Saturday, July 7, 2012

Ekonomi Riba Punca Krisis


Saudara Pengarang,

Tulisan Dr. Kassim Ahmad dan Dr. Hakimi Ibrahim mengenai kegawatan ekonomi dan krisis mata wang yang sedang dialami sekarang amat menarik perhatian.
Saya percaya bahawa bukan sahaja umat Islam malah semua umat manusia sedang melalui satu tahap yang gelap dalam menjalani hidup dari semua segi termasuk ekonomi.
Dr. hakimi melihat bahawa sistem ekonomi riba yang nertitik tolak dengan institusi perbankan dan wang kertas adalah punca kegawatan ekonomi dan krisis mata wang tetapi Dr. Kassim berpendapat yang bertanggungjawab mencetuskan krisis itu ialah oligarki British-
amerika, maka saya terasa terpanggil untuk turut sama menyumbang kepada debat krisis ekonomi ini.

Saya bersependapat dengan Dr. hakimi bahawa sistem ekonomi yang diamalkan sekarang ini berteraskan riba dan saya juga bersependapat dengan Dr. Kassim bahawa oligarki British-Amerika sememangnya ingin mengekalkan kuasanya ke atas semua negara di dunia tetapi siapakah kumpulan oligarki itu?

Buat masa ini, saya lebih cenderung melihat kegawatan ekonomi dan krisis mata wang berpunca daripada sistem ekonomi berteraskan riba dan saya percaya kalangan pemerintah, ulama, pemikir, sarjana dan umat Islam amnya tahu bahawa riba itu haram kerana pengharamannya dinyatakan dengan tegas di dalam al-Quran.

Malah jika kita membaca kitab-kitab fikah Imam Shafie, Imam Hanfi, Imam Hambali dan kitab fikah yang terbilang Al-Muwatta oleh Imam Malik Ibn Anas, maka kita akan tahu apakah dia urus niaga dan jual beli yang tergolong sebagai riba

.
Bagi kalangan bukan Islam pula, kesemua tamadun lama menganggap riba itu jijik dan merosakkan diri, masyarakat, bangsa dan negara malah bagi kaum Yahudi amalan tidak mengambil riba merupakan satu watak yang terpuji seperti yang dinyatakan seperti berikut: " Sekiranya seseotang itu tidak memberikan pinjaman dengan riba, atau tidak mengambil lebihan daripada pinjaman itu, maka dia seorang yang adil." - (Ezekiel, Kitab Taurat).
Pengharaman pengambilan riba turut diperkukuhkan oleh umat Kristian awal. St. Augustine, umpamanya, menyifatkan riba berlaku apabila seseorang itu menjangka untuk mendapat lebih daripada apa yang telah diberikannya.


          Sedekah
Berdasarkan pendirian yang tegas itu, beliau melarang sebarang keuntungan daripada hasil riba diberikan sebagai sedekah. St. Thomas Aquinas masih memegang pendirian yang sama dengan cekal dan tegas pada abad ke-14.

Dalam, tradisi ilmu klasik Eropah, Aristotle berkata, jika dibuat perbandingan antara semua jenis perniagaan, perniagaan yang paling menyeleweng dan paling dibenci ialah riba. Riba menyalahgunakan wang kerana tujuan sebenar penggunaan wang ialah sebagai bahan perantara pertukaran, bukannya untuk menambah wang.

Palto pula membuat pemerhatian bahawa riba pada akhirnya mengakibatkan pertelingkahan antara satu kelas manusia dengan yang lain, maka, ia merupakan satu unsur yang merosakkan negara.

Lain-lain ahli falsafah Rom seperti Cicero, Cato dan Sepeca juga mengambil pendirian yang sama, maka kita boleh simpulkan bahawa kedua-dua tradisi Judeo-Kristian dan Graeco-Rom yang kedua-duanya merupakan sumber utama kepada tamadun Eropah sebulat suara menentang riba sama ada dari pandangan agama mahupun sekular.

Bagaimanapun ini tidak bermakna bahawa amalan riba tidak berlaku. Kaum Yahudi mendakwa mereka diberi lesen oleh kitab Taurat untuk mengamalkan riba di bawah syarat-syarat tertentu.
Dakwaan mereka itu memberikan satu kefahaman yang mendalam mengenai sifat sebenar perniagaan melibatkan riba. Deutronomy Bab 23 ayat 20 menyatakan: "kamu dibenarkan memberi pinjaman dan mengambil riba daripada orang asing, tetapi kamu tidak dibenarkan mengambil riba daripada saudara (kalangan) kamu."
Perkataan 'otang asing' dalam ayat itu difahami secara umum sebagai 'musuh' dan berbekalkan ayat itu, kaum Yahudi menggunakan riba sebagai senjata untuk menguasai 'musuh' mereka. (Usury The Root Cause of Injustices Of Our Time - Madinah Press, 1989).

Protokol ke-20 zionisme di bawah tajuk kezaliman riba perkara 30 menyatakan, apakah sebenarnya sifat pinjaman, terutamanya pinjaman luar negara? Pinjaman ialah bil pertukaran yang dikeluarkan oleh kerajaan negara bangsa setara dengan jumlah yang dipinjamnya sebagai modal.
Jikalau pinjaman itu dikenakan caj faedah 5 peratus maka dalam 20 tahun, negara itu melakukan perkara yang sia-sia sahaja iaitu membayar bunga bersamaan dengan jumlah yang dipinjamnya, dalam 40 tahun, negara itu membayar dua kali ganda, dalam 60 tahun, tiga kali ganda dan sepanjang tempoh itu, hutangnya masih kekal sebagai hutang yang masih belum dibayar (The International Jew and The Protocols of The Elders Of Zion oleh Henry Ford).
Jangan salah sangka bahawa saya ingin menyalahkan Yahudi atau zionisme. itu adalah cara hidup, budaya dan matlamat hidup bangsa mereka di bumi ini.
Kalau kita merasakan bahawa ia bukan cara hidup dan bukan budaya kita, mengapakah kita mengikut mereka?
Jadi, kita harus boleh membezakan apa yang baik dan apa yang buruk untuk kita. Untuk umat Islam, umpamanya, agama Islam melarang sebarang urus niaga dan jual beli yang mempunyai unsur riba.

Merosakkan
Bagi orang bukan Islam dan juga bukan Yahudi, secara tradisi para pemikir di kalangan mereka menyifatkan riba itu merosakkan. Maka disebabkan riba itu zalim (daripada kaca mata kita dan juga kaca mata zionis), penentangan terhadap riba tidak terhad ekpada umat Islam sahaja tetapi harus juga disertai oleh orang bukan Islam yang inginkan kebebasan yang sebenar dalam urus niaga dan berjual beli.

Memandangkan sifat sebenar riba dalam sistem ekonomi semasa seolah-oleah masih kabur saya akan cuba memberi sedikit latar belakang mengenainya. Dalam bahasa Arab, riba memberi maksud tambahan atau lebihan. Inilah juga makna riba yang difahami oleh para sarjana sama ada yang Islam atau tidak, ahli ekonomi dan masyarakat biasa.

Kadi Abu Bakar Ibn al-Arabi, seorang alim dalam hal ehwal undang-undang Islam dari Andalusia dalam bukunya, Ahkamul Quran mendefinisikan riba sebagai apa sahaja tambahan atau lebihan yang tidak adil antara nilai barangan yang diberi berbanding dengan nilai barangan yang diterima (The End of Economics oleh Umar Vadillo). Dalam bukunya, The Problem With Interest Tarek El Diwany menarik perhatian bahawa terdapat dua bentuk riba yang utama yakni riba al-qarud yang berkaitan dengan kegiatan memberi pinjaman atau memberi hutang yang kini diistilahkan sebagai kredit dan riba al-buyu yang berkaitan dengan kegiatan melibatkan urus niaga.

Kedua-dua bentuk riba itu diamalkan dengan meluas oleh Arab jahiliah sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. tetapi baginda turut mengingatkan para sahabat bahawa riba boleh muncul dalam pelbagai bentuk lain.

Riba al-qarud melibatkan caj yang dikenakan pada pinjaman ekoran tempoh masa atau dalam lain perkataan pinjaman yang dikenakan afedah atau bunga dan ia biasanya dirujuk sebagai riba an-nasia yakni, riba kerana menunggu dan merupakan amalan bank.

Sheikh tantawi yakni Syeikh al-Azhar di Kaherah pada masa buku itu ditulis, berhujah bahawa faedah atau bunga daripada bank ialah perkongsian keuntungan bank, oleh itu ia dibenarkan. Bagaimanapun, menurut Tarek, pandangan Syeikh al-Azhar itu ditolak oleh kebanyakan sarjana Islam.
Apa yang penting dinyatakan di sini ialah dalam melaksanakan urus niaga dan berjual beli, Islam melindungi kedua-dua pembeli dan penjual daripada ketidakadilan, tipu daya, penipuan, penyelewengan, muslihat dan salah laku kerana apa sahaja urus niaga yang terlahir daripada unsur-unsur itu boleh menjadi riba.
Saya percaya ramai orang sedar bahawa riba menjadi teras ekonomi kapitalis Barat bagaimanapun, mungkin ada di kalangan kita yang musykil bagaimanakah ia boleh menjadi begitu berleluasa sehingga peranannya amat meluas dalam semua segi perniagaan masa kini.
Dua prinsip penting riba ialah faedah (lebih dikenali oleh masyarakat kita sebagai bunga) dan wang ciptaan (Usury The Root Cause of Injustices Of Our Time). Buku itu merupakan himpunan kertas kerja seminar mengenai riba di United Kingdom yang dianjurkan pada 1987 oleh People Against Interest Debt (PAID).


Di akhir seminar itu, kefahaman para pesertanya terhadap riba ialah seperti berikut:
a) Adalah riba untuk menukar jumlah yang ditetapkan bagi sesuatu barangan dengan jumlah yang lebih atau kurang bagi barangan yang sama jenisnya sama ada berlaku penangguhan atau tidak
b) Adalah riba untuk memperoleh keuntungan daripada penggunaan sesuatu barangan yang tidak memberi hasil tanpa adanya penglibatan buruh, perbelanjaan dan risiko di pihak orang yang mengeluarkan pinjaman.
c) Adalah riba untuk mengambil lebihan daripada pinjaman pokok
d) Adalah riba untuk membuat duit daripada duit
e) Adalah satu sifat riba apabila perolehan atau keuntungan daripadanya tetap dan automatik

Semua ini boleh secara longgar disimpulkan bahawa riba ialah apa sahaja yang diperoleh tanpa usaha iaitu dalam bahasa yang mudah "memdapat sesuatu atas angin" seperti seorang silap mata memetik daun pakau dari ruang udara.
Bertitik tolak daripada prinsip itu, buku tersebut turut menggariskan sebelas teknik dan alat sistem kewangan moden yang tergolong sebagai riba iaitu:-
a) Mengenakan faedah atau bunga pada pinjaman wang tulen yakni emas
b) Penciptaan wang kertas yakni nota janji sebagai mata wang walaupun ia disokong atau disandarkan kepada emas.
c) Mengenakan faedah atau bunga pada pinjaman wang kertas (wang ciptaan).
d) Mencipta wang kertas yakni yang tidak disokong atau disandarkan pada emas.
e) Memusatkan perbankan
f) Wang plastik
g) Wang elektronik
h) Pasaran saham
i) Kontrak hadapan
j) Eurobond dan lain-lain
k) Spekulasi komoditi

Membuat duit

Sepuluh tahun selepas seminar itu, dunia dikejutkan oleh krisis mata wang yang melanda negara-negara Asia Tenggara, Korea Selatan dan Jepun maka kita boleh menambah satu lagi alat riba kepada senarai itu, yakni pasaran pertukaran mata wang antarabangsa atau lebih dikenali umum sebagai forex kerana perniagaan itu pada asasnya berbentuk membuat duit daripada duit dan ia juga tidak memberi hasil yang berfaedah untuk kegunaan manusia atau mengikut istilah ekonomi moden, ia tidak produktif.

Dua perkara yang amat menonjol dari senarai itu ialah kaitan antara wang kertas dengan bank. Kita semua maklum bahawa bank merupakan satu institusi ekonomi moden yang mengenakan caj bunga dan memberi bunga dalam semua 'perkhidmatan' dan 'produk' yang ditawarkannya.
Bank-bank memperoleh keuntungan dari atas angin,. Misalnya wang kertas RM10 seorang penyimpan, boleh digandakan sembilan kali apabila wang itu dikeluarkan sebagai hutang dan bank memakan ribanya.

Maka dalam simpanan bank, wang kertas yang ditabung bukan sahaja wang pokok yang disimpan oleh penyimpan tetapi juga wang kertas yang tercipta akibat lebihan yang dikumpulkan daripada pinjaman yang dikeluarkan.
Penubuhan institusi bank itu sendiri amat meragukan seperti kata bekas Gabenor Bank England, Sir Josiah Stamp: "Banking was conceived in iniquity and born in sin .. " (Bank dikandung dalam kezaliman dan dilahirkan dalam dosa ... sebagai anak haram - Tidak Islamnya Bank Islam oleh Abdur-Razzaq Lubis).

"Institusi perbankan lebih berbahaya kepada kebebasan kita daripada bala tentera musuh .... Penciptaan yang hendak ditanggalkan daripada kuasa bank." - Thomas Jefferson )The Return of The Gold Dinar oleh Umar Vadillo).

Wang kertas juga dicipta oleh kerajaan negara-negara bangsa dengan mengeluarkan sijil-sijil bon ataupun sekuriti. Perbendaharaan hanya dengan segaris tandatangan menteri-menteri kewangan ataupun gabenor-gabenor bank pusat masing-masing.

Proses ini merupakan penciptaan wang atas angin. Bon dan sekuriti Perbendaharaan inilah yang dipanggil oleh ahli-ahli ekonomi semasa sebagai bil pertukaran yang fungsinya terbahagi dua, iaitu untuk menentukan jumlah nota janji (yakni wang kertas) baru yang perlu dicetak mengikut keperluan semasa kerajaan atau menjualnya kepada bank-bank perdagangan dan luar negara atau orang perseorangaan, kononnya untuk mengawal inflasi dan mengawal jumlah wang kertas yang berada di dalam pasaran.

Mencetak dolar
Bank, firma kewangan ataupun orang perseorangan sekarang ini membeli bon dan sekuriti Perbendaharaan itu supaya mereka boleh memakan bunga apabila sijil-sijil itu matang, mungkin selepas lima tahun, sepuluh tahun atau dua puluh tahun.

Amerika Syarikat lagi hebat, Federal reserve Bank, iaitu gabungan 12 bank swasta, mencetak dolar iaitu wang kertas Amerika setiap hari. (Substance Over Symbolism oleh David Bradshaw dalam Swiss America Report 1994).

Berikut ialah ulasan Sir Josiah Stamp mengenai penciptaan wang: " Sistem perbankan moden menjana wang dari angin. Proses ini mungkin merupakan silap mata yang paling hebat pernah dicipta ... " (Discredit Interest debt! The Instrument of World Enslavement oleh Abdur-Razzaq Lubis et al).
Mungkin tidak keterlaluan untuk menyimpulkan di sini bahawa oleh kerana wang kertas bersamaan dengan lebihan maka ia riba dan oleh kerana sistem perbankan masa kini berteraskan kepada pengambilan dan pemberian faedah atau bunga, maka ia juga menjadi sebuah institusi riba.
Bertitik tolak daripada itu, maka semua urus niaga dan jual beli dalam sistem ekonomi yang kita dukung sekarang, riba sifatnya.

Disebabkan sifat sistem perbankan meminta lebih daripada yang diberi dibantu pula oleh sifat wang kertas yang tidak stabil dan sentiasa berubah-ubah nilainya, maka ekonomi global merupakan satu ekonomi yang sentiasa bergolak dan mencetuskan suasana orak-arik dan mudah dimanipulasi.
Satu contoh yang paling jelas ialah keruntuhan ekonomi Rusia apabila mata wangnya, ruble jatuh nilai akibat hutang riba.


Khalid Noorshah. Utusan Malaysia: Forum Hujung Minggu (04/04/1998)

No comments:

Post a Comment