Pages

Saturday, January 14, 2012

Aktiviti bermain bentuk personaliti kanak-kanak



Ibu bapa perlu dekati anak dalam suasana santai kenal pasti kecenderungan, minat

SEMUA kanak-kanak suka bermain kerana itulah naluri dikurniakan Allah kepada mereka dalam proses pembesaran mereka. Walaupun ramai ibu bapa bimbang terutama apabila anak terlalu leka atau banyak menghabiskan masa dengan bermain, sebenarnya di sini peluang terbuka buat mereka.

Apabila anak gemar bermain, maka ibu bapa sewajarnya melihat ia sebagai potensi menerapkan pelbagai nilai melalui pendekatan menyeronokkan. Bermain juga satu kaedah mengajak anak belajar.

Di peringkat prasekolah, kebanyakan teknik mengajar menggunakan pendekatan belajar sambil berseronok termasuk memperkenalkan permainan yang menguji minda kanak-kanak selain menyampaikan ilmu pengetahuan.

Contohnya, anak diajar mengenali warna dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Arab dengan melagukan setiap perkataan. Cara ini mudah untuk mereka mengingati maklumat itu dan secara tidak langsung apabila lagu sering dinyanyikan, ibu bapa turut melalui proses pembelajaran melalui anak mereka.

Aktiviti bermain boleh memperkembangkan dasar kefahaman berbahasa, idea matematik, kemahiran berfikir dan pembentuk akhlak yang baik. Ringkasnya, aktiviti bermain dan barang permainan mempunyai peranan dalam perkembangan fizikal, sosial dan emosi anak.

Menyedari hakikat ini, ibu bapa pengasuh hendaklah menjayakan masa bermain anak menjadi lebih produktif. Melalui permainan juga, ibu bapa dapat mengenali anak dengan lebih dekat, minat serta kecenderungan mereka.

Ibu bapa boleh menyediakan suasana yang sesuai dengan keinginan anak. Pendidikan moral serta nilai baik juga disemai secara semula jadi melalui sikap tidak mementing diri, gemar berkongsi permainan dan tidak kedekut.

Ibu bapa perlu meluangkan masa bermain dengan anak. Rasulullah SAW sendiri sering bermain dengan kanak-kanak, cucu, malah isteri Baginda sendiri, Aisyah, yang dikahwini ketika usianya masih kanak-kanak.

Sekali sekala, apabila mempunyai kesempatan, Baginda SAW akan bersama kanak-kanak. Pernah Rasulullah SAW berjumpa sekumpulan kanak-kanak sedang bermain, lalu Baginda meminta mereka berdiri sebaris mengadap Baginda.

Selepas itu, Nabi SAW duduk di satu tempat yang agak jauh dan meminta mereka berlari ke arahnya. Siapa sampai dulu akan mendapat hadiah.

Maka kanak-kanak itu berlari menuju ke arah Baginda hingga ada yang melanggar paha dan perut Rasulullah. Selepas itu Baginda memeluk mereka dengan penuh kasih sayang.

Anak dapat memahami pengajaran orang dewasa dengan kata-kata lembut. Tidak perlu menengking atau memukul jika ada kesilapan kecil. Anak hanya perlu didorong dan tidak diperintahkan dengan keras kerana masih banyak perkara yang mereka tidak faham.

Semasa mengawasi atau bermain dengan anak, tunjukkan anda menghargai permainan mereka. Banyak cara boleh diguna untuk menunjukkan sikap ini seperti memuji apabila mereka melakukannya dengan baik.

Tunjukkan minat terhadap apa yang mereka buat. Adakalanya anak perlukan pertolongan, maka ibu bapa perlu menunjukkan sikap suka menolong. Ibu bapa boleh merancang bentuk permainan yang bermatlamat mendidik supaya mereka mendapat pengajaran walaupun semasa bermain.

Sediakan pelbagai pengalaman bermain. Adakalanya mereka ingin bermain dengan rakan dan ada masa biarkan mereka bermain sendirian. Masa bermain mereka juga perlu diimbangi supaya tidak terlalu leka hingga mengabaikan pelajaran sekolah.

Salah satu cara untuk menggalakkan anak bercakap dan memperkembangkan kebolehannya berbahasa ialah dengan meminta mereka menceritakan apa mereka main. Kanak-kanak boleh mengeluarkan idea yang tidak disangka.

Melalui pengalaman bermain yang berulang-ulang, kanak-kanak dapat memahami beberapa asas konsep akhlak, fizikal, sosial dan kemahiran intelektual. Banyak sikap yang baik boleh kita bentuk dalam kalangan anak-anak semasa bermain.

Oleh Hashim Ahmad

credit to :http: aki2004.wordpress.com

No comments:

Post a Comment