Pages

Wednesday, December 10, 2014

Banyakkan Sujud

 

 

 

Banyakkan Sujud

Satu daripada Hadis yang dibaca di dalam kelas pengajian Hadis pagi tadi, ialah tentang cita-cita tinggi seorang sahabat, Abu Firas Rabi'ah bin Ka'ab al-Aslamiy. Beliau merupakan ahli suffah dan khadim (pembantu) Rasulullah s.a.w.
Beliau menceritakan suatu malam beliau bermalam bersama Rasulullah s.a.w. Apabila Rasulullah s.a.w. bangun dari tidur, beliau segera menyediakan air untuk Rasulullah s.a.w. berwuduk serta lain-lain keperluan Rasulullah s.a.w. dan membawakannya kepada baginda. Maka Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya: "Mintalah hajat kamu!" 
Abu Firas terus menjawab: "Saya meminta untuk mendampingimu di syurga."
Subhanallah! Tak terbayang betapa tinggi cita-citanya. Di pandang  dari sudut apapun kedudukannya di dunia ini amat jauh berbanding dengan Rasulullah s.a.w. Di syurga pula Allah sediakan satu kedudukan paling istimewa untuk baginda yang tidak setara dengan makhluk lain termasuk para nabi alaihimus-solatu wassalam. Maka siapakah Abu Firas untuk berharap dapat mendampingi baginda?
Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya dengan hikmah, tanpa sedikitpun memperkecilkan permintaan yang zahirnya seperti tidak masuk akal, "Apakah tidak ada yang lain daripada itu?"
Tanpa ragu-ragu Abu Firas menjawab dengan pantas dan tegas, "Hanya itulah permintaanku!"
Maka apakah reaksi baginda?
"Kalau begitu, bantulah aku (dengan menguasai dirimu supaya) membanyakkan sujud." Riwayat Muslim
Ayat "bantulah aku" dalam hadis itu menunjukkan baginda tidak berhak untuk memberikan tempat itu kepada Abu Firas. Sebaliknya baginda akan berusaha mendoakan agar Allah mengurniakannya dengan Abu Firas sendiri berusaha bersungguh-sungguh mendekatkan diri kepada Allah 'Azaza wa Jalla.
Masyaa Allah. Itulah indahnya Islam. Indahnya akhlak Rasulullah s.a.w.
Seorang khadim tetap mahu bersama 'tuannya' hingga ke syurga. Pada hal kebiasaannya di dunia ini, khadim selalu bercita-cita mahu menjauhkan diri dari 'tuan' atau majikannya kerana tidak tahan dengan kerenah yang bermacam-macam.

Untuk mendampingi baginda, Rasulullah s.a.w. sarankan agar membanyakkan sujud, iaitu mendampingi Allah sedekat-dekatnya. Ertinya tidak mungkin seseorang itu akan mendapat kemuliaan bersama dengan kekasih Allah s.a.w. tanpa mendekatkan diri dengan Allah. Untuk bersama dengan Rasulullah s.a.w. tidak ada jalan lain kecuali dengan taqarrub kepada Allah melalui sujud. Membanyakkan sujud bermaksud membanyakkan solat kerana sujud adalah sebahagian daripada solat. Tidak ada sujud di luar solat kecuali sujud tilawah dan sujud syukur sahaja.

~ http://zaadut-taqwa.blogspot.com/2014/12/banyakkan-sujud.html

No comments:

Post a Comment