Pages

Tuesday, January 10, 2012

ENGKAU YANG BERNAMA MANUSIA

Siri 1

Siapakah Anda ?

Persoalan pertama yang ingin saya lontarkan ialah apakah tujuan anda hidup di dunia ini ? Apakah tujuan watak anda lahir ke dunia dari rahim ibu anda ? Pernahkah anda memikirkan atas tujuan apa anda berjalan dan makan di atas muka bumi ini ? Mungkin anda merasa bosan dengan soalan ini kerana betapa kerapnya para penceramah bertanya soalan yang seperti ini. Ubati kebosanan anda itu dengan mencabar diri anda sendiri untuk memikirkan persoalan-persoalan yang akan saya bangkitkan sebentar lagi.

Ingin saya berikan analogi tentang satu peristiwa ringkas yang wajar difikirkan bersama. Bayangkan anda seolah-olah seperti seorang yang sedang tidur di rumah dan setelah anda terjaga anda mendapati diri anda dibawa oleh sebuah keretapi menuju suatu destinasi. Ketika anda sedar dari tidur itu pasti anda akan dilanda dengan seribu kebingungan dan tertanya-tanya " Di manakah aku ? " dan " Ke manakah aku ? ". Adakah anda hanya berdiam diri dan mengikut sahaja ke mana kereta api itu membawa anda tanpa anda bertanya apakah destinasi dan tujuannya ?

Saya dengan tegas mengatakan bahawa tujuan anda dihidupkan di atas muka bumi ini ialah untuk beribadat kepada Allah semata-mata.

“ Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia, kecuali agar mereka beribadah kepada Ku ”. ( Az-Zariyat: 56 )

Adakah dengan beribadat kepada Allah itu caranya dengan melakukan ritual-ritual semata ? Tidaklah begitu. Beribadat kepada Allah itu bermaksud mengabdikan diri kepada Allah dalam segala hal dalam juzuk kehidupan. Menjauhi perkara yang dibenciNya dan melakukan perkara yang diizinkan dan disukai olehNya.

Ada seorang bertanya kepada sang cendikiawan

" Mengapakah kita ini tak suka mati ? ".

Maka sang cendikiawan menjawab " Engkau telah mencantikkan duniamu namun engkau sedar bahawa engkau telah memburukkan akhiratmu. Mana mungkin engkau suka untuk berpindah dari suatu tempat yang cantik menuju ke tempat yang buruk dan sengsara ".

Takutkan kematian itu hanya berlaku dalam dua kondisi sahaja. Anda takut kepada mati kerana sayang untuk meninggalkan habuan dunia atau anda takut kepada mati kerana bimbang anda tidak bersedia dengan persediaan yang cukup untuk mempersembahkan amalan anda kepada Maha Pencipta. Jika anda berada pada perasaan takut yang pertama, maka anda benar-benar seorang munafik. Namun jika anda berada pada perasaan takut yang kedua, maka saya ucapkan tahniah kerana anda seorang yang mempunyai iman.

Ayuh kita mengimbau kembali kenangan ketika jasad anda mula diutuskan ke dunia ini. Anda sendiri pun tidak tahu apa yang anda lalui sebelum anda mula menyedari bahawa anda merupakan seorang manusia. Bolehkah anda mengkhabarkan kepada saya apakah yang anda ingat ketika anda menjadi seorang bayi ? Pasti anda tidak dapat memberikan jawapannya kerana anda memang tidak mengingatinya dan anda juga tidak ada sebarang bayangan mengenainya.

Ketika kecil anda sering merasa bingung dengan kebingungan yang luar biasa. Kebingungan pertama ialah ketika anda tidak dapat menyelesaikan masalah kelaparan yang anda alami. Anda benar-benar tidak berdaya lantas anda bingung mengapa perut anda lapar dan ia begitu menyiksakan. Lantas anda menangis secara spontan dengan harapan penderitaan anda itu diselesaikan. Namun anda tidak tahu bagaimana penderitaan itu boleh diselesaikan dan ia langsung tidak ada dalam fikiran anda. Kemudian datanglah ibu anda yang tercinta menyusukan anda lalu fahamlah anda bahawa tangisan itu berkesan untuk menghilangkan kelaparan yang anda rasakan. Seperti itu lah yang anda ulang setiap hari dalam tempoh beberapa ketika kerana anda sudah faham bahawa hanya tangisanlah yang dapat menyelesaikan segala masalah anda. Ini tidak ubah seperti kucing peliharaan yang sering mengiau dan menggesel-geselkan kepalanya di kaki kita ketika kelaparan lalu dia ulangi setiap hari kerana tahu dengan cara itu maka kelaparannya dapat diselesaikan.

Namun ketika anda ditimpa masalah yang lebih rumit menjelang dewasa, mengapa anda hanya duduk terpuruk di sudut bilik anda lalu menangis dan bersedih tanpa melakukan apa-apa ? Ketahuilah wahai sahabatku bahawa perbuatan itu hanya layak dilakukan oleh seorang bayi di dalam buaiannya. Bangkitlah wahai Sang Dewasa dan janganlah memutar masa ke belakang. Adakah anda diutuskan ke dunia ini untuk menjadi seperti seorang bayi selama-lamanya ? Fikirkan sesuatu untuk mengatasi kesedihan dan masalah anda kerana masa itu berjalan ke hadapan dan anda tidak ada pilihan lain melainkan perlu bekerja kerasa untuk menyelesaikan masalah anda.

Setelah melalui fasa tangisan sebagai penyelesaian ketika zaman bayi, minda anda semakin berkembang dari sehari ke sehari. Sampai suatu masa anda sering melihat orang ramai memasukkan sesuatu ke dalam mulut dan anda berfikir untuk apa mereka memasukkan sesuatu ke dalam mulut. Anda berfikir di dalam hati " Ah, mungkin itulah perbuatan yang aku perlu lakukan kelak bukannya menangis sahaja ketika perutku lapar ". Lalu anda cuba belajar untuk menggenggam apa sahaja yang ada di sekitar anda lantas cuba memasukkannya ke mulut anda. Ibu anda sering memantau anda agar anda tidak memasukkan sesuatu yang berbahaya ke dalam mulut anda.

Anda benar-benar bingung ketika itu kerana apa yang anda tahu bahawa semua benda itu boleh dimasukkan ke dalam mulut. Dengan perasaan sedih anda menangis jika barang yang berbahaya itu dirampas dari tangan anda oleh Si Ibu. Mengapa anda perlu menangis ketika diselamatkan dari bahaya ? Walhal anda mengikuti orang ramai memasukkan apa sahaja ke dalam mulut secara lurus bendul tanpa anda mengkaji apakah barang yang selamat untuk dimasukkan ke mulut. Dengan pembelajaran yang singkat itu lalu anda terus meniru aksi orang-orang di sekitar anda tanpa anda memikirkan akibat baik dan buruk. Apakah kaitan sifat bayi ini dengan anda yang sudah dewasa ? Tidak perlu saya terangkan kerana akal anda yang waras sudah dapat menangkap maksudnya.

Ketika usia remaja, anda semakin bingung untuk mencari-cari identiti diri anda. Bukankah terlalu banyak perkara yang anda ikuti tanpa anda berfikir tentang objektif dan kesan-kesannya ? Ketika anda melihat orang lain berpusu-pusu mengejar cita-cita di dalam bidang tertentu, maka anda pun menirunya tanpa anda mempunyai gambaran yang jelas tentang bidang yang ingin anda ceburi. Namun setelah anda menceburinya, ternyata anda terpaksa berusaha keras untuk pura-pura meminati bidang yang telah anda ceburi. Ada yang mengatakan sebenarnya pada awalnya mereka meminati bidang itu namun akhirnya minat itu menjadi berkurangan. Saya katakan itu merupakan ucapan bohong terhadap hati mereka sendiri. Bagaimana mungkin mereka meminati sesuatu yang mereka kabur tentang selok beloknya ? Bahkan mereka tidak tahu sedikit pun tentang selok beloknya. Usahlah bersikap bayi wahai saudaraku.

Jika orang ramai bertanya " Mengapa anda memilih bidang itu ? ". Lantas anda menjawab " Saya berminat " dalam keadaan jiwa anda penuh keliru dan penuh kebohongan tersembunyi. Bahkan anda hanya meniru minat orang ramai kerana minat orang ramai itu disanjung oleh arus perdana lalu anda menabalkan perasaan minat itu kepada diri anda sendiri tanpa sebarang alasan yang pasti. Perbuatan itu seolah-olah menyembelih jati diri anda yang pasti mempunyai bakat tersendiri. Anda hanya boleh bangkit sebagai bintang yang bersinar jika anda menumpukan sepenuh fokus kepada bakat yang benar-benar tertanam di dalam diri anda.

Jika anda benar-benar dilahirkan untuk menceburkan diri ke dalam bidang yang sedang anda ceburi, mengapa anda sering tertekan dengan liku-liku ketika memburu sukses di dalam bidang itu ? Tidak ada manusia yang tertekan jika disuruh makan makanan kegemarannya. Dia hanya boleh tertekan jika dipaksa untuk makan makanan yang tidak disukainya seperti tertekannya kanak-kanak yang dipaksa memakan sayur.

Saya katakan manusia yang seperti itu adalah gila dan mengada-ngada. Mengapa anda tidak suka peperiksaan dan tugasan-tugasan ? Sebenarnya ia bukanlah perkara yang menghairankan kerana majoriti manusia pun begitu. Pernahkah seseorang yang minat model kereta merasa malas jika dia diberi wang untuk mengubah suai kereta miliknya ? Pasti dia akan membawa wang dan keretanya ke kedai-kedai kenderaan dan bersungguh-sungguh untuk memikirkan bagaimana ingin menjadikan keretanya kereta yang terbaik menurut minatnya yang membuak-buak.

Anda juga diberikan wang oleh ibu bapa anda untuk membantu anda berjuang mengejar bidang yang kononnya anda minati. Namun mengapa jiwa anda terpaksa berpura-pura dalam banyak hal ketika menjalani dunia anda dan perbuatan anda sungguh menyiksakan seperti sedang mendaki tangga ke langit ? Sehingga kadang kala anda mungkin pernah berfikir di dalam hati " Jika aku ini tidak berhubung dengan sesiapa pun di dunia ini dan aku ini anak yatim piatu , sudah tentu aku pun tidak ingin meneruskan bidang yang sedang aku lakukan ini. Aku sungguh penat ! ".

Ingin saya khabarkan kepada anda bahawa huru hara di akhir zaman itu berlaku salah satu sebabnya ialah kerana ketidakseimbangan yang dahsyat di dalam ketamadunan dan fungsi manusia. Islam itu agama pertama yang menekankan konsep melakukan sesuatu yang sesuai dengan bakat dan potensi diri. Perkara ini bersesuaian dengan sabda Nabi yang mulia:

" Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah lah hari kiamat ". Lalu seorang Arab Badwi yang ada di sisi Nabi bertanya , " Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu ? ". Nabi Saw menjawab, " Apabila urusan diserahkan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan hari kiamat " ( Bukhari )

Sabda Nabi ini benar ! Oleh sebab ramainya orang tidak meminati bidang yang sedang diceburinya, maka banyaklah amanah yang telah disia-siakan. Penipuan, penyelewengan dan perbuatan curi tulang berlaku hampir dalam semua sektor.

Anda pasti bingung dan fikiran anda bercampur baur ketika saya membangkitkan persoalan yang terlalu asas untuk difikirkan ini. Sebenarnya saya hanya ingin mengusik akal anda dengan sedikit usikan pembuka agar anda berfikir dan terus berfikir tentang diri anda. Bahkan pada bab yang lain nanti saya akan membangkitkan persoalan yang lebih mencabar dan saya tidak pasti sama ada anda pernah atau tidak memikirkan topik yang bakal saya lontarkan sebentar lagi. Jika pernah, maka syabas untuk anda kerana anda dan saya boleh menjadi sahabat yang baik dan pasti kita akan sering memahami. Jika tidak pernah, maka selamat datang saya ucapkan.

Perbuatan Yang Pelik Tetapi Benar

Sejak dari kecil saya ini dianggap budak yang nakal dan sering berbantah-bantah. Bahkan saya merasa ganjil mengapa orang tua-tua selalu berkata " Jangan menjawab! ". Saya memohon maaf kepada orang-orang tua kerana cara berfikir saya tidak diprogramkan seperti itu. Hati saya begitu berat untuk mengiakan suatu yang tidak ada alasan yang kukuh dan adil mengenainya. Bahkan Al Quran sendiri mengkritik perangai suka mengikuti tradisi orang-orang tua tanpa alasan yang benar.

“Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘Marilah (mengikuti) apa yang diturunkan Allah dan (mengikuti) Rasul.’ Mereka menjawab, ‘Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati nenek-moyang kami (mengerjakannnya).’ Apakah (mereka akan mengikuti) juga nenek-moyang mereka walaupun nenek-moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk?” ( Al-Maidah : 104 )

Pada bab ini saya tidak berniat untuk membahaskan apakah tradisi orang-orang tua yang saya maksudnya. Namun saya akan membahaskannya dengan lebih terang pada bab-bab yang akan datang dan ini pastilah menjadi suatu yang menimbulkan banyak tanda tanya di kepala anda.

Sebenarnya banyak perkara di atas muka bumi ini dilakukan manusia atas dasar ikut-ikutan tanpa dia bertanya tentang sebab dan punca mengapa suatu perkara itu perlu diikut. Bahkan ada sebahagian perkara itu tidak ada sebab pun untuk dilakukan.

"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36).

Saya ingin membawa anda untuk satu perbincangan santai tentang sebuah objek aneh bernama tali leher. Saya bertanya kepada anda mengapakah lelaki perlu memakai tali leher dan mengapakah mereka dimarahi oleh guru sekolah jika tidak memakainya ? Ketika anda bertanya guru anda tentang sebabnya, adakah dia mampu untuk memberikan anda alasan yang memuaskan ? Bahkan dia sendiri bingung tentang objektif pemakaian tali leher. Alasan taklid buta yang selalu kita dengarkan ialah " Nampak kemas ". Ini merupakan suatu jawapan yang dangkal kerana konsep kekemasan itu begitu subjektif dan tidak wajar dilihat dari sudut pandangan beberapa kaum di barat sahaja sebagai kayu ukur.

Jika ditinjau dari sudut keselesaan, memakai tali leher itu begitu merimaskan dan tidak ada alasan yang waras untuk menerangkan kebaikan memakai tali leher dalam keadaan iklim seperti negara kita. Bahkan manusia itu lebih selesa untuk tidak memakai tali leher berbanding memakainya dan itu diakui oleh seluruh umat manusia. Inilah sifat dasar sebagai seorang manusia. Sanggup untuk mengorbankan keselesaan diri kerana mengejar arus perdana yang bergerak seperti sebuah pesawat tanpa pemandu dan tanpa arah destinasi. Kita ini seolah-olah seperti seekor anjing yang dikalungkan rantai pada leher oleh kaum yang dahulunya membunuh atuk nenek kita dan menjajah negara kita. Bahkan kita memuliakan 'trademark' barat yang mereka itu dahulunya telah menghina bangsa dan agama kita dan dalam masa yang sama kita merasa hina dan malu untuk mempamerkan 'trademark' Islam kepada masyarakat.

Perbuatan ini seolah-olah sama dengan seorang perempuan yang memilih ketidakselesaan dalam berpakaian dengan mengetatkan seluar dan bajunya agar ia tidak dipandang kolot. Dia menyangkakan dengan usahanya itu maka dia akan diburu oleh ramai lelaki. Semakin kuat persaingan para wanita untuk mendapatkan lelaki, maka semakin ketat dan terdedah lah pakaian mereka kerana mereka tahu bahawa keadaan lelaki yang ketandusan imannya hari ini menjadikan usaha mereka tepat pada sasarannya.

Mereka juga kadangkala tidak berpuas hati dengan kadar ketinggian mereka lalu mereka sering keluar dengan kasut tumit tinggi. Saya bertanya kepada para wanita, anda menggunakannya untuk menipu ketinggian tetapi bukankah penipuan anda itu tersingkap sejurus orang melihat kepada kasut anda ? Adakah anda perlu memakai kasut tumit tinggi selama-lamanya agar kependekan anda itu dapat disorok ? Kajian sains umum yang diketahui ramai telah membuktikan bahawa pemakaian kasut tumit tinggi itu berbahaya untuk postur tulang anda jika dipakai dalam jangka masa yang panjang. Memang manusia itu sanggup tersiksa demi tidak dituduh ketinggalan dalam arus perdana.

Terimalah kadar ketinggian anda yang asal wahai wanita. Berbanggalah dengannya dan bersyukurlah ! Ingin saya menceritakan kisah seorang wanita yang bekerja di tapak pembinaan di mana sebuah lentingan besi meluru kearahnya dan terkena di hujung kepalanya lalu berdarah sedikit kulit kepalanya. Dia sungguh bernasib baik ketika itu kerana ketinggian yang ditakdirkan untuknya benar-benar menyelamatkannya. Jika ketinggiannya ditambah sedikit sahaja lagi, sudah pasti dia akan maut dilibas besi berat yang bergerak pantas itu.

Ketahuilah bahawa anda memang ditakdirkan setinggi itu dan Tuhan tahu apa yang sesuai untuk anda sehingga Dia menciptakan anda seperti itu. Maka terimalah diri anda seadanya tanpa perlu berasa malu. Jika anda merasakan diri anda rendah, maka lihatlah orang yang lebih rendah dari anda nescaya anda akan menjadi lebih bersyukur. Jika anda hanya melihat kepada orang yang lebih tinggi dari anda, pastilah hasad dan kegelisahan mengasak-asak jiwa anda.

Lelaki pasti bersetuju bahawa wanita yang bersolek sakan itu sebenarnya bukanlah seperti yang dilihat jika solekan mereka itu dibersihkan. Namun mengapa mereka tergila-gila untuk memburu wanita yang bersolek tebal ? Adakah mereka ingin wanita mereka bersolek sepanjang hayat dan 24 jam ? Wahai lelaki, pilihlah wanita yang bersolek secara sederhana namun menarik hati anda dengan solekan sederhananya itu agar anda kelak tidak terlalu menyesal dan berasa ralat jika solekan wanita itu dibersihkan dari wajahnya.

Nantikan Siri yang ke-2 pada penulisan saya yang akan datang....

Oleh : Ibn Azhar (5/Jan/2012)


No comments:

Post a Comment