Pages

Thursday, October 23, 2014

Persoalan dan jawapannya.....(1)



Baca Yasin dan doa awal dan akhir tahun bukan amalan Nabi dan para Sahabat serta bukan juga ajaran para imam mazhab terkemuka umat ini.
"Jadi salahkah kami buat?"
"Kami berdosakah?"
"Kami masuk Neraka?"
Jawapan:
Tanyalah Allah dan Rasul-Nya. Soalan itu tidak layak diajukan kepada kami.
Rajin-rajinlah rujuk dalam al-Qur'an dan as-Sunnah. Kalau tidak ada, mungkin Allah dan Rasul-Nya lupa untuk meraih dan menyokong amalan rekaan kamu.
Kami cuma nak maklumkan ia bukan TATACARA ibadah yang disyariatkan dalam ajaran Islam. Itu sahaja !***

Sahabat Pun Buat Bid'ah?
Ada orang bertanya kepada saya:
“Bukankah dalam kalangan para sahabat Rasulullah ada yang mencipta beberapa tatacara ibadah tertentu yang tidak berasal daripada ajaran baginda dan baginda membenarkannya tanpa sebarang bantahan?”
Pertanyaan di atas dapat dijawab dengan semudah berikut:
1. Orang yang melakukan ibadah ‘rekaan’ tersebut ialah para sahabat, sekumpulan manusia yang telah diiktiraf sebagai sebaik-baik generasi oleh baginda shallallahu ‘alaihi wasallam. Oleh itu, tidaklah mereka melakukannya melainkan berdasarkan ilmu yang diajarkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kepada mereka.
2. Orang yang mengiktiraf amalan tersebut ialah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan baginda berkata dengan bimbingan wahyu, bukannya dengan akal fikiran semata-mata. Justeru, apakah wahyu yang membenarkan para tokoh Ahli Bid’ah zaman sekarang mengiktiraf ibadah rekaan tertentu? Bukankah wahyu Allah sudah terputus setelah kewafatan Rasul-Nya?
3. Terdapat banyak juga riwayat yang menjelaskan bantahan dan penolakan Nabi terhadap beberapa amalan ‘rekaan’ para sahabat. Justeru kenapakah riwayat ini tidak dipandang oleh Ahli Bid’ah dan para tokoh mereka?

Wahhabi & Muraqqi Jumaat
Soalan:
Orang kata Wahhabi ialah mereka yang menghukum bid'ah muraqqi Jumaat iaitu amalan juru azan membacakan firman Allah dalam surah al-Ahzab, ayat 56 sebelum khatib menyampaikan khutbah.
Jawapan:
Jika demikian takrifan Wahhabi, maka Imam asy-Syafi’e rahimahullah dan para ulamak Syafi’iyyah adalah Wahhabi kerana bukan sahaja tidak pernah melaksanakan muraqqi Jumaat tetapi juga menghukumnya sebagai bid’ah di sisi agama. Perhatikan fatwa mereka di bawah ini:
Syaikh Syamsuddin ar-Ramli asy-Syafie rahimahullah (1004H) berkata:

وَأَمَّا مَا جَرَتْ بِهِ الْعَادَةُ فِي زَمَنِنَا مِنْ مَرَقٍّ يَخْرُجُ بَيْنَ يَدَيِ الْخَطِيبِ، يَقُولُ: (إِنَّ اللهَ وَمَلَئِكَتَهُ...) لْآيَةَ، ثُمَّ يَأْتِي بِا لْحَدِيْثِ، فَلَيْسَ لَهُ أَصْلٌ فِي السُّنَّةِ.
Adapun apa yang biasa berjalan dalam adat kebiasaan manusia pada zaman ini di mana mereka mengadakan muraqqi yang membacakan firman Allah: “Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya (berselawat ke atas Nabi)...” kamudian membacakan hadis (tentang larangan berbicara semasa khutbah Jumaat), maka hal ini tidak memiliki dasar dalam Sunnah. [Nihayatul Muhtaj ila Syarhil Minhaj 2/313]

Seterusnya perhatikan pula apa yang disebutkan oleh Ibnu Hajar al-Haitsami (974H) berkenaan dengan muraqqi Jumaat:

كَلَامُهُمْ هَذَا وَغَيْرُهُ صَرِيْحٌ فِي أَنَّ اتِّخَاذِ مُرَقٍّ لِلْخَطِيْبِ يَقْرَأُ الْآيَةَ وَالْخَبَرَ الْمَشْهُوْرَيْنِ بِدْعَةٌ، وَهُوَ كَذَلِكَ لأَنَّهُ حَدَثَ بَعْدَ الصَّدْرِ الْأَوَّلِ.
Perkataan mereka (para ulamak Syafi’iyyah) dalam menerangkan tatacara khutbah Jumaat ini menunjukkan bahawa untuk mengadakan seorang muraqqi bersama khatib yang bertugas membacakan ayat (dari surah al-Ahzab, ayat 56) dan hadis yang sangat dikenal itu adalah perbuatan bid’ah. Dan saya sendiri bersetuju dengan keputusan ini, disebabkan hal itu hanyalah perkara yang diada-adakan setelah masa Rasulullah. [Tuhfatul Muhtaj bi Syarhil Minhaj 2/460]

Lain-lain tokoh Syafi’iyyah yang menghukum bid’ah muraqqi Jumaat ialah Syaikh Ibrahim al-Qalyubi asy-Syafi’e rahimahullah (1069H), Syaikh Abdul Hamid asy-Syarwani asy-Syafi’e rahimahullah, Syaikh Ibrahim al-Bajuri asy-Syafi’e rahimahullah (1277H) dan ramai lagi.

Berketurunan Nabi, bukan jaminan semua dan selamanya betul.
Mereka berkata:
“Bukankah yang mengajarkan amalan bid'ah kepada kami juga ialah mereka yang berketurunan Nabi? Mustahil mereka salah! ”
Jawapan:
Sebagaimana kalian mengatakan mustahil mereka berbuat salah, demikian juga sebaliknya, adalah mustahil untuk dikatakan mereka sentiasa betul dalam semua hal dan keadaan. Hakikatnya mereka juga adalah manusia biasa, yang ada nafsu dan kecenderungan untuk berbuat salah. Mereka bukanlah Rasul yang dijanjikan maksum oleh Allah, bukan juga malaikat yang suci daripada dosa.

Siapa pun di dunia ini tetap tertakluk kepada hukum-hakam Allah, termasuklah mereka yang mengaku berketurunan Nabi. Jika mereka berbuat dosa, pastilah balasan buruk yang bakal diterima oleh mereka. Demikian sebaliknya, mereka akan mendapat nikmat keamanan dan kebahagiaan daripada Allah sekiranya mereka berbuat baik di dunia. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

وَايْمُ اللهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعَ مُحَمَّدٌ يَدَهَا.
"Demi Allah sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, pasti Muhammad akan memotong tangannya." [Hadis al-Bukhari, no. 6788 dan Muslim, no. 1688]

Perhatikan hadis di atas, jika Fatimah radhiallahu’anha yang merupakan anak terdekat kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mencuri, pastilah baginda sendiri yang akan memotong tangannya. Lalu bagaimana pula jika ada yang mengaku sebagai berketurunan Rasul namun giat mempromosikan kepercayaan dan amalan berunsur syirik dan bid’ah ke dalam masyarakat Islam? Bukankah hukuman yang bakal diterima oleh golongan ini jauh lebih berat berbanding dengan perbuatan mencuri?

Perlu ditegaskan bahawa nasab atau keturunan bukanlah penentu benar atau salahnya seseorang, selamat atau sengsaranya dia di sisi Allah.
 Ukuran yang tepat untuk menilai kedudukan seseorang di sisi Allah ialah nilai taqwanya, bukan keturunannya semata-mata. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

"Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu." [Surah al-Hujurat, ayat 13]

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِي الْمُتَّقُوْنَ، مَنْ كَانُوْا حَيْثُ كَانُوْا.
"Sesungguhnya orang yang paling dekat dengan aku adalah orang-orang yang bertaqwa (tidak kira) siapa pun mereka dan di mana sahaja mereka (berada)." [Hadis riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad, no. 22052]

Lupakah kalian, bahawa yang menentang para Rasul Allah juga terdiri daripada kerabat terdekat para Rasul itu sendiri? Apakah kesemua para penentang itu selamat dan mendapat kemuliaan daripada Allah disebabkan oleh nasab atau keturunan mereka? Sama-samalah kita renungkan!


Saya tidak faham dengan orang yang buat bid'ah lalu dihasanahkan dalam urusan ibadah ini.

1) Apakah tatacara ibadah (solat, zikir, selawat dll) yang diajarkan Nabi masih tidak cukup sehingga perlu diwujudkan tatacara ibadah yang baharu?
2) Apakah tatacara ibadah Nabi masih kurang elok sehingga perlu diubahsuai agar ia kelihatan elok?
3) Apakah ada jaminan pahala daripada Allah ke atas tatacara ibadah baharu yang diada-adakan oleh mereka? Jika tiada, apakah manfaat melakukannya?


Mengapa Perlu Mempertahankan Sunnah dan Melawan Syirik?
Guru Imam al-Bukhari, iaitu Muhammad bin Yahya adz-Dzuhliy berkata bahawa dia mendengar Yahya bin Ma'in berkata:
الذب عن السنة أفضل من الجهاد في سبيل الله
"Membela Sunnah lebih mulia daripada jihad di jalan Allah." [Siyar A'lam an-Nubala' 10/518]

Dengan membela Sunnah dan menentang syirik serta bid'ah:
1) Agama Allah akan bersih daripada noda syirik yang membinasakan akidah dan menghapuskan pahala amalan umat Islam.
2) Agama Allah akan kembali kepada asalnya, mudah dan jelas akidah dan syariatnya.
3) Orang-orang kafir masuk ke dalam ajaran Islam akan kembali kepada fitrah yang suci, bebas daripada keyakinan kepada unsur kesyirikan, khurafat dan tahyul sebagaimana yang difahaminya sebelum menerima Islam.


***


Assalamualaikum.
Berkaitan doa awal dan akhir tahun.
Ada beberapa fakta yang perlu diketahui:
1- tidak ada dalil sahih daripada al-Quran dan as-Sunnah menyatakan bahawa terdapat amalan khusus apabila masuk atau berakhirnya sesuatu tahun.
2- kalendar hijrah hanya mula wujud pada zaman Khalifah Umar. Maka, fakta ini sekaligus menunjukkan amalan doa akhir dan awal tahun ialah benda baru yang direka-reka.
3- Doa adalah satu ibadah yang disuruh oleh Allah dalam al-Quran dan as-Sunnah.
4- Akan tetapi untuk menyatakan bahawa disunatkan membaca doa awal akhir tahun ia memerlukan dalil.
Contoh: kita sebut sunat baca doa masuk tandas sebab ada dalil khusus bab ini.
Kita sebut sunat baca doa keluar rumah, sebab ada dalil khusus bab ini.
Akan tetapi doa awal dan akhir tahun tiada dalil khusus. Maka tidak boleh kita berkata: disunatkan membaca doa awal dan akhir tahun.
Cukuplah apa yang Allah dan rasul telah ajar kepada kita. Cukup banyak doa harian yang khusus yang kita tidak tahu tetapi wujud dalam hadis-hadis nabi saw. Fokuskanlah diri kita kepada benda yang memang wujud dalam wahyu.
InsyaAllah. Banyakkan berdoa sepanjang masa.
(Mohd Masri Mohd Ramli)

3 hrs ·

~Mohd Hairi Nonchi

No comments:

Post a Comment