Muhammad Asrie bin Sobri
Tawassul
adalah antara isu yang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan Umat
Islam dan sering pula menjadi kekeliruan dalam kalangan umat dan salah
faham antara tawassul yang sahih dan tawassul yang batil. Dalam artikel
singkat ini, penulis akan membentangkan secara ringkas permasalahan ini
supaya menjadi panduan mudah untuk masyarakat awam dalam membezakan
antara tawassul yang sahih dan tawassul yang batil.
Perkataan Tawassul adalah
masdar daripada kata kerja dalam bahasa Arab: Tawassala-Yatawassalu dan
dimaksudkan dengannya adalah: “Mendekatkan diri kepada perkara yang
dikehendaki dan berusaha untuk sampai kepadanya dengan penuh
pengharapan”. Seseorang yang melakukan amal ketaatan kepada ALLAH s.w.t
dalam rangka mendekatkan dirinya kepada ALLAH maka dia dikatakan telah
bertawassul kepada ALLAH yakni: “berusaha untuk mendekatkan diri
kepadaNya dengan amalan taat dan soleh”.
ALLAH s.w.t berfirman dalam surah al-Maidah ayat ke-35 yang bermaksud: Wahai
orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah dan carilah
al-Wasilah (yang boleh menyampaikan kepadaNya) (dengan mematuhi
perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan
Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.
Kata
Imam Abu Ja’far al-Tabari, maksudnya: “dan carilah kepadaNya al-Wasilah”
dalam ayat ini adalah: “dan carilah kedudukan yang dekat kepadaNya
dengan kamu beramal dengan amalan yang mendatangkan redhaNya” [Tafsir
al-Tabari, 10/290].
Berkata pula Imam Qatadah
rahimahullah, maksudnya adalah: “hendaklah kamu mendekatkan diri
kepadaNya dengan mentaatiNya dan beramal dengan apa yang mendatangkan
redhaNya”
dan Imam Ibn Katsir rahimahullah menyatakan ia adalah tafsiran
yang disepakati atas maknanya seluruh Ulama’ Tafsir. [Tafsir Ibn
Katsir, 3/103].
Difahami daripada
penjelasan ini maksud Tawassul pada Syarak adalah melakukan
amalan-amalan ketaatan yang disyariatkan oleh ALLAH s.w.t dalam rangka
mengharap redha ALLAH dan mencapai kedudukan yang dekat di sisiNya.
Diketahui juga bahawa
Tawassul adalah Ibadah kepada ALLAH s.w.t maka hendaklah dilakukan
dengan Ikhlas yakni ditujukan semata-mata kepada ALLAH jika ditujukan
kepada selainNya maka ia adalah Syirik dan hendaklah sesuai dengan
Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan kefahaman para Sahabat
baginda r.a. jika tidak ia akan menjadi bid’ah yang menyesatkan.
Fokus perbahasan Tawassul
dalam kalangan Ahli Ilmu menjurus kepada Tawassul dalam berdoa yakni
perkara-perkara yang dijadikan sebagai sebab dan pendekat antara kita
dengan ALLAH s.w.t dalam doa kita sehingga doa itu menjadi mustajab dan
diqabul (diterima) ALLAH s.w.t.
Tawassul yang sahih
Dalam al-Quran dan
as-Sunnah terdapat tiga jenis Tawassul dalam doa yang digalakkan dan
dibenarkan bahkan diseru supaya kita beramal dengannya iaitu:
Pertama: Bertawassul kepada
ALLAH s.w.t dengan nama-nama ALLAH yang Maha Indah dan sifat-sifat
ALLAH yang maha tinggi seperti firman ALLAH s.w.t dalam surah al-A’raf
ayat 180 yang bermaksud: “dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadanya dengan menyebut nama-nama itu…”.
Maka kita digalakkan untuk menyeru ALLAH s.w.t dengan nama yang sesuai
dan munasabah dengan permohonan kita seperti jika hendak memohon rezeki
maka diseru: Ya RAZZAQ, berilah aku rezeki dan seumpamanya.
Kedua: Bertawassul kepada
ALLAH s.w.t dengan menyatakan dalam doa kita amal-amal soleh yang kita
lakukan dan ini tsabit dalam doa-doa al-Quran antaranya firman ALLAH
s.w.t dalam surah Ali Imran ayat ke-53 berkenaan doa kaum Hawariyyin: “Wahai
Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan,
dan kami mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang
yang menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)”. Pada doa ini terdapat tawassul kepada ALLAH dengan menyatakan keimanan kepada ALLAH dan mutaba’ah (mengikut) Sunnah Rasul.
Ketiga: Bertawassul dengan
memohon kepada orang-orang soleh yang masih hidup untuk mendoakan kita
dan juga dengan doa saudara se-Islam antara mereka. Tawassul jenis ini
adalah apa yang para Sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam r.hum
lakukan dengan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam di mana mereka
memohon supaya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam mendoakan untuk
mereka seperti dalam hadis daripada Anas bin Malik r.a bahawa ketika
mana Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam sedang berkhutbah maka datang
seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, telah musnah kuda-kuda dan
kambing-kambing (disebabkan tiada hujan) maka berdoalah kamu kepada
ALLAH supaya Dia menurunkan hujan. Maka baginda mengangkat tangan lalu
berdoa. [HR al-Bukhari & Muslim].
Demikian juga semasa
berlaku musim kemarau di zaman Umar bin al-Khattab r.a beliau telah
bertawassul dengan doa al-’Abbas bin Abdul Muttalib r.a untuk memohon
hujan kepada ALLAH: Kata Anas bin Malik r.a bahawa Umar bin al-Khattab
r.a jika tidak turun hujan maka beliau akan berdoa memohon hujan dengan
perantara al-’Abbas bin Abdul Muttalib r.a, beliau berdoa: Ya ALLAH,
adalah kami dahulu bertawassul kepadaMu dengan Nabi kamu lalu kamu
menurunkan hujan kepda kami, maka sekarang ini kami bertawassul pula
kepada kamu dengan bapa saudara Nabi kami maka turunkan kepada kami
hujan. Maka mereka pun diturunkan hujan. [HR al-Bukhari].
Tawassul Umar bin
al-Khattab r.a dengan al-’Abbas r.a di sini bermaksud Tawassul dengan
doa beliau kerana beliau menyatakan dalam doanya bahawa mereka dahulu
bertawassul dengan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan sekarang mereka
bertawassul setelah kewafatan Nabi dengan al-Abbas r.a dan dimaklumi
dalam hadis yang pertama tawassul mereka kepada Nabi sallallahu ‘alaihi
wa sallam adalah dengan memohon baginda berdoa bagi pihak mereka.
Demikian juga dalam riwayat
Zubair bin Bakkar bahawa setelah itu al-’Abbas r.a berdoa: “Ya ALLAH,
sesungguhnya tidak turun bala’ melainkan disebabkan dosa dan tidak
diangkat melainkan dengan Taubat, dan mereka ini telah bermohon kepadaMu
melalui aku kerana kedudukanku di sisi Nabi Mu dan inilah tangan-tangan
kami menadah kepadaMu dengan penuh dosa dan ubun-ubun kami terserah
kepadaMu dengan penuh taubat maka turunkanlah kepada kami hujan”, seraya
dengan itu juga hujan diturunkan. [Fathul Bari, 2/497].
Difahami juga daripada
Hadis Umar bin al-Khattab ini bahawa Tawassul dengan doa orang soleh itu
hanya dengan doa mereka semasa mereka masih hidup, disebabkan itu
setelah Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam wafat mereka beralih daripada
bertawassul dengan doa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam kepada
bertawassul dengan doa al-’Abbas r.a.
Adapun tawassul dengan bermohon
kepada ALLAH melalui kedudukan (jah) dan berkat Nabi sallallahu ‘alaihi
wa sallam atau orang soleh seperti dikatakan: Ya ALLAH, dengan berkat
kemuliaan kedudukan Nabi-Mu di sisiMu…. dan seumpamanya maka ianya tidak
tsabit dalam nas-nas hadis yang sahih sama sekali.
Demikian juga
bermohon doa kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam atau orang soleh
atau sesiapa sahaja yang telah mati seperti dikatakan di sisi kubur
orang mati: “Wahai wali fulan, doakan untuk kami..” dan seumpamanya maka
ini adalah Syirik Akbar (besar) yang menjadikan pelakunya murtad
daripada Islam, nauzubillah min zalik.
Penulis adalah Ahli Majlis Syura, Sekretariat Ilmuan Malaysia (ILMU)
Siaran akhbar Sabtu 24 November 2012
No comments:
Post a Comment