Pages

Sunday, June 10, 2012

Kerenah orang Arab



PENGALAMAN berurusan serta berkomunikasi dengan masyarakat di Tanah Arab pada kunjungan umrah baru-baru ini memeningkan kepala saya berikutan terasa berbeza berbanding sewaktu saya mengerjakan haji  beberapa tahun lalu.

Bukan kerana urusan antara haji dan ibadah ini berbeza, sebaliknya yang pertama kerana bahasa Arab mula menjadi bahasa rojak. Masyarakat di sana mula menuju ke arah kerosakan bahasa, ditambah pula dengan faktor warga negara luar berhijrah ke Arab Saudi.

Kebanjiran warga asing di tanah Arab menyebabkan berlakunya percampuran bahasa kerana kebanyakan mereka bertutur sesuka hati dan tidak mengikut tatabahasa, sekali gus merosakkan bahasa itu yang asalnya sangat indah.

Jadi, usah terkejut jika kita mempelajari serta menguasai bahasa Arab dengan baik tetapi akhirnya menemui kesukaran untuk berkomunikasi di negara berkenaan.

Seorang teman saya yang berkesempatan menyambung pelajaran di sebuah pusat pengajian tinggi di sana menceritakan, sukar untuk berbicara serta bertutur bahasa Arab sebaik berada di negara berkenaan pada peringkat awal.

Mujur saja pengajar di sana memahami kesukaran yang beliau hadapi. Maklumlah, bukan mudah berkomunikasi dengan orang lain yang bercakap bahasa rojak.

Namun yang mengejutkan saya ialah, masalah sama turut dihadapi pelajar dari negara Arab. Cuma bezanya, masalah mereka bukan kerana tidak dapat berkomunikasi, sebaliknya tidak mampu membaca kitab yang tertulis bahasa Arab asli kerana terdedah dengan budaya bahasa rojak.

Kerana itu juga, mereka teruk dimarahi pengajar di sana berikutan dianggap memalukan bangsa sendiri. Inilah realiti yang berlaku terhadap sesuatu bahasa, termasuk di bumi Arab, dan bukan saja berlaku pada bahasa Malaysia yang diracuni pelbagai bahasa rojak.

Selain komunikasi, masalah lain dihadapi apabila bersama masyarakat ini adalah menghadapi dan melayan kerenah mereka. Sesiapa yang pernah berurusan dengan masyarakat di sini pasti biasa mendengar istilah ‘baksis’ atau dalam bahasa mudahnya ‘tips’.

Di sini juga, jangan berharap untuk meminta bantuan secara sukarela. Jauh lagi untuk mendapatkan pertolongan dengan konsep ‘lillahi taala’ kerana menjadi budaya masyarakat di sini semuanya berkehendakkan ganjaran, walaupun sedikit.

Saya pernah berkunjung ke Indonesia tahun lalu dan terkejut dengan budaya membayar tips untuk sesuatu pertolongan diminta.

Namun saya tidak merasa beban di Indonesia berikutan mereka tidak meletakkan harga dengan kita. Sebaliknya, berbeza dengan masyarakat di tanah Arab, serba serbi berkehendakkan tips dengan kadar yang ditentukan dan sangat tidak berpatutan.

Tambahan pula, apabila mereka melihat orang dari luar dan tidak begitu fasih berbahasa Arab, lagi mudah mereka memperkotak-katikkan kita. Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah selepas selesai mengerjakan saie di Safa dan Marwah.

Ketika itu saya terlupa membawa gunting untuk tujuan ‘tahallul’. Tahallul ialah apabila jemaah haji atau umrah disunatkan menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut selepas selesai menunaikan umrah. Mujur ada seorang bangsa Arab sudi meminjamkan gunting miliknya.

Namun selepas menggunting sedikit rambut, dia meminta kembali gunting dengan bayaran sebagai ‘kos’ perkhidmatan gunting yang disediakannya.

Lebih memeranjatkan, dia meminta 50 riyal bagi perkhidmatannya sehingga menimbulkan sedikit pertikaman lidah dengannya.

Itu belum lagi kisah teman saya pergi menggunting rambut di kedai gunting. Pada awalnya cuma 20 riyal, itupun dikira mahal kerana harga biasa cuma 10-15 riyal.

Selesai menggunting, tukang gunting itu sibuk pula mahu mencuci rambut. Walaupun ditolak, si tukang gunting seolah-olah menyatakan perkhidmatan itu dilakukan atas dasar semangat sesama Muslim.

Namun, selepas selesai dan mahu membayar, alangkah terkejutnya kerana caj keseluruhan adalah 100 riyal.

Saya juga pernah diceritakan oleh ibu, Arpah Mohd Nor, 60, apabila tiba di lapangan terbang Jeddah, berebut-rebut pekerja di sana ingin mengangkat beg jemaah yang tiba. Terasa sejuk hati melihat ‘keikhlasan’ mereka membantu, namun akhirnya dipaksa membayar sejumlah wang setelah selesai urusan mengangkat beg.

Kini saya pula berdepan situasi sedemikian. Caj dikenakan tidak munasabah kerana mencecah hampir 300-500 riyal.

Namun itulah kerenah yang perlu dihadapi apabila berdepan masyarakat Arab. Bukan saya mengatakan semua orang Arab begitu, tetapi boleh saya katakan majoritinya begitu.

Mereka juga gemar bersumpah dengan perkataan ‘Wallahi’ dalam tutur bicara, walaupun kadangkala mereka berdusta.

Setelah mengkaji kerenah bangsa ini, akhirnya saya bertemu sedikit jawapan melalui ayat yang dinyatakan dalam surah At-Taubah ayat 96-97, di mana Allah SWT berfirman: “Mereka bersumpah kepada kamu supaya kamu reda akan mereka; oleh itu jika kamu reda akan mereka, maka sesungguhnya Allah tidak reda akan kaum yang fasik.”

“Orang-orang Arab(padang pasir-kampung ) lebih keras kufurnya dan sikap munafiknya, dan sangatlah patut mereka tidak mengetahui batas (dan hukum syarak) yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

“Dan sebahagian dari orang-orang Arab (yang munafik) itu memandang apa yang mereka belanjakan (dermakan pada jalan Allah) sebagai satu bayaran yang memberatkan, sambil menunggu peredaran zaman (yang membawa bala bencana) menimpa kamu; atas merekalah (tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh) peredaran zaman yang buruk itu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Tidak hairan mengapa Nabi Muhammad SAW diturunkan ke atas bangsa Arab. Tidak dapat digambarkan bagaimana mulianya akhlak Nabi Muhammad SAW, sedangkan baginda daripada kalangan bangsa yang kebanyakannya rosak akhlak.

 ~Faridah Daud

1 comment: