Pages

Thursday, September 26, 2013

Projek Plurisma agama terbesar di Malaysia !!



Projek Plurisma agama terbesar di Malaysia !!

Projek mega 1 Malaysia Spiritual Tourism akan dibangunkan di negeri Pahang bermula pada hujung tahun ini. Projek ini akan menjadi pusat pelancongan yang menjadikan unsur keagamaan sebagai tema pelancongan.

Perkara ini secara tidak langsung menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempromosikan agama-agama di dunia selain Islam. Persoalannya, adakah projek seperti ini akan menjadikan Malaysia sebuah hab mempromosi agama-agama dunia? Wajarkah perkara ini terjadi kepada Malaysia yang mana agama Islam menjadi agama persekutuan?

Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada satu video yang panjangnya 15 minit 55 saat dan laman web http://enchant1mst.com/Projects.html projek ini akan dibangunkan di atas tanah seluas 500 ekar dan menjadikannya lebih luas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ia bakal menempatkan patung dan binaan keagamaan melibatkan agama Kristian, Buddha, Hindu, Taoisme dan lain-lain yang mempunyai ciri-ciri tarikan pelancong seperti terbesar, terpanjang, terhebat dan terbanyak.

Kawasan yang dinamakan Ao Mi Shan mempunyai 15 binaan yang terbesar dan terpanjang di dunia. Satu piramid yang tingginya 30 tingkat mengalahkan ketinggian piramid di Mesir akan didirikan. Di puncak piramid itu akan diletakkan patung Kuan Yin besar yang berputar dengan sendirinya. Piramid ini akan memegang 5 gelaran dunia iaitu piramid terbesar di dunia, mempunyai patung Kuan Yin terbesar di dunia, menjadi tokong Kuan Yin terbesar di dunia, mempunyai kompleks beli belah terbesar dan mempunyai columbarium terbesar di dunia. Columbarium (tempat simpanan abu manusia) ini mempunyai 5 juta ruang simpanan abu manusia. Setiap ruang simpanan akan dijual dengan harga 12 ribu ringgit, dan jumlah hasil kutipan columbarium ialah sebanyak 60 bilion ringgit!

Selain itu ruang keagamaan untuk agama Sikh, Sai Baba, Confucianism juga akan disediakan. Disebabkan tempatnya yang luas, pengunjung memerlukan sekurang-kurangnya 3 hingga 5 hari untuk melawati semua kawasan. Hotel terbesar dengan kapasiti 40 ribu katil menjadikan pelancongan menyeronokkan selain mempunyai ruang membeli belah, rekreasi, medan selera, sekolah, universiti dan pelbagai lagi prasarana yang hebat.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa agama Islam adalah a

gama persekutuan. Apabila Islam dinobatkan sebagai agama negara, sewajarnya Islam berada di kedudukan tertinggi dan dihayati bukan sekadar sebuah agama yang berkaitan amalan ibadat semata-mata, bahkan seluruh sistem dalam negara termasuk pentadbiran, perundangan, ekonomi, pendidikan, sosial, pelancongan dan sebagainya perlu menjadikan Islam sebagai rujukan dan panduan. Jika perkara ini berlaku barulah Islam diletakkan di tempat yang sepatutnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya. Kedudukan Islam yang mulia perlulah dihormati dan sebarang dasar dan aktiviti termasuk projek pelancongan yang mengandungi unsur mencabar kedaulatan Islam haruslah disekat.

Sebagai sebuah negara yang memiliki pelbagai kaum yang menganut pelbagai agama, Malaysia membenarkan agama-agama lain selain Islam diamalkan. Inilah kebebasan beragama di Malaysia. Pelbagai upacara keagamaan dibenarkan untuk dianjurkan malahan sesetengah hari perayaan agama yang utama dijadikan hari cuti umum. Selain itu, rumah-rumah ibadat juga dibenarkan untuk dibangunkan dan ada yang diberikan peruntukan oleh kerajaan untuk membangunkannya. Keadaan ini telah berjalan sejak sekian lama dan ia menjadi faktor keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.

Kehadiran projek mega seperti yang diwar-warkan oleh pemilik dan pemaju projek ini telah mencuba merubah identiti Malaysia selaku sebuah negara umat Islam. Penerangan yang agak terperinci seperti yang ditayangkan menggambarkan betapa hebat dan besarnya kesan yang bakal dirasai oleh Islam dan umatnya. Mengapakah sektor pelancongan menjadikan faktor agama sebagai daya tarikan? Biarpun sebelum ini telah pun terdapat bangunan keagamaan yang berjaya menarik kehadiran pelancong, namun mengapa perlu dibina lagi projek yang seumpama dengannya dengan lanskap yang lebih besar? Alasan untuk menjana lebih banyak pendapatan tidak dapat dijadikan sebagai alasan utama. Terdapat banyak lagi cara untuk menjana lebih banyak pendapatan dan lebih menguntungkan.

Projek ini tidak lain hanyalah bertujuan mencabar kedudukan Islam sebagai agama persekutuan. Ia juga mencabar keupayaan ekonomi orang Islam untuk membina projek-projek besar yang mampu menjana kewangan dan meningkatkan ekonomi negara. Seharusnya pemilik dan pemaju projek memikirkan apakah kesan daripada projek ini.

Jika projek ini berjaya dilaksanakan, imej Malaysia sebagai negara Islam dari segi komposisi penduduk dan dari segi sejarah akan pudar apabila unsur-unsur agama lain yang dihighlightkan sebagai tarikan pelancong. Orang luar sudah tidak memandang Islam sebagai agama negara kerana agama lain yang bukan agama negara sudah mampu dipromosikan dengan persembahan yang amat menarik dengan kos yang banyak.

Selain itu, Malaysia akan dikenali sebagai sebuah negara yang mampu menyatukan semua agama selain Islam. Projek mega itu akan menjadi mercu tanda dan simbol kerjasama dan perpaduan antara agama. Imej Islam akan tenggelam dan perkara ini tidak seharusnya berlaku.

Sebelum ini kita dikejutkan dengan projek besar bernilai lebih 135 juta ringgit yang terletak di Bukit Jalil. Ia adalah Pusat Konvensyen Calvary (Calvary Convention Centre) yang akan menjadi kompleks aktiviti kumpulan Kristian terbesar dan tercanggih di Asia Tenggara. Ia mempunyai satu dewan auditorium yang boleh mengisi hadirin seramai 5 ribu orang dalam satu-satu masa.

Projek ini terletak bersebelahan Bukit Jalil Golf & Country Club, dan ia yang berada di lokasi yang strategik di selatan Wilayah Persekutuan dan dihubungkan dengan jalan-jalan utama di ibu negara.

Projek ini merupakan gabungan 3 buah premis Kristian Calvary yang sebelum ini terletak di Damansara Height, Damansara Perdana dan juga Cheras.

Menurut laman web Calvary Church, pelbagai aktiviti akan diadakan di sini seperti upacara keagamaan, konvensyen domestik dan antarabangsa, dan pembangunan kerohanian yang memberi fokus kepada anak muda dalam meniti kehidupan sebagai insan berguna kepada agama dan masyarakat.

Selain itu, pusat konvensyen ini turut dilengkapi dengan pentas yang dipenuhi kelengkapan seperti teater dan muzikal, orkestra, kelengkapan audio, visual dan multimedia, kelengkapan di belakang tabir seperti bilik persalinan dan bilik sembahyang, studio rakaman, tempat latihan tarian, seni, dan drama, serta bengkel seminar.

Saya telah mendatangkan dua projek besar yang akan memberi kesan langsung kepada masyarakat dan negara ini. Persoalannya, beginikah isi sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam?

Mohd Firdaus Salleh Hudin
Wartawan ISMA
 ~PEMBINA UKM

-------------------------------------
 


Bantah dan hentikan segera Projek Mega ‘Spiritual Tourism’

BANGI, 25 Sept – Ikatan Muslimin Malaysia Kuantan membantah rancangan Projek mega 1 Malaysia Spiritual Tourism yang akan dibangunkan di negeri Pahang bermula hujung tahun ini.

YDP ISMA Kuantan, Ustaz Rushdan Abd Halim ketika dihubungi hari ini meminta pihak berwajib terutama Kerajaan Negeri, Jabatan Mufti dan Majlis Agama Islam Negeri untuk campur tangan di dalam projek ini dan mengambil tindakan sewajarnya agar projek ini dapat dihentikan serta merta.

Selain itu katanya, Instititusi Raja-Raja termasuk Sultan Pahang juga perlu untuk campurtangan dalam Projek Mega ini kerana ia memberi impak jangka panjang yang serius kepada identiti negara dan negeri Pahang itu sendiri.

Ujar Ustaz Rushdan, kebebasan beragama di dalam perlembagaan adalah memberikan kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing tetapi bukan bermaksud mempromosikan agama bukan Islam kepada yang lain.

“Ini adalah bertentangan dengan ruh agama Islam sebagai agama persekutuan dan undang-undang negara yang telah terlaksana,” tegasnya ketika dihubungi wartawan ISMA.

Tambahnya,promosi secara besar
-besaran dalam bentuk projek mega seperti ini secara jangka masa panjang akan menukar imej negara ini daripada negara Islam kepada sebaliknya.

Maka, secara tidak langsung ia akan akan membantutkan lagi usaha memperkasakan nilai-nilai Islam dalam struktur negara.

Sehubungan itu, ISMA Kuantan juga menyeru kepada badan-badan bukan kerajaan Islam dan muslimin secara amnya supaya peka dengan perkembangan agenda yang besar dan halus seperti ini yang boleh menjejaskan masa depan Islam dan muslimin di negeri ini kelak.

1 comment: