Pages

Monday, August 27, 2012

Khawarij dan Syi'ah Dalam Timbangan Ahli Sunnah

 
 
 
 
 
 
 
 
 
Ini adalah salah buku yang memiliki perbahasan tuntas tentang dua buah kelompok sesat yang lahir dalam sejarah Islam. Iaitu kelompok Khawarij dan Syi'ah. Pada fasa pertama buku ini, penulis berusaha keras dengan sumber-sumber yang autentik dan kredibel menjelaskan sekitar latar belakang, sejarah, bahaya, dan karektor-karektor utama dua kelompok sesat ini terbesar ini.
 
Antaranya, penulis bahaskan dan bentangkan sejarah dan perkembangan kemunculan firqah al-Khawarij ini yang merupakan antara kelompok sesat ahli bid'ah yang paling pertama dan awal sekali muncul dalam sejarah perkembangan Islam. Dari firqah Khawarij inilah kemudian munculnya firqah-firqah lainnya termasuk Syi'ah yang turut sama penulis bahaskan dalam buku ini.
 
Antara lain yang penulis bahaskan dalam skop khawarij adalah tentang hadis-hadis khusus dan umum tentang khawarij. Di mana Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam sendiri telah mengisyatakan akan munculnya kelompok atau firqah sesat ini. Kemudian penulis bahaskan sekitar kemunculan khawarij secara terang-terangan di zaman 'Ali dan perdebatan 'Abdullah Ibn 'Abbas dengan kelompok tersebut.
 
Penulis juga turut mengemukakan dialog-dialog yang berlaku di antara khalifah 'Ali B. Abu Thalib dengan kelompok khawarij di masanya sehingga tercetusnya peperangan, pemberontakan, dan huru-hara. Kemudian dijelaskan pula sikap umat Islam, para ulama (para sahabat), dan khalifah 'Ali sendiri terhadap mereka pada ketika itu.
 
Kemudian, penulis jelaskan pula sifat-sifat dan karektor-karektor utama kelompok khawarij yang antaranya suka berlebih-lebihan dalam agama, ekstreme, jahil terhadap agama, memandai-mandai membuat tafsiran terhadap al-Qur'an, mengabaikan tafsiran para sahabat Nabi terhadap al-Qur'an, meninggalkan ketaatan terhadap pemerintah, mengkafirkan pelaku dosa, memerangi dan menghalalkan darah kaum muslimin terutamanya darah pemerintah, suka membuat provokasi dan kekacauan, bermudah-mudah dalam menyesatkan umat Islam, berburuk sangka, bersikap keras terhadap umat Islam dan bersikap lunak terhadap para penyembah berhala.
 
Semua ini penulis bahaskan bersama-sama dengan dalil dan bukti-bukti sejarah. Kemudian penulis kemukakan bantahan-bantahan ilmiyah terhadapnya. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]
 
Setelah itu, penulis kupas dan bongkar pula gerakan-gerakan khawarij yang berlaku di zaman moden. Yang mana mereka ini terbahagi kepada banyak kumpulan tetapi dengan ideologi dan fahaman yang saling tidak tumpah dengan karektor nenek-moyang mereka. Maka, ikutilah perbahasan demi perbahasan yang penuh mendebarkan lagi mengejutkan tentang sikap sebenar khawarij ini. Kerana pemikrian mereka memang sedang banyak tersebar di sekeliling kita pada hari ini.
 
Sepintas lalu tentang khawarij dan salah satu karektor utamanya
 
Mengusik kehormatan dan kredibiliti pemerintah dengan cara memaki-hamun, mencela, menyebarkan aibnya, dan mengkritik mereka secara terbuka adalah satu bentuk kesalahan yang amat besar di sisi Islam. Bahkan ia termasuk benih-benih pemberontakkan terhadap pemerintah yang menjadi sebab rosaknya agama, tergugatnya keamanan, dan menghilangnya kemaslahatan dunia sekaligus.
 
Perbuatan mengecam dan memburuk-burukkan pemerintah adalah satu bentuk bid’ah yang sengaja diada-adakan dalam perlaksanaan amar ma’ruf nahi mungkar. Ia mula dicipta oleh seorang tokoh Yahudi bernama ‘Abdullah B. Saba’ yang berpura-pura memeluk Islam ketika zaman pemerintahan Khalifah ‘Utsman B. ‘Affan radhiyallahu ‘anhu. Disebabkan fitnah yang direka dan disebarkan oleh ‘Abdullah B. Saba’ inilah akhirnya sejarah Islam menjadi kacau-bilau sehingga terbunuhnya ‘Utsman dan ‘Ali.
 
Ideologi yang beliau cetuskan tersebut kemudian tersebar hingga meracuni dan memperdaya sebahagian kelompok umat Islam ketika itu. Keadaan ini mengakibatkan munculnya firqah-firqah sesat seperti Khawarij dan syi’ah, seterusnya dari Khawarij lahir pula Murji’ah, Qadariyah, dan Muktazilah.
 
Lebih awal dari itu, pemikiran mencela pemimpin secara terbuka ini juga telah wujud sejak hayat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lagi. Bahkan celaan tersebut diungkapkan terus kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tanpa segan-silu di hadapan umum. Orang yang mencela Rasulullah tersebut dikenali sebagai Dzul Khuwaishirah sebagaimana kata Imam Ibnul Jauzi rahimahullah.
 
Beliau menuntut serta menggertak Rasulullah supaya berlaku adil dan bertaqwa kepada Allah kerana pada anggapannya Rasulullah telah berlaku khianat dalam suatu proses pembahagian harta ghanimah ketika itu.
 
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada ketika itu pun marah dengan celaannya lalu mengatakan:
 
“Celakalah engkau, siapa lagi yang dapat berlaku adil jika aku dikatakan tidak adil? Benar-benar celaka dan rugi jika aku tidak dapat berlaku adil.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 3610)
 
Kemudian orang tersebut pun berlalu pergi.
 
Dalam riwayat yang lain setelah orang ini pergi, Rasulullah pun bersabda (kepada para sahabatnya yang hadir ketika itu):
 
“Sesungguhnya daripada orang ini akan muncul sekumpulan manusia yang hebat membaca al-Qur’an tetapi bacaannya tidak melepasi kerongkongan. Mereka terlepas dari batas-batas Islam sebagaimana anak panah menembusi tubuh buruannya. Mereka membunuh ahlul Islam dan membiarkan hidup ahlul Autsan (penyembah berhala). Jika aku sempat menemui mereka, nescaya akan aku perangi (bunuh) mereka sebagaimana dibunuhnya kaum ‘Aad.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 7432)
 
Ketika membahaskan hadis-hadis ini dan yang berkaitan, Imam Ibnul Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H) pun mengatakan, “Dzul Khuwaishirah adalah tokoh khawarij yang pertama sekali muncul dalam sejarah Islam. Ia menganggap dirinya dalam kebenaran berdasarkan sangkaannya semata-mata.
 
Dia tidak memahami bahawa pendapat Rasulullah-lah yang perlu diutamakan dan didahulukan berbanding segala pandangan yang lain. Kemudian daripada Dzul Khuwaishirah ini lahir pula kelompok yang memisahkan diri dari ketaatan terhadap pemerintahan ‘Ali radhiyallahu ‘anhu.” (Talbis Iblis, m/s. 81-82 – Maktabah Syamilah)
 
Fitnah-fitnah pemisahan dari ketaatan terhadap pemerintahan ‘Ali tersebut pun akhirnya mengobarkan api kebencian dan pemberontakan. Termasuk di dalamnya adalah fitnah perang Jamal dan Siffin yang mengakibatkan para sahabat bertembung sesama sendiri akibat diapi-apikan oleh kelompok ketiga berideologikan khawarij.
 
Pada sela-sela masa seterusnya muncullah tokoh-tokoh khawarij lainnya mewarisi ideologi dua tokoh utama mereka ini (Dzul Khuwaishirah dan ‘Abdullah B. Saba’). Antaranya adalah seperti ‘Abdullah B. Muljam yang telah membunuh ‘Ali radhiyallahu ‘anhu ketika sedang keluar untuk solat Subuh dengan pedang yang disapu racun. Manakala sekutu ‘Abdullah B. Muljam iaitu al-Barak B. ‘Abdullah dan Amr B. Bakar at-Tamimi yang merancang membunuh Mu’awiyah B. Abu Sufyan dan Amr B. Al-‘Ash. ‘Abdullah B. Muljam adalah seorang yang kuat beribadah dan hebat bacaan al-Qur’annya, namun sayang manhaj berfikirnya menyimpang dari methodologi para sahabat dalam memahami nash-nash agama.
 
Di zaman al-Hasan B. ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma, ketika beliau hendak melaksanakan perdamaian dan menyerahkan pemerintahan kepada Mu’awiyah B. Abu Sufyan, muncul pula tokoh bernama al-Jarrah B. Sinan. Beliau tampil mencela al-Hasan dan Ayahnya ‘Ali radhiyallahu ‘anhu. Tanpa teragak-agak, al-Hasan pun membunuhnya.
 
Setelah fasa pemerintahan ‘Ali hingga Mu’awiyah B. Abu Sufyan, muncul pula nama Mirdas B. Udayyah dan Nafi’ B. Al-Azraq. Mirdas B. Udayyah adalah tokoh yang lahir dari serpihan pemberontak di zaman ‘Ali radhiyallahu ‘anhu yang kemudiannya memimpin pemberontakkan menentang pemerintahan Yazid B. Mu’awiyah. Di antara sikap beliau adalah suka mencari-cari kesalahan pemimpin dan mencanangnya untuk memburuk-burukkan.
 
Ziyad B. Kusaib menceritakan:
 
Pada suatu masa pernah aku berada tepat di bawah mimbar Ibnu ‘Amir bersama-sama Abi Bakrah. Ketika itu Ibnu ‘Amir sedang memberi khutbah dengan mengenakan pakaian yang nipis (jarang). Lalu Abu Bilal berteriak, “Lihatlah pemimpin kita ini, dia mengenakan pakaian orang fasiq!”
 
Maka, Abi Bakrah pun berkata, “Diamlah, bahawasanya aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang menghina penguasa Allah di muka bumi, nescaya Allah akan menghinakannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Kitab al-Fitan, no. 2224. Al-Iraqi berkata, isnadnya sahih dan at-Tirmidzi menghasankannya. Al-Albani menilai sahih dalam Shahih Sunan at-Tirmidzi)
 
Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) berkata:
 
“Abu Bilal dalam hadis tersebut adalah Mirdas B. Udayyah, seorang yang berfahaman Khawarij. Disebabkan kebodohannya, beliau pun menganggap pakaian nipis bagi kaum lelaki sebagai pakaian orang fasiq.” (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 3/20 dan 14/508)
 
Kisah-kisah berkaitan kekacauan akibat fitnah ideologi khawarij ini tidak berhenti setakat itu. Bahkan ia terus berlangsung seiring dengan beredarnya zaman. Termasuklah zaman kita hari ini.
 
Di antara syi’ar utama kelompok khawarij ini adalah mereka sentiasa berusaha mengambil kesempatan di atas kelemahan para pemerintah umat Islam bagi tujuan memisahkan diri dari ketaatan terhadap kepimpinannya dan berhajat mengambil alih tampuk kuasa tersebut dengan apa jua cara walapun jelas dilarang oleh agama. 
 
Mereka menganggap perbuatan memisahkan diri dari ketaatan terhadap pemerintah sebagai salah satu bentuk sarana amar ma’ruf nahi mungkar dan termasuk amalan jihad yang mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
 
Selain itu, mereka juga dikenali memiliki keyakinan (fahaman) bahawa sesiapa sahaja yang melakukan dosa besar adalah kafir. Walaupun adakalanya penetapan dosa tersebut hanya pada andaian mereka semata-mata. Mereka juga terkenal dengan sikap terburu-buru dalam menyesat dan mengkafirkan umat Islam atas alasan dosa besar.
 
Imam al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H) berkata:
 
“Dan sesiapa yang keluar dari ketaatan terhadap para pemerintah umat Islam maka mereka termasuk golongan khawarij. Mereka bertindak memecah-belahkan perpaduan umat Islam dan menentang sunnah. Sekiranya mereka mati, matinya adalah mati jahiliyyah. Tidak boleh mengangkat senjata memberontak (atau memerangi) pemerintah dan tidak boleh keluar dari ketaatan terhadapnya walaupun pemimpin tersebut seorang yang jahat.” (Syarhus Sunnah, no. 33)
 
Para ulama ahli sunnah menjelaskan pemberontakan terhadap pemerintah yang paling ringan adalah memusuhi dengan hati, kemudian celaan atau hasutan kebencian dengan lisan, dan yang paling berat adalah dengan tangan dan senjata. Menurut Imam asy-Syahrastani rahimahullah (Wafat: 548H) dalam kitabnya al-Milal wa an-Nihal, pemerintah dalam persoalan ini tidak terhad kepada zaman ketika Khulafa’ al-Rasyidin atau tabi’in semata-mata, tetapi juga termasuk para pemerintah umat Islam di setiap zaman. Sama ada pemerintah yang adil, zalim, mahupun yang fasiq. Ini sebagaimana kata beliau:
 
“Al-Khawarij, al-Murji’ah, dan al-Wa’idiyyah digunakan untuk menyebut semua kelompok masyarakat yang keluar dari ketaatan terhadap pemerintah yang sah dan diperakui oleh jama’ah (majoriti) umat Islam. Istilah khawarij digunakan untuk menyebut kelompok masyarakat yang keluar dari ketaatan dan tidak mengakui keabsahan pemerintah yang dilantik sama ada pada zaman para sahabat, khulafa’ur Rasyidin, tabi’in, atau pada masa setelah itu di setiap zaman.” (al-Milal wa an-Nihal, 1/113 – Daar al-Ma’rifah)
 
Imam al-Ajurri rahimahullah (Wafat: 360H) menegaskan bahawa khawarij adalah kaum yang jahat lagi derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka dikenali rajin beribadah seperti solat malam, berpuasa, dan membaca al-Qur’an, tetapi kebaikan mereka ini sedikitpun tidak memberi manfaat. Kerana mereka memahami nash-nash agama dengan kaedah dan tafsiran yang menyeleweng lagi mengikuti hawa nafsu. Kata beliau:
 
“Para ulama sepakat menyatakan bahawa khawarij adalah suatu kaum yang jahat dan derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya walaupun mereka solat, berpuasa, dan bersungguh-sungguh dalam ibadah. Tetapi kebaikan yang mereka usahakan itu tidaklah memberi sebarang manfaat sedikitpun untuk mereka kerana mereka telah menyelewengkan makna ayat-ayat al-Qur’an bersesuaian dengan hawa nafsunya. 
 
Mereka juga menonjolkan amalan amar ma’ruf nahi mungkar, tetapi ia tidak bermanfaat bagi mereka. Kerana mereka gemar menafsirkan al-Qur’an dengan hawa nafsu dan menipu umat Islam. Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah memberi peringatan kepada kita dari bahaya dan kesesatan mereka. Begitu juga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para khulafa al-Rasyidin, para sahabat radhiyallahu ‘anhum, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik turut mengingatkan. 
 
Khawarij ini dan yang sealiran dengannya adalah orang-orang yang jahat, najis, dan kotor. Mereka saling mewarisi fahaman sesat ini sejak dahulu sehinggalah sekarang. Mereka memisahkan diri dari para pemerintah umat Islam, sehingga ada dari mereka yang menghalalkan tindakan membunuh umat Islam.” (al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/22)
 
Kemudian beliau memberikan satu peringatan tegas untuk kita semua dengan katanya:
 
“Sungguh-sungguh aku telah menyebutkan peringatan (tahdzir) terhadap mazhab khawarij. Yang mana pada peringatan tersebut mengandungi khabar bagi orang yang dipelihara oleh Allah ‘Azza wa Jalla yang maha Mulia dari mazhab al-khawarij, dan supaya tidak berpegang dengan mazhab mereka, dan hendaklah bersabar dengan kezaliman para pemimpin, juga dengan ketidak-adilan pemimpin, dan tidak keluar dari ketaatan kepada mereka dengan senjata (pedang).
 
Kita berharap kepada Allah yang maha Agung supaya menghilangkan kezaliman darinya, juga dari semua kaum muslimin, dan mendoakan para pemimpin dengan kebaikan. Juga bersama-sama dengan mereka dalam melaksanakan haji, berjihad menentang musuh umat Islam, solat juma’at dan solat dua hari raya bersama mereka. Sesiapa yang bersifat seperti ini bererti dia berada di atas jalan yang lurus, insyaAllah.” (al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/37)
 
Bibit-bibit pemisahan diri dari ketaatan terhadap pemerintah biasanya bermula dengan perasaan iri dan dengki di dalam hati. Kemudian dengan provokasi kebencian melalui lisan mahupun tulisan.
 
Ini akan mengakibatkan fitnah yang lebih besar lagi seperti perselisihan, pertengakaran, kebencian, kemarahan, dan perpecahan. Sehingga akhirnya akan mengakibatkan sikap anti pemerintah dan mungkin pergolakkan di kalangan rakyat untuk menuntut revolusi. Akhirnya mungkin akan membawa kepada pertembungan di antara rakyat dengan pemerintah.
 
Fenomena seperti ini bukan sahaja berlaku pada zaman awal Islam, tetapi terus berlarutan di setiap zaman. Termasuk yang terbaru sebagaimana sedang berlaku di Timur tengah seperti di Tunisia, Mesir, Libya, Bahrain, dan Yaman sekarang. Kesudahan dari perkara ini amatlah buruk, iaitu hilangnya keamanan, rosaknya harta benda, hilangnya jiwa (pertumpahan darah), merugikan masa, dan bahkan hingga hilangnya kedaulatan negara.
 
Oleh itu, berhati-hatilah dalam bersikap terhadap para pemimpin. Hendaklah kita melazimi manhaj ilmu, sabar, dan bertindak di atas maslahah serta kaedah yang benar. Tidak mengikuti hawa nafsu, emosi, dan kebencian sehingga mengikuti jejak langkah kaum sesat Khawarij. Yang kemudian dari fahaman khawarij tersebut menyebabkan munculnya pelbagai bentuk kesesatan dan penyimpangan lainnya. [Hak cipta Atsar Enterprise, www.atsar.ilmusunnah.com. Tidak dibenarkan membuat salinan tanpa kebenaran]
 

No comments:

Post a Comment