Pages

Friday, September 27, 2013

Fahaman Komunis Anggap Agama Adalah Candu Kehidupan


Fahaman Komunis Anggap Agama Adalah Candu Kehidupan

Isu ketua pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) iaitu Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua masih terus hangat diperkatakan dengan pelbagai pandangan pro kontra diutarakan mengenai wajar atau tidak abu mayatnya dikuburkan dalam negara.

Sebagaimana dimaklumi, sebahagian besar suara ramai sepakat menolak sebarang usaha membawa masuk abu mayat Chin Peng mengenangkan terlalu besar dosa kezaliman yang dilakukannya ke atas ribuan nyawa rakyat negara ini sepanjang 4 dekad (1945-1989) kempen keganasan yang dipeloporinya.

14 hari pemerintahan Bintang Tiga Komunis selepas Tentera Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945 tidak terhenti di situ sahaja sebaliknya diikuti kempen keganasan yang berterusan sehingga lewat 1980-an, terlalu perit dan sukar sekali untuk dilupakan begitu sahaja.

Keganasan PKM sama ganas seperti anggota Komunis di Indonesia dan menyerupai kelakuan zalim Khmer Rouge di Kemboja yang membunuh rakyat sendiri demi mencapai matlamat dan menjayakan ideologi.

Orang Melayu Islam yang waras sama sekali tidak mungkin mengiktiraf gerakan bersenjata Chin Peng yang motif utamanya menjurus kepada usaha mendirikan pemerintahan sendiri berasaskan ideologi Komunis yang mengetepikan akidah Islam.

Menyokong idea membawa pulang abu mayat Chin Peng atau mengagungkan kezaliman yang dilakukan komrad-komradnya yang ganas itu sama seperti mengiakan fahaman Komunis yang menganggap agama adalah candu yang berbahaya kepada manusia.

Alasan konon perlunya menghargai ‘jasa’ Komunis semasa pendudukan Jepun serta penentangannya terhadap penjajahan British tidak cukup ampuh untuk menafikan kerakusan cita-cita Chin Peng dan PKM untuk memerintah negara ini mengikut acuan Komunis ala China dan Soviet Union.

Rakyat marhaen yang menjadi mangsa kezaliman PKM yang dicantas kepala dan diburaikan isi perutnya jauh lebih ramai dari jumlah tentera Jepun yang dibunuhnya. Malah penentangan Komunis terhadap British tidak pun berakhir meskipun sudah berpuluh tahun penjajah meninggalkan negara ini.

Gerakan bersenjatanya yang ganas dan kejam serta pegangan ideologi anti agama yang mendasari perjuangan Komunis sepatutnya cukup untuk menyedarkan kita semua akan bahaya yang menanti andai kata usaha mengekangnya sepanjang tempoh 4 dekad lalu menemui kegagalan.

Redha dengan perjuangan Komunis apatah lagi mengangkat Chin Peng sebagai watak yang mahu diagungkan sebagai pejuang kemerdekaan misalnya saling tak tumpah seperti menghalalkan usaha mereka untuk menghapuskan kepercayaan akidah Islam yang sedang dianuti oleh orang Melayu Islam.

Kepada segelintir orang Melayu Islam yang tersasar arah memuja muji Chin Peng dan beriya-iya mencorakkan semula sejarah hitamnya untuk diputihkan, sedarlah sesungguhnya ideologi Komunis hanya sesuai untuk manusia yang selain dari Islam sahaja.

Justeru itu, tepuk kepala tanya akal, mahukah kita tergolong sebahagian dari usaha untuk menafikan akidah Islam? Jika ya, teruskan menyokong Chin Peng dan agungkan Komunis.
 
 


No comments:

Post a Comment