Pages

Wednesday, June 12, 2013

Kembara Deoband 52: Lubnan Manzil

 

 

Kembara Deoband 52: Lubnan Manzil

Ketika saya baru sahaja menjejak kaki di Deoband tiba-tiba ada seorang Pak Arab datang menziarahi Deoband. Dia berpakai kemas. Beliau memakai baju kot. Orangnya kacak,  lembut, berjanggut panjang dan masih muda dalam lingkungan pertengahan duapuluhan. Namanya Ali Sayyaf dari Lubnan. Dia datang ke India untuk mencari tempat belajar agama. Setelah berpuas hati dengan apa yang dikehendakinya maka dia membuat keputusan untuk belajar di Deoband.
Mengikut kawan-kawan sebelum ini ada dua orang adik beradik dari Sudan belajar di Darul Uloom Deoband. Ketika itu mereka baru sahaja tamat belajar dan banyak berjalan ke madrasah-madrasah lain antaranya Madrasah Masiullah Khan di Jalalabad. (Ustaz) Surul Sahabudin yang pada ketika itu menghafal Quran di Deoband memberitahu saya bahawa dia sebilik dengan Sudani itu ketika beriktikaf di madrasah di Jalalabad  sebulan Ramadhan. Ramai ke sana di bulan Ramdhan untuk beribadat bersama Sheikh. Sudani itu pernah menegur  satu kesalahan hafalan yang dibacanya.
Ali Sayyaf memang serius untuk belajar di Deoband. Dia bertanya kami di mana hendak belajar Urdu. Waktu itu saya belajar Urdu dengan Moulvi Aqil. Ali Sayyafpun turut serta tetapi hari yang berlainan dengan saya. Beliau sebenarnya seorang yang berfikrah haraki. Beliau mengikuti fikrah Hasan Al-Banna.
Mulanya Ali Sayyaf  datang bersendirian. Selepas itu dia pulang berkempen kepada kawan-kawannya untuk datang belajar di Deoband. Saya tak pasti kawan-kawannya itu sememangnya sudah ada di India atau di Lubnan. Ini kerana pada waktu itu pelajar Arab memang sudah ramai di India. Mereka belajar di universiti-universiti di seluruh India tetapi mengambil jurusan bukan agama.
Akhirnya dalam lingkungan lima enam orang pelajar Lubnan datang. Mereka menyewa sebuah rumah di Baziaulhaq, jalan menghala ke bus stand alternatif untuk ke bandar Saharnpur. Jika tidak fikirkan seat untuk ke Saharnpur maka orang akan menunggu bus di sini yang pastinya terpaksa berdiri sepanjang perjalanan ke Saharanpur.
Ada beberapa kali saya menziarahi Lubnan Manzil. Rumah mereka sentiasa diziarahi oleh pelajar-pelajar India. Hanya Ali Sayyaf sahaja yang berminat untuk belajar Urdu, yang lain lebih suka berbahasa Arab. Peluang ini telah digunakan oleh pelajar2 India untuk belajar berbual dalam bahasa Arab. Teringat saya satu kisah di mana pada waktu itu ada seorang pelajar India yang pintar menziarahi Lubnan Manzil. Kemungkinan dia student kelas Ifta. Pelajar Lubnan sangat menghormatinya kerana setiap soalan yang diajukan oleh mereka pelajar ini pasti akan dapat menjawabnya. Merak panggil dia Mufti.
Rakan-rakan Ali Sayyaf tidak lama di Deoband. Ada yang meninggalkan Deoband kerana menyertai misi jihad di Afghanistan untuk menumbangkan Soviet Union. Yang tinggal hanyalah Ali Sayyaf dan Khidar. Setelah tamat di Deoband dalam enam tujuh tahun Ali Sayyaf ke Mazahir Uloom untuk belajar Daurah Hadith dengan Sheikh Yunus.

Pada satu hari Ali Sayyaf menziarahi Deoband. Ketika itu dia sudahpun bersiap sedia untuk pulang ke Lubnan. Saya sempat bertemu dengannya di Mehman Khana (guest house) Darul Uloom. Dia menasihati saya agar selepas ini ke Mazahir Uloom pula untuk belajar dengan Sheikh Yunus. Pengajaran Bukhari Sheikh Yunus sangat berlainan dengan ulama lain di India. Beliau berhasrat untuk memasuki kelas Ifta (takhassus fekah) selepas Daurah tetapi kesihatannya semakin teruk. Dia tidak dapat bertahan lagi. Saya melihat dia memesan kitab fekah syarah Urdu Ashraful Hidayah yang masyhur oleh Maulana Jamil. Kitab Hidayah (oleh Murghinani) adalah kitab fekah Hanafi tertinggi dijadikan silibus  di Deoband. Kitab ini wajib diajar sampai habis. Saya rasa Ali Sayyaf tidak sempat mempelajari kitab Hidayah kerana beliau banyak juga melompat kelas kerana tidak mahu duduk terlalu lama.
Tinggallah Khidir seorang diri di Darul Uloom. Akhirnya dia tinggal di asrama berdekatan dengan bilik saya. Suatu hari dia mengkritik Ikhwan Muslimin. Dia berkata kepada saya Ikhwan mendakwa yang merekalah satu-satu jemaah yang harus diikuti secara syarie kerana jemaah yang lain tidak syamil. Khidir tidak senang dengan kenyataan ini.

Saya tersentak dibuatnya kerana saya tidak pernah mendengar dakwaan sebegitu selama ini. Kebetulan saya teah diberikan amanah menjaga library kecil miik Muslim Student Union di sana. Kesemua buku-buku itu adalah buku Ikhwan Muslimin. Ada buku-buku yang lama yang ditulis di awal-awal penubuhan Ikhwan. Saya cuba membelek-beleknya. Antara buku-buku itu ada menyatakan hal yang disebut oleh Khidar itu. Saya diam tidak terkata sambil cuba menganalisa hujah-hujah yang dikemukan. Saya tidak menemui jawapannya kerana jawapan memerlukan kepada ilmu sedangkan saya baru belajar agama dan terlalu muda dalam memahami isu-isu dalam gerakan Islam. Saya biarkan ia tidak berjawab.
Setelah tamat Khidar melanjutkan pelajaran di Universitu Aligarh ke peringkat Master. Semua mereka telah meninggalkan Deoband. Tinggallah saya bersendirian. Semalam saya menghantar message kepada (Ustaz) Azhar di Kota Bharu melalui fb bertanyakan maklumat tentang pelajar Lubnan dahulu kalau-kalau beliau ada maklumat tentang mereka sekarang. Menurut Ustaz Azhar yang dia tahu hanya tentang Ali Sayyaf. Ali Sayyaf masih hidup tapi agak miskin kerana wang dicurahkan untuk melawan Syiah di Lubnan.

No comments:

Post a Comment