Pages

Sunday, September 16, 2012

Lambaian terakhir seorang pejuang…..

lambaian terakhir 300x222 Lambaian terakhir seorang pejuang.....
Lambaian terakhir Sheikh Raed Solah di Malaysia…

Sebaik sahaja memenuhi jemputan keluarga terdekat di Kuantan, saya menggesa anak-anak dan isteri agar bersiap segera untuk ke KLIA untuk bertemu dengan Sheikh Raed Solah, tokoh pejuang pembebasan al Quds yang juga dikenali sebagi Sheikh al Aqsa.



Ini mungkin peluang terakhir untuk kami sekeluarga dan teman-teman bertemu dengan beliau yang sedang menyempurnakan detik-detik terakhir amanahnya di bumi Malaysia setelah berada di sini selama 11 hari.
Sheikh Raed Solah adalah seorang tokoh besar perjuangan Palestin yang disegani kawan dan lawan. Beliau telah membuat keputusan untuk mewakafkan setiap titisan keringatnya dan setiap detik waktunya demi perjuangan mulia untuk membebaskan Masjid al Aqsa yang telah ditawan musuh buat seklain lamanya.

Percubaan untuk membawa tokoh yang digeruni Zionis ke Malaysia kali ini bukanlah satu usaha yang mudah setelah pelbagai cubaan dibuat mulai beberapa tahun yang lalu. Jadualnya yang padat dengan agenda besar al Aqsa ke seluruh dunia beserta sekatan Israel, ugutan bunuh dan pemenjaraan regim Zionis kepadanya, menyebabkan usaha ini hampir mustahil. Namun ketentuan Allah swt mengatasi segala-galanya.

Sebaik sahaja sampai ke Malaysia, Sheikh A Aqsa telah memenuhi pelbagai undangan dan program yang disusun samada di dalam bentuk ceramah, seminar, kuliah, dialog terbuka, perbincangan dan sebagainya. Beliau juga telah bertemu dengan beberapa pemimpin utama di negara ini diantaranya TG Dato Haji Abdul Hadi Awang, DS Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kehadirannya yang dinantikan oleh orang ramai terutamanya di kalangan pencinta perjuangan Palestin amat dirasai. Beliau juga telah memenuhi ratusan permintaan di kalangan orang ramai yang ingin mengambil foto kenanga bersamanya.

Walau pun jadualnya jelas padat, beliau kelihatan begitu menghormati permintaan orang ramai dan sentiasa mencuba untuk memenuhi pelbagai hajat masyarakat Malaysia. Keletihannya agak ketara di hari-hari terakhir beliau berada di Malaysia apabila beberapa kali kelihatan tertidur ketika membaca al Qur’an atau pun ketika sedang berzikir.

Kalimah jihad dan perjuangan sentiasa menjadi tajuk perbualan dan perbincangan di antara beliau dengan sesiapa sahaja yang menjumpainya.

Kalau dulunya kita perhatikan bahawa kebanyakan sumbangan rakyat Malaysia agak terfokus kepada para pelarian di luar Palestin, kemudian kepada bantuan kemanusiaan ke Gaza. Namun, anjakan yang diharapkan daripada kedatangan beliau ke Malaysia ialah dengan berlakunya peningkatan sokongan daripada rakyat dan pemimpin Malaysia kepada perjuangan pembebasan Al Aqsa dan juga kepada umat Islam yang tinggal di Palestin 1948 (atau dikenali sebagai Israel sekarang).
 (Sheikh Raed Solah sendiri adalah pemegang pasport Israel kerana beliau tinggal di Ummu Fahm yang telah dijajah israel sejak sekian lamanya).

Apabila ditanya beberapa kali tentang kemungkinan bilakah beliau akan ke Malaysia semula, beliau menjawab dengan lembut tetapi tegas, “Insya allah saya tidak akan ke Malaysia lagi, selepas ini kita berjumpa di Masjid al Aqsa setelah ianya dibebaskan”.

Begitulah optimisnya jawapan tokoh perjuangan ini. Semoga kesan kehadirannya di Malaysia akan terus membangkitkan semangat perjuangan serta meningkatkan gelombang perubahan bagi memertabatkan Islam di Malaysia dan dunia antarabangsa umumnya serta di bumi Baitul Maqdis dan Palestin khususnya.



al aqsa 300x250 Lambaian terakhir seorang pejuang.....
Al Aqsa pastinya akan bebas jua….


Sebagai pecinta perjuangan ini, saya merasakan bahawa detik perpisahan kali ini adalah di antara detik perpisahan yang sangat berat untuk saya tempohi. Entah bila pula akan berpeluang untuk bertemu dengan beliau di Masjid al Aqsa, apatah lagi untuk menyertai misi barisan pejuang di dalam agenda pembebasan Masjid al Aqsa dan bumi Palestin yang tercinta.


Raed Solah 2 223x300 Lambaian terakhir seorang pejuang.....
Kenangan manis bersama Sheikh Raed Solah….

Penghargaan sumber foto :
Sdr Azmir & Fauzi daripada Aman Palestin Bhd.

//zainurrashid.com/

No comments:

Post a Comment