. Lihat bagaimana para sahabat disesatkan dan dikafirkan!

Lantas apabila ada tokoh yang dikatakan terpengaruh dengan agama Syi’ah berceramah dan memutar-belitkan fakta, ketahuilah bahawa tindakannya itu adalah normal bagi seorang Syi’i. Telah berlalu 1000 tahun para Syi’i memutarbelitkan sejarah agama, inikan pula jika sejarah Bukit Kepong atau sejarah Negara?!

Malah lebih lucu lagi apabila tokoh seperti Mat Sabu lebih mengetahui sejarah komunis berbanding dengan sejarah para sahabat. Jika masih ada ahli PAS yang benar-benar mencintai Islam dan menyayangi para sahabat Rasulullah; tanyakanlah kepadanya, Kenapa para mullah (tokoh-tokoh Syi’ah) sanjungan tuan telah mengkafirkan para sahabat di dalam kitab-kitab mereka seperti Kasyful Asrar oleh Khomeini dan al-Kishal oleh al-Qummi? Apakah “kesesatan sahabat” itu fakta atau momokan sesat dari kaum munafik?”

Menariknya, mengikut kaedah ilmu hadis yang benar, setiap butir bicara tokoh tersebut tidak boleh diterima!

oleh :Abu Amru Mohd Radzi B. Othman
Sumber : an-nawawi.blogspot.com

No comments:

Post a Comment