Sunday, November 25, 2012

Tawassul - Antara yang Sahih dan yang Batil


Muhammad Asrie bin Sobri 
 

Tawassul adalah antara isu yang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan Umat Islam dan sering pula menjadi kekeliruan dalam kalangan umat dan salah faham antara tawassul yang sahih dan tawassul yang batil. Dalam artikel singkat ini, penulis akan membentangkan secara ringkas permasalahan ini supaya menjadi panduan mudah untuk masyarakat awam dalam membezakan antara tawassul yang sahih dan tawassul yang batil.

Perkataan Tawassul adalah masdar daripada kata kerja dalam bahasa Arab: Tawassala-Yatawassalu dan dimaksudkan dengannya adalah: “Mendekatkan diri kepada perkara yang dikehendaki dan berusaha untuk sampai kepadanya dengan penuh pengharapan”. Seseorang yang melakukan amal ketaatan kepada ALLAH s.w.t dalam rangka mendekatkan dirinya kepada ALLAH maka dia dikatakan telah bertawassul kepada ALLAH yakni: “berusaha untuk mendekatkan diri kepadaNya dengan amalan taat dan soleh”.

ALLAH s.w.t berfirman dalam surah al-Maidah ayat ke-35 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah dan carilah al-Wasilah (yang boleh menyampaikan kepadaNya) (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan. 

Kata Imam Abu Ja’far al-Tabari, maksudnya: “dan carilah kepadaNya al-Wasilah” dalam ayat ini adalah: “dan carilah kedudukan yang dekat kepadaNya dengan kamu beramal dengan amalan yang mendatangkan redhaNya” [Tafsir al-Tabari, 10/290].

Berkata pula Imam Qatadah rahimahullah, maksudnya adalah: “hendaklah kamu mendekatkan diri kepadaNya dengan mentaatiNya dan beramal dengan apa yang mendatangkan redhaNya”

 dan Imam Ibn Katsir rahimahullah menyatakan ia adalah tafsiran yang disepakati atas maknanya seluruh Ulama’ Tafsir. [Tafsir Ibn Katsir, 3/103].

Difahami daripada penjelasan ini maksud Tawassul pada Syarak adalah melakukan amalan-amalan ketaatan yang disyariatkan oleh ALLAH s.w.t dalam rangka mengharap redha ALLAH dan mencapai kedudukan yang dekat di sisiNya.

Diketahui juga bahawa Tawassul adalah Ibadah kepada ALLAH s.w.t maka hendaklah dilakukan dengan Ikhlas yakni ditujukan semata-mata kepada ALLAH jika ditujukan kepada selainNya maka ia adalah Syirik dan hendaklah sesuai dengan Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan kefahaman para Sahabat baginda r.a. jika tidak ia akan menjadi bid’ah yang menyesatkan.

Fokus perbahasan Tawassul dalam kalangan Ahli Ilmu menjurus kepada Tawassul dalam berdoa yakni perkara-perkara yang dijadikan sebagai sebab dan pendekat antara kita dengan ALLAH s.w.t dalam doa kita sehingga doa itu menjadi mustajab dan diqabul (diterima) ALLAH s.w.t.


Tawassul yang sahih

Dalam al-Quran dan as-Sunnah terdapat tiga jenis Tawassul dalam doa yang digalakkan dan dibenarkan bahkan diseru supaya kita beramal dengannya iaitu:

Pertama: Bertawassul kepada ALLAH s.w.t dengan nama-nama ALLAH yang Maha Indah dan sifat-sifat ALLAH yang maha tinggi seperti firman ALLAH s.w.t dalam surah al-A’raf ayat 180 yang bermaksud: “dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadanya dengan menyebut nama-nama itu…”. Maka kita digalakkan untuk menyeru ALLAH s.w.t dengan nama yang sesuai dan munasabah dengan permohonan kita seperti jika hendak memohon rezeki maka diseru: Ya RAZZAQ, berilah aku rezeki dan seumpamanya.

Kedua: Bertawassul kepada ALLAH s.w.t dengan menyatakan dalam doa kita amal-amal soleh yang kita lakukan dan ini tsabit dalam doa-doa al-Quran antaranya firman ALLAH s.w.t dalam surah Ali Imran ayat ke-53 berkenaan doa kaum Hawariyyin: “Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)”. Pada doa ini terdapat tawassul kepada ALLAH dengan menyatakan keimanan kepada ALLAH dan mutaba’ah (mengikut) Sunnah Rasul.

Ketiga: Bertawassul dengan memohon kepada orang-orang soleh yang masih hidup untuk mendoakan kita dan juga dengan doa saudara se-Islam antara mereka. Tawassul jenis ini adalah apa yang para Sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam r.hum lakukan dengan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam di mana mereka memohon supaya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam mendoakan untuk mereka seperti dalam hadis daripada Anas bin Malik r.a bahawa ketika mana Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam sedang berkhutbah maka datang seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, telah musnah kuda-kuda dan kambing-kambing (disebabkan tiada hujan) maka berdoalah kamu kepada ALLAH supaya Dia menurunkan hujan. Maka baginda mengangkat tangan lalu berdoa. [HR al-Bukhari & Muslim].

Demikian juga semasa berlaku musim kemarau di zaman Umar bin al-Khattab r.a beliau telah bertawassul dengan doa al-’Abbas bin Abdul Muttalib r.a untuk memohon hujan kepada ALLAH: Kata Anas bin Malik r.a bahawa Umar bin al-Khattab r.a jika tidak turun hujan maka beliau akan berdoa memohon hujan dengan perantara al-’Abbas bin Abdul Muttalib r.a, beliau berdoa: Ya ALLAH, adalah kami dahulu bertawassul kepadaMu dengan Nabi kamu lalu kamu menurunkan hujan kepda kami, maka sekarang ini kami bertawassul pula kepada kamu dengan bapa saudara Nabi kami maka turunkan kepada kami hujan. Maka mereka pun diturunkan hujan. [HR al-Bukhari].

Tawassul Umar bin al-Khattab r.a dengan al-’Abbas r.a di sini bermaksud Tawassul dengan doa beliau kerana beliau menyatakan dalam doanya bahawa mereka dahulu bertawassul dengan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan sekarang mereka bertawassul setelah kewafatan Nabi dengan al-Abbas r.a dan dimaklumi dalam hadis yang pertama tawassul mereka kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah dengan memohon baginda berdoa bagi pihak mereka.

Demikian juga dalam riwayat Zubair bin Bakkar bahawa setelah itu al-’Abbas r.a berdoa: “Ya ALLAH, sesungguhnya tidak turun bala’ melainkan disebabkan dosa dan tidak diangkat melainkan dengan Taubat, dan mereka ini telah bermohon kepadaMu melalui aku kerana kedudukanku di sisi Nabi Mu dan inilah tangan-tangan kami menadah kepadaMu dengan penuh dosa dan ubun-ubun kami terserah kepadaMu dengan penuh taubat maka turunkanlah kepada kami hujan”, seraya dengan itu juga hujan diturunkan. [Fathul Bari, 2/497].

Difahami juga daripada Hadis Umar bin al-Khattab ini bahawa Tawassul dengan doa orang soleh itu hanya dengan doa mereka semasa mereka masih hidup, disebabkan itu setelah Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam wafat mereka beralih daripada bertawassul dengan doa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam kepada bertawassul dengan doa al-’Abbas r.a.  

Adapun tawassul dengan bermohon kepada ALLAH melalui kedudukan (jah) dan berkat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam atau orang soleh seperti dikatakan: Ya ALLAH, dengan berkat kemuliaan kedudukan Nabi-Mu di sisiMu…. dan seumpamanya maka ianya tidak tsabit dalam nas-nas hadis yang sahih sama sekali. 

Demikian juga bermohon doa kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam atau orang soleh atau sesiapa sahaja yang telah mati seperti dikatakan di sisi kubur orang mati: “Wahai wali fulan, doakan untuk kami..” dan seumpamanya maka ini adalah Syirik Akbar (besar) yang menjadikan pelakunya murtad daripada Islam, nauzubillah min zalik.

Penulis adalah Ahli Majlis Syura, Sekretariat Ilmuan Malaysia (ILMU)
Siaran akhbar Sabtu 24 November 2012 

Saturday, November 24, 2012

Pemuda PAS Selar Harakah Promosi Idea Sesat dan Fahaman Syiah


Pemuda PAS Selar Harakah Promosi Idea Sesat dan Fahaman Syiah
Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) yang bersidang baru-baru ini telah meluluskan dengan sebulat suara usul yang dibawa oleh DPP Wilayah Persekutuan mengenai media lidah rasmi parti itu, Harakah dan portalnya Harakahdaily. Ini kerana majoriti perwakilan DPP yang membahaskan usul tersebut menyifatkan media-media tersebut sering dilihat memaparkan berita untuk melaga-lagakan pimpinan parti dan mempromosikan ‘idea sesat’.


Kamaruzzaman Mohamad ketika membentangkan usul tersebut mengatakan, perkembangan terakhir ini jelas menunjukkan bahawa Harakah semakin tersasar daripada asas perjuangannya.


Beliau berkata, ia tidak sepatutnya berlaku sama sekali kerana ia akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat terutama ahli dan penyokong Pas yang menjadi pembaca setia.


“Sedikit contoh pemberitaan yang tidak sepatutnya berlaku, pertama dalam isu yang melanda dua bekas pimpinan Datuk Dr. Hassan Ali dan Nasharuddin Mat Isa, Harakah sebagai lidah rasmi tidak sepatutnya menyiarkan berita tersebut tetapi Harakah menjadi batu api menyiarkan di muka depan.


“Beberapa artikel mutakhir ini menyiarkan tokoh yang memberi masalah kepada jemaah, mereka diberi ruang untuk mempromosi idea sesat, bagaimana Harakah yang membawa mesej parti tiba-tiba beri ruang yang cukup besar siap gambar warna warni” katanya.


Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat Dr Khairuddin Aman Razali sebelum ini mengatakan terserah kepada para perwakilan sayap berkenaan untuk membangkitkan rungutan berhubung lidah parti Pas itu.


Ketua DPPM, Nasruddin Hassan melalui kenyataan akhbarnya cuba untuk mengambil pendekatan politik berhubung isu ini dengan bersetuju untuk tidak bersetuju.


“Ia bukan usul menghentam tetapi usul membina agar Harakah terus segar dan relevan sepanjang zaman.


“Suara perwakilan muktamar sangat dihormati dan dalam masa yang sama tidak mengurangkan sayang kami kepada Harakah…” katanya.


Dalam perkembangan yang sama Naib Ketua DPPM, Nik Abduh Nik Aziz turut mengkritik media tersebut. Beliau antaralinnya mengatakan mendia tersebut telah cuba untuk menyemat agenda tersendiri yang di kuasai oleh pihak tertentu baik dari dalam mahupun di luar parti Pas


Selain dari itu, para perwakilan DPPM merasakan akhbar Harakah dan portal HarakahDaily sudah di anggap menjadi suara pihak liberal dan ‘Anwarinas’ yang tidak langsung mencerminkan perjuangan Pas. Malah menurut mereka ada kalanya berita dan aktiviti serta hal ehwal Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim lebih banyak di laporkan berbanding hal ehwal pemimpin parti itu.


Dalam pada itu, perwakilan dari Pahang, Fazli Ibrahim mengkritik Harakah kerana terlalu terbuka dalam menyiarkan tulisan-tulisan serta kenyataan dari pemimpin pakatan rakyat lain sehingga boleh menimbulkan kekeliruan.


“Ada kenyataan pemimpin kita yang dibuat berkali-kali pun tidak disiarkan dalam Harakah tetapi ucapan pemimpin parti sahabat kita lebih banyak disiarkan, kita kena ingat Harakah adalah lidah rasmi Pas bukan lidah rasmi pembangkang,” katanya.


Perwakilan Pas Melaka, Jauhar Mohd. Dawi bimbang dengan ‘fenomena’ pemimpin dan Harakah yang sering menggunakan Syiah atau Iran sebagai ‘kiblat’ dalam perjuangan mereka.


“Saya tidak menuduh pimpinan tertinggi kita Syiah tetapi oleh kerana ada pimpinan tertinggi suka menyebut mengenai pimpinan Syiah, Iran atau pun Hizbullah. Jaga tindak tanduk dan tutur kata agar tidak terjerumus fitnah dengan anutan Syiah.


“Ini juga termasuk Harakah supaya jauhkan daripada Syiah, kita minta hentikan semua tulisan yang mengaitkan Syiah dalam Harakah.


Usul itu telah diluluskan dengan majoriti besar iaitu 733 perwakilan dari 172 kawasan.




Faridah Daud

Friday, November 23, 2012

Hadith-hadith Anjuran Puasa `Asyura’ (10 Muharram)


 
Hadith-hadith Anjuran Puasa `Asyura’ (10 Muharram)

“Puasa yang paling utama setelah (puasa) Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah – Muharram. Sementara solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam.”

(HR. Muslim no. 1163, daripada Abu Hurairah)
 

Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam ditanya mengenai keutamaan puasa Arafah? Baginda menjawab, “Puasa Arafah akan menghapus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” Baginda juga ditanya mengenai keistimewaan puasa `Asyura’? Baginda menjawab, “Puasa `Asyura’ akan menghapus dosa setahun yang lalu.”


(HR. Muslim no. 1162)
 

“Di zaman jahiliah dahulu, orang Quraisy biasa melakukan puasa `Asyura’. Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam juga melakukan puasa tersebut. Tatkala tiba di Madinah, Baginda melakukan puasa tersebut dan memerintahkan yang lain untuk melakukannya. Namun tatkala puasa Ramadhan diwajibkan, Baginda meninggalkan puasa `Asyura’. (Lalu Baginda mengatakan) Barangsiapa yang mahu, silakan berpuasa. Barangsiapa yang mahu, silakan meninggalkannya (tidak berpuasa).”


(HR. Al-Bukhari no. 2002 dan Muslim no. 1125)
 

Ketika tiba di Madinah, Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam mendapati orang-orang Yahudi melakukan puasa `Asyura’. Kemudian Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam bertanya, “Hari yang kalian bepuasa ini adalah hari apa?” Orang-orang Yahudi tersebut menjawab, “Ini adalah hari yang sangat mulia. Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya, dan Fir’aun dan kaumnya ditenggelamkan. Musa berpuasa pada hari ini dalam untuk bersyukur, maka kami pun berpuasa pada hari ini”. Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam lantas berkata, “Kami lebih berhak dan lebih utama mengikuti Musa daripada kalian.”. Lalu setelah itu Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam memerintahkan kaum muslimin untuk berpuasa.


(HR. Muslim no. 1130)
 

“Sesungguhnya orang-orang Jahiliah biasa melakukan puasa pada hari `Asyura’. Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam pun melakukan puasa tersebut sebelum diwajibkannya puasa Ramadhan, begitu pula kaum muslimin saat itu. Tatkala Ramadhan diwajibkan, Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam mengatakan: Sesungguhnya hari ‘Asyura’ adalah hari di antara hari-hari Allah. Barangsiapa yang ingin berpuasa, silakan berpuasa. Barangsiapa meninggalkannya juga silakan.”


(HR. Muslim no. 1126)
 
Sunnah juga puasa pada hari ke 9 Muharram

Ibnu Abbas radhiallahu ’anhuma berkata bahawa ketika Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam melakukan puasa hari `Asyura’ dan memerintahkan kaum muslimin untuk melakukannya, pada saat itu ada yang berkata, “Wahai Rasulullah, hari ini adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Kristian.” Lantas Baginda mengatakan, “Apabila tiba tahun hadapan, insyaAllah (jika Allah menghendaki) kita akan berpuasa pula pada hari kesembilan.” Ibnu Abbas mengatakan, “Belum sampai tahun hadapan, Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam telah meninggal dunia.”


(HR. Muslim no. 1134)
~
Dec 16, 2010

Tuesday, November 20, 2012

Strategi Barat Untuk Membendung Islam – Bahagian 2

 

 

Strategi Barat Untuk Membendung Islam – Bahagian 2

Markaz al-Arabi lil Dirasat al-Insaniah, sebuah pusat kajian yang berpengkalan di Kaherah, Mesir, telah menerbitkan satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Basim Khafaji ke atas Laporan Institut RAND 2007 yang bertajuk “Building Moderate Muslim Networks”. Kajian ini diberi tajuk “Strategi Barat Untuk Membendung Islam”, diterbitkan pada tahun 2007.

Dalam bahagian kedua rencana ini, saya akan membawakan pembaca ke bahagian ketiga buku kajian tersebut. Dalam bahagian ketiga itu, Dr Basim Khafaji menulis tentang pemerhatian beliau terhadap ciri-ciri utama strategi Amerika yang dicadangkan oleh institut RAND untuk membendung Islam. Saya bawakan pemerhatian Dr Basim itu dalam bentuk terjemahan bebas, yang tidak terikat dengan pendekatan terjemahan perkataan demi perkataan yang selalunya menyukarkan fokus pada isi sebenar. Selain itu saya turut menambah dengan beberapa ulasan lanjut yang saya lihat perlu untuk memperkukuhkan noktah yang dibawa oleh beliau, terutamanya yang berkaitan dengan realiti di Malaysia.

Bahagian kedua daripada kandungan buku itu saya akan bawakan di lain kesempatan, insyaAllah.

Berdasarkan bacaan ke atas laporan yang bertajuk “Building Moderate Muslim Networks” itu, strategi Barat untuk menguasai dunia Islam dapat diringkaskan dalam beberapa noktah berikut:

1.  Pertembungan sebenar antara Barat dan Islam ialah pertembungan pemikiran atau ideologi. Sesuatu konflik antarabangsa itu mungkin bermula dalam bentuk pertembungan ketenteraan atau kerana faktor-faktor ekonomi dan kepentingan lain, tetapi sejarah membuktikan bahawa konflik sebenar ialah pertembungan pemikiran mengenai kaedah terbaik mentadbir dunia di masa hadapan, seperti yang pernah berlaku dalam Perang Dingin dan juga dalam sejarah pertembungan manusia di atas muka bumi ini.

2.  Pertembungan tidak akan selesai jika hanya sekadar memerangi keganasan. Laporan itu menyebut beberapa kali bahawa teroris bukanlah masalah sebenar yang dihadapi oleh Barat dari dunia Islam. Masalah sebenar terletak pada dua perkara; Islam itu sendiri dan kumpulan Islamis secara keseluruhannya yang membawa aspirasi Islam. Kedua-duanya merupakan musuh sebenar, yang perlu dikalahkan dari sudut pemikiran terlebih dahulu, sebelum sudut keselamatan dan ketenteraan.

3.  Amerika perlu mengetuai serangan pemikiran ini. Walaupun Amerika sudah mempelopori serangan ketenteraan ke atas kumpulan Islamis bersenjata, laporan itu menggesa agar Amerika turut mengetuai serangan pemikiran ke atas dunia Islam seperti yang berlaku ketika Perang Dingin.

4.  Pertembungan sebenar bukan dengan aliran bersenjata atau ekstrim, sebaliknya dengan kumpulan Islamis. Maksudnya ialah pertembungan akan datang bukan lagi antara dua kutub ekstrimis, istilah yang sering diungkapkan oleh kalangan pemerhati Barat dan Timur, sebaliknya ia akan menjadi pertembungan antara dua golongan pertengahan daripada kedua-dua kutub. Golongan pertengahan daripada kutub sekular dapat diamati pada kumpulan moderate muslim menurut kriteria Amerika yang mensejajarkan Islam dengan Deklarasi Hak-hak Asasi Manusia Sejagat 1948, manakala golongan pertengahan kutub Islamis ialah kumpulan yang mendokong fahaman Islam tulen berasaskan metode ilmiah Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam bab akidah, pemikiran, penafsiran al-Quran, kedudukan Sunnah, istinbat hukum fekah dan sebagainya. 

Keadaan berterusan sehingga beralih secara beransur-ansur, atas faktor media sebagai pemain peranan utama, menjadi konflik menyeluruh antara kem Barat dan kem Islam.

5.  Medan pertembungan adalah di dalam negara-negara Islam sendiri. Walaupun pertembungan sebenar ialah antara Barat dan Islam, laporan itu menyarankan agar medan pertempuran hendaklah diadakan di dalam negara Islam sendiri, berlaku antara sesama orang Islam.

6.  Selepas peristiwa 11 September, kecenderungan yang ada ialah untuk merubah orang-orang Islam. Bagaimanapun kecenderungan ini berubah kepada kecenderungan untuk merubah Islam itu sendiri, memandangkan Islam adalah agama yang mengandungi prinsip-prinsip pemikiran dan akidah yang menggerakkan penentangan terhadap hegemoni Barat, tidak kira apa jua bentuk penentangan tersebut. Bukan itu sahaja, bahkan jika Islam itu sukar untuk diubah, maka laporan kajian ini turut mencadangkan agar Islam perlu dibendung dan dikembalikan ke masjid, serta mesti dihalang daripada mempengaruhi individu kecuali dalam bab ibadah yang bersifat peribadi semata-mata. Cadangan ini turut disokong oleh beberapa laporan kajian lain. Kempen ke arah perubahan sebegini kelihatan semakin lantang sejak akhir-akhir ini.

7.  Memilih istilah moderate sebagai senjata dalam pertembungan ini. Istilah moderate menurut kriteria Barat ini digunakan secara strategik untuk merubah Islam dan muslimin sekaligus.

 Maksudnya ialah apa-apa sahaja penentangan terhadap moderate (menurut istilah Amerika ini) akan dianggap sebagai ekstrim dan melampau, yang mesti dihukum menurut undang-undang antarabangsa.

 Istilah yang asalnya bagus ini dirampas dan dijadikan senjata yang dihunuskan di depan Islam dan muslimin, serta mereka yang tidak memusuhi Islam. Mereka akan dipaksa memilih sama ada bersama moderate muslim (menurut istilah Amerika) atau bersama pelampau dan ekstrimis iaitu kumpulan Islamis yang mempertahankan ketulenan Islam yang telah digambarkan oleh media sebagai pelampau dan ekstrimis.


8.  Menafsirkan semula Islam agar selari dengan kepentingan Barat. Laporan itu mencadangkan secara tidak langsung agar Islam ditafsirkan semula agar selari dengan perubahan dunia seperti yang berlaku pada agama Kristian dan Yahudi.

9.  Menggunakan Islam untuk berdepan dengan Islamis. Laporan itu turut mencadangkan agar nas-nas syarak digunakan untuk berdepan dengan golongan Islamis melalui usaha berterusan menggali daripada tulisan-tulisan warisan Islam yang boleh digunakan untuk memberi justifikasi kepada perubahan pendirian Islam yang didambakan atas nama tajdid atau reformasi agama. Amerika dan sekutunya akan membantu menyebarkan maklumat dan idea itu supaya pegangan muslimin terhadap prinsip-prinsip agama mereka dapat digoyahkan. Untuk tujuan itu, laporan itu juga mencadangkan agar usaha tersebut dijalankan melalui kumpulan-kumpulan Islam itu sendiri. Secara khusus laporan itu mencadangkan agar diadakan kerjasama dengan beberapa aliran Sufi sesat yang menyalahi ajaran Ahlu Sunnah wal Jamaah untuk memerangi aliran Islamis yang lain terutamanya aliran Salafi yang digelarkan sebagai Wahhabi dan ekstrimis. Di Malaysia, selain aliran Syiah, perkara ini boleh kita amati pada organisasi bukan kerajaan yang menggelarkan diri mereka sebagai reformis agama dan giat mencanangkan nama-nama tokoh seperti Muhammad Asad, Muhammad Abduh, Rashid Redha, Syed Qutb dan lain-lain untuk menjustifikasikan reformasi agama ala Islam Liberal mereka secara tidak amanah.

10.  Menghidupkan dan memperkuatkan kelompok sekular untuk berdepan dengan Islamis. Laporan ini mempertegaskan kepentingan dan keperluan untuk memperkuatkan aliran sekuar bebas untuk berdepan dengan Islamis. Fokus mereka ialah golongan sekular bebas sahaja, dalam erti kata lain mengetepikan penguasa sistem sekular yang tidak memusuhi Islam secara terus terang, yang lebih cenderung kepada gaya autokratik. Ini kerana pada pandangan Barat, penguasa-penguasa negara yang berasaskan sistem sekular ini berkemungkinan besar pada suatu hari nanti akan mempertahankan Islam secara jelas ketika berdepan dengan serangan Barat dan puak sekular bebas, dan kemungkinan pada ketika itu mereka akan bekerjasama dengan aliran Islamis untuk berdepan dengan kerjasama Barat dan aliran sekular bebas.

11.  Mengurangkan upaya negara untuk menghalang agenda Amerika. Laporan itu mengesyorkan agar dilakukan pelbagai langkah untuk mengurangkan penguasaan negara-negara Islam terbabit terhadap situasi dalaman negara, agar memudahkan pergerakan dan kemasukan agensi-agensi Amerika ke dalam masyarakat Islam. Laporan itu turut memuji langkah-langkah kerajaan Amerika sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam menggubal beberapa akta yang merestui penglibatan langsung agensi Amerika dalam negara Islam untuk membantu gerakan masyarakat madani (Civil Society Organisation) yang berkiblatkan Barat.
12.  Menuduh semua musuh Barat sebagai Salafi, Wahhabi dan ekstrimis. Semua orang yang menentang agenda penjajahan pemikiran Amerika akan dilabel sebagai Salafi, Wahhabi dan ekstrimis, memandangkan istilah-istilah itu kurang dikenali oleh kebanyakan orang, bahkan ada yang dibenci oleh sebahagian orang Islam, manakala perkataan ekstrimis lebih memudahkan proses peminggiran.

 Pada masa akan datang, Amerika mungkin akan menggunakan sejarah perselisihan antara Salafi dan Sufi, untuk melancarkan serangan ke atas Salafi melalui Sufi yang menyebelahi Barat. Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi sendiri telah dilabelkan sebagai Salafi Ekstrimis. 

Laporan ini menyifatkan Salafi sebagai aliran ekstrimis dan keras, yang perlu ditentang secara terbuka dan menarik perhatian ramai. Strategi ini selari dengan pendekatan untuk menonjolkan golongan moderate muslim (menurut kriteria Amerika) sebagai golongan yang paling diterima ramai. ISMA telah dilabel sebagai ekstrimis oleh salah seorang audien dalam Wacana Islamic State, Which Version, Whose Responsibility yang dianjurkan dengan kerjasama moderate muslim (menurut kriteria Amerika).

 Ini membayangkan pelan strategik ini sedang berlangsung dengan penuh sengaja dan sedar, untuk meminggirkan jamaah yang mempertahankan ketulenan Islam dengan label yang menakutkan orang ramai.

13.  Merungkai ikatan hubungan negara-negara Islam dengan pusat pengaruh Islam iaitu dunia Arab. Laporan itu menekankan peri penting untuk mendekati negara-negara Islam di luar rantau Arab serta menyekat pengaruh Islamis dalam negara tersebut yang jika dibiarkan akan semakin maju menuju ke pusat pengaruh Islam iaitu dunia  Arab. 

Antara pengaruh yang dimaksudkan ialah pelajar-pelajar Universiti al-Azhar yang membawa balik ke negara asal mereka pemikiran Islamis fundamentalis. Usaha ini merupakan langkah strategik untuk memecahkan entiti dunia Islam melalui proses menyuburkan permusuhan antara negara Islam dan negara Arab.

14.  Menukar haluan arus penyebaran pemikiran. Haluan penyebaran pemikiran Islam sebelum ini ialah dari negara-negara timur tengah ke negara-negara Islam di rantau Asia dan Afrika. Usaha akan datang ialah membantu dan memperkukuhkan institusi pemikiran Islam liberal di negara-negara Islam, diterjemahkan tulisan dan pemikiran tersebut untuk disebarkan ke negara-negara timur tengah. Strategi ini serba sedikit menunjukkan kelemahan para pengkaji dalam memahami kedudukan bangsa Arab dan bahasa Arab dalam penyebaran pemikiran Islam sejak berkurun yang lampau.

15.  Membantutkan kebangkitan beberapa aliran Islamis melalui dialog. Laporan itu mencadangkan agar digunakan dialog sebagai wasilah untuk merubah pendirian beberapa aliran Islamis, memaksa mereka untuk membincangkan perkara-perkara yang selama ini tidak boleh dibincangkan dan diperselisihkan dalam Islam, seperti kebebasan untuk memilih agama di kalangan orang Islam, sehingga mereka buntu dalam mencari jawapan kepada permasalahan pensejajaran antara Islam dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang akhirnya membawa kepada sikap mengalah.

Cadangan-cadangan strategi di atas jelas membawa bahaya yang nyata, bukan sahaja ke atas gerakan Islam, bahkan mengancam kesatuan umat dan negara, selain menggugat kestabilan dan kuasa kerajaan negara-negara terbabit dalam mengawal situasi dalaman negara masing-masing.

Oleh itu, umat Islam di negara ini khususnya perlu mempunyai pandangan yang menyeluruh terhadap isu-isu yang berlaku dalam negara kita sejak kebelakangan ini. Bagi golongan Islamis, berdegil untuk kekal bertekak dan bertumbuk dalam kotak sempit kuasa politik negara sambil membiarkan arus perubahan dijuarai golongan moderate liberal muslim dengan bantuan terang-terangan mencurah-curah daripada agensi Amerika adalah sikap ultra benak yang bukan setakat merugikan penyokong, bahkan Islam dan umatnya di Tanah Melayu tercinta ini.


Hiburan Berlebihan Budaya Siapa?




Perkongsian pengalaman dalam kehidupan

Hiburan Berlebihan Budaya Siapa?


1. Isu hiburan di dalam Islam sudah banyak dikupas oleh ramai ulamak. Dr Yusuf al-Qardhawi ada menulis buku khas tentang isu hiburan di dalam Islam. Beliau juga ada mengulas di dalam bukunya Malamih Mujtama; Muslim.

Dr Abd Karim Zaidan menulis tentang hiburan di dalam jilid ke 4 bukunya Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar’ah.

 Dr Abdullah Naseh Ulwan ada juga menghuraikan isu hiburan ini di dalam mukadimah lirik koleksi nasyid Abu al-Jud.  Ini antara tulisan terbaik di dalam isu ini yang saya jumpa.

Dan tentunya banyak lagi tulisan yang baik yang saya tak jumpa, tersebar luas di dalam dunia penulisan Islam. Saya tidaklah merujuk kembali kepada buku-buku itu untuk menulis entry ini, kerana isu ini tidaklah susah sangat untuk difahami.
2. Hiburan yang diharamkan adalah yang berlawanan dengan batas syarak seperti percampuran lelaki perempuan, disertai arak, tarian yang mengghairahkan, ayat-ayat yang mengandungi unsur lucah, membawa kepada kelalaian sehingga terabai perkara-perkara fardhu dan begitulah seterusnya.

 Isu muzik dan suara wanita; ini adalah perkara khilaf yang juga sudah banyak diperbincangkan ulamak. Begitu juga isu paparan gambar-gambar wanita jelita yang menutup aurat. Selagi mana ianya khilaf, maka terpulanglah kepada masing-masing untuk menilai dan mentarjih.
3. Jika hiburan itu dapat dikawal sehingga ianya benar-benar menepati syarak, ia masuk di dalam kategori perkara harus (mubah). Perkara harus tidaklah harus secara mutlak. Imam Muhammad Abu Zuhroh misalnya meletakkan bahawa perkara yang harus tidak boleh ditinggalkan secara mutlak dan juga tidak boleh dilakukan berterusan secara mutlak. Tidak harus seseorang untuk meninggalkan makan minum secara mutlak kerana ia akan membawa kepada kemusnahan jiwa. Tidak boleh juga berhiburan secara berterusan siang dan malam kerana ia akan membawa kepada terabai perkara-perkara fardhu.
4. Islam tidak menolak hiburan tetapi sebaliknya meletakkannya pada posisinya yang tobie, iaitu sebagai tahsiniat di dalam kehidupan. Dikawal dengan kawalan tertentu agar ia tidak memusnahkan perkara-perkara dhoruriat di dalam syariat.
5. Hiburan di negara kita sudah melebihi saiz dan dos yang dibenarkan oleh syariat. Suasana dalaman rumah yang dikuasai oleh tv dan siaran radio, budaya berhibur sehingga melebihi lewat malam, kandungan siaran tv dan isi kandung perbualan di radio, cerita-cerita dan gosip di dalam media cetak dan lain-lain lagi menjadi bukti kepada apa yang saya sebutkan ini. Apabila ia sudah melebihi tahap, maka natijah dari itu adalah pengabaian banyak kefardhuan, tanggungjawab, perlanggaran hak dan sifat-sifat negatif yang mendarah daging di dalam diri individu muslim.
6. Mengawal hiburan adalah tanggungjawab semua pihak; kerajaan, pembangkang, ngo, parti, pertubuhan Islam, jawatankuasa penduduk, jawatankuasa surau, penghulu, majikan, ibu bapa dan setiap individu. Islam mempunyai budayanya yang tersendiri, dan setiap orang Islam bertanggungjawab untuk mengekalkan budaya tersebut.
7. Apabila isu hiburan ini dipolitikkan, yang ruginya adalah orang Islam. Apabila kerajaan negeri Kedah membuat keputusan menutup pusat hiburan selama sebulan di dalam bulan Ramadhan, umat Islam sepatutnya bersatu untuk menyokongnya kerana ia adalah jalan yang akan meningkatkan pembudayaan Islam di dalam negeri. Sekarang dipaparkan pula kerajaan Melaka membenarkan15  pusat hiburan dibuka sehingga jam 3 pagi hari Jumaat-Ahad, maka sekali lagi umat Islam patut bersatu untuk menghalangnya.
8. Jika ada yang mengatakan bahawa itu hak bukan Islam, maka ia perlu dibenarkan kepada mereka; pandangan saya, perkara ini perlu dilihat melalui dua perspektif:
a. Islam adalah agama negara ini. Hak ini diberikan oleh perlembagaan dan juga dari segi sejarah negara ini sendiri. Budaya yang mesti dominan adalah budaya Islam. Hiburan akan dikawal berdasarkan budaya Islam tersebut.

Dengan itu jadual tutup buka pusat hiburan, iklan, barang jualan dan sebagainya sepatutnya disusun ke arah mengekalkan budaya Islam tersebut dan bukan mengubahnya. Budaya yang asing dari budaya Islam tidak sepatutnya kelihatan secara nyata di dalam kehidupan zahir masyarakat.
b. Orang bukan Islam sendiri tidak semuanya suka hiburan yang berlebihan itu. Barat sendiri  yang merupakan kiblat mereka sudah mula meletakkan disiplin tertentu kepada isu hiburan di negara mereka.
Mereka sudah keletihan melayan orang mabuk yang tersilap masuk rumah, muntah-muntah di laluan pejalan kaki, pemandu teksi yang merungut kerana dipaksa untuk bekerja sehingga lewat malam demi pemabuk yang mahu pulang ke rumah, kes-kes kecurangan suami isteri, anak-anak luar nikah yang menuntut hak secara tiba-tiba, jenayah rogol yang tidak boleh dikawal, kadar kemurungan yang tinggi, pengambilan dadah yang sudah tidak boleh dikawal, anak-anak yang liar dan ketagihan arak yang membawa kepada penyakit yang pelbagai.
9. Apabila kita bercakap tentang larangan dan kawalan hiburan, selain sistem dan penguatkasaan undang-undang, kita juga bercakap tentang pembudayaan. Tetapi, sudah pasti bahawa pembudayaan bukan satu perkara yang mudah. Pembudayaan adalah projek jangka masa panjang yang hanya akan dilihat hasilnya dengan perubahan generasi demi generasi. Sikap kita hari ini akan menentukan apakah budaya yang akan muncul nanti dalam masyarakat.
10. Akhirnya saya menyeru kepada semua terutamanya pihak berwajib dan berpengaruh di dalam masyarakat dan negara agar mengambil langkah yang betul di dalam isu hiburan di negara kita ini.
Wallahu al-Musta’an

 by Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

Thursday, November 15, 2012

Doa Awal dan Akhir Tahun

26/12/2008

Menjadi kelaziman sebahagian orang Islam, apabila berakhir bulan Zulhijjah yang memberi erti bermulanya tahun baru Hijrah, mereka melakukan satu upacara doa yang dikenali dengan ‘Doa Awal dan Akhir Tahun’. Ia dibaca selepas waktu Asar, atau sebelum Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijjah. Lafaz doanya ‘disunatkan’ dibaca sebanyak tiga kali.

 Dan dikatakan fadilat doa ini ialah apabila dibaca, maka syaitan akan berkata, “Kesusahan bagiku, dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua”. Disebut juga, dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun.

Begitulah besarnya kelebihan yang disebut-sebut tentang doa awal dan akhir tahun ini. Tidak hairan, ramai yang mempercayainya dengan harapan memperoleh kelebihan itu. Sehingga di sesetengah sekolah, asrama, atau pejabat-pejabat, ia dibaca secara berkumpulan, dengan dipimpin oleh seorang ustaz selaku tekong dalam upacara doa tersebut dan di’amin’kan oleh jemaah.

Jika diteliti doa awal dan akhir tahun tersebut, diakui bahawa lafaz Arabnya sangat elok, susunan kata-katanya menarik, dan maksud kandungan doa juga tidak bersalahan dengan mana-mana prinsip syarak.

Tetapi, oleh kerana doa ini ditetapkan lafaz bacaannya, bilakah waktu dibaca, berapa kali bacaannya diulangi, dan apakah fadilatnya, maka upacara membaca doa ini adalah termasuk dalam bidaah. Kerana bacaan doa ini tidak pernah direkodkan dalam mana-mana kitab hadis muktabar, tidak pernah dinukilkan amalannya di kalangan para sahabat, tabien dan para salaf, dan tidak disebut pun oleh imam-imam yang masyhur.

Sedangkan kita tahu doa adalah ibadah. Dan dimaklumi bahawa ibadah bersifat tauqifiyyah iaitu mesti diambil asal dan kaifiatnya daripada syarak. Tetapi, dalam persoalan doa awal dan akhir tahun ini, tidak didapati sebarang asas pun daripada nas-nas syarak.

Syeikh Bakr Abu Zaid -rahimahullah- menyebut satu kaedah dalam amalan doa, iaitu: Setiap orang yang mengada-ngadakan sesuatu dalam urusan ibadah seperti doa dan zikir dalam bentuk yang ditetapkan dengan menganggap ia adalah satu sunnah, sedangkan ia bukan daripadanya, maka dia dihukum berdosa.

Alasannya perbuatan ini adalah satu bentuk meninggalkan perkara yang disyariatkan, satu penambahan terhadap syarak, satu galakan terhadap amalan yang bukan daripada syarak, dan menyebabkan orang awam menyangka bahawa ia suatu yang masyruk. (Tashih Ad-Dua: 44)

Apabila dikatakan bahawa ia bidaah, pasti ada suara membantah, “Sikit-sikit bidaah, apa salahnya berdoa?”. Ya, berdoa tidak salah. Ibadah doa boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai.  Termasuklah berdoa pada tarikh 29 Zulhijjah. 

Yang salahnya ialah menetapkan bentuknya seolah-olah ia daripada syarak. Ditambah pula dengan fadilat palsu tentang kata-kata syaitan begitu dan begini, dan jaminan pengampunan dosa selama setahun. Ini semua perkara ghaib yang mesti diambil daripada nas-nas sahih.

Ada juga mengatakan, “Perkara kecil seperti ini pun hendak diperbesar-besarkan?”. 
Jawapan kepada persoalan ini ialah kata-kata Imam al-Barbahari, “Dan awaslah kamu daripada perkara-perkara kecil yang diada-adakan, kerana bidaah-bidaah kecil akan berulang hingga ia menjadi besar”.

Ibn Taimiyyah pula mengatakan, “Bidaah-bidaah pada permulaannya hanya sejengkal. Kemudian ia bercambah di kalangan pengikut-pengikut, hingga menjadi beberapa hasta, beberapa batu dan beberapa farsakh“. (Satu farsakh bersamaan 3 batu).

Oleh itu,  janganlah dipandang mudah terhadap perkara-perkara kecil yang menyalahi syariat, apatah lagi termasuk dalam bidaah. 

Dan yakinilah bahawa setiap amalan ibadah yang dilakukan, sedangkan ia bukan daripada agama, maka amalan itu ditolak oleh syarak. Wallahu A’lam.
Abu Umair,

Wednesday, November 7, 2012

Kenyataan Nurul Izzah buka ruang untuk melayu murtad



 

Soalan: Boleh ustaz ulas sedikit tentang ucapan seorang YB di dalam sebuah gereja yang mengatakan kebebasan mutlak untuk semua agama termasuk bangsa melayu. Bukankah ini satu kaedah ataupun membuka ruang untuk orang murtad di Malaysia.

Jawapan:
Bismillah,
Sebenarnya kenyataan beliau itu panjang dan apabila diteliti balik beliau ada memetik mufti Al-Azhar dalam isu dan hal ini, di mana beliau sendiri telah menjelaskan tentang pengertian ijtihad di dalam ucapan beliau, beliau menyebut secara jelas mengaitkan ijtihad itu dengan waqi’ iaitu suasana, persekitaran, keadaan semasa. Jadi untuk mengeluarkan sesuatu fakta atau ijtihad perlu ada hubungkaitnya dengan semasa.
Maka beliau juga seharusnya ketika hendak bercakap tentang isu kebebasan beragama dalam negara ini beliau perlu melihat kepada waqi’ atau keadaan semasa dalam negara ini.

Keadaan semasa di negara ini, manifesto Pakatan Rakyat sendiri mempertahankan perlembagaan persekutuan yang termaktub di dalamnya bahawa melayu itu beragama Islam. Namun beliau menyatakan bahawasanya seolah-olah wujud di sana diskriminasi antara melayu dan bukan melayu. Orang bukan melayu diberi kebebasan memilih agama sedangkan melayu tidak.

Saya kira beliau kurang faham dan jahil dalam memahami tafsiran firman Allah SWT ,
لا إكراه في الدين
“Tidak ada paksaan dalam beragama.”
Ayat ini sebenarnya diturunkan kepada non-Muslim. Bukan kepada orang yang beragama Islam atau yang dilahirkan dalam keadaan beragama Islam.

 Tafsiran ayat ini seperti mana yang dijelaskan oleh Ibnu Abbas RA dalam tafsir Ibnu Katsir; seorang lelaki dari kalangan bangsa Anshar mengadu kepada Nabi SAW untuk memaksa kedua-dua anaknya yang beragama Kristian memeluk Islam, maka turun firman Allah “Tidak ada paksaan dalam beragama.”

Jelas ayat ini dikhususkan untuk orang kafir. Kita tidak berhak untuk memaksa mereka berpegang dengan agama kita. Tidak ada hak untuk kita memaksa mereka memeluk Islam.

Tetapi untuk orang Islam pula bagaimana? Mengapa kita tiba-tiba hendak membuka ruang kepada orang Islam untuk keluar daripada agama?

Kenyataan itu membawa implikasi sebegitu. Yang difahami daripada perkataan tersebut adalah membuka ruang kepada orang muslim keluar daripada agama.

Saya kira sahabat-sahabat dari parti Islam perlu bersuara kerana mereka sudah berapa lama memperjuangkan untuk menegakkan hukum Islam, dan jika kita lihat salah satu daripada hukum-hukum had (hudud) adalah hukum hudud bagi orang yang murtad, iaitu bunuh bagi orang Islam yang hendak keluar daripada Islam.

Jadi apa gunanya hukum hudud sekiranya kenyataan ini disebarkan dan dijadikan salah satu daripada manifesto Pakatan Rakyat. Seolah-olah berlaku kontradiksi yang jelas kerana mereka mengeluarkan kenyataan untuk memberikan kebebasan yang sama kepada melayu untuk memilih agama.

Bererti terpulang kepada orang Islam untuk keluar daripada agamanya, tidak lagi terikat kepada undang-undang sebab dia berhak untuk memilih agamanya.

Islam tidak mengajar sedemikian rupa. Siapa memeluk agama Islam maka dia terikat dengan undang-undang Islam.

Namun kita tidak nafikan beliau telah memberikan penjelasan kedua terhadap kenyataan beliau di mana beliau menyatakan bahawasanya orang Islam yang memeluk Islam ada keterikatan dengan syariat Islam. Ini satu kenyataan yang baik, tetapi beliau perlu perbetulkan kenyataannya sebab kenyataan itu sangat jelas kesalahannya di mana beliau mengatakan bahawasanya berlaku diskriminasi antara melayu dan bukan melayu di mana orang melayu tidak bebas beragama dengan mana-mana agama sedangkan bukan melayu bebas beragama dengan mana-mana agama.

Kita sewajarnya bersyukur kepada Allah kerana di situlah merupakan ruang dan peluang untuk memastikan orang melayu terus berpegang dengan agama Islam, dalam konteks negara ini.

Saya tidak bercakap tentang negara lain, tetapi saya bercakap tentang Malaysia yang dulu dikenali sebagai tanah melayu.
Wallaahu A’lam.
Disediakan berdasarkan rakaman berikut:
http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=xBNJ_fyhyw0

November 8, 2012
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya