Pages

Sunday, April 15, 2012

Berwaspada dengan kumpulan Ahbash yang menyesatkan


Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan jemaah yang dinamakan sebagai Ahbash, maka pelbagai persoalan yang keluar daripada minda orang ramai mengenai kumpulan ini. Ada yang menjauhkan diri daripada mereka kerana mendengar nasihat para alim ulama’, ada juga yang terpedaya dengan dakyah mereka, dan ada juga ingin belajar dahulu siapakah mereka lantas terpedaya dengan dakyah yang dibawa oleh mereka.

Saya pernah bertanya kepada rakan saya yang pernah mengikuti pengajian aliran Ahbash ini kerana beliau ingin tahu sendiri mengenai aliran tersebut, beliau menyatakan bahawa guru yang mengajar itu menghasut supaya jangan mendengar kata-kata pensyarah di kuliyah Syariah Universiti Yarmouk, terkejut saya mendengarnya.

Selain itu, saya ada juga mendengar rakan saya mengecop seorang ulamak dengan panggilan Muktazilah hanya kerana tidak sealiran dengan gurunya, sedangkan itu adalah tuduhan yang sangat berat jika tanpa ada bukti yang benar-benar kukuh.

Ini adalah petanda awal sebenarnya untuk menyalakan api permusuhan. Apabila lebih lama lagi belajar di situ, mungkin ia akan mewujudkan perasaan syak wasangka terhadap para alim ulama’ sejurus mengkafirkan mereka, maka yang benar hanyalah guru mereka. Pada mulanya, kita tidak nampak ketara penyelewengannya kerana ia adalah tektik dan helah yang popular digunakan. Sikit demi sedikit ia mula menjadi darah daging. Awas!

Jika kita perasan mengenai kumpulan ini, mereka lebih cenderong untuk berkasar dan berdebat kepada sesiapa sahaja yang tidak sama aliran dengan mereka. Maka mereka akan selalu mewujudkan api-api permusuhan. Saya pernah menghadapai orang yang seperti ini. Selain itu, mereka ini hanya suka berbicara pada satu topik sahaja sehingga dunia telah mengalami masalah kritikal dari sudut lain pun, mereka tetap dengan agenda mereka iaitu berkeras dengan sesiapa yang tidak sama aliran dengan mereka.

Parah. Kita perlu ambil waspada perkara ini dengan sangat serius, kerana dari masa ke semasa ia sudah merayap ke seluruh dunia dan tidak terlepas juga di negara kita iaitu di Malaysia, maka kita tidak hairanlah budaya sesat-menyesatkan, kafir-mengkafirkan ahli kiblat sudah sebati di bibir masyarakat walaupun orang yang melemparkan tuduhan itu adalah dari golongan pendakwah sendiri.

Sedangkan perkara ini sangat dilarang oleh Nabi SAW seperti sabdanya yang bermaksud,

“Tinggalkan perbantahan kerana sesungguhnya Bani Isra’il telah berpecah menjadi 71 golongan dan orang-orang Nasrani berpecah menjadi 72 golongan, semuanya sesat kecuali as Sawadul A’zhom. Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah siapakah sawadhul a’zhom itu? Nabi menjawab : mereka adalah orang-orang yang mengikuti aku dan para sahabatku, tidak berbantah-bantah dalam agama Allah dan tidak mengkafirkan salah seorang di antara ahli tauhid sebab dosa yang sudah diampuni oleh Allah.

Kemudian Nabi bersabda :

"Sesungguhnya Islam itu datang dalam keadaan asing dan nanti akan kembali asing. Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah siapakah orang-orang asing itu? Nabi menjawab : Mereka adalah orang-orang yang berbuat kebaikan di kala orang ramai berbuat kerosakan, tidak berbantah-bantahan dalam agama Allah dan tidak mengkafirkan salah seorang di antara ahli Tauhid dengan sebab dosa yang telah dia lakukan.” (Hadith yang dikeluarkan oleh Imam Tabrani dalam al Mu’jam al Kabir jilid 8 halaman 152 dari Abi Darda’, Abi Umamah, Watsilah bin al Asqa’ dan Anas bin Malik)

Lagi, “Sesiapa mengatakan kepada saudaranya dengan Wahai Kafir, maka kekafiran itu kembali kepada salah satunya ” (Sahih Bukhari)

Jika pembaca sedari di dalam penulisan saya yang lepas, saya sudah menulis sebuah artikel yang bertajuk ‘Salafi dan Khalafi: Antara Salah Faham dan Realiti Semasa’, di dalam petikan artikel tersebut saya ada menyatakan bahawa,

“Ada yang bersetuju dengan aliran Salafi daripada aliran Khalafi atau sebaliknya serta menghormati aliran Khalafi, ada juga yang ber’wasatiyah’ iaitu memandang kepada nilai yang positif daripada kedua-dua aliran, tidak kurang juga yang berbaki daripada pecahan itu adalah yang fanatik pada satu-satu aliran sahaja sehingga menganggap aliran lain adalah sesat dan salah. Pecahan kumpulan yang terakhir tadi sebenarnya adalah salah satu punca kerosakan yang amat besar dalam masyarakat kerana ia boleh merosakkan orang lain di samping membawa fitnah yang buruk ke atas agama Islam itu sendiri.”

Apa yang saya ingin maksudkan daripada petikan artikel di atas ialah kesan daripada pecahan kumpulan yang terakhir iaitu mereka yang bersifat agresif dan fanatik pada satu-satu golongan sehingga meng’KAFIR’kan ulama’-ulama’ muktabar seperti Dr Yusof Al-Qorodhawi dan aliran-aliran yang tidak sama dengan mereka, sehingga bertindak dengan lebih melampau lagi apabila mereka menghalalkan pertumpahan darah sesama Islam atas alasan bahawa yang dituduh kafir tadi mereka sudah terkeluar daripada Islam. Maka topik inilah yang menjadi tajuk utama perbincangan kita pada kali ini supaya kita tidak terperangkap serta lebih berhati-hati dengan fikrah dan dakyah yang dibawa oleh mereka.

Setelah mendengar kupasan daripada beberapa orang Prof. dan Dr di Universiti Yarmouk, maka dengan persetujuan daripada mereka, saya berani untuk tampil dan mengupas antara penyelewengan-penyelewengan yang ada di dalam kumpulan ini.

Saya tidaklah tujukan penulisan ini kepada pengasas dan ahli kumpulan ini, biarlah Allah SWT mengadili perbuatan mereka. Cukuplah memberitahu bagi mereka yang ingin tahu, kerana apa yang saya risaukan adalah budaya ini tersebar dalam kalangan masyarakat, maka pada masa itu semakin sukar untuk kita mencari nilai titik persefahaman. Ya, sangat bahaya, bayangkan apabila semuanya menjadi musuh, maka amat sukar untuk kita berdamai ketika darah umat Islam menjadi halal sesama sendiri. Cukuplah dengan persengketaan yang ada, walaupun masih lagi ada ruang dan peluang yang boleh dicari titik persefahamannya dengan izin Allah SWT.

Sejarah Ringkas Pengasas

Disandarkan kumpulan Ahbash ini kepada pengasasnya iaitu Abdullah Al-Harori, Al-Harori ini adalah nisbah kepada wilayah Haroro di Negara Habsyah. Maka daripada Haroro, dia telah datang ke negara Syam pada tahun 1950.

Apabila sampainya di negara Syam, dia telah menyebarkan akidah yang sesat di wilayah Syiria, maka ramai daripada sebahagian ahli sufi yang terpengaruh dengan ajarannya serta menerimanya. Lantas diketahui oleh alim ulama’ Syiria mengenai penyebaran ajarannya, maka mereka telah bersemuka dengannya, mendedahkan penyelewengan ajaran yang dibawa olehnya kepada orang ramai.

Selepas didedahkan penyelewengan itu, dia telah membawa diri ke Lubnan dan terus menetap di sana, sesampainya di sana, dia telah memperdayakan ramai orang bahawa dia telah dihalau dari negaranya Habsyah dan dibenci oleh masyarakatnya sehingga dia telah diberi gelaran (Syeikhul Fitnah). Di samping itu, dia telah menyertai dan meminta bantuan daripada musuh Islam untuk melancarkan serangan terhadap jemaah-jemaah Islam dan ulama’ulama’ Islam yang muktabar.

Fahaman Dan Pemikiran Ahbash Yang Subversif (merosakkan)

1. Mengkafirkan

Kegemaran mereka adalah sangat gemar mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengan mereka terutama alim-alim ulama’, mereka selalu mengkafirkan ramai orang sehingga kita boleh kenal mereka dengan ‘Jemaah Takfir’. Mereka mengkafirkan ulama’-ulama’ yang muktabar seperti Imam Ibnu Khuzaimah iaitu dengan menuduh kitab tauhidnya sama dengan kitab syirik, mempertikaikan Imam Az-zahabi. Tidak terlepas juga yang dituduh kafir adalah Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Imam Ibnu Kasir, Ibnu Abi al-Izz al-Hanafi.

Sehingga mereka menuduh kafir Syeikh Islam Ibnu Taimiyah dan Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab di lidah-lidah mereka pada setiap pagi dan petang. Ulama’ Muaasirun (hari ini) juga tidak terlepas dari tuduhan kafir, antara mereka adalah Syekh al-Bani, Prof. Dr Yusof Al-Qorodhawi, Bin Bazz, Ibnu Usaimin, Said Sabiq, Mutawwali Sya’rawi, Dr Said Ramadhan Al-Bouti, Syed Qutub dan ramai lagi jika hendak disenaraikan.

2. Membunuh, menyerang, dan mengasari sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengan mereka.

Antara tuduhan yang dilemparkan kepada mereka:-

a) Disyaki membunuh mufti Lubnan yang lalu iaitu Syeikh Hasan Khalid. (Kematian Syeikh apabila keretanya terkena letupan bom ketika keretanya melalui kawasan tersebut pada 11 Syawal 1409H bersamaan 16 Mei 1989)

b) Disyaki membunuh Syeikh Dr Subhi Soleh. (Soheb Muallifat al-Qimah)

c) Membunuh Usamah al-Qossos. (Salah seorang pendakwah di Lubnan)

d) Disyaki terlibat dalam pembunuhan Rofiq al-Hariri. (Ketua Kerajaan Lubnan yang lalu) seperti apa yang dinyatakan di dalam laporan (milis).

Mereka ini juga terlibat dalam beberapa siri keganasan yang berlaku di negara Syam terutamanya Lubnan.

3. Mereka Bersekutu Dan Bergabung Bersama Syiah Terutamanya Hizbullah Di Lubnan Selepas Keluar Daripada Syiria

Ahbash bersetuju dengan Syiah Rowafed dalam melakukan fitnah dan mencaci sesetengah sahabat Nabi Ridhwanullah ‘alaihim. Maka dengan demikian, hampir samalah pekerjaan antara mereka dan Syiah dalam menyebarkan fahaman Syiah. Seperti yang kita tahu bahawa mencaci sahabat adalah permulaan tersebarnya fahaman mazhab Syiah dan kebangkitan al-Khominiyah di negara Sunni.

4. Ahbash Juga Bertanggungjawab Dalam Menyebarkan Penyelewengan Melalui Jalan Ar-rifai’yah dan An-naqsyabandiyah As-sufiyah.

5. Ahbash Juga Gemar Menganggap Bahawa diri Mereka Adalah Dari Golongan Wasatiyah Dan Adil.

Kepelikan al-Habshi, bersalahan yang sangat ketara di dalam permasalahan Aqidah Dan Feqah. Antaranya:

1. Syirik dan Khurafat, melampaui batas dalam ilmu ketuhanan

Kita sedia maklum bahawa ijma’ umat Islam beriktiqod dengan ayat yang bermaksud: “sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (al-Baqoroh:20), akan tetapi al-Habsyi beriktiqod bahawa Allah SWT bukan berkuasa ke atas sesuatu pun, malah Allah SWT hanya berkuasa pada kebanyakan perkara sahaja, bukannya setiap sesuatu sepertimana yang disebutkan di dalam kitabnya al-Aqidah As-saniyah m/s 40.

2. Sesungguhnya semua orang Islam beriman bahawa mayat-mayat di dalam kubur hanya akan dibangkitkan setelah hari kiamat tiba seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: “sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat.” (al-Mukminum:16). Akan tetapi al-Habsyi beriktiqod bahawa mayat-mayat akan keluar daripada kubur mereka untuk menunaikan hajat bagi sesiapa yang memerlukan mereka.” Sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab mereka ‘Bughyah al-Tolib:7 edisi pertama’, kitab ‘Sorih al-Bayan: 57’, dan kitab al-Dalil al-Qowim:173). Maka mereka menggalakkan manusia agar berdoa di kubur dan meminta bantuan kepada si mayat.

3. Kita sedia maklum bahawa Allah SWT menyuruh kita meminta perlindungan kepadanya daripada tipu daya Syaitan seperti mana di dalam firmanya yang bermaksud: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-A’rof:200) dan juga di dalam surah al-Fussilat: 36.

Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Jin:

“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.” Al-Jin:6.
Sedangkan al-Habsyi memberi fatwa bahawa harus meminta pertolongan selain daripada Allah SWT seperti ‘Aku meminta pertolongan dengan si fulan seperti Nabi SAW’ sebagaimana di dalam kitabnya ad-Dalil al-Qowim m/s 173, kitab Soreh al-Bayan m/s 57-62 edisi ke-2 tahun 1994 di m/s 156.


Mereka Berdusta Di Dalam Kecintaan Kepada Nabi SAW

Al-Habsyi tidak mengambil berat terhadap riwayat hadis-hadis yang sahih yang sabit daripada Nabi SAW, kita wajib mengetahui bahawa meriwayatkan hadis yang sahih adalah tanda orang yang jujur, akan tetapi mereka telah berdusta dengan hadis Nabi SAW iaitu dengan mendakwa bahawa Allah SWT menyuruh malaikat Jibril a.s di hari kelahiran Nabi SAW untuk menyebarkan minuman kepada penduduk langit dan bumi. Maha suci Allah SWT daripada perbuatan itu, sedangkan kita mengetahui bahawa para malaikat tidak makan dan tidak minum seperti apa yang dinyatakan di dalam al-Quran.


Al-Habsyi Memperlekehkan Sahabat-Sahabat Nabi SAW

1. Tidak dapat disangkal lagi bahawa sahabat Nabi dari Khulafa’ ar-Rasyidin yang empat, mereka adalah sahabat yang mulia dan besar di sisi Nabi Saw. Akan tetapi al-Habsyi telah meragukan umat Islam terhadap keyakinan itu dengan menyatakan bahawa “

Sesiapa yang mengingkari Abu Bakar as-Siddiq sebagai sahabat, maka dia kufur. Ada pun bagi mereka yang mengingkari Umar, Othman dan Ali daripada kalangan sahabat yang afdhal, maka dia tidak jatuh kufur” boleh lihat di dalam kitab ‘Bughyah at-Tolib m/s 32 ’ edisi yang pertama.

2. Bukan itu sahaja, malah al-Habsyi juga memperlekehkan penulis wahyu Rasulullah SAW iaitu Muawiyah R.A dengan menyatakan bahawa “Hati Muawiyah tidak memiliki rasa takut dan taqwa kepada Allah SWT, sesungguhnya dia adalah lelaki yang penipu.” Boleh lihat di dalam kitab Soreh al-Bayan m/s 102. Siapa boleh mengetahui soal hati manusia melainkan Allah SWT, tetapi mereka telah melemparkan satu pendustaan yang besar terhadap sahabat Nabi SAW.

3. Bahkan al-Habsyi telah mendakwa bahawa siapa yang membunuh Saidina Ali R.A adalah Bughah, walaupun mereka itu dari kalangan sahabat. Ini disebut di dalam kitabnya ‘Bughyatu al-Toleb m/s 352’, malah mereka mendakwa bahawa sesiapa yang membunuh Ali R.A daripada kalangan sahabat, mati dia adalah mati jahiliyyah, dan menyifatkan perbuatan Aisyah R.A dalam menyerang Sayidina Ali R.A sama dengan perbuatan maksiat. Boleh lihat di dalam kitab Soreh al-Bayan m/s 86. Jika kita sedar bahawa mereka mempunyai banyak persamaan dengan Syiah.


Penyelewengan Mereka Terhadap Masalah-Masalah Feqah

1. Kita sedia maklum bahawa Islam telah mengharamkan perjudian, tetapi al-Habsyi memberi fatwa bahawa harus mengambil harta orang kafir melalui jalan perjudian. Boleh lihat di dalam kitab Soreh al-Bayan m/s 133.

2. Mereka menggalakkan akhlak yang keji dalam kalangan perempuan dan muhrimnya iaitu adik atau abang, pakcik, dan selainnya, mereka mengharuskan agar muhrim perempuan tadi melihat payudara dan perutnya kerana itu bukan aurat di antara muhrim, mereka juga mengatakan boleh melihat bahagian itu sesama perempuan tanpa bersebab. Mereka mendakwa bahawa kadar aurat perempuan dan muhrimnya adalah daripada perut hingga ke lutut, ada pun pendapat yang menyatakan atas daripada kadar itu adalah pendapat yang lemah. Boleh lihat di dalam kitab Bughyah al-Toleb m/s 368 edisi pertama dan edisi kedua m/s 290.

3. Al-Habsyi mengharuskan bagi lelaki melihat apa sahaja dari tubuh wanita ajnabiyah dengan syarat tidak menaikkan syahwat. Boleh lihat di dalam kitab Bughyah al-Toleb 288.

4. Membolehkan bercampur-aduk antara lelaki dan perempuan di dalam tarian. Boleh lihat di dalam kitab Soreh al-Bayan 144.

5. Menggugurkan kewajipan zakat ke atas duit kertas. Bughyah al-Toleb m/s 160-169, edisi yang terbaru m/s 207.

6. Al-Habsyi memberi fatwa agar harus mengambil riba daripada orang kafir, katanya: “Saham-saham di bank adalah milik orang kafir, bahkan yang mengasaskannya juga adalah orang kafir, maka kita boleh ambil faedah daripada itu jika kita mahu.” Rakaman suara.

7. Dibolehkan mengambil harta orang kafir melalui jalan perjudian kerana pada hari ini tiada lagi kafir Zimmi, yang ada hanyalah kafir Harbi. Boleh lihat di dalam kitab Soreh al-Bayan m/s 133.

8. Menfatwakan bahawa najis daripada kutu dan pepijat adalah najis yang tidak boleh dimaafkan, sesiapa yang solat dan terkena padanya, maka solatnya batal sama ada tahu atau pun tidak tahu. Boleh lihat di dalam kitab Bughyah al-Toleb m/s 87.

Itu adalah antara pendapat-pendapat yang menyeleweng yang dikeluarkan oleh al-Habsyi. Perkara ini juga telah dipersetujui oleh guru saya iaitu Dr Usamah al-Ghonimin, Pensyarah di kuliyah Usul Fiqh Universiti Yarmouk.

Antara ulama’-ulama’ dan perbadanan yang telah mengatakan bahawa Ahbash adalah sesat

1. Dr Wahbah Az-zuhaili

2. Dr Ramadhan al-Bouti

3. al-Syeikh Tajuddin al-Hilaly

4. al-Syeikh Abu Muhammad al-Maqdisi

5. al-Syeikh Abu Qotadah Umar Bin Mahmud

6. Dr Yusof al-Qorodhawi

7. Fatwa Dari Markaz Fatwa laman islamweb.net

8. al-Syeikh Hamid Bin Abdillah al-Aliy

9. al-Syekh Abdul Aziz Bin Bazz

10. Lembaga Fatwa Arab Saudi

11. Dr Fikri Ismail (Kementerian Wakaf Mesir)

12. Dr Mohd Mahrus al-Mudarris (Islam-online.net)

13. Dr Munir Jumuah

14. Lembaga Fatwa Mesir

15. Dr Ahmad Shalabi

Berikut adalah ulasan yang diberikan oleh al-Syekh Hamid Bin Abdillah al-Aliy mengenai Ahbash

Maksudnya: “Saya memohon maklumat terperinci daripada tuan tentang kumpulan Ahbash, apakah telah ada fatwa tentang kumpulan ini? Apakah mereka itu kumpulan yang sesat ataupun tidak?”

Jawapan dari al-Syeikh Hamid bin Abdillah al-’Aliy (Pensyarah Peradaban Islam di Kuliah Pendidikan Asas Kuwait.).

Alhamdulillah wassolatu wassalam ‘ala nabiyyina Muhammad wa ‘ala alihi wa sahbihi wa ba’du:

al-Ahbash adalah satu kumpulan sesat yang dinisbahkan kepada Abdillah al-Habasyi. Zahir di Lubnan, dan mereka mengambil kesempatan daripada kejahilan dan kefakiran yang berlaku di Lubnan kesan dari peperangan yang berlaku di sana untuk menyebarkan seruan menghidupkan manhaj-manhaj Sufiah yang batiniyyah bertujuan merosakkkan aqidah dan memecah-belahkan kesatuan umat Islam.

Pengasas kepada kumpulan ini ialah Abdullah Muhammad al-Harari al-Habasyi, dia belajar agama di sana (di Habashah) dan telah mengadakan bai’ah (janji taat setia) dengan tarikat al-Tijaniyyah. Dia juga berbai’ah dengan Tarikah al-Rifa’iyyah, kemudian dia berhijrah ke Syiria dan Lubnan. Ketika di Habashah, Abdullah al-Harari pernah bekerjasama dengan pemerintah Indraji di Habashah “Sahr Hilasilasi” menghapuskan persatuan-persatuan Islam tahfiz al-Quran di bandar Harara yang membawa kepada hukuman penjara dan buang negeri ke atas Pengetuan Sekolah, Ibrahim Hasan selama 23 tahun. Semua ini menyebabkan para pendakwah dan para syeikh yang berada di Harara melarikan diri ke Saudi dan Mesir. Kerana itu Abdullah al-Harari (pengasas kumpulan Ahbash) dikenali disana dengan sifat al-Fattan (pembawa fitnah) atau Syeikh Fitnah.

Demikianlah keadaannya (al-Harari) apabila dia berada di Lubnan, dia bekerja untuk menyebarkan fitnah sama seperti yang dilakukannya di tempat asalnya dan menyebarkan kepercayaannya yang rosak, termasuk syirik, menyebarkan fahaman mazhab-mazhab yang batil tentang sifat Allah, menyebarkan fahaman murjiah, Jabariah, tasawwuf batiniyyah dan syiah rafidhah, mencela para sahabat (Nabi saw) dan menuduh Ummu al-Mukminin ‘Aisyah melakukan maksiat dengan melanggar perintah Allah swt dengan fatwa-fatwa yang ganjil.

Antara pengikutnya ialah Nizar al-Halabi (نزار الحلبي), beberapa orang public figure seperti timbalan parlimen ‘Adnan al-Tarobalasi (عدنان الطرابلسي) dan calon mereka yang lain seperti Toha Naji (طه ناجي) yang menerima suara sokongan kebanyakan dari penganut kristian, kerana janji mereka menghapuskan fahaman Islam fundamental.

Akan tetapi dia tidak memperoleh kejayaan. Demikian juga dengan Hasan Qarqira timbalan presiden Jam’iyyah al-Masyari’ al-Islamiyyah, Kamal al-Huth, ‘Imaduddin Haidar, Abdullah al-Barudiy dan individu-individu yang menyeliakan peralatan penyelidikan dan menuskrip seperti al-Muassasah al-Thaqafiyyah lil Khidmaat dan Markaz al-Abhath wa al-Khidmaat. Mereka juga kebelakangan ini telah memulakan mentahkik kitab-kitab turath, dengan tahkikan jahmiyyah.

Mereka juga melakukan muslihat dengan menggunakan nama ganjil yang tidak dikenali walaupun dikalangan para penuntut ilmu seperti mereka menulis : “Telah berkata al-Hafidz al-’Abdari di dalam dua dalilnya (قال الحافظ العبدري في دليليه).” Mereka menyembunyikan kepada orang ramai, sehingga orang ramai akan menyangka al-Hafidz yang dimaksudkan ialah dari kalangan ulama yang masyhur seperti al-Hafidz Ibn Hajar ataupun al-Nawawi, sebaliknya al-Hafidz itu ialah syeikh mereka sendiri al-Harari, mereka nakalkan dari kitabnya al-Dalil al-Qawim sebagai contohnya.


Kepercayaan-Kepercayaan mereka

1. Mereka mendakwa mereka bermazhab al-Syafie di dalam fiqh dan i’tikad, akan tetapi hakikatnya mereka jauh dari mazhab al-Syafie.

2. Mereka menganggap ringan berhukum dengan hukuman buatan manusia yang bertentangan dengan hukum Allah. al-Habasyi (Abdullah al-Harari) berkata:

“Sesiapa yang tidak berhukum dengan syariat Allah dalam dirinya dan tidak melaksanakan sedikitpun kefardhuan Allah dan tidak menjauhi perkara-perkara haram, sebaliknya dia pernah mengucapkan walau sekali seumur hidup la-i-la-ha-illallah, maka dia seorang muslim dan digelarkan juga sebagai seorang beriman yang berdosa.” (al-Dalil al-Qawim. m.s. 9-10).

Kepercayaan ini adalah kepercayaan firqah Murjiah yang sesat.

3. al-Ahbash memberi galakan kepada orang ramai untuk memohon dari kubur, memohon pertolongan dari kubur dan memohon ditunaikan hajar dari kubur. Ini kerana kumpulan Ahbash mempercayai orang-orang yang telah mati itu akan keluar dari kubur untuk menunaikan hajat orang yang memohon kepada mereka, kemudian mereka (orang-orang yang telah mati itu) akan pulang semula ke kubur mereka. Sama juga mereka mengharuskan memohon perlindungan kepada selain Allah, dan menyeru mengambil berkat dari beberapa batu. (Kitab al-Dalil al-Qawim, 173).

4. Ahbash akan memenangkan mazhab me, yang menyokong mazhab mereka. Kerana itu mereka menghukumreka dengan hadith-hadith yang lemah dan palsu banyak hadith yang sahih sebagai dhaif kerana tidak menyokong mazhab mereka. Perkara ini jelas di dalam kitab mereka al-Maulid al-Nabawi.

5. Abdullah al-Harari al-Habasyi telah mengkafirkan beberapa orang ulama umat Islam. Dia mengkafirkan Ibn Taimiyyah. Dia menjadikan perkara pertama yang wajib ke atas setiap mukallaf ialah beriktikad akan kekafiran Ibn Taimiyyah, dan dia benar-benar memberi peringatan supaya menjauhkan kitab Ibn Taimiyyah. Demikian juga al-Imam al-Zahabiy yang di sisinya (al-Harari) sebagai seorang yang hina. Dia juga menganggap al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab seorang penjenayah, pembunuh dan seorang kafir. Dia juga mengkafirkan al-Syeikh al-Muhaddith Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h. Mengkafirkan al-Syeikh Sayed Sabiq, dan menganggap syed sabiq sebagai seorang Majusi yang kafir, dia juga menagkafirkan Syed Qutb sepertimana yang disebut oleh al-Harari di dalam kitabnya l-Nahju al-Sawiy fi al-Radd ‘ala Syed Qutb wa Tabi’ihi Faisol Maulawi.

6. al-Harari menyeru kepada tarikat Naqsyabandiyyah dan Rifaiyyah

7. al-Harari juga memiliki beberapa fatwa yang ganjil yang berpendapat harusnya membuat helah dalam agama dan berpendapat melihat, bercampur dan bersalaman dengan perempuan yang ajnabiy itu tidak mengapa, bahkan dia mengatakan wanita boleh keluar rumahnya dengan berwangi-wangian, bertabarruj sekalipun tidak direstui suaminya.

8. al-Harari mengharuskan jualan dan belian budak yang merdeka. Dia juga membolehkan orang ramai meninggalkan bayaran zakat dengan wang kertas dan mendakwa wang kertas tidak ada kaitan dengan zakat yang wajib dengan emas dan perak sahaja. Dia juga mengharuskan memakan riba, mengharuskan solat memakai pakaian yang bernajis. (Bughyah al-Tolib: 99)

9. al-Harari juga telah menimbulkan fitnah di Amerika dan Kanada dengan perubahan kiblat, sehingga mereka memiliki masjid yang khas yang mereka ubah arah kiblatnya 90 darjah, dan menjadikan mereka menghadap kiblat yang berlawanan dengan kiblat umat Islam. Mereka juga berkeyakinan bumi bukannya berbentuk globe seperti yang dimaklumi, sebaliknya bumi berbentuk setengah globe seperti bentuk setengah buah oren. Di Lubnan mereka sembahyang bersama dengan kumpulan-kumpulan khusus, selepas selesai para jamaah menunaikan solat.

Samahah al-Syeikh Abdul Aziz bin Baz telah mengeluarkan fatwa yang berbunyi:

“Sesunguhnya kumpulan al-Ahbash merupakan kumpulan sesat, ketua mereka Abdullah al-Habasyi terkenal dengan penyelewengan dan kesesatannya. Maka wajib memboikot dan menginkari aqidahnya yang batil. Dan memberi peringatan kepada masyarakat supaya menjauhinya dan tidak mendengar serta menerima apa yang mereka katakan.” (nukilan daripada al-Mausu’ah al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa al-Ahzab al-Mu’asarah 1/430, dengan sedikit ubai suai)

Dengan ini diketahui bahawasanya kumpulan ini (Ahbash) adalah satu kumpulan sesat yang dicurigai yang ganjil dan wajib berhati-hati daripadanya.

Boleh lihat ulasan ini di laman web rasminya di sini dalam bahasa arab.

Ini Adalah penulisan oleh Dr Asri pada tahun 2008 semasa beliau menjadi Mufti Perlis, beliau juga dituduh kafir

Mufti Perlis S.S. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyebut di dalam akhbar Utusan Malaysia 20/1/08:

“Di Lebanon lahirnya puak yang dinamakan Ahbash. Pengasasnya seorang habsyi yang bernama Abdullah al-Harari. Beliau dikenali juga dengan al-Fattan, maksudnya penyebar fitnah. Beliau mendakwa berpegang kepada akidah asy’ari, bermazhab syafi’i, serta bertarikat. Beliau telah membentuk satu mazhab yang begitu ekstrim sehingga mengkafir dan menghalalkan darah sesiapa yang tidak sama dengan kefahaman-kefahaman yang beliau anjurkan.

Beliau mengkafirkan Ibnu Taimiyyah, Ibn Qayyim, Dr Yusuf al-Qaradawi, Mutawalli Sya’rawi, Dr. Ramadhan al-Buti, Muhammad bin Abdul Wahhab, Syed Qutb dan berbagai lagi. Juga mengkafirkan mijoriti umat Islam khususnya Arab Saudi. Berlaku huru-hara di Lebanon disebabkan sikap suka berbalah mazhab Ahbash ini sehingga mereka dikaitkan dengan pembunuhan bekas Presiden Rafiq Hariri.

Di Australia, tiga puluh enam persatuan Islam membantah sikap ekstrim mereka yang menimbulkan perbalahan di kalangan umat Islam di sana. Asas golongan Ahbash ini adalah berbalah berhubung dengan ayat-ayat sifat Allah dan berbalah sesiapa yang enggan terikat dengan satu mazhab dan berbagai kekarutan yang lain. Para ulama di peringkat antarabangsa telah menyenaraikan mereka ini dalam ajaran sesat. Itulah yang diputuskan oleh Mufti Mesir, Arab Saudi, Australis, Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr. Wahbah al-Zuhaili, Dr Ahmad Shalabi dan lain-lain.

Malangnya, mereka mula bergerak dan menyebarkan fahaman mereka di negara kita melalui bekas-bekas penuntut kita di sana dan buku-buku yang diedarkan. Apa yang ingin saya sebutkan, dalam keghairahan sesetengah pihak di negara kita menentang kebangkitan pemikiran pembaharuan ke arah Islam yang lebih terbuka, rasional dan dinamik, mereka menggunakan puak Ahbash ini untuk berceramah ke sana sini.

Jika di negara arab mereka mengkafirkan Dr. Yusuf al-Qaradawi dan tokoh-tokoh ulama yang lain, di Malaysia anak-anak buah Ahbash ini mengkafirkan insan biasa seperti saya dan sesiapa yang mereka pilih. Fitnah seperti biasa menjadi teras utama mereka. Atas alasan terlalu terbuka dalam menerima keluasan pandangan, lalu saya pun dikafirkan. Saya katakan kepada ustaz-ustaz ini, negara ini adalah negara yang aman. Pendekatan apabila berbalah mengkafirkan orang adalah melampaui batas yang akhirnya akan membawa kepada kekacauan dan keadaan yang menakutkan.”

Video: Kata-kata Dr Wahbah az-Zuhaili Dan Dr Yusof al-Qorodhawi Mengenai Ahbash

Nasihat Dari Dr Wahbah az-Zuhaili Video Pendek (2.10 minit)

Kritikan Dari Dr Yusof al-Qorodhawi

Seringan: Kritkan Dr Wahbah az-Zuhaili Mengenai Tauhid

Pautan Link Yang Boleh Kita Lihat Dengan lebih Mendalam mengenai Ahbash. Antaranya:

1. Anti Ahbash (Dua Bahasa:Arab Dan English)

2. Bank Ahbash (Menghimpun fatwa-fatwa dan pembuktian kesesatan ahbash)

3. al-Syeikh Hamid Bin Abdillah al-Aliy

Akhirnya, saya tidaklah tujukan penulisan ini kepada pengasas dan ahli kumpulan ini, biarlah Allah SWT mengadili perbuatan mereka. Cukuplah memberitahu bagi mereka yang ingin tahu, kerana apa yang saya risaukan adalah budaya ini tersebar dalam kalangan masyarakat, maka pada masa itu semakin sukar untuk kita mencari nilai titik persefahaman. Ya, sangat bahaya, bayangkan apabila semuanya menjadi musuh, maka amat sukar untuk kita berdamai. Cukuplah dengan persengketaan yang ada, tetapi masih lagi ada ruang dan peluang yang boleh dicari titik persefahamannya dengan izin Allah SWT.

Saya hanya mengharapkan keampunan dan keredaan daripada Allah SWT. Sentiasa berdoa agar umat Islam ini bersatu dalam memahami al-Quran dan as-Sunnah dalam kerangka yang sahih.

Sekian,

(Penulis: Muhammad Fathullah Al-Haq, 14/3/2012, Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan).

Sumber:http://fitrahislami.wordpress.com/2012/03/21/mengenali-jemaah-ahbash-yang-sesat/

2 comments:

  1. Assalaamu alaykum,

    dari apa yg sy baca di sini sepertinya tiada beza antara syiah dan ahbash. Benarkah begitu?

    ReplyDelete
  2. Harap para pembaca & penulis blog membuat rujukan di sini dulu sebelum membuat apa2 kesimpulan dengan ilmu yang dangkal :

    http://pondokhabib.wordpress.com/2009/05/11/fatwa-mufti-mesir-terbaru-mengenai-syeikh-abdullah-al-harari/

    ReplyDelete