Pages

Monday, March 3, 2014

Apa yang Nabi Tidak Buat…


7 Nov 2009:
Apa yang Nabi Tidak Buat…
(Makna Sebenar Bidaah)


Helah yang masyhur di kalangan mana-mana orang yang menyokong bid’ah adalah: “Apa yang Nabi tidak buat, tidak semestinya kita tidak boleh buat.” Mereka juga berkata: “Nabi tak buat tetapi tak kata jangan buat.” Mereka menambah: “Asalkan ada anjuran dari al-Qur’an dan hadis maka kita boleh melakukannya.”
Sesungguhnya helah-helah di atas atau apa-apa yang seumpama merupakan kesalahan yang amat parah. Ia merupakan bukti jelas bahawa yang mengatakan sedemikian ialah orang-orang yang tidak faham sunnah dan tidak mengerti kaedah usul di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.
Sebenarnya apa yang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak buat, yakni apa yang baginda tinggalkan, terbahagi kepada beberapa kategori seperti berikut:[1]
Pertama: Urusan Agama Yang Tiada Halangan Untuk Dilaksanakan.
Jika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meninggalkan sesuatu urusan agama padahal tuntutan melaksanakannya ada manakala halangannya tiada, maka tetap meninggalkan urusan itu adalah sunnah. Dalilnya ialah hadis berikut, daripada Anas bin Malik radhiallahu 'anh:

جَاءَ ثَلاَثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا فَقَالُوا وَأَيْنَ نَحْنُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ؟


قَالَ أَحَدُهُمْ أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا وَقَالَ آخَرُ
أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلاَ أُفْطِرُ وَقَالَ آخَرُ
أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلاَ أَتَزَوَّجُ أَبَدًا.


فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ فَقَالَ:
أَنْتُمْ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا؟ أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ
لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ
فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي.

Datang tiga orang ke rumah-rumah para isteri Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bertanya tentang ibadat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Tatkala dikhabarkan (tentang ibadat baginda), mereka merasakan seolah-olah ia sedikit. Lalu mereka berkata: “Di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan kedudukan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang telah diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan apa yang akan datang?”

Berkata salah seorang daripada mereka: “Adapun aku, maka aku akan bersolat malam selama-lamanya.” Berkata yang lain: “Aku akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan berbuka.” Berkata yang terakhir: “Aku akan menghindari wanita dan tidak akan bernikah selama-lamanya.”

Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam datang kepada mereka dan bersabda: “Kaliankah yang mengatakan begini dan begitu? Ketahuilah! Demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut di antara kalian kepada Allah dan paling bertakwa kepada-Nya di antara kalian. Akan tetapi aku berpuasa dan berbuka, bersolat (malam) dan tidur, serta aku menikahi wanita. Maka sesiapa yang berpaling dari sunnahku maka dia tidak termasuk dari aku.”[2]



Dalam hadis di atas, beberapa sahabat ingin melakukan apa yang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak buat. Ibadat yang ingin mereka lakukan yakni bersolat, berpuasa dan mengawal syahwat yang secara umumnya memang dianjurkan oleh al-Qur’an dan hadis. Sebelum mereka menyatakan hajat untuk melakukannya, tidak ada ayat al-Qur’an atau hadis yang melarang mereka dari bersolat malam selama-lamanya, berpuasa sepanjang masa dan membujang selamanya. Lebih dari itu, ibadat yang ingin mereka lakukan hanyalah sekadar tambahan di atas kadar yang lazim dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Namun sekalipun ada dalil umum yang menganjurkan sementara tiada yang melarang dan apa yang ingin dilakukan hanya perbezaan dari sudut kadar, ia ditegah oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Bukan dengan tegahan biasa tetapi dengan ancaman: “Maka sesiapa yang berpaling dari sunnahku maka dia tidak termasuk dari aku.”
Hadis ini menjadi dalil bagi satu kaedah yang amat penting bagi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, iaitu apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam urusan agama padahal tuntutannya ada dan halangannya tiada, maka yang sunnah ialah tetap meninggalkannya pada masa kemudian.
Maka bagi sesiapa yang berpegang teguh kepada manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, sebelum melakukan sesuatu urusan agama mereka akan menyemak amalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Jika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak melakukannya padahal tuntutannya ada dan halangannya tiada, mereka juga tidak akan melakukannya tanpa perlu mencari dalil larangan. Ini kerana sikap Rasulullah meninggalkan amalan itu dengan sendirinya sudah menjadi hujah.
Kedua: Urusan Agama Yang Wujud Halangan Untuk Melaksanakannya.
Jika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meninggalkan sesuatu urusan agama padahal tuntutan melaksanakannya ada dan halangannya ada, maka melaksanakannya sesudah halangannya tiada adalah sunnah. Dalilnya ialah hadis berikut, daripada A’isyah radhiallahu 'anha:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى فِي الْمَسْجِدِ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ
ثُمَّ صَلَّى مِنْ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ
ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنْ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوْ الرَّابِعَةِ فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.


فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ: قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ فَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنْ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ
إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ.


قَالَ: وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ.


Bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersolat dalam masjid pada satu malam lalu orang ramai ikut bersolat (menjadi makmum) sepertimana solatnya baginda. Kemudian baginda bersolat pada malam berikutnya dan lebih ramai orang (yang ikut menjadi makmum). Kemudian mereka berhimpun pada malam ketiga atau keempat namun Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak keluar kepada mereka (untuk menjadi imam).

Tatkala Subuh, baginda (keluar kepada mereka dan bersabda): “Aku melihat apa yang kalian lakukan, namun tidak ada yang menghalangku dari keluar kepada kalian kecuali sesungguhnya aku bimbang ia (solat Tarawih) diwajibkan ke atas kalian.”

Berkata A’isyah: “Yang sedemikian berlaku dalam bulan Ramadhan.”[3]

Dalam hadis di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meninggalkan satu amalan yang ada tuntutan baginya. Amalan itu ialah solat Tarawih secara berjamaah manakala tuntutannya ialah perhimpunan serta penantian orang ramai untuk menjadi makmum solat Tarawih. Namun oleh kerana adanya halangan, iaitu kebimbangan amalan itu menjadi wajib, Rasulullah tetap meninggalkannya.
Halangan itu hilang dengan kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Dengan wafatnya baginda, tiada lagi wahyu yang akan turun dalam bentuk ayat al-Qur’an atau hadis Nabi yang akan mewajibkannya. Maka dengan ketiadaan halangan, umat Islam selepas kewafatan Rasulullah kembali mendirikan solat Tarawih secara berjamaah dan ini adalah satu sunnah. ‘Abd al-Rahman bin  ‘Abd al-Qari radhiallahu 'anh menerangkan:

خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ
فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلاَتِهِ الرَّهْطُ.

فَقَالَ عُمَرُ: إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلاَءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ.
ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ.


ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلاَةِ قَارِئِهِمْ.
قَالَ عُمَرُ: نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ وَالَّتِي يَنَامُونَ عَنْهَا أَفْضَلُ مِنْ الَّتِي يَقُومُونَ يُرِيدُ آخِرَ اللَّيْلِ.

وَكَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ أَوَّلَهُ.

Aku keluar ke masjid bersama ‘Umar bin al-Kaththab radhiallahu 'anh pada satu malam pada bulan Ramadhan. Maka orang ramai bersolat secara terpisah-pisah, ada yang bersolat berseorangan dan ada yang bersolat dengan diikuti solatnya oleh beberapa orang (sebagai makmum).

Maka ‘Umar berkata: “Sesungguhnya aku berpendapat jika aku mengumpulkan mereka semua di belakang satu imam, nescaya ia lebih baik.” Kemudian beliau menguatkan azam dan menghimpunkan mereka di belakang Ubai bin Ka‘ab (sebagai imam).

Pada satu malam yang lain aku keluar bersama beliau (‘Umar) dan mendapati orang ramai bersolat (sebagai makmum) dengan solat imam mereka. ‘Umar berkata: “Ini adalah sebaik-baik bid’ah, dan solat mereka yang tidur (kerana ingin bangun lewat malam untuk bersolat) adalah lebih utama berbanding solat yang sedang mereka kerjakan sekarang. “

(‘Abd al-Rahman bin  ‘Abd al-Qari) menambah: “Orang ramai ketika itu sedang mendirikan solat pada awal malam.”[4]

Dalam hadis di atas yang berlaku selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, orang ramai melaksanakan solat Tarawih secara berpisah-pisah. Ada bersendirian dan ada yang dalam kumpulan jamaah yang kecil. Ini mereka lakukan kerana solat Tarawih secara berjamaah adalah satu amalan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah lalu kemudian baginda meninggalkannya.
Namun ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh dengan kebijaksanaannya mengetahui bahawa faktor penghalang yang menyebabkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meninggalkan solat Tarawih berjamaah sudah tiada dengan kewafatan baginda. Maka dengan ketiadaan itu, beliau menghimpun semua orang menjadi satu jamaah, dipimpin oleh satu imam.
Apa yang dilakukan oleh ‘Umar adalah sunnah dan bukannya bid’ah. Adapun perkataan ‘Umar bahawa “Ini adalah sebaik-baik bid’ah…” maka ia hanya dari sudut bahasa kerana solat Tarawih berjamaah adalah sesuatu yang baru pada zaman pemerintahan beliau. Namun dari sudut kaedah usul, ia bukanlah bid’ah tetapi sunnah.
Maka berdasarkan kedua-dua hadis di atas berkenaan solat Tarawih secara berjamaah, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menetapkan kaedah usul bahawa apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam urusan agama padahal tuntutannya ada dan halangannya ada, maka yang sunnah ialah melaksanakannya apabila halangan itu sudah tiada.
  
Ketiga: Urusan Agama Yang Tiada Tuntutan Untuk Dilaksanakan.
Jika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meninggalkan sesuatu urusan agama kerana tiada tuntutan dan tiada halangan untuk melaksanakannya, maka jika kemudian tuntutan menjadi ada, maka melaksanakannya adalah kemaslahatan yang dibolehkan. Sebagai contoh ialah penghimpunan al-Qur’an menjadi satu mushaf yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit radhiallahu 'anh:
أَرْسَلَ إِلَيَّ أَبُو بَكْرٍ مَقْتَلَ أَهْلِ الْيَمَامَةِ فَإِذَا عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ عِنْدَهُ.
قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: إِنَّ عُمَرَ أَتَانِي فَقَالَ إِنَّ الْقَتْلَ قَدْ اسْتَحَرَّ يَوْمَ الْيَمَامَةِ بِقُرَّاءِ الْقُرْآنِ
وَإِنِّي أَخْشَى أَنْ يَسْتَحِرَّ الْقَتْلُ بِالْقُرَّاءِ بِالْمَوَاطِنِ فَيَذْهَبَ كَثِيرٌ مِنْ الْقُرْآنِ
وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَأْمُرَ بِجَمْعِ الْقُرْآنِ.
قُلْتُ لِعُمَرَ: كَيْفَ تَفْعَلُ شَيْئًا لَمْ يَفْعَلْهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟
قَالَ عُمَرُ: هَذَا وَاللَّهِ خَيْرٌ.
فَلَمْ يَزَلْ عُمَرُ يُرَاجِعُنِي حَتَّى شَرَحَ اللَّهُ صَدْرِي لِذَلِكَ وَرَأَيْتُ فِي ذَلِكَ الَّذِي رَأَى عُمَرُ.
Abu Bakar mengirim utusan kepadaku selepas terbunuhnya beberapa sahabat (para penghafal al-Qur’an) di peristiwa al-Yamamah. (Bila aku menemui Abu Bakar), ‘Umar al-Kaththab berada di sisinya. Abu Bakar radhiallahu 'anh berkata: Sesungguhnya ‘Umar datang kepadaku dan berkata, sesungguhnya peperangan al-Yamamah telah mengorbankan banyak para pembaca dan penghafal al-Qur’an. Sesungguhnya aku bimbang peperangan yang lain akan terus mengorbankan para pembaca dan penghafal al-Qur’an sehingga hilanglah sebahagian besar daripada (ayat-ayat) al-Qur’an (yang dihafal oleh mereka).  Sesungguhnya aku mencadangkan  diperintahkan pengumpulan al-Qur’an (dalam satu mushaf).

Aku (Abu Bakar) berkata kepada ‘Umar: “Bagaimana mungkin engkau melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam?” ‘Umar menjawab: “Demi Allah! Ini adalah baik.”

(Abu Bakar melanjutkan): “Maka tidaklah ‘Umar terus menerus menekankan cadangannya kepadaku sehinggalah Allah melapangkan dadaku untuk menerimanya. Pandanganku dalam urusan ini sama dengan pandangan ‘Umar.”[5]
Dalam hadis di atas, dicadangkan satu urusan agama yang sebelum itu ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, iaitu pengumpulan al-Qur’an dalam satu mushaf. Rasulullah meninggalkannya kerana pada zaman baginda terdapat banyak penghafal al-Qur’an sehingga tiada tuntutan atau keperluan untuk memushafkannya. Adapun pada zaman selepas kewafatan baginda, ada tuntutan untuk memushafkan al-Qur’an disebabkan semakin ramai para penghafalnya yang gugur syahid di medan perang. Maka cadangan ‘Umar dan persetujuan Abu Bakar untuk memushafkan al-Qur’an bukanlah satu perbuatan bid’ah sekalipun ia berlaku selepas kewafatan Rasulullah.
Maka berdasarkan hadis di atas, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menyimpulkan satu kaedah usul yang lain iaitu apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam urusan agama kerana tiada tuntutan dan tiada halangan, maka melakukannya pada masa kemudian kerena adanya tuntutan yang selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah adalah sunnah. Malah ia dinamakan Sunnah Hasanah.[6]
Para ahli ilmu berbeza pandangan dalam memilih istilah yang sesuai bagi melakukan sesuatu urusan agama yang asalnya ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kerana ketiadaan tuntutan sementara pada zaman kemudian tuntutan berubah menjadi ada. Sebahagian mereka mengistilahkannya sebagai bid’ah hasanah (perkara baru yang baik), sebahagian lagi sebagai bid’ah mahmudah (perkara baru yang terpuji), sebahagian lagi sebagai bid’ah wajib atau bid’ah sunat (perkara baru yang wajib atau sunat dilaksanakan) dan sebahagian lagi sebagai maslahah al-mursalah (melaksanakan perkara baru kerana wujudnya kemaslahatan yang diinginkan). Istilah yang berbeza tetapi semuanya merujuk kepada erti atau maksud yang sama. Istilah manakah yang paling tepat, akan dikupas dalam perbincangan seterusnya insya-Allah.
  
Keempat: Urusan Dunia.
Jika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meninggalkan sesuatu urusan dunia, maka peninggalan tersebut tidaklah masuk dalam perbincangan sunnah atau bid’ah dari sudut syari’at. Baginda pernah bersabda:
إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ دِينِكُمْ فَخُذُوا بِهِ وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ رَأْيٍ فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ.

 


Sesungguhnya aku tidak lain adalah seorang manusia. Jika aku menyuruh kalian dalam sesuatu urusan agama kalian, maka berpeganglah dengannya. Sebaliknya apabila aku menyuruh kalian dengan sesuatu dari pandangan peribadiku, maka sesungguhnya aku tidak lain adalah seorang manusia (yang boleh diambil atau ditolak pandangan itu).[7]
Dalam sebuah riwayat lain:
أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ
Kalian lebih mengetahui tentang urusan dunia kalian.[8]
Berdasarkan kedua-dua hadis di atas, apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam urusan dunia adalah atas pendapat atau pilihan peribadi baginda, maka seseorang itu bebas untuk ikut meninggalkannya atau melaksanakannya. Namun mengambil teladan daripadanya adalah tetap utama berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak. [al-Ahzab 33:21]
Sebagai contoh, apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dihidang dengan jamuan dhab (sejenis biawak), baginda meninggalkannya. Namun sahabat yang lain tetap memakannya dan ia bukan merupakan satu kesalahan. Ini kerana apa yang baginda tinggalkan itu adalah dalam urusan dunia dan ia adalah berdasarkan pendapat, pilihan atau selera peribadi. Ia bukanlah urusan agama sehingga dihukum sunnah atau bid’ah. Khalid bin al-Walid radhiallahu 'anh menerangkan:
أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِضَبٍّ مَشْوِيٍّ فَأَهْوَى إِلَيْهِ لِيَأْكُلَ
فَقِيلَ لَهُ: إِنَّهُ ضَبٌّ. فَأَمْسَكَ يَدَهُ
فَقَالَ خَالِدٌ: أَحَرَامٌ هُوَ؟ قَالَ: لاَ وَلَكِنَّهُ لاَ يَكُونُ بِأَرْضِ قَوْمِي فَأَجِدُنِي أَعَافُهُ.
فَأَكَلَ خَالِدٌ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْظُرُ.
Dihidangkan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dhab yang dipanggang. Maka baginda menghulurkan tangan kepadanya untuk dimakan, lalu dikatakan kepada baginda: “Sesungguhnya ia adalah dhab.” Lalu baginda menarik tangannya, maka berkata Khalid: “Apakah ia haram?”

Rasulullah menjawab: “Tidak, akan tetapi ia tidak terdapat di tempat kaumku dan aku mendapati diriku tidak berselera terhadapnya.”

Maka Khalid makan (dhab itu) sementara Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memerhatikannya.[9]
Namun wujud teladan yang dapat kita ambil dari hadis di atas, iaitu apabila dijamu dengan sesuatu yang tidak sesuai dengan selera kita, maka tolaklah ia dengan baik. Jangan mencela jamuan itu atau pura-pura makan tetapi dengan air muka yang mencatat seratus rungutan.
Maka berdasarkan hadis-hadis di atas, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah merangka sebuah lagi kaedah usul iaitu apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam urusan duniawi tidak menghasilkan hukum sunnah atau bid’ah. Ia adalah teladan yang patut diambil pelajarannya.
Berdasarkan empat kategori di atas, dapat difahami bahawa apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidaklah boleh dijadikan hujah – atau lebih tepat – helah untuk sewenang-wenangnya membuat sesuatu yang baru di dalam agama. Helah “Apa yang Nabi tidak buat…” bergantung kepada beberapa kategori, mengapa baginda tidak melakukannya.
  
Catatan Tambahan.
Merujuk kembali kepada hadis riwayat Anas bin Malik radhiallahu 'anh, apabila tiga orang yang bertanyakan ibadat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mendapati ia seolah-olah sedikit, mereka beralasan: “Di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan kedudukan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang telah diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan apa yang akan datang?”
Alasan ini amat mirip dengan para penyokong bid’ah yang kerap memberi alasan bahawa konon Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak membuat sekian-sekian amalan kerana baginda seorang Rasul pilihan Allah, kerana baginda telah dijanjikan syurga, kerana amalan baginda sudah pasti diterima dan pelbagai lagi. Lalu dengan alasan-alasan ini penyokong bid’ah mencipta amalan-amalan baru dan mengubah suai amalan yang sedia ada.
Semua alasan ini dibatalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan sabdanya: “Ketahuilah! Demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut di antara kalian kepada Allah dan paling bertakwa kepada-Nya di antara kalian.” Kedudukan baginda sebagai seorang Rasul tidaklah menyebabkan baginda sedikit beramal. Baginda tetap beramal dengan jenis dan kadar yang Allah tetapkan, yang merupakan di pertengahan antara sedikit dan banyak, cuai dan melampau.
Justeru janganlah seseorang itu membuat bid’ah dengan anggapan jenis dan kadar amalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah tidak cukup bagi mereka. Jangan menganggap dalam rangka menjadi seorang muslim yang lebih bertaqwa, jenis dan kadar amalan perlu dicipta atau diubah-suai. Ikutilah sunnah kerana itulah jenis dan kadar amalan orang yang paling bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Di akhir hadis Anas bin Malik, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengkategorikan orang yang enggan mengikuti sunnah baginda dalam urusan agama sebagai orang yang berpaling dari sunnah baginda dan mereka diancam sebagai tidak termasuk daripada dirinya. Perhatikan semula sabda baginda yang dimaksudkan:
فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي.
Maka sesiapa yang berpaling dari sunnahku maka dia tidak termasuk dari aku.”[10]

 
Apakah maksud “Maka dia tidak termasuk dari aku”? Sebenarnya terdapat beberapa hadis lain yang kesalahan pembuatnya diancam dengan “Maka dia tidak termasuk dari aku” atau “Maka dia tidak termasuk dari kami”. Salah satu darinya ialah hadis berikut:
مَنْ حَمَلَ عَلَيْنَا السِّلاَحَ فَلَيْسَ مِنَّا.
Sesiapa yang mengacu senjata ke atas kami maka dia tidak termasuk dari kami.[11]
Merujuk kepada maksud “Maka dia tidak termasuk dari kami”, al-Nawawi rahimahullah menjelaskan:
Kaedah yang dipegang oleh mazhab Ahl al-Sunnah dan para ahli fiqh ialah orang yang mengacukan senjata ke atas umat Islam tanpa alasan yang benar dan (dia melakukannya) tanpa pengetahuan yang nyata serta tanpa keyakinan menghalalkannya, maka dia telah melakukan maksiat namun tidak kafir dengan tindakannya itu. Jika dia menghalalkannya, maka dia kafir.
Adapun maksud hadis, maka ia berlaku kepada orang yang menghalalkan sedangkan dia mengetahui (kesalahan itu) secara nyata. Maka (orang tersebut) kafir dan keluar dari agama Islam. Ada yang berkata, maksud hadis ialah tidak berada di atas jalan dan hidayah kami (Muhammad) secara sempurna. Sufyan bin ‘Uyaynah rahimahullahu Ta‘ala membenci penafsiran “tidak berada di atas hidayah kami”. Beliau berkata: “Amatlah buruk perkataan itu. Lebih baik menahan diri dari memberi takwilan sedemikian kepada hadis ini supaya ia lebih berkesan dalam jiwa dan sebagai satu pencegahan.” Dan Allah sahaja yang lebih mengetahui.[12]
Justeru orang yang berpaling dari sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam urusan agama kerana kejahilannya, salah faham atau keliru, dia dikira telah berbuat maksiat dan perlu segera bertaubat. Tuntutlah ilmu dari para ahli yang mencintai Rasulullah, nescaya mereka akan mengajar anda cara mengikut sunnah dengan kaedah yang betul.
Sementara orang yang berpaling dari sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam urusan agama dalam keadaan dia mengetahui kesalahannya, menganggap dirinya lebih bijak dalam urusan agama berbanding Rasulullah atau memandang remeh jenis dan kadar amalan Rasulullah, maka dia kafir dengan kekafiran yang mengeluarkan dirinya dari Islam. Semoga Allah melindungi kita dari kesalahan ini.
Beberapa Catatan Ke Atas Kenyataan MSBSPR.
Pertama:
Dalam MSBSPR 9, disebut:
Antara yang sedia difahami secara darurah, Nabi s.a.w. tidak melakukan semua perkara yang diharuskan, kerana perkara yang harus terlalu banyak. Tidak mungkin mana-mana manusia dapat menghitung kesemua perkara itu apatah lagi untuk melakukannya. Selain itu Nabi s.a.w. juga seorang yang zuhud dan berpada dengan yang sedikit. Baginda membataskan penggunaan benda-benda yang harus sekadar yang dapat menampung keperluan dan setakat mana yang dihajati sahaja. Baginda s.a.w. tidak mengambil lebih dari itu. Oleh itu sesiapa yang mendakwa pengharaman sesuatu dengan alasan Nabi s.a.w. tidak melakukannya, bererti dia telah membuat dakwaan yang tidak mempunyai dalil. Dakwaan itu tidak boleh diterima.
Catatan:
Sebagai seseorang yang diwar-warkan ulama’ Ahli Sunnah – Asha‘irah, dan al-Hafiz, iaitu seorang tokoh hadis, sepatutnya pengarang MSBSPR mengutamakan al-Qur’an dan al-Sunnah sebelum mengemukakan sesuatu kenyataan. Ini kerana manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah ialah tidak mendahulukan pemikiran, ucapan dan perbuatan di atas al-Qur’an dan al-Sunnah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului (melakukan sesuatu perkara) sebelum Allah dan Rasul-Nya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [al-Hujurat 49:01]
Justeru jika pengarang MSBSPR memiliki manhaj mendahulukan al-Qur’an dan al-Sunnah, nescaya beliau akan mengemukakan hadis-hadis berikut:
Sesungguhnya aku tidak lain adalah seorang manusia. Jika aku menyuruh kalian dalam sesuatu urusan agama kalian, maka berpeganglah dengannya. Sebaliknya apabila aku menyuruh kalian dengan sesuatu dari pandangan peribadiku, maka sesungguhnya aku tidak lain adalah seorang manusia (yang boleh diambil atau ditolak pandangan itu).[13]
Dalam sebuah riwayat lain:
Kalian lebih mengetahui tentang urusan dunia kalian.[14]
Dengan hadis-hadis di atas, tidaklah perlu pengarang MSBSPR membuat kenyataan: Nabi s.a.w. tidak melakukan semua perkara yang diharuskan, kerana perkara yang harus terlalu banyak… kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sejak awal telahpun memberi keizinan dan anjuran kepada umat baginda untuk bersikap kreatif dalam urusan duniawi, melebihi dari apa yang baginda pernah lakukan.
Bahkan pengarang MSBSPR telah mengkritik dirinya sendiri apabila berkata: Oleh itu sesiapa yang mendakwa pengharaman sesuatu dengan alasan Nabi s.a.w. tidak melakukannya, bererti dia telah membuat dakwaan yang tidak mempunyai dalil”. Ini kerana beliau sendiri dalam rangka menafikan dakwaan itu tidak mengemukakan sebarang dalil. Ini contoh terbaik di mana yang mengkritik tidak lebih baik dari yang dikritik, malah nampaknya yang mengkritik memakan kritikannya sendiri.
Kedua:
 Setelah mengemukakan hadis Khalid bin al-Walid radhiallahu ‘anh berkenaan kisah memakan dhab panggang, pengarang MSBSPR 10 berkata:
Melalui hadith ini terdapat dalil bagi satu kaedah Usul yang menyebutkan:
تَرْكُ الشَّيْءِ, لاَيَقْتَضِى تَحْرِيْمَهُ.
Maksudnya: Meninggalkan sesuatu bukan bererti mengharamkannya.
Catatan:
Kaedah usul adalah umpama formula yang membentuk dasar dalam agama bagi membolehkan para ilmuan merumuskan sesuatu hukum atau pendapat. Bagi menghasilkan formula itu, hendaklah ia disimpulkan dari pelbagai ayat al-Qur’an dan hadis-hadis sahih serta dalil-dalil agama yang lain. Tentu sahaja yang mampu melakukannya ialah ilmuan yang luas ilmunya, lebar cakupannya, panjang wawasannya.
Kaedah Meninggalkan sesuatu bukan bererti mengharamkannya yang dikemukakan oleh pengarang MSBSPR kelihatan amat tidak sempurna. Ini kerana jika dibanding dengan pelbagai hadis-hadis sahih, apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak boleh disimpulkan menjadi satu kaedah usul, melainkan menjadi beberapa kaedah usul yang dibahagikan kepada beberapa kategori berdasarkan urusan agama atau urusan duniawi, ada atau tiada tuntutan dan ada atau tiada halangan.
Merujuk kepada kaedah usul yang dirumuskan oleh pengarang MSBSPR, saya teringat kepada kata-kata emas Ibn al-Qayyim rahimahullah:
Maka sesiapa yang mengemukakan satu pendapat atau menetapkan satu kaedah berdasarkan pemahaman dan pendapatnya, tidaklah wajib bagi umat untuk mengikutinya dan tidaklah wajib berhukum kepadanya sehinggalah dipadankan dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah. Jika sesuai dan sejalan serta diketahui kebenarannya, baru boleh diterima.
Jika bertentangan maka wajib menolak dan melemparkannya. Akan tetapi jika tidak jelas salah satu dari dua keadaan tersebut, maka hendaklah menangguhkannya. Paling baik, boleh berhukum dan berfatwa dengannya dan boleh pula meninggalkannya.[15]
Justeru itu – maaf kata – kaedah usul yang dikemukakan oleh pengarang MSBSPR hendaklah ditolak dan dilemparkan kerana ia tidak sepadan, sesuai dan sejalan dengan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Ketiga:
Pengarang MSBSPR 11 melanjutkan:
Antara lain yang sedia dimaklumi secara darurah bahawa Nabi s.a.w tidak mengerjakan semua amalan yang sunat. Ini kerana kesibukan baginda dengan urusan lain yang lebih penting dan besar. Sebahagian besar masanya digunakan untuk urusan menyampaikan dakwah, berdebat dengan orang musyrikin dan ahli kitab, berjihad menentang orang kafir demi menjaga kesucian Islam, mengadakan pelbagai perjanjian damai, gencatan senjata, menjalankan hukum hudud, melancarkan operasi ketenteraan, mengutus petugas sebagai pemungut zakat, menyampaikan hukum-hakam serta tugas-tugas lain yang semestinya dilakukan oleh baginda dalam rangka mengasaskan sebuah kerajaan Islam dan menggariskan mercu tandanya. Malah baginda juga dengan sengaja tidak melakukan sebahagian perkara-perkara yang sunat, kerana bimbang hal yang demikian akan diwajibkan kepada umatnya, atau menjadi kesukaran kepada mereka apabila baginda melakukannya.
Catatan:
Jika benar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam meninggalkan amalan-amalan sunat – yakni urusan agama – kerana dakwah, debat, jihad dan lain-lain, bererti ada beberapa halangan yang menyebabkan baginda meninggalkan amalan-amalan sunat itu. Dalam erti kata lain, urusan dakwah, debat, jihad dan lain-lain menjadi penghalang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan amalan-amalan sunat sehingga baginda meninggalkannya. Maka dalam persoalan ini kita merujuk kepada kaedah usul:
Apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam urusan agama padahal tuntutannya ada dan halangannya ada, maka yang sunnah ialah melaksanakannya apabila halangan itu sudah tiada.
Persoalannya, adakah penghalang-penghalang itu masih ada atau tiada selepas kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam? Jika kita merujuk kepada urusan dakwah dan debat, ia adalah tuntutan sepanjang zaman sehingga Hari Akhirat, bererti dakwah dan debat sebagai faktor penghalang masih ada. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah. [al-Nahl 16:125]
Demikian juga dengan urusan jihad menentang orang kafir demi menjaga kesucian Islam, ia adalah tuntutan sepanjang zaman sehingga Hari Akhirat. Ia adalah faktor penghalang yang masih ada. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ لَمْ يَغْزُ أَوْ يُجَهِّزْ غَازِياً أَوْ يَخْلُفْ غَازِياً فِي أَهْلِهِ بِخَيْرٍ أَصَابَهُ الله بِقَارِعَةٍ قَبْلَ يَوْمِ الْقِيَامَةِ.
Sesiapa yang tidak pernah berperang atau tidak pernah menyiapkan kelengkapan orang yang pergi berperang atau tidak pernah menjaga dengan baik ahli keluarga orang yang pergi berperang, maka Allah akan menimpakan bencana kepadanya sebelum Hari Kiamat.[16]
Cukuplah urusan dakwah, debat dan jihad menjadi contoh penghalang di mana ketiga-tiga faktor penghalang ini masih ada sehinggalah Hari Akhirat. Maka jika benar dakwah, debat dan jihad menjadi faktor penghalang sehingga Rasulullah meninggalkan sesuatu amalan sunat, maka yang sunnah ialah tetap meninggalkan amalan yang ditinggalkan oleh Rasulullah kerana usaha dakwah, debat dan jihad tetap ada sehingga Hari Kiamat.
Kelemahan pengarang MSBSPR dalam kaedah-kaedah usul menyebabkan beliau sekali lagi tergelincir dalam kenyataannya di atas.
Keempat:
Menarik untuk diperhatikan, kebanyakan bid’ah yang berlaku di kalangan umat Islam di Malaysia melibatkan amalan-amalan sunat yang berkaitan kepentingan diri sendiri. Mereka mencipta amalan-amalan sunat yang bid’ah dan menyibukkan diri dengan amalan itu demi memperbanyakkan pahala bagi diri masing-masing. Amalan-amalan bid’ah itu menyebabkan usaha dakwah, debat dan jihad menjadi minimum atau sifar. Hasilnya, kita dapati kebanyakan masyarakat belum Islam di negara kita tidak faham, bahkan menentang Islam sekalipun mereka itu belajar bersama umat Islam, berjiran dengan umat Islam dan bekerja sepejabat dengan umat Islam.
Sekali lagi, kenyataan pengarang MSBSPR menjadi senjata yang menikam dirinya sendiri. Ini kerana apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam meninggalkan amalan-amalan sunat demi menguruskan perkara …lain yang lebih penting dan besar…, maka demikianlah juga bagi kita umat Islam. Kita sepatutnya turut meninggalkan amalan-amalan sunat yang ditinggalkan oleh Rasulullah agar fokus kita lebih tertumpu kepada perkara …lain yang lebih penting dan besar…. Kelihatannya pengarang MSBSPR menyeru para pembacanya untuk fokus kepada amalan-amalan sunat yang ditinggalkan oleh Rasulullah sehingga mengabaikan perkara …lain yang lebih penting dan besar…. Tentu saja seruan yang tidak matang ini menggugat kedudukan beliau sebagai “ulama”, sebagaimana yang tertera di kulit hadapan buku: Ulama Ahli Sunnah – Asha’irah.
Sehingga kini terserlah kelemahan pengarang MSBSPR sebagai seorang ahli sunnah, seorang ahli usul dan seorang ulama. Akan tetapi kita baru dalam bab pertama. Ikutilah Catatan seterusnya untuk mengetahui kelemahan-kelemahan beliau yang lebih berat dan besar.
 
 


[1] Dikembangkan dari Kaedah Ketiga dan Keempat, dari buku Qawa’id Ma’rifat al-Bida’ oleh Muhammad bin Husain al-Jizani (edisi terjemahan oleh Aman Abd. Rahman atas judul Kaidah Memahami Bid’ah; Pustaka Azzam, Jakarta, 2001).
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 5063 (Kitab al-Nikah, Bab anjuran untuk menikah).
[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 761 (Kitab Sholat al-Musafirin wa Qashriha, Bab anjuran mendirikan Qiyam Ramadhan, iaitu Solat Tarawih)
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2010 (Kitab Sholat al-Tarawih, Bab keutamaan orang yang bersolat pada malam Ramadhan).
[5] Sahih: Bahagian awal dari hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 4986 (Kitab Fadhail al-Qur’an, Bab pengumpulan al-Qur’an).
[6] Penjelasan mengapa ia dinamakan Sunnah Hasanah akan menyusul dalam bab-bab akan datang, insya-Allah.
[7] Sahih: Bahagian akhir dari hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2362 (Kitab al-Fadhail, Bab kewajipan mengikuti apa yang baginda sampaikan dalam urusan syari‘at, bukan apa yang baginda shallallahu 'alaihi wasallam sebut dalam urusan dunia, di mana ia terpulang kepada pandangan sendiri).
[8] Sahih: Bahagian akhir dari hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2363 (Kitab al-Fadhail, Bab kewajipan mengikuti apa yang baginda sampaikan dalam urusan syari‘at, bukan apa yang baginda shallallahu 'alaihi wasallam sebut dalam urusan dunia, di mana ia terpulang kepada pandangan sendiri).
[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 5400 (Kitab al-Ath‘imah, Bab daging panggang dan firman Allah…).
[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 5063 (Kitab al-Nikah, Bab anjuran untuk menikah).
[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 98 (Kitab al-Iman, Bab sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam “Sesiapa yang mengacukan senjata ke atas kami maka dia tidak termasuk dari kami).
[12] al-Minhaj Syarh Shahih Muslim bin al-Hajjaj (Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut), jld. 2, ms. 176-177.
[13] Sahih: Bahagian akhir dari hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2362 (Kitab al-Fadhail, Bab kewajipan mengikuti apa yang baginda sampaikan dalam urusan syari‘at, bukan apa yang baginda shallallahu 'alaihi wasallam sebut dalam urusan dunia, di mana ia terpulang kepada pandangan sendiri).
[14] Sahih: Bahagian akhir dari hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2363 (Kitab al-Fadhail, Bab kewajipan mengikuti apa yang baginda sampaikan dalam urusan syari‘at, bukan apa yang baginda shallallahu 'alaihi wasallam sebut dalam urusan dunia, di mana ia terpulang kepada pandangan sendiri).
[15] Zaad al-Ma‘ad fi Hadi Khair al-‘Ibad (tahqiq ‘Abd al-Qadir & Syu’aib al-Arna’uth; Muassasah al-Risalah, Beirut, 1986; edisi cdrom www.turath.com), jld. 1, ms. 38.
[16] Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu Daud – no: 2503 (Kitab Jihad, Bab Keburukan meninggalkan perang).

http://www.hafizfirdaus.com/ebook/MSBSPR/A07.11.09.htm 



 -------------------------------------------------------------------------------------------

Ustaz Salman Ali

https://www.youtube.com/watch?v=vmEq0MrWqto

----------------------------------------------------------------------------------------
Catatan ilmiyyah buku '"Makna Sebenar bidaah ,'mula baca'.....
 http://www.hafizfirdaus.com/ebook/MSBSPR/index.

(Makna Sebenar Bidaah)
 Beberapa Semakan Teliti Ke Atas Satu Penjelasan (Yang Didakwa) Rapi.





















No comments:

Post a Comment