Pages

Monday, January 28, 2013

Gejala Lubang Dhab’ Dalam Sosiologi Islam



Gambah hiasan: Kuala Abai, Kota Belud, Sabah


Polemik Maulid Nabi Isa

Maulid Nabi Isa baru berlangsung pada 25 Disember. Dikatakan bahawa pada hari itulah Nabi Isa dilahirkan oleh perawan suci, Maryam di Palestin. Lalu masyarakat Nasrani menyambut hari penuh sejarah dengan sebuah semangat keagamaan dalam rangka ibadah dan juga dakwah. Mengharap agar Allah Ta’ala menganugerahkan pahala dan semoga manusia yang lalai akan kembali mengingat perjuangan Nabi Isa.

Namun rupanya bukan semua penganut Nasrani percaya Nabi Isa dilahirkan pada tarikh tersebut. Lebih menarik lagi, terdapat beberapa negara dan Gereja Nasrani (iaitu mazhab) yang menyambut Maulid Nabi Isa pada awal Januari. Demikianlah silang pandang berlaku dalam hal Maulid Nabi Isa: ada yang merayakannya dan ada yang membid’ahkannya.

Ulama’ Nasrani pernah mengharamkan perayaan Maulid Nabi Isa sekitar kurun ke 17 di England dan beberapa tempat di Amerika. Pada tahun 1644, sebuah deklarasi oleh Parlimen England menyatakan ‘bersalah untuk merayakan Maulid Nabi Isa’ yang konsekuensinya adalah tindakan undang-undang boleh diambil. Menurut Charles Halff, Pengarah The Christian Jew Foundation, Ulama’ Nasrani di England waktu itu menetapkan bahawa Maulid Nabi Isa adalah perayaan Syaitan. (lihat What Does The Bible Really Teach?)

Begitu pula Mahkamah Umum Massachusetts pada 1650 menetapkan sebuah kenyataan: “Barangsiapa yang didapati merayakan Maulid Nabi Isa, atau dengan cara yang lain… akan didenda sebanyak 5 siling”. (lihat What Does The Bible Really Teach?)

Para ulama’ Nasrani dari beberapa mazhab telah menyatakan bahawa ajaran asal Nasrani tidak ada menyebut sebarang dalil tentang perayaan tersebut. Malah mereka berkata bahawa Injil juga tidak pernah menyuruh umat Kristian beribadah kepada Tuhan Isa melalui sambutan hari lahir. Dalam buku Sacred Origins of Profound Thing terdapat pernyataan  selama dua kurun selepas kelahiran Isa, tidak ada seorang pun atau sejumlah orang, yang tahu secara pasti bila baginda dilahirkan.

Hal yang sama dinyatakan dalam Encyclopedia Britannica: “Perayaan Krismas tidak ada dalam zaman awal Gereja”. Lebih menarik, sebuah pertanyaan retorik telah dilontarkan: “Sekiranya para murid Isa mengetahui dengan tepat tarikh lahir baginda, tetapi kenapa mereka tidak menyambut acara tersebut?” Ini kerana “sambutan tarikh lahir adalah upacara masyarakat pagan sebelum diutusnya Isa”.

Gereja Jehova’s Witnesses, Gereja Unitarian, Gereja Presbyterians, Gereja Baptis, Gereja Methodis dan beberapa gereja lain mendapati Injil menerangkan bahawa Nabi Isa lahir sekitar bulan Oktober dan tidak ada anjuran kepada umat Kristian menyambut Hari Kelahiran Nabi Isa, serta pengamalan para salaf (generasi awal) kaum Nasrani menunjukkan bahawa mereka tidak pernah merayakannya, ditambah lagi dengan asal muasal acara tersebut yang diambil dari agama pagan, menatijahkan bahawa Maulid Nabi Isa adalah bid’ah lagi mungkar.

Masyarakat pagan Rom menyambut kelahiran matahari (natalis solis invicti) yang mereka istilahkan sebagai ‘saturnalia’ pada 25 Disember setiap tahun. Pada waktu ini, masyarakat pagan melakukan acara bertukar-tukar hadiah dan saling kunjung mengunjungi.

Setelah agama Kristian menjadi agama rasmi kerajaan Rom maka berlakulah perbenturan dua budaya yang akhirnya terjalin proses akulturasi, akomodasi dan asimilasi antara mereka: antara nilai baharu iaitu ajaran Nasrani dengan nilai budaya lama iaitu paganisma.


Semuanya Metode Dakwah 

Justeru dalam memenangi hati masyarakat pagan agar mereka tertarik dan lunak memeluk agama Nasrani – dengan niat tulus suci murni – Pope Gregory Pertama mengeluarkan fatwa kepada Augustine – Archbishop of Cantebury – untuk mengadaptasi perayaan-perayaan pagan yang sedia ada ke dalam agama Nasrani. Lalu pada 25 Disember setiap tahun, masyarakat Rom tidak lagi menyambut kelahiran matahari pada musim sejuk sebaliknya mereka menyambut kelahiran ‘matahari’ lain iaitu Nabi Isa, yang menyinari dunia dengan kebenaran.

Gereja Katolik berhujjah bahawa adaptasi ini dilakukan untuk matlamat dakwah: dakwah kepada orang kafir dan dakwah kepada orang yang telah beriman. Orang kafir akan lebih dekat dengan agama Nasrani lalu akhirnya mudah diajak untuk beriman. Sementara masyarakat Kristian pula akan menyelak lembaran sejarah perjuangan Nabi Isa lalu berputiklah perasaan cinta kepada Baginda.

Gereja Katolik melihat tentang tidak ada anjuran dari Injil dan para sahabat Nabi Isa terhadap Mawlid ini, bukanlah menjadi hujah kepada keharamannya kerana tidak ada pula tegahan terhadap upacara ini.

Justeru ia adalah termasuk dalam hal yang tidak disinggung oleh nash, sebaliknya bergantung kepada fiqhul waqi’ (fiqh kondisi) dan ijtihad para ulama’ Nasrani.

 Malah semakin jauh umat Nasrani dari zaman Nabi Isa maka semakin mendesak upacara semacam ini dihidupkan kerana manusia semakin lalai dan ingkar kepada agama.

Sebuah pertanyaan dilontarkan oleh Gereja Katolik kepada gereja-gereja lain dalam menghadapi isu ini: “Apakah sebuah niat yang murni – kerana Allah dan dakwah – dilaksanakan, sementara tidak ada larangan secara nyata dari Injil, walaupun para generasi awal tidak melakukannya, tetapi keadaan sekarang mengharuskannya, lalu perbuatan ‘baik’ ini dianggap dosa dan akan dihukum Tuhan”?

Namun gereja lain membantah dengan mengatakan bahawa tatacara ibadah dan perayaan, merupakan perkara tauqifiyah – yang ditetapkan oleh Allah dan Nabi Isa – di mana akal manusia tidak patut campur tangan. Injil jelas menyebut: “Inilah hari-hari raya yang ditetapkan Tuhan, hari-hari pertemuan suci, yang harus kamu maklumkan masing-masing pada waktunya yang tetap.” (Imamat 23:4).


Memasuki Lubang Biawak 

Inilah serba sedikit gambaran daripada perpecahan yang melanda umat Nasrani. Tetapi rupanya perpecahan dalam Islam lebih banyak. Rasulullah saw bersabda: “Ketahuilah, bahwasanya umat sebelum kalian dari ahlul kitab telah berpecah-belah menjadi 72 golongan. Dan sungguh umat ini akan berpecah-belah menjadi 73 golongan; 72 golongan akan di neraka, satu golongan akan masuk syurga. Para sahabat bertanya tentang golongan tersebut, lalu Rasulullah saw bersabda:  iaitu golongan yang aku dan sahabatku berada di atasnya.” (Riwayat At Tirmidzi)

Namun perpecahan dalam umat Islam tidak tampak pada mata kasar berbanding umat Nasrani. Terkadang kita melalui sebatang lorong yang dipenuhi dengan banyak gereja: setiap mazhab mendirikan gereja masing-masing. Umat Islam tidak sebegitu, mereka tidak mendirikan masjid baharu tetapi perpecahan berlaku dalam jemaah masjid. Setiap aliran akan berusaha untuk menguasai pentadbiran masjid dan membanyakkan jumlah pengikut dari kalangan jemaah masjid.

Perpecahan yang dimaksudkan adalah dari sisi ‘kerangka fikir beragama’ atau diistilahkan sebagai manhaj aqidah. Bukan perbezaan antara mazhab fiqh; seperti Hanafiyah, Malikiyah, Syafiiyah dan Hanabilah. Kerana perbezaan fiqh telah terjadi pada saat Nabi masih bernafas lagi, namun mereka – para sahabat – memiliki manhaj aqidah yang sama.

Benar seperti penjelasan Imam Ibnu Baththah: 

 “Generasi pertama (dari umat ini) seluruhnya sentiasa berada di atas jalan yang satu, di atas kata hati yang satu, dan mazhab yang satu (sama). Al Qur’an adalah pegangan mereka. Sunnah Rasulullah saw adalah imam mereka. Mereka tidak menggunakan berbagai pendapat dan tidak pula bersandar pada hawa nafsu. Mereka senantiasa berada dalam keadaan seperti itu.” (Sittu Durar)

Dalam berpecahnya manhaj aqidah umat Islam ini, rupanya kebanyakan aliran-aliran yang menyelisihi ‘pemahaman Nabi dan sahabat’ berpunca apabila mengikuti cara Ahli Kitab berfikir. Mereka terjatuh dalam lubang yang dibuat oleh umat terdahulu. Apa yang mereka alami telahpun ditempuh oleh Ahli Kitab, terutamanya Nasrani.

Apa sahaja jalan pemikiran dan perbuatan yang lalukan oleh Ahli Kitab terhadap kehidupan, lebih-lebih lagi dalam hal keagamaan, akan ditiru oleh kebanyakan umat Islam hari ini. Betapa banyak upacara keagamaan mereka yang kita ambil lalu kita pakaikan dengan jubah Islam.

Walhal upacara tersebut tidak dikenal oleh salaf as soleh – generasi terbaik dari umat ini. Sepertimana para hawariyun (murid Nabi Isa) dan murid mereka tidak mengenal Mawlid Nabi Isa, malah jauh sekali dari mengenal Encik Santa serta lagu Jingle Bells.

Segala perbuatan ini rupanya telah Rasulullah saw khabarkan kepada para sahabat:

Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi saw menjawab : “Siapa lagi kalau bukan mereka?” (Riwayat Muslim)

Maka dalam daftar ilmu sosiologi Islam, perbuatan tasyabbuh (meniru) kepada Ahli Kitab dalam beragama, boleh istilahkan sebagai Gejala Lubang Dhab.

oleh: Sdra. Mohd Radzi b Othman.


Penulis merupakan Setiausaha Pertubuhan Ilmuan Malaysia. Kini bertugas di Kota Kinabalu, Sabah.

http://ilmuanmalaysia.com/gejala-lubang-dhab-dalam-sosiologi-islam/

1 comment:

  1. Ralat Nabi Isa, bukan lahir pda tgal 25 Desember,... Tapi 15 Tishri, Yakni Bulan ke 7 penanggalan Ibrani......

    ReplyDelete