Pages

Tuesday, June 11, 2013

Daawah yang Tulus..


DAKWAH YANG TULUS........

Suhaimi seorang pelajar yang cemerlang. Namun ketika mengaji di luar negara, Suhaimi mendapat tamparan hebat apabila mendapat berita keluarganya mati dalam satu kemalangan.

Hanya tinggal Suhaimi seorang di luar negara. Selepas menyelesaikan segalanya, Suhaimi pulang mengaji di luar negara.

Kesedihan melampau Suhaimi menyebabkan beliau hilang arah. Hatinya perit dan mindanya lesu, dan ada kalanya terfikir untuk membunuh diri.

Akhirnya Suhaimi terjebak dengan arak. Arak yang memabukkan mengkhayalkan Suhaimi daripada kesakitan di dunia ini. Suhaimi juga mula terlupa menjaga solat.

Rakan-rakan serumah mula mengesan perubahan Suhaimi. Rakan karib beliau Mat Lutfi sedih melihat keadaan Suhaimi. Beliau cuba membantu sedaya upaya untuk menyelamatkan rakan karibnya.

“Dia sahabat ana. Ana tak akan tinggalkan dia. Ana akan selamatkan dia,” kata Mat Lutfi kepada rakan-rakan serumah yang ingin menghalau Suhaimi keluar dari rumah.

“Ustaz ana mengajar saya sejak kecil kena jauhi orang yang tidak jaga solat walau apa alasannya sekalipun,” kata seorang rakan serumah.

“Orang kata kalau kita dekat dengan penjual minyak wangi, kita akan dapat wanginya. Jika kita dekat dengan tukang besi, kita akan dapat kotornya,” itulah kata-kata Hashim, ketua usrah pada Mat Lutfi agar beliau bersetuju dengan keputusan menghalau Suhaimi keluar dari rumah.

“Itu bukan Suhaimi sebenar. Kita boleh selamatkan dia. Dia cuma tersasar kerana nasib malang yang menimpa keluarganya,” tegas Mat Lutfi.

Rakan-rakan serumah semasa duduk bersama pernah membuat perjanjian bertulis bahawa sesiapa yang hendak meninggalkan rumah, bukan kerana nak kahwin, perlu ada konsensus dari semua pihak.

Sesiapa saja yang tidak bersetuju, hasrat meninggalkan rumah perlu dibatalkan. Disebabkan memegang pada perjanjian, maka rakan-rakan serumah terpaksa terima bantahan Mat Lutfi untuk Suhaimi terus tinggal bersama.

Di rumah, setiap kali Mat Lutfi tiada, Hashim akan mengingatkan Suhaimi dengan nada yang keras tentang balasan di akhirat dan suruh Suhaimi bertaubat dengan segera.

Apabila masa solat tiba dan Suhaimi tidak muncul dan Mat Lutfi tiada, Hashim akan berkata: “Tak yah panggil dia. Hati dia tiada Allah. Kalau dia ingat Allah dia sendiri akan datang. Biarkan dia. Kita teruskan.”

Sekiranya Mat Lutfi ada, Mat Lutfi akan memastikan Suhaimi solat berjemaah bersama-sama. Mat Lutfi tidak akan membiarkan Suhaimi berseorangan di dalam bilik. Demi menyelamatkan rakan baiknya, Mat Lutfi sanggup meninggalkan privacy tinggal seorang di dalam bilik untuk tinggal bersama Suhaimi di dalam bilik yang sama.

Tapi kesedihan melampau Suhaimi menyebabkan beliau masih tertarik dengan arak.

“Tanpa arak ini, ada tak tahu macam mana nak hidup Fi. Sekarang ana tinggal seorang di muka bumi ini. Fi, biarkan ana. Ana tak boleh diselamatkan lagi,” rayu Suhaimi setiap kali Mat Lutfi cuba memujuknya kembali ke pangkal jalan.

“Ada Allah lagi. Ada syurga menanti. Mi cuba buang dulu. Cuba pun dapat pahala dah,” kata Mat Lutfi.

“Petang tadi, Hashim kata hati ana dah hitam, keras tak boleh baiki lagi. Ana pun rasa begitu… Fi jangan dekat dengan ana, nanti Fi pun terkena dosa,” kata Suhaimi.

“Boleh Mi. Bagi ana cuti ini – anta ikut program ana. Sekarang dah mula cuti, ana tak balik Malaysia kali ini. Ana tinggal sini,” kata Mat Lutfi.

Sebelum pulang ke negara, Hashim memberikan amaran terakhir buat Suhaimi ketika Mat Lutfi di dalam tandas.

“Jikalau lepas cuti ini, aku balik jumpa botol arak lagi, aku akan tendang kau keluar rumah ini. Aku tak nak tinggal dengan orang yang tak ingat Allah dan langgar perintah Allah. Aku tak nak tinggal dengan orang berdosa. Jikalau terpaksa, aku akan halau kau dengan Mat Lutfi keluar bersama. Kamu ini malukan agama Islam! Menyampah,” kata Hashim.

Mat Lutfi terdengar kata-kata itu. “Cukuplah itu. Ini ujian Allah pada kita untuk menyelamatkan rakan. Bukannya rosak buang! Kalau tiga bulan ini aku gagal, aku keluar bersama Suhaimi, kau usah bimbang.”

Sepanjang cuti, Mat Lutfi mengatur program padat bersama Suhaimi. Suhaimi tidak dibiarkan keseorangan dan tidak letih pada waktu malam. Hari-hari awal, setiap malam, Mat Lutfi akan mengajak Suhaimi mengikutnya membaca Quran sehinggalah beliau tertidur. Waktu Suhaimi tertidur, Mat Lutfi mengambil botol araknya dicuci bersih dan digantikan dengan fruit juice.

Mat Lutfi tahu Suhaimi masih curi-curi minum ketika beliau tidur kepenatan. Diharapkan Suhaimi dapat menyesuaikan diri dengan fruit juice itu dahulu.

Setelah seminggu, Suhaimi bertanya: “Fi, anta tukar semua arak ana jadi fruit juice ya?”

“Ya. Sorry… Sebab di internet, dia kata untuk mengubati ketagihan arak, tak boleh terus, kena slow-slow. Ana harap dengan pertukaran itu, Mi boleh buang ketagihan itu walaupun terpaksa minum dari botol arak,” kata Mat Lutfi.

“Sedap juga. Terima kasih,” kata Suhaimi.

Setiap hari, program dipenuhkan untuk Suhaimi, Mat Lutfi menghabiskan segala masanya dan sebahagian besar duitnya untuk menyelamatkan Suhaimi – dengan membawanya berjalan-jalan, apabila tiba waktu solat singgah di masjid, menyertai program kebajikan membantu anak-anak yatim dan orang tua dan sebagainya.

Pada tengah malam satu hari selepas bulan kedua minggu ketiga, Suhaimi bangun tetiba, Mat Lutfi sedar Suhaimi bangun.

“Tolonglah Mi. Tahan. Jangan pergi sentuh arak itu. Jangan. Ya Allah, berilah kekuatan pada sahabatku ini,” doa Mat Lutfi dengan air mata bergenang.

Suhaimi masuk ke tandas – agak lama. Mat Lutfi terfikir, “Rasanya sebelum tidur tadi saya dah check, tiada arak dalam tandas. Mengapa lama sangat?” Mat Lutfi tidak bangun.

Suhaimi keluar dari tandas. Mukanya basah dengan air seolah-olah baru mengambil wuduk. Mat Lutfi curi-curi melihat.

Suhaimi mendekati almari yang biasa disimpan araknya. Malam semalam Mat Lutfi tidak sempat menukar araknya menjadi fruit juice kerana keletihan.

Melihat Suhaimi membuka almari, Mat Lutfi teringin nak bangun menghalang. Apabila melihat Suhaimi membawa keluar kain sejadah, Mat Lutfi terus batalkan niat untuk bangun.

Suhaimi buat solat tengah malam. Hati Mat Lutfi cukup gembira dan tidur kembali sekembalinya Suhaimi ke katil selepas solat.

Besok pagi, Suhaimi yang mengejutkan Mat Lutfi untuk solat subuh.

“Mi. Anta ok?”

“Ok. Mengapa?”

“Anta bangun solat tengah malam semalam. Ana sangat gembira.”

“Ana pun tak tahu mengapa. Tetiba terasa nak solat. Terasa ada benda nak kata pada Allah. Hati terasa Allah dekat,” kata Suhaimi.

“Apa dia?” tanya Mat Lutfi.

“Baru sedar, Allah tidak pernah putus harapan pada ana. Selama ini, ana marah mengapa ana dibiarkan keseorangan di bumi ini. Ana hilang punca sehingga tersesat. Jika Allah tak sayangkan ana, manalah Allah akan bagi kekuatan pada anta untuk membawa ana kembali ke pangkal jalan. Allah tak pernah putus asa pada ana dan ini terbukti bila ana diberikan sahabat terbaik macam anta. Jikalau Allah tak sayang ana, anta dah pergi balik bercuti kot dan ana mungkin dah mati dalam mabuk,” kata Suhaimi.

Mat Lutfi terus memeluk Suhaimi – segala usahanya berjaya.

Sekembalinya semua rakan serumah dari Malaysia, mereka melihat Suhaimi seperti seorang yang lain – bukan yang lain, tapi Suhaimi yang lebih baik daripada dulu.

Hashim kagum tapi terlampau bangga untuk mengakuinya.

“Jangan kau buat dosa maksiat lagi. Aku tak akan bagi peluang kedua,” tegas Hashim.

Tapi rakan-rakan serumah semua menggerumi Mat Lutfi dan bertanya apakah yang dia lakukan untuk menyelamatkan rakan mereka yang pada hemat mereka tidak dapat diselamatkan lagi.

“Tak apa. Ana cuma faham Islam ini sempurna. Tapi orang Islam tidak. Jadi melalui itu, ana percaya Suhaimi boleh kembali ke pangkal jalan. Kita kan pewangi, takkan pewangi boleh tewas pada tukang besi.”

Senyum.

Sekadar perkongsian. Tulisan ini ditulis anak angkat selepas menonton video terbaru “Sebelah Sayap” Mat Luthfi. Tahniah atas filem yang memberikan renungan mendalam dalam kegiatan berdakwah.
Kadang-kala manusia sering terlupa kita hanyalah makhluk berdosa yang kaki masih berpijak di bumi Allah. Ujian Allah datang pada bila-bila masa dan pelbagai bentuk – seperti Suhaimi yang terjerumus ke dalam arak dan maksiat, tapi adakah kita mampu mengharunginya seperti Mat Lutfi atau melarikan diri seperti Hashim?

Renungkan

No comments:

Post a Comment