Pages

Sunday, April 15, 2012

Bahaya gerakan mahasiswa liberal





Mahasiswa umumnya diketahui sebagai seorang yang mempunyai idealisme yang tinggi seiring dengan ketinggian ilmu yang tertanam di dalam jiwa mereka. Mereka adalah satu kelompok yang berjiwa besar, prihatin dan merupakan aset berharga kepada pembangunan negara di masa hadapan. Ini dibuktikan lagi dengan kepelbagaian gerakan mahasiswa diwujudkan bagi mencapai aspirasi yang digalas oleh mereka.

Zaman bergerak pantas menyebabkan pelbagai ideologi timbul dan menyebabkan pelbagai kekeliruan kepada mahasiswa khususnya mahasiswa Islam dan pada masa kini, ideologi liberal yang dipelopori barat telah mula menampakkan kesannya kepada gerakan mahasiswa di dalam negara.

Secara ringkas, liberalisme adalah seruan yang menuntut kebebasan manusia dan memperjuangkan kefahaman egalitarian atau dalam bahasa yang lebih mudah; seruan kesamarataan. Seseorang yang liberal juga mendokong hak kebebasan beragama serta mengamalkan apa yang dipercayai selaras dengan prinsip rasional seseorang.

Berada di alam kampus membolehkan saya membuat pemerhatian terhadap realiti yang melanda mahasiswa semasa,membimbangkan apabila melihat berkembangnya kefahaman-kefahaman bercorak negatif bersarang dijiwa segelintir mahasiswa.Kewujudanlaman sosial seperti ‘facebook’ dan ‘twitter’memburukkan lagi keadaan apabila ia menjadi medium utama penyebaran fahaman-fahaman ini.

Tiada apa yang mampu saya lakukan melainkan terpaksa berterus-terang.

Salah satu platform atau gerakan yang semakin menapak di kalangan mahasiswa yang boleh saya jadikan contoh di sini adalah‘OccupyDataran’ yang berakar-umbikan ideologi liberal, telah mencetuskan satu ‘pandemic’ baru dalam kalangan mahasiswa. Secara ringkas, Occupy Dataran adalah satu kesinambungan Occupy Movement yang terinspirasi daripada protest di Tahrir Square.Terkenal dengan cara pemakaian topeng Guy Fawkes, mereka adalah generasi yang mengimpikan demokrasi dalam konteks yang lebih luas. Seruan yang dilaungkan gerakan ini supaya mencetuskan satu budaya politik melebihi bangsa, ideologi, kepercayaan, jantina serta afiliasi politik.

Menurut sumber, Occupy Dataran bukanlah satu bentuk organisasi tetapi sebuah platform yang tidak punya pemimpin dan ahli, tiada siapa punya autoriti kepada yang lain. Kesemuanya sama rata, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi. Masing-masing bebas meluahkan rasa dan bebas membuat keputusan ketika sesi persidangan berlangsung.

Apa yang parahnya adalah apabila terdapat unsur liberalisasi dalam banyak hal. Kata mereka sebagai contoh, keputusan yang diputuskan pada sesi persidangan adalah hasil perbincangan yang punya hujah yang konkrit. Namun begitu, keputusan yang dibuat melalui hujah konkrit tetapi tanpa dasar ilmu yang kuat bukanlah suatu keputusan yang benar dan haq. Selama persidangan, keputusan yang dibuat hanya berdasarkan logik akal semata, emosi dan perasaan, pembacaan yang tiada kesahihan sumber, dan hanya berasaskan suara majoriti. Semakin bahaya apabila keputusan yang dibuat tanpa mereka perlu bertanggungjawab ke atasnya kerana ahli “syuro” boleh daripada sesiapa sahaja yang hadir serta boleh keluar dan berlepas tangan daripada menjadi ahli “syura” tanpa ada apa-apa kebertanggungjawaban daripada dirinya. Kesemua ini adalah LIBERAL!!

Bahkan ia tidak terlepas daripada kecelaruan yang sangat serius, iaitu ia merupakan satu platform yang tiada kejelasan agenda. Masing-masing boleh mengisi agenda tanpa ada saringan fikrah dan kredibiliti. Andai yang menetapkan agenda adalah mereka yang ingin memusnahkan Islam, yang ingin menghancurkan ummat, membawa fikiran dan aqidah yang salah malahan sesat, adakah ummat Islam akan membiarkan sahaja perkara begini? Analogi mudah, seperti membiarkan “butang” melancarkan bom nukleur yang diletakkan di dataran merdeka yang bebas untuk ditekan oleh sesiapa sahaja.

Pada penglihatan saya adalah sesuatu yang membahayakan jika arus ini dibiarkan begitu sahaja. Setelah umum mengetahui terdapat gerakan mahasiswa yang diketuai oleh individu yang berkefahaman syiah, mampukah gerakan mahasiswa arus liberal yang dibawa oleh ‘Occupy Dataran’ ditangani oleh mahasiswa Islam? Adakah mahasiswa Islam kini mahu menoleh kebelakang dengan mendokong kefahaman sekular yang dibawanya dengan menjemputnya dipelbagai demostrasi dan forum mahasiswa? Bahkan, penglibatan Fahmi Reza (pendokong kuat gerakkan ‘Occupy Dataran’) dalam ‘Punk Forum :Apakah Peranan Punk Dalam Masyarakat’ dan tayangan filem ‘Taqwa Core: The Birth of Punk Islam’, menimbulkan lagi persoalan, adakah Fahmi mahu mendidik masyarakat mengikut acuan barat? Fahmi merupakan seorang designer yang dahulunya menuntut di USA.

Melihat kepada perspektif-perspektif inilah membuatkan saya berasa bimbang dan gusar, keadaan menjadi lebih parah apabila semakin ramai mahasiswa cuba membawa idea yang sama, bebas dari sebarang sekatan seolah-olah dunia ini tidak mempunyai undang-undang yang jelas mengenai batas-batas manusiawi dan setiap orang mempunyai nilai yang sama,sedangkan Islam mengajar bahawa Islam itulah yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi melainkan Islam. Kefahaman liberal yang mendasari gerakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah berpunca dari pandangan hidup barat dan ketamadunan mereka yang mendominasi segenap aspek kehidupan dewasa ini.

Kecelaruan dalam membezakan Islam dan bukan Islam, antara haq dan batil, antara wahyu dan nafsu, putih dan hitam menyebabkan segelintir mahasiswa tergelincir dari memahami erti Islam yang sebenar. Aqidah Islam yang tulen telah mengajar konsep bahawa dosa pahala tidak boleh bercampur, ibarat minyak dan air, tetapi tidak lagi diamalkan dengan baik. Hakikatnya kesemua gerakan sedang bercampur-baur dengan kepelbagaian ideologi yang nyata menyisihkan Islam.

Jika ditanya apakah jalan penyelesian kepada kemelut ini, maka tiada jawapan lain yang dapat saya unjurkan melainkan dengan memahami ungkapan ‘Al-Islam huwa al-hal’ (Islamlah satu-satunya penyelesaian).

Mahasiswa bebas berbuat apa saja namun, kebebasan itu terangkum didalam ruang lingkup yang dibataskan syarak. Sesungguhnya mahasiswa di negara ini adalah harapan ummah pada zaman kini. Kealpaan kita dalam membentuk mahasiswa mengikut acuan yang digariskan Al-Quran dan sunnah bermakna kita telah memasang bom jangka yang akan merosakan Islam pada masa depan. Lantaran itu, kepada siapakah harapan ummah ini hendak disandarkan?

oleh:

Luqman Abd Hamid,

Penulis adalah AJK Kajian dan Informasi PEMBINA.

http://pembina.com.my/bahaya-gerakan-mahasiswa-liberal/


Sumber:http://bm.harakahdaily.net/index.php/separator-berita-utama/press-unedited/9319-bahaya-gerakan-mahasiswa-liberal


No comments:

Post a Comment