Pages

Monday, June 18, 2012

Ruginya Islam Melayu bila berpecah



 
Ruginya Islam Melayu bila berpecah
RIDHUAN TEE ABDULLAH
21 Mei 2012

Ke mana saya pergi untuk berceramah, saya lihat rumah ibadat bukan Islam tumbuh macam kulat. Lebih menyakitkan lagi, jalan utama terpaksa dilencongkan kerana memberi laluan kepada pembinaan rumah berhala. Apakah ini wajar? Berapa banyak lagi rumah ibadat diperlukan sedangkan sedia ada sudah cecah 200,000 berbanding surau, masjid dalam lingkungan 30,000.

Semua ini begitu jelas berlaku selepas Pilihan Raya Umum 12, 2008. Perpecahan umat Islam mengakibatkan orang lain ambil kesempatan, menangguk di air keruh. Apa yang belum ada, diada-adakan; sudah ada, ditambah dan diperbaharui.

Justeru, saya amat mengharapkan dengan keluarnya orang Melayu daripada parti ultra kiasu Cina itu, dapat membuka mata kita semua agar umat Islam bertaut kembali. Dalam artikel kali ini, izinkan saya mengupas sebahagian sahaja, ruginya Islam dan Melayu, apabila mereka tidak bersatu.

Kedudukan agama Islam semakin terancam. Orang bukan Islam mahukan semua tuntutan Inter Faith Commission (IFC) dipenuhi sepenuhnya (rujuk artikel saya terdahulu). Agama Islam sebagai agama Persekutuan tidak lagi dihormati, sehinggakan majlis doa pun dipertikaikan, apatah yang lain.

Kes-kes berkaitan agama Islam, mudah sahaja dibawa ke mahkamah sivil. Misalnya, isu kalimah ALLAH yang mahu digunakan sewenang-wenangnya, bibel bahasa Melayu, kes murtad, perebutan mayat saudara baru dan sebagainya. Mahkamah syariah seolah-olah tidak lagi dihormati, apatah lagi untuk dirujuk.

Selain itu, peruntukan untuk rumah ibadat antara Islam dan bukan Islam sudah menjadi sama rata. Terbaru di Selangor, ahli majlis tidak akan meluluskan pembangunan taman perumahan baru selagi tidak memenuhi syarat, iaitu setiap taman perumahan mesti ada rumah ibadat semua agama. Apakah makna ini semua? Adakah keadilan bermakna seorang sebiji?

Berkaitan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 153, saya sudah tidak nampak masih ada kewujudannya dalam bentuk realiti semasa.

Boleh dikatakan apa jua keistimewaan mereka yang bergelar Melayu dan Bumiputera telah pun ada pada mereka yang selainnya. Lihatlah nanti isu kemasukan ke universiti dan pemberian biasiswa.

Kuasa politik Melayu Islam semakin terhakis. Tuntutan demi tuntutan semua parti komponen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat sentiasa mahukan keadilan berasaskan formula sama rata dan sama rasa. Dahulu kuasa politik Melayu Islam mendominasi, bukan Melayu tidak minat kepada kuasa, tetapi lebih kepada bisnes. Hari ini, mereka mahukan kedua-duanya, kuasa dan bisnes.

Dalam isu pendidikan, sekolah kebangsaan dan sekolah agama semakin terhakis. Peruntukan sudah menjadi sama rata, walaupun ada sedikit kelebihan pada sekolah kebangsaan. Sekolah vernakular semakin mendapat tempat, terutama isu penempatan guru-guru. Kita lebih mendengar kata-kata NGO daripada pakar pendidikan.

Kedudukan Bahasa Melayu semakin terancam, manakala bahasa Inggeris dan bahasa ibunda semakin mendapat tempat. Melihat kepada banner memprotes tindakan pihak berkuasa di Taman Desaria, Sg Ara atau di mana-mana sahaja protes yang majoritinya bukan Melayu. Bahasa Melayu langsung tidak mendapat tempat di hati mereka. Tinjaulah iklan-iklan yang berada di sekeliling.

Dalam bidang ekonomi usahlah diceritakan. Bilangan orang Islam yang kaya masih statik. Yang kaya sibuk kahwin artis. Orang Melayu semakin ramai diperalatkan. Pegawai kerajaan yang telah pencen bergelar Tan Sri dan Datuk, dipergunakan bagi mendapat tender sana sini.

Begitu juga dalam bidang sosial. Tidak perlulah dibincangkan isu gejala sosial. Lihat sahaja sektor makanan terus dikuasai bukan Melayu. Saya difahamkan kedai-kedai makan berbunyi Melayu dan Islam sudah tidak lagi dipunyai oleh mamak atau orang Islam, tetapi kepunyaan bukan Islam. Nama-nama Islam dan pekerja Islam dari India digunakan sewenang-wenangnya untuk melariskan produk.

Banyak lagi yang boleh dibincang dalam ruangan terhad ini. Justeru, saya ingatkan, Pas tidak perlu menyaingi Umno untuk menarik 100,000 anggota dalam perhimpunan parti itu di Kedah pada 1 Jun nanti sebagai respons kepada perhimpunan sambutan ulang tahun Umno yang berakhir minggu lalu.

Umat Islam tidak perlu bersaing untuk ‘menunjukkan kehebatan dan kekuatan’ dalam perkara politik yang membawa perpecahan. Tetapi biarlah kita bersaing dalam perkara membawa kebaikan seperti kekuatan ekonomi, pendidikan dan Kembalikan semangat jihad.
 

Pas dan Umno perlu buang prasangka buruk antara satu sama lain. Sekarang ini adalah masa bekerja untuk Islam. Berpolitiklah secara matang. Lupakanlah yang lain, termasuk dendam kesumat.
 
-------------------------------------------------------
 semoga kita termasuk dalam golongan si pintar....wallahu 'alam , semoga bermanafaat..

No comments:

Post a Comment