J
ika
diteliti hadis-hadis Rasulullah shallallahu ’alaihi wasallam dan atsar
para sahabat radhiallahu ’anhum, akan ditemui sejumlah hadis atau
riwayat yang menjelaskan bahawa ada di kalangan para sahabat Nabi yang
melakukan ibadah tertentu di mana ianya bukanlah suatu yang berasal
daripada sunnah baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.
Walau
bagaimanapun baginda shallallahu ‘alaihi wasallam tidak melarang
ibadah-ibadah tersebut, bahkan mengiktirafnya sebagai satu amalan yang
terpuji dan dianjurkan di sisi ajaran Islam. Berdasarkan kepada hadis
atau riwayat-riwayat tersebut,
sebahagian pihak berhujah bahawa
diperbolehkan bagi sesiapa jua untuk mewujudkan amalan baru di dalam
Islam. Ini meskipun amalan-amalan tersebut bukanlah suatu yang berasal
dariapda sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Antara amalan-amalan para sahabat yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
Pertama: Azan.
Pada
dasarnya azan yang biasa kita dengari setiap kali masuknya waktu
solat-solat fardu bukanlah berasal daripada amalan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam. Akan tetapi ia sebenarnya merupakan mimpi
salah seorang sahabat baginda yang bernama Abdullah bin Zaid bin ‘Abd
Rabbih radhiallahu ’anhu.
Setelah mendapat mimpi tersebut,
sahabat tadi mencadangkan kepada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam
agar menjadikan azan sebagai salah satu kaedah bagi menunjukkan masuknya
waktu bagi umat Islam mengerjakan solat-solat fardu yang diperintahkan
ke atas mereka.
Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam –
dengan bimbingan wahyu Allah Subhanahu wa Ta’ala- telah menerima baik
cadangan tersebut. Dengan penerimaan ini, maka menjadilah azan salah
satu syi’ar di dalam ajaran Islam sehingga ke saat ini. Kisah ini
diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam kitabnya Sunan Abu Daud, hadis no.
420, bersumberkan daripada Abu ‘Umair bin Anas radhiallahu’anhu.
Kedua: Solat sunat wudhuk.
Disebutkan
di dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
bertanya kepada Bilal radhiallahu ’anhu tentang amalan yang dia lakukan
sehingga dengan amalan itu baginda mendengar bunyi terompahnya di dalam
Syurga, maka Bilal radhiallahu ‘anhu menjawab dengan katanya:[1]
مَا
عَمِلْتُ عَمَلاً أَرْجَى عِنْدِي أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طَهُوْرًا فِيْ
سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ إِلاَّ صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُوْرِ مَا
كُتِبَ لِيْ أَنْ أُصَلِّيَ.
Aku tidak melakukan
sesuatu amalan yang paling aku harapkan, hanya sahaja setiap kali aku
bersuci (berwuduk), sama ada pada waktu malam atau siang hari, aku
sering mengerjakan solat setelah berwuduk.
Sebagaimana
yang dimaklumi solat sunat selepas wuduk, atau lebih tepat dikenali
sebagai solat sunat wuduk, bukanlah berasal daripada amalan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam. Sebaliknya ia berasal daripada amalan
sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di atas iaitu Bilal bin Rabbah
radhiallahu ‘anhu. Meskipun demikian Allah dan Rasul-Nya tidak
mengingkari amalan tersebut.
Ketiga: Bacaan bangkit daripada rukuk.
Pernah
suatu ketika apabila baginda bangkit daripada rukuk dalam satu solat
bersama para sahabat, baginda terdengar salah seorang daripada mereka
membaca: Rabbana lakal hamdu hamdan katsiran thoyyiban mubarokan fihi.
Sebaik
sahaja selesai solat, baginda bertanya siapakah di kalangan mereka yang
membaca doa berkenaan dan sahabat yang membaca tadi membuat pengakuan.
Lalu baginda pun mengkhabarkan kepadanya bahawa dengan doa berikut,
baginda melihat seramai tiga puluh orang malaikat saling berebutan untuk
mencatatnya. Sila rujuk Shahih al-Bukhari, no. 799 bagi melihat riwayat
yang dimaksudkan.
Sebagaimana hadis sebelum ini, hadis
ini juga menjadi bukti kukuh bahawa terdapat di kalangan para sahabat
yang mengamalkan sesuatu ‘perkara baru’ dalam urusan ibadah apa yang
tidak diajar dan disunnahkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam. Bagaimana pun baginda tidak mengingkarinya.
Keempat: Solat Tarawih secara berjemaah.
Selain
daripada tiga riwayat sebelum ini, para pelaku bid’ah juga menjadikan
kisah berikut sebagai dalil diperbolehkan mewujudkan perkara baru di
dalam urusan ibadah. Perhatikan riwayat berikut:[2]
عَنْ
عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ أَنَّهُ قَالَ خَرَجْتُ مَعَ
عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ
إِلَى الْمَسْجِدِ فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي
الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلَاتِهِ
الرَّهْطُ فَقَالَ عُمَرُ إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلَاءِ عَلَى
قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ
بْنِ كَعْبٍ ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ
يُصَلُّونَ بِصَلَاةِ قَارِئِهِمْ قَالَ عُمَرُ نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ.
Dari
'Abdurrahman bin 'Abdul Qariy bahawa dia berkata: "Aku keluar bersama
'Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anhu pada malam Ramadhan menuju
masjid, ternyata orang-orang solat berkelompok-kelompok secara
terpisah-pisah. Ada yang solat sendiri dan ada seorang yang solat
diikuti oleh makmum yang jumlahnya kurang daripada sepuluh orang. Maka
'Umar berkata: "Aku fikir seandainya mereka semuanya solat berjama'ah
dengan dipimpin seorang imam itu lebih baik". Kemudian ‘Umar memantapkan
keinginannya itu lalu mengumpulkan mereka dalam satu jama'ah yang
dipimpin oleh Ubbay bin Ka'ab. Kemudian aku keluar lagi bersamanya pada
malam yang lain dan ternyata orang-orang shalat dalam satu jama'ah
dengan dipimpin seorang imam, lalu 'Umar berkata: "Sebaik-baiknya bid'ah
adalah ini.” [3]
Demikian
beberapa hadis atau riwayat yang masyhur dijadikan sebagai dalil oleh
para pelaku bid’ah bagi menjustifikasikan perbuatan mereka
mengada-adakan sesuatu yang baru (bid’ah) di dalam urusan agama. Walau
bagaimanapun hujah ini dilihat sangat lemah dan ia dapat dijawab semudah
berikut:
Bantahan Pertama:
Para
sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, khususnya para
Khulafa’ al-Rasyidin, adalah termasuk dalam keumuman hadis baginda yang
memerintahkan agar kita umat Islam sentiasa berpegang teguh kepada
sunnah-sunnah mereka selain daripada sunnah baginda shallallahu ’alaihi
wasallam. Berikut hadis yang dimaksudkan:[4]
فَإِنَّهُ
مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيرًا،
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ
الرَّاشِدِينَ، تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ.
Sesungguhnya
sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak.
Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa’
al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan
gigitlah ia dengan geraham.
Justeru
apa yang dilakukan oleh para sahabat dalam riwayat-riwayat yang
disebutkan sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai bid’ah akan tetapi
ia merupakan sunnah di sisi syarak. Lebih-lebih lagi ia mendapat
perkenan dan pengiktirafan secara langsung daripada baginda shallallahu
‘alaihi wasallam tanpa sebarang tegahan atau pun larangan.[5]
Seandainya
amalan-amalan tersebut adalah suatu yang bercanggah dengan ajaran
Islam, tentulah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam akan segera
menegurnya sebagaimana yang dilakukan oleh baginda dalam beberapa
riwayat yang akan dikemukakan sebentar lagi.
Adapun selain
mereka, khususnya generasi yang hidup selepas kewafatan baginda
shallallahu ‘alaihi wasallam, tidaklah termasuk di dalam perbincangan
hadis ini. Justeru, apa jua amalan yang wujud selepas kewafatan
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, meskipun ia kelihatan baik dan
tidak terdapat sebarang dalil khusus yang menjelaskan larangannya, ia
tetap tidak boleh dianggap sebagai sunnah, tetapi adalah bid’ah yang
tercela di sisi agama.
Bantahan Kedua:
Perlu
diketahui bahawa tidak semua amalan ‘baru’ dalam urusan ibadah yang
diada-adakan oleh para sahabat radhiallahu ‘anhum mendapat pujian dan
pengiktirafan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya, Muhammad
shallallahu ‘alaihi wasallam. Terdapat sebahagian daripada
amalan-amalan tersebut yang mendapat teguran dan bantahan yang tegas
daripada baginda shallalahu a’alaihi wasallam. Perhatikan
riwayat-riwayat berikut:
Hadis #1:
Dalam
sebuah hadis dijelaskan bahawa tiga orang sahabat telah datang ke rumah
para isteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bagi bertanyakan
tentang ibadah baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.
Setelah
mendapat penjelasan daripada para isteri baginda shallallahu ‘alaihi
wasallam mengenai sifat ibadahnya, ketiga-tiga sahabat tadi terfikir
bahawa adalah perlu untuk mereka melipat-gandakan ibadah mereka
mengatasi ibadah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Ini
kerana - menurut andaian mereka - jika baginda sebagai insan yang
maksum lagi diampuni segala dosa-dosanya yang telah lalu dan yang akan
datang beribadah dengan kadar dan kualiti sebagaimana yang dijelaskan
oleh para isterinya, maka sudah tentulah mereka sebagai manusia yang
tidak maksum perlu melaksanakan ibadah yang jauh lebih banyak daripada
baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.
Bagi tujuan
tersebut, ketiga-tiga sahabat tersebut memasang azam masing-masing di
mana salah seorang daripada mereka bercadang untuk melakukan puasa
sepanjang tahun, manakala dua orang yang lain pula berazam untuk
mengerjakan solat sepanjang malam dan hidup membujang seumur hidup.
Walau
bagaimanapun keazaman mereka ini telah mendapat bantahan yang tegas
daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana
sabdanya:[6]
أَمَا
وَاللهِ إِنيِّ
لأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُوْمُ وَأُفْطِرُ
وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ
سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي.
Ketahuilah! Demi Allah,
sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut dan paling bertaqwa
kepada Allah di antara kamu tetapi (kadangkala) aku (juga) berpuasa dan
(kadangkala) tidak, aku bersolat (malam) tetapi aku juga tidur dan aku
juga berkahwin dengan wanita-wanita. Sesiapa yang berpaling daripada
sunnahku maka dia bukan dari (umat) aku!
Hadis #2:
Di
bawah ini pula akan dinukilkan sebuah riwayat berkenaan larangan
baginda ke atas beberapa orang sahabat yang memanggilnya dengan gelaran
Sayyidina:
عَنْ مُطَرِّفٍ قَالَ: قَالَ أَبِي انْطَلَقْتُ
فِي وَفْدِ بَنِي عَامِرٍ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ فَقُلْنَا: أَنْتَ سَيِّدُنَا! فَقَالَ: السَّيِّدُ اللَّهُ
تَبَارَكَ وَتَعَالَى! قُلْنَا: وَأَفْضَلُنَا فَضْلاً وَأَعْظَمُنَا
طَوْلاً. فَقَالَ: قُولُوا بِقَوْلِكُمْ أَوْ بَعْضِ قَوْلِكُمْ وَلاَ
يَسْتَجْرِيَنَّكُمْ الشَّيْطَانُ.
Dari Mutarrrif
bin Abdullah radhiallahu ‘anhu berkata bahawa ayahnya pernah bersama
satu rombongan daripada Bani Amir pergi untuk berjumpa Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam. Apabila mereka tiba, mereka berkata kepada
Rasulullah: ‘Anta Sayyidina’ (Engkau Tuan kami). (Mendengarkan yang
demikian). Rasulullah menjawab: ‘Tuan kamu ialah Allah Tabaraka wa
Ta’ala!” Mereka (Bani Amir) berkata lagi: ‘Engkau adalah yang paling
mulia kemuliaannya, dan yang paling besar kemuliaannya’. Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: ‘Berkatalah kamu dengan perkataan
itu, akan tetapi janganlah sampai syaitan menjadikan kamu sebagai
wakilnya!.’
Hadis #3:
Al-Barra’ bin ‘Azib radhiallahu ‘anhu menceritakan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:[7]
إِذَا
أَخَذْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلَاةِ ثُمَّ اضْطَجِعْ
عَلَى شِقِّكَ الْأَيْمَنِ ثُمَّ قُلْ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْلَمْتُ
وَجْهِي إِلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي
إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ
إِلَّا إِلَيْكَ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ وَبِنَبِيِّكَ
الَّذِي أَرْسَلْتَ وَاجْعَلْهُنَّ مِنْ آخِرِ كَلَامِكَ فَإِنْ مُتَّ مِنْ
لَيْلَتِكَ مُتَّ وَأَنْتَ عَلَى الْفِطْرَةِ قَالَ فَرَدَّدْتُهُنَّ
لِأَسْتَذْكِرَهُنَّ فَقُلْتُ آمَنْتُ بِرَسُولِكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ
قَالَ قُلْ آمَنْتُ بِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ.
Apabila
kamu hendak tidur, maka berwudhulah sebagaimana kamu berwudhu untuk
shalat. Setelah itu berbaringlah dengan miring ke kanan, lalu berdoalah:
“Ya Allah ya Tuhanku, aku pasrahkan wajahku kepada-Mu, aku serahkan
urusanku kepada-Mu dan aku serahkan punggungku kepada-Mu dengan
berharap-harap cemas kerana tidak ada tempat berlindung dan tempat yang
aman dari adzab-Mu kecuali dengan berlindung kepada-Mu. Aku beriman
kepada kitab-Mu yang telah Engkau turunkan dan aku beriman kepada
Nabi-Mu yang telah Engkau utus.”
Jadikan
bacaan tersebut sebagai penutup ucapanmu menjelang tidur. Apabila kamu
meninggal dunia pada malam itu, maka kamu meninggal dalam kesucian diri
(fitrah)." al-Barra' berkata: “Saya mengulang-ulangi bacaan tersebut
agar (ia dapat saya) hafal dan (ketika) saya ucapkan: Saya beriman
kepada Rasul-Mu yang telah Engkau utus.' Lalu Nabi Muhammad shallallahu
'alaihi wasallam berkata: 'Ucapkanlah: Saya beriman kepada Nabi-Mu yang
telah Engkau utus."
Dalam
hadis di atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan
kepada salah seorang sahabatnya, al-Barra’ bin ‘Azib radhiallahu ‘anhu
tentang doa yang perlu dia lafazkan ketika hendak tidur. Ketika
menghafal doa tersebut di hadapan Nabi, al-Barra’ didapati telah
mengubah salah satu lafaz daripada doa yang baginda ajarkan kepadanya.
Lafaz tersebut ialah ‘
Nabi-Mu’ yang diubah oleh al-Barra’ kepada lafaz ‘
Rasul-Mu’.
Walaupun pengubahan lafaz ini kelihatan baik, namun baginda tetap
melarangnya berbuat demikian dan memerintahkan agar dia mengekalkan
sahaja lafaz asal sebagaimana yang diajarkan oleh baginda kepadanya.
Hadis #4:
Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhu berkata:[8]
بَيْنَا
النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ إِذَا هُوَ
بِرَجُلٍ قَائِمٍ فَسَأَلَ عَنْهُ فَقَالُوا أَبُو إِسْرَائِيلَ نَذَرَ
أَنْ يَقُومَ وَلَا يَقْعُدَ وَلَا يَسْتَظِلَّ وَلَا يَتَكَلَّمَ
وَيَصُومَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُرْهُ
فَلْيَتَكَلَّمْ وَلْيَسْتَظِلَّ وَلْيَقْعُدْ وَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ
Semasa
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menyampaikan khutbah, baginda melihat
seorang lelaki berdiri di bawah cahaya matahari lalu baginda bertanya
tentangnya. Para sahabat berkata: Dia ialah Abu Israil. Dia bernazar
untuk berdiri dan tidak duduk, tidak berteduh, tidak bercakap dan akan
berpuasa. Baginda berkata: “Beritahu kepadanya agar (hendaklah dia)
bercakap, berteduh, duduk dan biarkan dia terus berpuasa.”
Hadis #5:
Bersumberkan daripada Abul Malih radhiallahu ‘anhu bahawa seorang lelaki telah berkata:[9]
كُنْتُ
رَدِيفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَثَرَتْ
دَابَّةٌ فَقُلْتُ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَقَالَ لَا تَقُلْ تَعِسَ
الشَّيْطَانُ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَعَاظَمَ حَتَّى يَكُونَ
مِثْلَ الْبَيْتِ وَيَقُولُ بِقُوَّتِي وَلَكِنْ قُلْ بِسْمِ اللَّهِ
فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَصَاغَرَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الذُّبَابِ
Aku
membonceng di belakang Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, maka ketika
haiwan tunggangan baginda lambat saat berjalan aku berkata: “Celakalah
Syaitan ini.”Baginda lalu bersabda: Janganah engkau berkata: “Celakalah
Syaitan ini” kerana jika engkau berkata seperti itu ia (Syaitan) akan
semakin besar hingga seperti rumah dan berkata: “Demi kekuatanku.”
Tetapi hendaklah engkau katakan 'Bismillah” (dengan menyebut nama
Allah). Jika engkau ucapkan itu maka syaitan akan semakin kecil hingga
(menjadi) seperti lalat.
Memadai
dikemukakan beberapa hadis di atas bagi menunjukkan bahawa terdapat
sebahagian amalan para sahabat yang tidak mendapat perkenan baginda
untuk diangkat menjadi ibadah yang diiktiraf di dalam ajaran Islam.
Hakikat
bahawa pada sebahagian amalan sahabat ada yang diterima oleh Rasulullah
manakala sebahagian yang lain mendapat tegahan dan larangan daripada
baginda menunjukkan kepada kita bahawa penentuan sama ada diterima atau
ditolaknya sesuatu ibadah itu adalah tertakluk sepenuhnya kepada
ketentuan yang datang daripada Allah melalui lisan Rasul-Nya.
Pasti
saja, penentuan ini pula tidak mungkin boleh berlaku melainkan jika
baginda shallallahu ‘alaihi wasallam hadir dan menyaksikan sesuatu
amalan yang disandarkan ke atas ajaran agama sebagaimana baginda
menyaksikan dan menentukan kedudukan amalan para sahabatnya.
Memandangkan Rasulullah sudah wafat dan tidak berkesempatan lagi untuk
menyaksikan sekaligus menentukan kedudukan bid’ah yang diciptakan oleh
sebahagian pihak di zaman ini, maka apakah lagi faedah untuk kita
mengada-adakan bid’ah di dalam urusan agama?
Penjelasan tambahan.
Apa
yang menarik untuk diperhatikan adalah, usaha mengingkari amalan-amalan
bid’ah yang bercanggah dengan sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam tidak hanya khusus dilakukan oleh baginda ketika masih hayatnya
tetapi juga oleh para sahabat baginda setelah kewafatannya.
Semua
ini menjadi bukti betapa kukuhnya kefahaman para sahabat terhadap
pengertian bid’ah yang dicela di sisi agama, sehingga dengan kefahaman
itu mereka mengambil peranan baginda untuk mengingkari apa jua amalan
baru yang bermunculan selepas kewafatannya. Perhatikan riwayat-riwayat
berikut:
Riwayat #1: [10]
عَنْ
نَافِعٍ أَنَّ رَجُلًا عَطَسَ إِلَى جَنْبِ ابْنِ عُمَرَ فَقَالَ
الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالسَّلاَ مُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ قَالَ ابْنُ عُمَرَ
وَأَنَا أَقُولُ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالسَّلاَ مُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ
وَلَيْسَ هَكَذَا عَلَّمَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ عَلَّمَنَا أَنْ نَقُولَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ.
Daripada
Nafi’ beliau meriwayatkan bahawa pada suatu ketika seorang lelaki telah
bersin di sisi Ibnu 'Umar radhiallahu 'anhu lalu lelaki tersebut
berkata: "Alhamdulillah wassalam 'ala Rasulillah." (Mendengarkan yang
demikian) berkatalah Ibnu 'Umar: "(Adakah) saya mengucapkan
"Alhamdulillah wassalam 'ala Rasulillah?.” Bukanlah ucapan seperti ini
(yang diajar oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kepada kami
tetapi) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan kepada
kami ucapan ini: "Alhamdulillah 'ala kulli haal.”
Riwayat #2:
عن
سعيد المسيب: أنه رأى رجلا يصلى بعد طلوع الفجر أكثر من ركعتين، يكثر فيها
الر كوع والسجود، فنهاه، فقال: يا ابا محمد! يعذبني اﷲ على الصاة؟ قال:
لا! ولكن يعذبك غلى خلاف السنة.
Daripada Said Ibnu
al-Musayyib radhiallahu ‘anhu bahawasanya dia telah melihat seorang
lelaki solat setelah terbit fajar lebih daripada dua rakaat. Lelaki itu
memperbanyakkan rukuk dan sujud dalam solatnya itu. Lalu beliau pun
melarang lelaki itu berbuat sedemikian. Maka lelaki itupun berkata
kepadanya: “Wahai Abu Muhammad! Adakah Allah mengazabku di atas solat
yang aku kerjakan ini?.” Beliau menjawab: “Tidak, akan tetapi Allah
mengazabmu kerana perlakuanmu ini menyelisih sunnah (cara Nabi
shalallahu‘alaihi wasallam).”
Riwayat #3:
Daripada ‘Amr bin Salamah radhiallahu ’anhu, dia berkata:
كنا
نجلس على باب عبد الله بن مسعود قبل صلاة الغداة. فإذا خرج مشينا معه إلى
المسجد. فجاءنا أبو موس الأشعري فقال: أخرج إليكم أبو عبد الرحمن. بعد
قلنا: لا. فجلس معنا حتى خرج. فلما خرج قمنا إليه جميعا فقال له أبو موس:
ياأبا عبد الرحمن إني رأيت في المسجد آنفا أمرا أنكرته ولم أر والحمد لله
إلا خيراز قال: فماهو. إن عشت فستراه قال رأيت في المسجد قوما حلقا جلوسا
ينتظرون الصلاة في كل حلقة رجل وفي أيديهم حصى فيقول كبروا مائة فيكبرون
مائة فيقول هللوا مائة فيهللون مائة ويقول سبحون مائة فيسبحون مائة. قال:
فماذا قلت لهم؟ قال: ما قلت لهم شيئا انتظار رأيك وانتظار أمرك. قال: أفلا
أمرتهم أن يعدوا سيئاتهم وضمنت لهم أن لا يضيع من حسناتهم؟ ثم مضى ومضينا
معه حتى أتى حلقة من تلك الحلق فوقف عليهم فقال: ما هذا الذي أراكم تصنعون؟
قالوا: ياأبا عبد الرحمن حصى نعد به التكبير والتهليل والتسبيح. قال:
فعدوا سيئاتكم فأنا ضامن أن لا يضيع من حسناتكم شيء ويحكم يا أمة محمد ما
أسرع هلكتكم هؤلاء صحابة نبيكم صلى الله عليه وسلم متوافرون وهذه ثيابه لم
تبل وآنيته لم تكسر والذي نفسي بيده إنكم لعلى ملة هي أهدى من ملة محمد أو
مفتتحو باب ضلالة. قالوا: والله يا يا أبا عبد الرحمن ماأردنا إلا الخير.
قال: وكم من مريد للخير لن يصيبه.
Suatu ketika kami
duduk di pintu ‘Abdullah bin Mas’ud sebelum solat Subuh. Apabila dia
keluar, kami akan berjalan bersamanya ke masjid. Tiba-tiba datang kepada
kami Abu Musa al-Asy’ari, lalu bertanya: “Apakah Abu ‘Abdul Rahman
(‘Abdullah bin Mas’ud) telah keluar kepada kamu.” Kami jawab: “Tidak.”
Maka dia duduk bersama kami sehingga ‘Abdullah bin Mas’ud keluar.
Apabila dia keluar, kami semua bangun kepadanya. Lalu Abu Musa al-Asy’ari berkata kepadanya: “Wahai Abu ‘Abdul Rahman[11],
aku telah melihat di masjid tadi satu perkara yang aku tidak bersetuju,
tetapi aku tidak lihat - Alhamdulillah - melainkan ia baik[12].
”
Dia
(‘Abdullah bin Mas’ud) bertanya: “Apakah ia?.” Kata Abu Musa: “Jika
umur kamu panjang engkau akan melihatnya. Aku melihat satu puak, mereka
duduk di dalam lingkungan (bulatan/halaqah) menunggu waktu solat. Bagi
setiap lingkungan ada seorang lelaki (yang bertindak sebagai ketua dalam
lingkungan mereka), sementara di tangan mereka yang lain ada anak-anak
batu.
Apabila
lelaki (ketua dalam lingkungan) itu berkata: “Takbir (Allahu Akbar) 100
kali”, maka mereka (yang lain) pun bertakbir 100 kali. Apabila dia
berkata “Tahlil (La ilaha ilallah) 100 kali”, maka mereka pun bertahlil
100 kali. Apabila dia berkata: “Tasbih (Subhanallah) 100 kali”, maka
mereka pun bertasbih 100 kali.”
Tanya
‘Abdullah bin Mas’ud: “Apa yang telah engkau katakan kepada mereka?.”
Jawabnya (Abu Musa): “Aku tidak kata kepada mereka apa-apa kerana
menanti pandangan dan perintahmu.” Kata ‘Abdullah bin Mas’ud: “Mengapa
engkau tidak menyuruh mereka mengira dosa mereka dan engkau jaminkan
bahawa pahala mereka tidak akan hilang sedikit pun?.”
Lalu
dia (‘Abdullah bin Mas’ud) berjalan dan kami pun berjalan bersamanya.
Sehinggalah dia (’Abdullah bin Mas’ud) tiba kepada salah satu daripada
lingkungan berkenaan. Dia (‘Abdullah bin Mas’ud) berdiri lantas berkata:
“Apa yang aku lihat kamu sedang lakukan ini?”
Jawab mereka (yang sedang berzikir dalam halaqah): “Wahai Abu ‘Abdul Rahman[13]
! Anak-anak batu yang dengannya kami menghitung Takbir, Tahlil dan Tasbih.”
Jawabnya
(‘Abdullah bin Mas’ud): “Hitunglah dosa-dosa kamu, aku jamin
pahala-pahala kamu tidak hilang sedikit pun. Celaka kamu wahai umat
Muhammad! Alangkah cepat kemusnahan kamu. Para sahabat Nabi masih ramai
lagi, baju baginda belum lagi buruk dan bekas makanan dan minuman
baginda pun belum lagi pecah. Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya,
apakah kamu berada di atas agama yang lebih mendapat petunjuk dari agama
(yang dibawa oleh) Muhammad atau sebenarnya kamu semua pembuka pintu
kesesatan?.”
Jawab
mereka: “Demi Allah wahai Abu ‘Abdul Rahman, kami hanya bertujuan baik.”
Jawabnya (‘Abdullah bin Mas’ud): “Betapa ramai yang bertujuan baik,
tetapi tidak mendapatinya.”
Nota kaki
[1] Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, no. 1149.
[2] Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, no.1871.
[3]
Mengerjakan solat terawih secara berjemaah bukanlah perkara yang bid’ah
di dalam agama. Ini kerana telah masyhur riwayat yang menjelaskan
bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah
mengerjakan solat terawih bersama-sama dengan para sahabatnya di bulan
Ramadan (Shahih Muslim, no. 761 dan Shahih Sunan al-Nasa’i, no. 1604).
Justeru itu perkataan Amirul Mukminin ‘Umar al-Khaththab radhiallahu
‘anhu dalam riwayat di atas hendaklah difahami dalam konteks pengertian
bahasa (etimologi) dan bukannya menurut takrifan syarak (terminologi).
Wallahua’lam.
[4] Hadis riwayat Abu Daud, no. 4607,
at-Tirmidzi, no. 2676 dan al-Hakim 1/95. Disahihkan oleh al-Hakim dan
disepakati oleh adz-Dzahabi. Lihat komentar Syeikh al-Albani dalam Irwa’
al-Ghalil, no. 2455.
[5] Inilah yang disebutkan oleh para
ulama sebagai sunnah takririyyah, iaitu apa-apa perkataan dan perbuatan
para Sahabat yang tidak dilakukan mahupun dianjurkan oleh Nabi
shallallahu ’alaihi wasallam akan tetapi baginda tidak melarangnya.
Diamnya baginda terhadap perbuatan tersebut menunjukkan ia adalah suatu
yang dibolehkan. Sekiranya perbuatan tersebut salah di sisi ajaran
Islam, pastilah Rasulullah akan segera menegahnya.
[6] Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, no. 5063 dan Muslim dalam Shahih Muslim, no. 1401.
[7] Hadis riwayat Muslim dalam Shahih Muslim, no. 4884.
[8] Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, no. 6210.
[9]
Hadis riwayat Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, no. 4330 dan dinilai sahih
oleh Syeikh al-Albani. Lihat Shahih Sunan Abu Daud, no. 4982.
[10] Hadis riwayat at-Tirmidzi dalam Sunan al-Tirmizi, no. 2662 dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 7691.
[11] Iaitu gelaran bagi ‘Abdullah bin Mas’ud radhiallahu ‘anhu.
[12] Maksud beliau, perkara tersebut kelihatan baik walaupun dia tidak menyetujuinya.
[13] Iaitu gelaran bagi ‘Abdullah bin Mas’ud radhiallahu ’anhu.
~
Oleh: Mohd Hairi Nonchi (Cikgu Arie)