Pages

Tuesday, June 3, 2014

6 Sifat Unggul Seorang Pendakwah





6 Sifat Unggul Seorang Pendakwah 

Berikut disenaraikan beberapa contoh akhlak mulia yang seharusnya ada pada diri setiap pendakwah:

a) Sentiasa bersikap tawadhuk (merendah diri). Seorang pendakwah hendaklah menunjukkan sifat rendah diri di hadapan sasaran dakwahnya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Dan rendahkanlah hatimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman.” [Asy-Syura, ayat 215]
Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku agar kamu saling bersikap rendah diri sehingga tidak ada salah seorang yang bersikap sombong terhadap yang lain dan tidak ada pula salah seorang yang berbuat sewenang-wenangnya terhadap yang lain.” [Silsilah Al-Ahadith Ash-Shahihah, no:113]
Allah dan Rasul-Nya telah menjanjikan kemuliaan darjat bagi sesiapa yang menyemai sifat tawaduk di dalam dirinya. Sabdanya: “Dan tidaklah seseorang bersikap rendah diri kerana Allah kecuali Allah akan mengangkat darjatnya.” [Shahih Muslim, no: 6757].

b) Tidak sombong dan takbur. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Tidak akan masuk Syurga orang yang terdapat di dalam hatinya sifat takbur.” Kemudian baginda menjelaskan maksud takbur sebagai: “Orang yang menolak kebenaran dan memandang rendah manusia lain.” [Shahih Sunan At-Tirmidzi, no: 1999]
Sifat takbur amat dibenci oleh Allah. Demikian juga manusia. Tidak ada seorang jua manusia di dunia yang suka kepada orang yang memiliki sifat takbur. Oleh itu para pendakwah hendaklah menjauhi sifat ini. Firman-Nya: “Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong.” [Al-Isra’, ayat 37]

c) Bermanis muka. Hendaklah seorang pendakwah sentiasa menunjukkan wajah yang ceria apabila berhadapan dengan manusia lain, lebih-lebih lagi terhadap sasaran dakwahnya. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Janganlah sekali-kali engkau meremehkan sesuatu pun dari kebaikan meskipun engkau bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang ceria.” [Shahih Muslim, no: 2626]
Tidak sepatutnya seorang pendakwah menunjukkan muka yang bengis dan akhlak yang keras terhadap sasaran dakwahnya. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Mahukah kamu aku beritahu tentang penghuni neraka? Iaitu setiap orang yang bengis, suka (bersuara) keras dan sombong.” [Shahih Al-Bukhari, no: 4918]

d) Tidak tergesa-gesa dalam menjatuhkan hukum. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Tidak boleh seseorang menuduh orang lain dengan kefasiqan dan tidak pula menuduhnya dengan kekafiran, melainkan hal ini akan kembali kepadanya (yang menghukum) jika orang yang tertuduh tidak demikian.” [Shahih Al-Bukhari, no: 6045]

e) Pemaaf. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu. Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? (Dan ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi.” [Surah An-Nur, ayat 22]
Allah amat mengasihi mereka yang suka memaafkan kesalahan orang lain. Firman-Nya: “(Orang-orang yang bertaqwa ialah) orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik.” [Surah Ali Imran, ayat 4]

Perbuatan memaafkan kesalahan orang lain pasti akan dibalas dengan kemuliaan darjat sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Allah tidak menambah seorang hamba kerana memaafkan (orang lain) kecuali kemuliaan.” [Shahih Muslim, no: 6757]

~ Mohd Hairi Nonchi

No comments:

Post a Comment