Strategi Barat Untuk Membendung Islam – Bahagian 2
Markaz al-Arabi lil Dirasat
al-Insaniah, sebuah pusat kajian yang berpengkalan di Kaherah, Mesir,
telah menerbitkan satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Basim Khafaji ke
atas Laporan Institut RAND 2007 yang bertajuk “Building Moderate Muslim
Networks”. Kajian ini diberi tajuk “Strategi Barat Untuk Membendung
Islam”, diterbitkan pada tahun 2007.
Dalam bahagian kedua rencana ini, saya
akan membawakan pembaca ke bahagian ketiga buku kajian tersebut. Dalam
bahagian ketiga itu, Dr Basim Khafaji menulis tentang pemerhatian beliau
terhadap ciri-ciri utama strategi Amerika yang dicadangkan oleh
institut RAND untuk membendung Islam. Saya bawakan pemerhatian Dr Basim
itu dalam bentuk terjemahan bebas, yang tidak terikat dengan pendekatan
terjemahan perkataan demi perkataan yang selalunya menyukarkan fokus
pada isi sebenar. Selain itu saya turut menambah dengan beberapa ulasan
lanjut yang saya lihat perlu untuk memperkukuhkan noktah yang dibawa
oleh beliau, terutamanya yang berkaitan dengan realiti di Malaysia.
Bahagian kedua daripada kandungan buku itu saya akan bawakan di lain kesempatan, insyaAllah.
Berdasarkan bacaan ke atas laporan yang
bertajuk “Building Moderate Muslim Networks” itu, strategi Barat untuk
menguasai dunia Islam dapat diringkaskan dalam beberapa noktah berikut:
2. Pertembungan tidak akan selesai jika hanya sekadar memerangi keganasan. Laporan itu menyebut beberapa kali bahawa teroris bukanlah masalah sebenar yang dihadapi oleh Barat dari dunia Islam. Masalah sebenar terletak pada dua perkara; Islam itu sendiri dan kumpulan Islamis secara keseluruhannya yang membawa aspirasi Islam. Kedua-duanya merupakan musuh sebenar, yang perlu dikalahkan dari sudut pemikiran terlebih dahulu, sebelum sudut keselamatan dan ketenteraan.
3. Amerika perlu mengetuai serangan pemikiran ini. Walaupun Amerika sudah mempelopori serangan ketenteraan ke atas kumpulan Islamis bersenjata, laporan itu menggesa agar Amerika turut mengetuai serangan pemikiran ke atas dunia Islam seperti yang berlaku ketika Perang Dingin.
4. Pertembungan sebenar bukan dengan aliran bersenjata atau ekstrim, sebaliknya dengan kumpulan Islamis. Maksudnya ialah pertembungan akan datang bukan lagi antara dua kutub ekstrimis, istilah yang sering diungkapkan oleh kalangan pemerhati Barat dan Timur, sebaliknya ia akan menjadi pertembungan antara dua golongan pertengahan daripada kedua-dua kutub. Golongan pertengahan daripada kutub sekular dapat diamati pada kumpulan moderate muslim menurut kriteria Amerika yang mensejajarkan Islam dengan Deklarasi Hak-hak Asasi Manusia Sejagat 1948, manakala golongan pertengahan kutub Islamis ialah kumpulan yang mendokong fahaman Islam tulen berasaskan metode ilmiah Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam bab akidah, pemikiran, penafsiran al-Quran, kedudukan Sunnah, istinbat hukum fekah dan sebagainya.
Keadaan berterusan sehingga beralih secara beransur-ansur, atas faktor media sebagai pemain peranan utama, menjadi konflik menyeluruh antara kem Barat dan kem Islam.
5. Medan pertembungan adalah di dalam negara-negara Islam sendiri. Walaupun pertembungan sebenar ialah antara Barat dan Islam, laporan itu menyarankan agar medan pertempuran hendaklah diadakan di dalam negara Islam sendiri, berlaku antara sesama orang Islam.
6. Selepas peristiwa 11 September, kecenderungan yang ada ialah untuk merubah orang-orang Islam. Bagaimanapun kecenderungan ini berubah kepada kecenderungan untuk merubah Islam itu sendiri, memandangkan Islam adalah agama yang mengandungi prinsip-prinsip pemikiran dan akidah yang menggerakkan penentangan terhadap hegemoni Barat, tidak kira apa jua bentuk penentangan tersebut. Bukan itu sahaja, bahkan jika Islam itu sukar untuk diubah, maka laporan kajian ini turut mencadangkan agar Islam perlu dibendung dan dikembalikan ke masjid, serta mesti dihalang daripada mempengaruhi individu kecuali dalam bab ibadah yang bersifat peribadi semata-mata. Cadangan ini turut disokong oleh beberapa laporan kajian lain. Kempen ke arah perubahan sebegini kelihatan semakin lantang sejak akhir-akhir ini.
7. Memilih istilah moderate sebagai senjata dalam pertembungan ini. Istilah moderate menurut kriteria Barat ini digunakan secara strategik untuk merubah Islam dan muslimin sekaligus.
Maksudnya ialah apa-apa sahaja penentangan terhadap moderate (menurut istilah Amerika ini) akan dianggap sebagai ekstrim dan melampau, yang mesti dihukum menurut undang-undang antarabangsa.
Istilah yang asalnya bagus ini dirampas dan dijadikan senjata yang dihunuskan di depan Islam dan muslimin, serta mereka yang tidak memusuhi Islam. Mereka akan dipaksa memilih sama ada bersama moderate muslim (menurut istilah Amerika) atau bersama pelampau dan ekstrimis iaitu kumpulan Islamis yang mempertahankan ketulenan Islam yang telah digambarkan oleh media sebagai pelampau dan ekstrimis.
8. Menafsirkan semula Islam agar selari dengan kepentingan Barat. Laporan itu mencadangkan secara tidak langsung agar Islam ditafsirkan semula agar selari dengan perubahan dunia seperti yang berlaku pada agama Kristian dan Yahudi.
9. Menggunakan Islam untuk berdepan dengan Islamis. Laporan itu turut mencadangkan agar nas-nas syarak digunakan untuk berdepan dengan golongan Islamis melalui usaha berterusan menggali daripada tulisan-tulisan warisan Islam yang boleh digunakan untuk memberi justifikasi kepada perubahan pendirian Islam yang didambakan atas nama tajdid atau reformasi agama. Amerika dan sekutunya akan membantu menyebarkan maklumat dan idea itu supaya pegangan muslimin terhadap prinsip-prinsip agama mereka dapat digoyahkan. Untuk tujuan itu, laporan itu juga mencadangkan agar usaha tersebut dijalankan melalui kumpulan-kumpulan Islam itu sendiri. Secara khusus laporan itu mencadangkan agar diadakan kerjasama dengan beberapa aliran Sufi sesat yang menyalahi ajaran Ahlu Sunnah wal Jamaah untuk memerangi aliran Islamis yang lain terutamanya aliran Salafi yang digelarkan sebagai Wahhabi dan ekstrimis. Di Malaysia, selain aliran Syiah, perkara ini boleh kita amati pada organisasi bukan kerajaan yang menggelarkan diri mereka sebagai reformis agama dan giat mencanangkan nama-nama tokoh seperti Muhammad Asad, Muhammad Abduh, Rashid Redha, Syed Qutb dan lain-lain untuk menjustifikasikan reformasi agama ala Islam Liberal mereka secara tidak amanah.
10. Menghidupkan dan memperkuatkan kelompok sekular untuk berdepan dengan Islamis. Laporan ini mempertegaskan kepentingan dan keperluan untuk memperkuatkan aliran sekuar bebas untuk berdepan dengan Islamis. Fokus mereka ialah golongan sekular bebas sahaja, dalam erti kata lain mengetepikan penguasa sistem sekular yang tidak memusuhi Islam secara terus terang, yang lebih cenderung kepada gaya autokratik. Ini kerana pada pandangan Barat, penguasa-penguasa negara yang berasaskan sistem sekular ini berkemungkinan besar pada suatu hari nanti akan mempertahankan Islam secara jelas ketika berdepan dengan serangan Barat dan puak sekular bebas, dan kemungkinan pada ketika itu mereka akan bekerjasama dengan aliran Islamis untuk berdepan dengan kerjasama Barat dan aliran sekular bebas.
11. Mengurangkan upaya negara untuk menghalang agenda Amerika. Laporan itu mengesyorkan agar dilakukan pelbagai langkah untuk mengurangkan penguasaan negara-negara Islam terbabit terhadap situasi dalaman negara, agar memudahkan pergerakan dan kemasukan agensi-agensi Amerika ke dalam masyarakat Islam. Laporan itu turut memuji langkah-langkah kerajaan Amerika sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam menggubal beberapa akta yang merestui penglibatan langsung agensi Amerika dalam negara Islam untuk membantu gerakan masyarakat madani (Civil Society Organisation) yang berkiblatkan Barat.
12. Menuduh semua musuh Barat sebagai Salafi, Wahhabi dan ekstrimis. Semua orang yang menentang agenda penjajahan pemikiran Amerika akan dilabel sebagai Salafi, Wahhabi dan ekstrimis, memandangkan istilah-istilah itu kurang dikenali oleh kebanyakan orang, bahkan ada yang dibenci oleh sebahagian orang Islam, manakala perkataan ekstrimis lebih memudahkan proses peminggiran.
Pada masa akan datang, Amerika mungkin akan menggunakan sejarah perselisihan antara Salafi dan Sufi, untuk melancarkan serangan ke atas Salafi melalui Sufi yang menyebelahi Barat. Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi sendiri telah dilabelkan sebagai Salafi Ekstrimis.
Laporan ini menyifatkan Salafi sebagai aliran ekstrimis dan keras, yang perlu ditentang secara terbuka dan menarik perhatian ramai. Strategi ini selari dengan pendekatan untuk menonjolkan golongan moderate muslim (menurut kriteria Amerika) sebagai golongan yang paling diterima ramai. ISMA telah dilabel sebagai ekstrimis oleh salah seorang audien dalam Wacana Islamic State, Which Version, Whose Responsibility yang dianjurkan dengan kerjasama moderate muslim (menurut kriteria Amerika).
Ini membayangkan pelan strategik ini sedang berlangsung dengan penuh sengaja dan sedar, untuk meminggirkan jamaah yang mempertahankan ketulenan Islam dengan label yang menakutkan orang ramai.
13. Merungkai ikatan hubungan negara-negara Islam dengan pusat pengaruh Islam iaitu dunia Arab. Laporan itu menekankan peri penting untuk mendekati negara-negara Islam di luar rantau Arab serta menyekat pengaruh Islamis dalam negara tersebut yang jika dibiarkan akan semakin maju menuju ke pusat pengaruh Islam iaitu dunia Arab.
Antara pengaruh yang dimaksudkan ialah pelajar-pelajar Universiti al-Azhar yang membawa balik ke negara asal mereka pemikiran Islamis fundamentalis. Usaha ini merupakan langkah strategik untuk memecahkan entiti dunia Islam melalui proses menyuburkan permusuhan antara negara Islam dan negara Arab.
14. Menukar haluan arus penyebaran pemikiran. Haluan penyebaran pemikiran Islam sebelum ini ialah dari negara-negara timur tengah ke negara-negara Islam di rantau Asia dan Afrika. Usaha akan datang ialah membantu dan memperkukuhkan institusi pemikiran Islam liberal di negara-negara Islam, diterjemahkan tulisan dan pemikiran tersebut untuk disebarkan ke negara-negara timur tengah. Strategi ini serba sedikit menunjukkan kelemahan para pengkaji dalam memahami kedudukan bangsa Arab dan bahasa Arab dalam penyebaran pemikiran Islam sejak berkurun yang lampau.
15. Membantutkan kebangkitan beberapa aliran Islamis melalui dialog. Laporan itu mencadangkan agar digunakan dialog sebagai wasilah untuk merubah pendirian beberapa aliran Islamis, memaksa mereka untuk membincangkan perkara-perkara yang selama ini tidak boleh dibincangkan dan diperselisihkan dalam Islam, seperti kebebasan untuk memilih agama di kalangan orang Islam, sehingga mereka buntu dalam mencari jawapan kepada permasalahan pensejajaran antara Islam dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang akhirnya membawa kepada sikap mengalah.
Cadangan-cadangan strategi di atas jelas
membawa bahaya yang nyata, bukan sahaja ke atas gerakan Islam, bahkan
mengancam kesatuan umat dan negara, selain menggugat kestabilan dan
kuasa kerajaan negara-negara terbabit dalam mengawal situasi dalaman
negara masing-masing.
Oleh itu, umat Islam di negara ini
khususnya perlu mempunyai pandangan yang menyeluruh terhadap isu-isu
yang berlaku dalam negara kita sejak kebelakangan ini. Bagi golongan
Islamis, berdegil untuk kekal bertekak dan bertumbuk dalam kotak sempit
kuasa politik negara sambil membiarkan arus perubahan dijuarai golongan moderate
liberal muslim dengan bantuan terang-terangan mencurah-curah daripada
agensi Amerika adalah sikap ultra benak yang bukan setakat merugikan
penyokong, bahkan Islam dan umatnya di Tanah Melayu tercinta ini.
No comments:
Post a Comment