Sunday, September 30, 2012

Lima perkara yang kebanyakan para shahabat Nabi Muhammad...



Al-Imam Al-Auza'i rahimahullah berkata:

"Lima perkara yang kebanyakan para shahabat Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam dan juga orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik senantiasa berada di atasnya: berpegang kepada al-jamaah, mengikuti As-Sunnah, memakmurkan masjid-masjid, membaca Al-Qur'an, dan berjihad di jalan Allah Azza wa Jalla."

(Al-Lalikai, no. 48 jilid 1 hal. 64)


Ibn Syubrumah rahimahullah berkata:

"Aku heran terhadap manusia yang menjaga makanannya dalam keadaan takut terhadap penyakit, akan tetapi dia tidak menjaga dari perbuatan dosa dalam keadaan takut ancaman neraka."

(Siyar A'lam An-Nubala, 6/348)


Qubaishah bin Qais Al Anbari rahimahullah berkata:

Adalah Adh Dhahak bin Muzahim bila datang waktu sore selalu menangis. Lalu ia ditanya: "Mengapa kamu menangis?" Ia menjawab: "Aku tidak tahu apakah amalku naik (diterima di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala) pada hari ini."

(Shifatush Shafwah, 4/150)


Abu Ubaidah radhiyallahu 'anhu berkata:

"Ketahuilah, berapa banyak orang memutihkan baju tapi mengotori agama. Ketahuilah berapa banyak manusia memuliakan diri sendiri padahal ia hina. Gantilah amal-amal jelek yang telah lewat dengan amal-amal baik sekarang!"

(Siyar A'lamin Nubala, 1/18)


Abdullah bin 'Utbah bin Mas'ud rahimahullah berkata:

"Kamu tidak akan salah selamanya asal kamu di atas As Sunnah."

(At Thabaqat, 1/71, Al Hujajul Qawiyyah, 30)

Friday, September 28, 2012

Hukum 7 Orang Mengorbankan Seekor Lembu Dengan Niat Berbeza




















 Seperti yang dimaklumi, dalam ibadat korban, seekor lembu, kerbau atau unta, boleh dikongsi seramai 7 orang.

Jika kesemua 7 orang yang berkongsi sesekor lembu, menyembelih dengan niat melakukan korban, tidak timbul sebarang persoalan atau kemusykilan.

Persoalan mungkin timbul, jika tiada kesepakatan niat di kalangan 7 orang tersebut.
Sebagai contoh, salah seorang daripada mereka berniat melakukan akikah. Sebahagian yang lain pula, berniat membayar kifarat berkaitan ibadat haji. Sementara selebihnya berniat melakukan korban.

Adakah seekor lembu yang dikongsi oleh 7 orang itu, yang menyembelihnya dengan niat yang berbeza, dikira mengikut niat masing-masing?

Dalam erti kata lain, adakah seekor lembu yang disembelih itu, dikira sebagai akikah, korban dan kifarat sekaligus? 
Rumusan
Dalam Mazhab Syafie, penyembelihan seekor lembu, kerbau atau unta yang dikongsi oleh beberapa orang (tidak lebih dari 7 orang), dengan niat yang berbeza seperti akikah, korban dan kifarat, adalah dibolehkan.

Justeru, sembelihan tersebut dikira sebagai akikah, korban dan kifarat sekaligus.
Pendetailan
Syaikh Ibnu Hajar dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra menyatakan :
لو ذَبَحَ بدنةً أو بقرةً عن سبعةِ أسبابٍ منها ضحيةٌ وعقيقةٌ والباقي كفارات في نحو الحلق في النسك فيُجْزي ذلك
Terjemahan : "Jika [seseorang] menyembelih seekor unta atau lembu untuk tujuh sebab [atau niat], sebahagiannya [dengan niat] korban dan akikah, dan selebihnya [dengan niat membayar] kifarat kerana bercukur dalam ibadat haji sebagai contoh, maka memadai [yang demikian] itu".

Menjelaskan perkara yang sama, Syaikh Arshad al-Banjari dalam karyanya, Sabilal Muhtadin (jld.2, hlm.446, edisi rumi) mengatakan, "memadai seekor unta atau sapi atau kerbau untuk tujuh orang, baik yang tujuh orang itu menghendaki dijadikan korban atau sebagiannya saja".
Wallahu a’lam

http://warisan-semasa.blogspot.com/2011/11/hukum-7-orang-mengorbankan-seekor-lembu.html

Arak, bikini, hudud, Feqh Awlawiyyat & Parti Islam Tunisia


Sikap dan pendirian politik parti Harakah An-Nahdhah (Pergerakan Kebangkitan) Tunisia, sangat menarik dan penting untuk diteliti, memandangkan kedudukannya sebagai sebuah parti politik beraliran Islam, yang berpeluang mempraktikkan hak berpolitik dalam sebuah negara demokrasi.
Dengan ‘penerjunan’ Nahdhah ke arena politik Tunisia dan seterusnya menjadi ‘pemain’ dalam arena itu, ‘perpustakaan’ politik Islam akan dibekalkan dengan satu lagi model baru ‘perjuangan politik’ berteraskan Islam, yang boleh dijadikan rujukan dan teladan dalam mengemudi politik Islam, khususnya bagi umat Islam di negara ini.
Di sinilah letaknya kepentingan analisis dan pemerhatian terhadap ‘sepak terajang politik’ parti Nahdhah itu.
Parti Nahdhah menjadi perhatian disebabkan statusnya sebagai sebuah parti beraliran Islam yang dikemudi dan dianggotai bangsa Arab, yang begitu dekat dengan sumber ilmu-ilmu dan pemikiran Islam, yang secara asasnya ditulis dalam bahasa itu.
Status ini menjadikan tindak tanduk dan aksi politik parti itu, boleh dinilai sebagai ‘terjemahan berstandard tinggi’ kepada ajaran atau pemikiran Islam berkenaan politik, yang boleh dijadikan rujukan dan panduan oleh pergerakan-pergerakan Islam lain.
Sebelum memenangi pilihanraya Tunisia secara rasmi, parti Nahdhah telah memberikan bayangan kasar kepada bentuk kerajaan yang bakal diterajuinya. Bayangan ini dilakarkan oleh pemimpin parti itu, Syaikh Rashid al-Ghannoushi, 70 dan juga Setiausaha Agungnya, Hammadi al-Jibali, 62.
Lakaran bentuk negara Tunisia baru itu tertumpu kepada tiga perkara, iaitu dasar negara Tunisia pimpinan parti Nahdhah terhadap sektor pelancongan, dasar berhubung wanita dan sifat negara Tunisia baru yang bakal dibentuk.
Nahdhah dan Pelancongan
Dalam melakar negara Tunisia baru, parti Nahdhah memberikan perhatian utama kepada sektor pelancongan negara itu disebabkan ia merupakan sebuah negara destinasi pelancongan, yang menerima kunjungan seramai 7 juta pelancong setiap tahun.
Mengambil kira realiti ini, Ghannoushi awal-awal lagi menyatakan dengan jelas, kerajaan Islam pada masa depan pimpinan parti beliau, akan mengekalkan kedudukan Tunisia sebagai sebuah negara destinasi pelancongan. (Rujukan : aljazeera.net)
Ghanoushi menyedari, ikrar ini menuntut parti pimpinan beliau yang bakal memerintah Tunisia, mengekalkan sektor pelancongan negara itu dalam keadaannya yang sedia ada, seperti di zaman pemerintahan sekular Ben Ali.
Justeru, tanpa teragak-agak, pemimpin utama parti Islam Tunisia itu menyatakan, parti pimpinan beliau tidak akan meletakkan sebarang syarat ke atas sektor pelancongan di Tunisia.
Beliau memberi jaminan, bila berkuasa nanti, partinya tidak akan mewajibkan masyarakat Tunisia atau jutaan pelancong dari Barat, yang menghabiskan cuti mereka di pantai-pantai negara itu, dengan etika dan akhlak tertentu. (Rujukan : aljazeera.net)
Sehubungan itu, Ghannoushi menyatakan, parti pimpinannya itu tidak akan menghalang penjualan arak dan pemakaian bikini, yang begitu sinonim dengan sektor pelancongan di kebanyakan negara, termasuk Tunisia. (Rujukan : aljazeera.net)
Senada dengan pendirian beliau ialah Setiausaha Agung parti Nahdhah, Hammadi al-Jibali, yang dilaporkan berkata, sektor pelancongan di Tunisia  dianggap sebagai “hasil pendapatan yang tiada ruang untuk diganggu”.
Beliau mempersoalkan, “adakah logik kita menimpakan ‘kelumpuhan’ ke atas sektor asasi seperti pelancongan, dengan mengharamkan arak dan pemakaian pakaian mandi dan perlakuan-perlakuan seumpamanya?”. (Rujukan : aljazeera.net)
Bimbang pendirian partinya yang liberal terhadap aktiviti berkaitan arak dan pemakaian bikini disalah tafsir, Ghannoushi menjelaskan, “ini tidak bermakna kami menggalakkan arak. Ini adalah haram dan kami tidak mengingininya.
Tetapi, tidak  mungkin untuk kita bersepakat dengan orang ramai (dalam sesuatu isu seperti arak) dengan kekuasaan, tetapi dengan kerelaan mereka. Maka, objektif kami bukan menghentikan arak, tetapi mengurangkan permintaan terhadap arak”. (Rujukan : aljazeera.net)
Kenyataan beliau ini merupakan pernyataan jelas tentang pendekatan yang bakal diambil oleh parti Nahdhah berhubung aktiviti membabitkan arak, iaitu pendekatan yang tidak berteraskan kuasa dan undang-undang, tetapi berteraskan pendidikan dan pemujukan, yang akan mencetus kerelaan meninggalkan sebarang kegiatan melibatkan minuman yang memabukkan itu.
Dalam rangka menangani secara berhikmah aktiviti membabitkan arak, Ghannoushi juga menjelaskan, partinya tidak akan menutup tempat-tempat penjualan arak, sebaliknya akan berusaha mewujudkan kawasan-kawasan perkelahan yang sesuai bagi golongan beragama yang menghormati nilai-nilai Islam. (Rujukan : aljazeera.net)
Pendekatan yang harmoni dan pertengahan juga akan digunakan oleh parti Nahdhah bagi mendepani budaya pemakaian bikini di kawasan perkelahan di negara itu, seperti yang dapat disaring daripada kenyataan Ghannoushi, “kita akan melakukan apa yang mampu untuk menjayakan  musim pelancongan, dan kita mahu menarik pelancong mengikut kadar termampu.
Tetapi, dalam masa yang sama, kita perihatin terhadap budaya setempat dan kita akan berusaha mencari kedudukan (sikap) yang pertengahan”. (Rujukan : aljazeera.net)
Nahdhah dan wanita
Perkara kedua yang menjadi tumpuan parti Nahdhah dalam melakar negara Tunisia di masa depan, ialah dasar parti Islam itu terhadap kaum wanita.
Lakaran awal dasar parti Nahdhah terhadap wanita yang digariskan oleh kepimpinan parti itu, sesungguhnya menggamit satu perasaan untuk memerhati lebih dekat pergerakan parti yang  ditubuhkan pada 1981 itu.
Sebaik sahaja keputusan tidak rasmi pilihanraya Tunisia menunjukkan parti Nahdhah memenangi lebih daripada 40% kerusi, Setiausaha Agung parti itu, Hammadi al-Jibali mengumumkan, parti itu telah memutuskan untuk memberi separuh daripada kerusi yang dimenanginya kepada aktivis-aktivis wanita parti itu.
Yang menarik dalam pengumuman itu ialah kenyataan beliau yang menyebut, kerusi-kerusi tersebut akan diberikan kepada aktivis-aktivis wanita yang bertudung dan yang tidak bertudung, tanpa diskriminasi. (Rujukan : onislam.net)
Sebenarnya, parti Nahdhah memang bersungguh-sungguh menampilkan dirinya sebagai sebuah parti yang tidak membezakan antara wanita yang bertudung dengan yang tidak bertudung, seperti yang dinyatakan oleh akhbar Washington Post dalam satu analisisnya.
Parti Nahdhah pergi lebih jauh dalam soal dasarnya terhadap wanita, apabila memberi jaminan akan mempertahankan hak wanita untuk memakai apa sahaja pakaian yang mereka kehendaki. Jaminan ini dicatatkan dalam flayers yang disebarkan parti itu, seperti yang dilaporkan oleh akhbar sama, Washington Post.
Pendekatan ini, mengikut akhbar itu lagi, telah berjaya menarik sokongan wanita yang bertudung dan tidak bertudung kerana dengan jaminan ini, wanita bertudung merasakan mereka dapat menikmati kebebasan memakai tudung, yang sebelum ini diharamkan oleh regim Ben Ali. (Rujukan : aljazeera.net)
Parti Nahdhah tidak menunggu sehingga memerintah untuk menunaikan jaminan yang diberikannya kepada kaum wanita Tunisia, apabila membenarkan seorang wanita yang tidak bertudung mengetuai salah satu senarai calon parti itu.
Lebih daripada itu, dalam satu majlis di pejabat parti Nahdhah bagi meraikan kemenangan tidak rasmi parti itu dalam pilihanraya, sebelum Pengarah Kempen Pilihanraya parti itu berucap, seorang calon wanita parti itu yang tidak bertudung, telah menyanyikan lagu-lagu Lubnan dan Tunisia di pentas, sambil menyatakan parti itu telah membuktikan kesederhanaannya apabila membenarkan wanita tidak bertudung menjadi calonnya. (Rujukan : aljazeera.net)
Perkara ketiga yang disentuh kepimpinan parti Nahdhah ketika mengemukakan lakaran bayangan bagi negara Tunisia baru, ialah sifat negara Tunisia yang bakal diasaskan.
Negara sekular
Berhubung soal ini, parti Nahdhah-selaku sebuah parti Islam-dilihat mengambil sikap yang ‘mengejutkan’, apabila berjanji akan “berusaha mewujudkan sebuah masyarakat sekular pelbagai parti dan aliran yang menghormati hak-hak manusia”. (Rujukan : onislam.net)
Pendirian ini diambil di saat keputusan tidak rasmi pilihanraya negara itu, menunjukkan parti Nahdhah mendahului parti-parti lain dengan perbezaan kerusi yang besar, dan dijangka banyak pihak sebagai parti yang bakal mengetuai kerajaan baru Tunisia.
Bicara tentang sebuah parti Islam yang sedang berada di ambang pemerintahan negara seperti Nahdhah, seakan tidak lengkap jika tidak disentuh persoalan perlaksanaan Syariat Islam, termasuk hudud, dalam agenda parti Islam itu.
Walau bagaimana pun, persoalan ini mudah dijawab tanpa memerlukan kajian dan penelitian terhadap manifesto atau tawaran parti itu kepada rakyat Tunisia.
Hal ini demikian kerana sejak awal-awal lagi, iaitu pada 22 Januari 2011, pemimpin utama parti Nahdhah, Ghannoushi mengatakan, “partinya tidak berusaha untuk melaksanakan Syariat Islam di Tunisia, sebaliknya berusaha untuk membebaskan Tunisia daripada sistem satu parti dalam apa jua bentuk sekalipun, sambil menegaskan bahawa apa yang diperlukan Tunisia hari ini, ialah kebebasan”. (Rujukan : onislam.net)
Tinjauan sepintas lalu ke atas sikap dan pendirian politik parti Nahdhah seperti yang dipaparkan, sudah memadai untuk dirumuskan satu kesimpulan penting, iaitu sikap atau dasar parti itu berhubung sektor pelancongan (yang berkait rapat dengan arak dan bikini), wanita dan  sifat negara Tunisia di masa depan, secara umumnya tidak menepati kehendak dan tuntutan Islam.
Demikian juga kenyataan pemimpin parti itu, Ghannoushi yang terang-terang menyatakan, partinya itu tidak berusaha untuk melaksanakan Syariat Islam di Tunisia. Secara tersuratnya, ia jelas tidak menepati kehendak Islam yang diperjuangkan sendiri oleh parti pimpinannya itu.
Walau bagaimana pun, menariknya, tidak kedengaran suara-suara yang berkredibiliti samada dari dalam parti Islam itu atau dari luar, khususnya dari para ulama haraki, yang mengkritik pendirian politik parti Nahdhah itu.
Suara-suara yang melebelkan parti Nahdhah sebagai sebuah parti yang menang pilihan raya, tetapi kalah dalam menegakkan hukum Allah, atau keluhan ‘apalah maknanya kemenangan andai ketetapan Allah diketepikan’, juga tidak kedengaran.
Dakwaan bahawa parti itu-dengan mengambil pendirian politik yang liberal itu-lebih mementingkan kuasa berbanding melaksanakan hukum hakam Islam, juga tidak disuarakan oleh mana-mana pihak yang berwibawa setakat ini. 
Tafsiran ulama
Tafsiran kepada keadaan ini, ialah kefahaman pemimpin-pemimpin pergerakan Islam dan para ulama haraki di Timur Tengah, terhadap tuntutan Islam yang menghendaki penganutnya ‘mengutamakan perkara yang utama, dan menangguhkan perkara kurang utama’, atau yang diistilahkan sebagai Feqh Awlawiyyat.
Tuntutan ini telah dipenuhi dengan jayanya oleh Nabi Muhammad SAW, apabila Baginda hanya memfokuskan kepada aspek dakwah dan tarbiyah semasa berada di Mekah, yang hanya berlegar sekitar dasar-dasar akidah, pengukuhan tauhid, mengkhususkan ibadat hanya kepada Allah, membuang kesyirikan, menjauhi taghut dan menghiasi diri dengan akhlak-akhlak terpuji.
Pengutamaan ke atas persoalan-persoalan teras dan utama ini, telah mendorong Baginda menangguhkan buat sementara pengajaran tentang hukum hakam Islam (seperti hudud, kekeluargaan, perkahwinan, jual beli dsb) dan melarang umat Islam mengangkat senjata bagi mempertahankan diri daripada kezaliman Musyrikin Mekah.
Adalah diyakini, kerana mendahulukan perkara-perkara yang lebih utama, iaitu pembentukan negara yang berteraskan kebebasan, kemuliaan rakyat dan keadilan, telah mendorong parti Nahdhah mengetepikan buat sementara soal pemakaian bikini, sifat sekular negara Tunisia dan penjualan arak di negara itu.
Soal pemakaian bikini dan penggunaan arak, biar pun ia ditegah oleh Islam, namun kesan dan akibatnya hanya terbatas kepada kelompok kecil manusia, yang menyebabkan soal menangani kemungkaran itu boleh dikemudiankan.
Berbeza dengan soal kewujudan sebuah negara yang bertunjangkan kebebasan, kemuliaan rakyat dan keadilan, ketiadaannya akan memberi kesan langsung ke atas seluruh rakyat, yang menuntut supaya soal ini didahulu dan diutamakan.
Demikian juga pemasyhuran Tunisia sebagai sebuah negara Islam, ia boleh dikemudiankan memandangkan keperluan dan keutamaan membentuk  negara Tunisia yang bebas, adil dan ‘dikemudi’ rakyat jelata, boleh juga dilakukan dalam sebuah negara sekular yang menghormati hak-hak manusia.
Dengan pendirian politik yang terpancar dari ‘mata air’ Feqh Awlawiyyat ini, parti Nahdhah telah berjaya meletakkan dirinya pada kedudukan sebuah parti Islam yang dinamik, realistik dan sederhana.
Tulisan ini tidak bermaksud mengajak mana-mana pihak meniru dan mencedok satu persatu pendirian parti Nahdhah ini. Semua itu tidak perlu kerana sesuatu tindakan yang sesuai di Tunisia, tidak semestinya secocok dengan negara-negara lain, disebabkan faktor perbezaan suasana dan realiti setempat.
Apa yang mustahak ialah parti-parti beraliran Islam walau di mana ia berada, mengambil semangat dan ruh yang mendasari sikap dan pendirian politik parti Nahdhah ini.
Feqh Awlawiyyat!

Berkenalan dengan Fathullah Kolan, tokoh paling berpengaruh di dunia!


Fathullah Kolan
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tidak ramai yang mengenali Fathullah Kolan (juga ditulis Fethullah Gulen). Bahkan, ramai yang belum pernah mendengar nama ini.
Beliau anak kelahiran Turki. Memiliki pengikut yang ramai. Ada yang menganggarkan, pengikutnya di seluruh dunia mencecah 4 juta orang.
Satu pungutan suara telah dijalankan oleh majalah Prospect (Britain) dan majalah Foreign Pulse (Amerika Syarikat) pada Jun 2008 selama empat minggu berturut-turut.
Ia diadakan bagi memilih tokoh yang paling berpengaruh di dunia bagi tahun 2008.
Pungutan suara ini menyenaraikan 100 orang tokoh dari seluruh dunia dan dari pelbagai bidang kepakaran.
Para pembaca yang mengundi berjumlah lebih 500,000 orang.
Keputusan amat mengejutkan.
Para pembaca memilih Fathullah Kolan sebagai tokoh paling berpengaruh di dunia bagi tahun 2008!
Satu lagi kejutan ialah tokoh yang berada di anak tangga pertama hingga ke 10, kesemuanya beragama Islam.  Dua daripada mereka adalah pemegang Hadiah Nobel, iaitu Orhan Pamuk dari Turki, dan aktivis hak asasi Iran, Shirin Ebadi. 
 
Latar belakang Kolan
Fathullah Kolan berjasa besar dalam memupuk pemikiran sederhana di kalangan pengikutnya.
Majalah Foreign Pulse dipetik sebagai berkata, “(Kolan seorang) cendiakawan Islam yang dianggarkan bilangan pengikutnya di seluruh dunia seramai berjuta-juta orang, dan mendapat reputasi yang baik dan buruk dalam masa yang sama...  
Kolan dianggap seorang pemimpin kerohanian oleh ahli-ahli pertubuhanya. Beliau memimpin mereka kepada prinsip-prinsip Islam yang sederhana. Adapun mereka yang tidak sehaluan, mereka menganggap beliau sebagai ancaman kepada sisem sekular di Turki”.
Sejak kecil lagi beliau mendambakan keamanan sejagat.
Ketika berumur 12 atau 13 tahun, beliau pernah memegang sebuah buku dengan sebelah tangan, sambil sebelah tangan lagi memegang peta dunia, sambil bermunajat  “wahai Tuhan, bagaimanakah kami boleh menjadi satu alam (dunia) yang diikat oleh satu cita-cita, kasih sayang dan ilmu, pada saat telah berlaku masalah kemasyarakatan di alam ini?”.
Demikianlah Fathullah Kolan berbicara. Bicaranya yang mengandungi impian yang maha besar bagi kemanusiaan sejagat.
Kolan bukan ahli politik. Pembawaan beliau lebih berbentuk kerohanian. Pendidikan beliau sendiri berlatarbelakangkan ajaran sufi apabila menjadi salah seorang pelajar Jemaah an-Nur.
Jemaah ini diasaskan oleh Sa’id Badiuzzaman al-Nursiy, tokoh yang menerapkan ajaran sufi di dalam ajaran dan pembawaannya.
Pada tahun 70-an, Kolan telah menubuhkan  pertubuhannya sendiri. Pertubuhan ini tertegak di atas asas kerohanian yang kukuh.
Meskipun pemikiran beliau berorientasikan pemikiran sufi, namun pemikiran beliau bersifat semasa. Ini dapat dilihat dari usaha beliau menubuhkan satu unit pendidikan bagi pertubuhan beliau pada tahun 1978.
Fungsi unit ini ialah mempersiapkan para pelajar bagi menghadapi peperiksaan kelayakan kemasukan ke universiti.
Di saat aktivis Islam pada masa itu menumpukan perhatian kepada sekolah-sekolah latihan Imam dan Khatib, Kolan memberi tumpuan kepada pendidikan akademik  bagi mengeluarkan generasi yang lengkap dengan pengetahuan semasa, disamping memiliki akhlak Islam.
Menyedari statusnya selaku seorang pemikir Islam yang hebat, saya pernah cuba membaca tulisan-tulisan beliau di laman web beliau.
Namun, malangnya, biarpun setelah ‘memaksa’ diri, saya gagal menghabiskan walaupun satu perenggan tulisan beliau!
Saya tidak tahu mengapa...
Tapi, jauh di sudut hati, saya seakan percaya bahawa ini disebabkan ketinggian pemikiran beliau yang tidak terjangkau oleh akal saya yang masih mentah...

Wahyu Dalam Bukhari

 

Wahyu Dan Niat
Oleh kerana wahyu bersumber daripada Allah swt dan Allah swt tidak memandang manusia berdasarkan rupa paras tetapi kepada hati seseorang maka wahyu hanya akan memberi faedah kepada orang yang mempunyai niat yang suci di dalam pencariannya tentang kehidupan. Untuk Nabi, baginda akan dianugerakan wahyu secara langsung daripada Allah swt. Manakala mereka dikalangan umatnya yang mempunyai keikhlasan yang tinggi terhadap agama Allah akan dipermudahkan mereka menerima hidayah dan pengajaran dari sumber wahyu.

Bentuk wahyu yang diturunkan kepada Nabi saw
1- Salsalatul-Jaras – Bunyi seperti bunyi loceng. Bagaimana hakikatnya tidak dijelaskan oleh mana-mana riwayat hadis. Namun di kalangan ulama ada yang mentafsirkannya sebagai bunyi malaikat atau bunyi sayap malaikat. Bentuk ini dikatakan bentuk yang paling sukar ditanggung oleh Rasulullah saw.
2- Tamathul-Malak – Malaikat menyerupai manusia. Kebanyakan malaikat yang membawa wahyu ialah Jibrail yang menyerupai seorang sahabat bernama Dahyah Al-Kalbi. Ada kalanya menyerupai lelaki yang tidak dikenali. Ia dianggap sebagai bentuk wahyu yang paling ringan.
3- Malaikat Jibrail – Malaikat Jibrail datang dengan bentuknya yang asal. Diriwayatkan ianya berlaku sebanyak 3 kali walaupun salah satu daripada riwayat tersebut agak lemah periwayatannya.
4- Ru'yah Sadiqah – Mimpi benar. Rasulullah saw melihat cahaya putih seumpama cahaya di waktu subuh. Peristiwa ini berlaku sebelum turunnya Al-Quran. Wahyu ini menyebabkan Rasulullah saw mula menyendiri, bertafakkur dan beribadat di tempat yang sunyi, jauh daripada kesibukan manusia, di sebuah gua yang dinamakan gua Hiraq.
5- Kalam Ilahi – Allah swt bercakap terus dengan Rasulullah saw dalam peristiwa mi`raj seumpama Allah swt bercakap dengan Nabi Musa as. (Al-Itqan)
6- Nafas Fi r-Rau`– Malaikat Jibrail (Ruhul Qudus) meniupkan sesuatu ke dalam hati Nabi saw berupa wahyu sebagaimana hadis menyebut bahawa
إنَّ رُوح القُدسِ نَفَثَ في رُوعي أنه لن تَمُوتَ نفس حتى تستكمل رِزْقها وأجَلَها (جامع الأصول)
أَنَّ جِبْرِيلَ عَلَيهِ السَّلاَمُ أَلْقَى فِي رَوْعِي أَنَّ أَحَدًا مِنْكُمْ لَنْ يَخْرُجَ مِنَ الدُّنْيَا حَتىَّ يَسْتَكْمِلَ َرِزْقَهُ (الحاكم)
(Al-Itqan)

Keenam-enam bentuk itu boleh dibahagikan hanya kepada dua bahagian.
  1. Wahyu Ilahi – samada Allah mencampakkan terus ke dalam hati Rasullah saw tentang sesuatu perkara yang dinamakan Wahyu Qalbi atau bercakap secara langsung dengan baginda Rasulullah saw yang dinamakan Kalam Ilahi.
  2. Wahyu Malaki – wahyu melalui perantaraan malaikat. Lazimnya malaikat Jibrail. Namun ada riwayat mengatakan malaikat Israfil menurunkan wahyu ketika zaman fatarat iaitu zaman wahyu dihentikan daripada turun buat sementara waktu. Namun riwayat ini diperselisihkan oleh ulama hadis tentang keautoritiannya walaupun Ibn Hajar cenderung menerimanya.

Hikmah Bentuk Wahyu Yang Berbagai-bagai
  1. Menunjukkan wahyu bukan datang dari Muhammad saw tetapi dari sumber ghaib yang hanya boleh dilihat oleh orang biasa melalui penjelmaannya sahaja.
  2. Menyakinkan umat bahawa agama yang dibawa oleh Nabi saw adalah dari sumber yang benar.
  3. Menunjukkan Allah mengatur sesuatu mengikut fitrah manusia. Manusia perlu difokuskan untuk sesuatu perkara yang penting dengan memalingkannya daripada tertumpu kepada perkara yang lain. Keadaan wahyu yang seumpama itu menumpukan Rasul saw kepada apa yang dialaminya dan menumpukan umah kepada apa yang dialami oleh Rasulnya. 
Beberapa Situasi Penerimaan Wahyu
  1. Keadaan Nabi saw
- Nabi berpeluh walupun di musim sejuk.
- Nabi lebih bersifat pemurah terutama di bulan Ramadhan.
- Nabi berkumat- kamit membaca Al-Quran bimbang ianya terlupa 
  1. Keadaan Ahli Kitab
- Waraqah bin Naufal yang mengetahui sifat Nabi akhir zaman beriman dengan Nabi saw.
- Mereka mengetahui Nabi akhir zaman akan bangkit seperti hal Heraclius dan Dhughatir, teman Heraclius.
- Heraclius yang mengetahui sifat Nabi akhir zaman dan menunggu-nunggu kedatangannya namun akhirnya tidak beriman dengan Nabi saw.
- Dhughatir yang mengetahui sifat Nabi akhir zaman dan menunggu-nunggu kedatangannya akhirnya beriman dengan Nabi saw dan mati dibunuh oleh rakyat yang fanatik kepada agama Kristian mereka.
  1. Keadaan Musyrikin
- Menolak apa yang di bawa oleh Muhammad saw tetapi mengakui sifat-sifat terpuji yang dimiliki oleh Nabi.
- Mengetahui masa depan cerah terhadap agama ini.
- Ada yang menolak, kemudian beriman seperti Abu Sufiyan dalam peristiwa pertemuan dengan Heraclius.

Ennahda, parti Islam mahu tegak negara sekular!


 
 
 
Bagi ramai umat Islam negara ini yang terbiasa dengan model ‘politik Islam’ Parti Islam SeMalaysia (PAS), ‘penampilan’ parti berteraskan Islam di Tunisia, Ennahda (An-Nahdhah), di pentas politik negara itu, tentu begitu ‘mengejutkan’ dan sangat ‘janggal’.
Pada 22 Januari 2011, iaitu 8 hari selepas kejatuhan Ben Ali yang digulingkan pada 14 Januari 2011, pemimpin utama Ennahda, Syaikh Rashid Ghannoushi telah memberikan satu kenyataan kepada sebuah akhbar Jerman, Der Spiegel, bahawa partinya itu tidak berusaha untuk melaksanakan Syariat Islam di Tunisia, jika berpeluang memerintah negara itu.
Apa yang menjadi objektif partinya, jelas beliau, ialah membebaskan Tunisia daripada sistem satu parti, dalam apa jua bentuk sekalipun. (Rujukan : onislam.net)
Jika sikap ‘dingin’ Ennahda terhadap perlaksanaan Syariat Islam ini diteropong melalui jendela ‘politik Islam’ versi PAS, adalah sesuatu yang sangat janggal, bahkan tidak boleh diterima langsung, sebuah parti Islam mengumumkan, ia tidak berusaha untuk melaksanakan Syariat Islam dalam sebuah negara yang dikuasainya!
Dalam persekitaran ‘politik Islam’ versi PAS, tindakan sesebuah parti Islam tidak menyebut sebarang sikap atau pendirian berhubung perlaksanaan Syariat Islam, masih boleh diterima, walaupun dengan ‘berat hati’.
Namun, tindakan mana-mana parti Islam mengisytiharkan bahawa ia tidak akan berusaha melaksanakan Syariat Islam dalam negara yang diterajuinya, adalah sangat ‘mengejutkan’, begitu ‘janggal’ dan tidak boleh diterima sama sekali.
Lebih ‘parah’ lagi, Ennahda bukannya mengumumkan ia tidak akan melaksanakan hudud-yang merupakan satu juzuk yang kecil dalam Syariat Islam-sebaliknya mengumumkan tidak akan berusaha melaksanakan Syariat Islam itu sendiri!
Andainya pengumuman serupa-disebabkan pertimbangan-pertimbangan tertentu yang wajar-dilakukan oleh parti Islam di Malaysia, barangkali ramai ahli akan keluar meninggalkan parti, atau paling kurang, parti akan dituduh sebagai mengorbankan perjuangan menegakkan agama Allah dan mencari keredhaanNya, semata-mata kerana kuasa politik dan keredhaan para pengundi (terutamanya pengundi bukan Islam)!
Jika pengumuman seperti itu dibuat oleh parti lain yang bukan dari aliran Islam, akidah pemimpinnya akan segera diragui, dan dengan pantas dilabel sebagai menolak hukum Allah, serta lebih mengutamakan sokongan dan kehendak para pengundi, berbanding keredhaan Allah.
Negara Sekular
Bergerak sejajar dengan pengumuman ‘mengejutkan’ dan ‘janggal’ itu, persoalan perlaksanaan Syariat Islam, termasuk hudud dan qisas, tidak didendangkan langsung oleh Ennahda dalam kempen pilihanraya Tunisia yang berlangsung pada 23 Oktober 2011 yang lalu.
Ennahda yang diasaskan pada tahun 1981 itu terus membuat 'kejutan', apabila tidak hanya berpada setakat pengumuman bahawa ia tidak berusaha melaksanakan Syariat Islam di Tunisia.
Lebih daripada itu, kepimpinan parti Islam itu mengumumkan akan berusaha membentuk sebuah masyarakat sekular pelbagai parti, yang menghormati hak-hak manusia! (Rujukan :onislam.net )
Dalam konteks ‘iklim politik Malaysia’ yang dipengaruhi oleh pemikiran ‘politik Islam’ versi PAS, sikap Ennahda yang berterus terang tidak mahu berusaha melaksanakan Syariat Islam, dan mahu menubuhkan sebuah masyarakat sekular, sangat ‘melampau’ dan pasti akan mencetuskan perdebatan hukum yang serius.
Tindakan sebegitu sangat sensitif bagi umat Islam di sini, sehinggakan UMNO sendiri, yang disifatkan PAS sebagai bukan parti Islam, tidak berani dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

UMNO sebaliknya bersungguh-sungguh mendakwa dirinya juga memperjuangkan perlaksanaan Syariat Islam, dan negara Malaysia yang diterajuinya merupakan sebuah Negara Islam.
Rentetan daripada pendirian politik yang telah diambil itu, Ghannoushi mengambil sikap yang sangat liberal atau sangat ‘longgar’ terhadap aktiviti penjualan dan penggunaan arak di Tunisia.

Beliau telah mengumumkan, partinya tidak akan menutup tempat-tempat penjualan arak, dan tidak akan ‘mengganggu’ budaya memakai bikini di pantai-pantai negara itu. (Rujukan : aljazeera.net )
Sikap yang sama ditunjukkan dalam layanan parti Islam itu terhadap wanita, apabila membenarkan wanita Islam yang tidak bertudung, menjadi salah seorang calonnya, disamping menjamin akan mempertahankan hak wanita Tunisia memakai apa jua pakaian yang mereka kehendaki. (Rujukan : aljazeera.net)
 
Antara Ennahda & PAS
Pendirian politik dan sikap liberal Ennahda berhubung persoalan-persoalan yang dinyatakan, membentuk satu kesimpulan, iaitu parti Islam itu berusaha menyembunyikan ‘ciri-ciri keislaman’ dalam tindak tanduk dan pendiriannya, demi maslahah yang lebih besar (menerajui negara), dan cuba menampilkan dirinya dalam bentuk sebuah parti yang dinamik, sederhana dan toleran.
Ini berbeza dengan PAS yang dilihat-berdasarkan tindak tanduknya-berusaha ke arah sebaliknya, iaitu berusaha menampilkan ciri-ciri keislaman dan ‘jenama Islam’ dalam setiap tindak tanduk dan sikap yang diambil.
Namun, perkembangan semasa memperlihatkan, PAS semakin mendekati pendekatan dan penampilan Ennahda itu, apabila turut bertindak ‘menutup’ ciri-ciri keislamannya yang begitu zahir dan ketara, iaitu cita-cita penubuhan Negara Islam, yang kini ‘ditutup’ dengan ‘jubah’ Negara Berkebajikan.
Bezanya, Ennahda tidak mengambil masa untuk sampai kepada kedudukannya yang dilihat dinamik dan sederhana seperti sekarang, apabila parti itu tampil dengan watak sebegitu sejak awal-awal lagi, iaitu sejak kejatuhan regim Ben Ali lagi.
Tidak seperti PAS, parti yang satu-satunya menamakan dirinya sebagai Parti Islam itu, mengambil masa puluhan tahun untuk sampai kepada titik sekarang, iaitu titik pasca Pilihanraya Umum 2008, yang menyaksikan parti itu tampil dengan karakter yang agak sederhana dan dinamik.
Dalam ungkapan lain, PAS mengambil masa selama puluhan tahun untuk ‘menyolek’ dirinya, agar tampil dalam bentuk yang boleh disifatkan agak dinamik dan sederhana, seperti yang dapat dilihat selepas Pilihan Raya Umum 2008, khususnya selepas muktamar kali ke 57 yang menjadikan Negara Berkebajikan sebagai agenda baru parti itu, menggantikan Negara Islam.
Adalah dipercayai, banyak pihak, termasuk dari dalam PAS sendiri, terutama golongan professional yang mengimpikan agar PAS tampil seperti bentuknya sekarang-yang dilihat lebih dinamik dan realistik-sejak dahulu lagi, paling tidak, sejak parti itu berjaya menawan Kelantan pada tahun 1990.
Tentunya ada pihak yang mengandaikan, jika parti itu berbuat demikian, mungkin kedudukannya di pentas politik tanah air masa kini, lebih baik dari sekarang, atau sudah pun menguasai Putrajaya!
 
Ijtihad Politik
Mengambil kira kedudukan pemimpin utama Ennahda, Ghannoushi selaku seorang pemikir Islam, dan telah banyak menghasilkan karya-karya bermutu, dalam masa yang sama memegang jawatan Pembantu Setiausaha Agong Kesatuan Ulama Islam Sedunia, yang dipengerusikan oleh Syaikh Yusuf Qaradhawi, pendirian politik Ennahda seperti yang dinyatakan, perlu dinilai sebagai satu ijtihad politik yang perlu dialu-alukan.
Sebagai satu analisis ringkas, Ennahda melihat dirinya berhadapan dengan dua kewajipan, iaitu kewajipan membentuk sebuah negara yang adil; dan kewajipan melaksanakan hukum hakam Islam berhubung arak, perlaksanaan hudud dan penguatkuasaan etika-etika Islam.
Pada pertimbangan Ennahda, kedua-dua kewajipan ini tidak dapat dilaksanakan serentak, memandangkan perlaksanaan hukum hakam Islam berkaitan arak, hudud dan etika-etika Islam, dijangka akan mencetuskan tentangan rakyat, seterusnya mungkin mengakibatkan parti Islam itu gagal menerajui negara, sekaligus bermakna gagal membentuk sebuah negara yang adil.
Sehubungan itu, Ennahda memilih untuk memberi keutamaan kepada kewajipan membentuk negara yang adil, biarpun dengan menangguhkan buat sementara kewajipan perlaksanaan hukum hakam Islam berkaitan perkara-perkara yang dinyatakan.
Pendirian ini diambil kerana parti itu melihat ‘menerajui negara’ maslahahnya lebih besar, kerana ia akan memberi peluang kepada parti itu melaksanakan agenda yang lebih menyeluruh kesannya, iaitu keadilan sosial, kebebasan undang-undang, perlaksanaan syura, ketelusan pentadbiran dan demokrasi, yang pada hakikatnya adalah tuntutan-tuntutan Islam yang besar dan utama.
Selain berpedomankan Feqh Awlawiyyat atau Feqh Keutamaan dalam membuat pendirian politik, Ennahda juga berpandukan kepada konsep ‘tadarruj (beransur-ansur) dalam perlaksanaan Islam’.
Realitinya, konsep ini kekal absah hingga kini, dan bukannya-seperti yang didakwa ramai orang-telah ‘tamat tempoh’, sebaik sahaja hukum hakam Islam telah lengkap dan sempurna, sejurus selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Dalam ruangan yang terbatas ini, tindakan dan kenyataan Khalifah Umar Abdul Aziz, sudah memadai untuk mengesahkan keabsahan konsep ini sehingga ke hari ini.
Khalifah Umar, pada zaman pemerintahannya, pernah menangguhkan usaha-usaha penghapusan saki baki penyelewengan dan kezaliman pemerintah-pemerintah sebelum beliau (Lihat al-Qaradhawi dalam al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Juhud Wa al-Tatarruf, hlm 106).
Penangguhan ini walau bagaimana pun, dibantah oleh anak beliau, Abdul Malik kerana didorong oleh semangat Islamnya yang tinggi dan kecintaan beliau terhadap Islam.
Beliau berkata kepada Khalifah Umar, “mengapa ayahanda tidak melaksanakan perkara-perkara ini (iaitu menghapuskan saki baki penyelewengan dan kezaliman)? Demi Allah, anakanda tidak peduli sekalipun anakanda dan ayahanda menggelegak dalam kawah kerana menegakkan kebenaran!”.
Khalifah Umar, selaku seorang yang faqih (memahami agama), membantah kenyataan anaknya itu dengan berkata, “jangan tergesa-gesa anakanda, kerana sesungguhnya Allah mencela arak dalam dua ayat (yang diturunkan pada waktu yang berbeza, tetapi tidak mengharamkannya) dan (hanya) mengharamkannya dalam ayat yang ketiga (yang diturunkan selepas itu).
Sesungguhnya, ayahanda takut untuk mewajibkan al-haq (perkara yang benar) ke atas manusia sekali gus, bimbang mereka akan menolaknya sekali gus. (Jika demikian) akan wujud dari kalangan kita orang yang (menyebabkan) fitnah”. (Lihat Al-Syatibi dalam Al-Muwafaqat, jilid 2, hlm 93-94).
 
Feqh Awlawiyyat
Disebabkan realiti di Tunisia mungkin berbeza dengan suasana di negara ini, tulisan ini tidak bermaksud memberi saranan kepada mana-mana pihak di sini, agar mengambil sikap dan pendirian politik yang sama dengan Ennahda.
Apa yang menjadi objektif tulisan ini ialah melambung persoalan Feqh Awlawiyyat, agar ia menjadi pertimbangan dan perkiraan semua pihak, terutama gerakan Islam, dalam setiap tindak tanduk dan perdirian yang diambil.
Ya, mungkin suasana di Tunisia memerlukan Ennahda mengambil pendirian dan sikap yang begitu liberal terhadap soal perlaksanaan Syariat Islam, disebabkan latar belakang kehidupan rakyatnya yang dicengkam ‘sekularisme melampau’ sejak berdekad-dekad lamanya.
Namun, kita perlu berfikir panjang dan berhati-hati sebelum mengutarakan bahawa pendekatan, sikap dan pendirian politik yang serupa, tidak sesuai di Malaysia disebabkan perkembangan Islam yang pesat di sini, dan kefahaman rakyatnya yang tinggi terhadap Islam.
Ini kerana, di sini terdapat satu fenomena-yang memerlukan pertimbangan khusus-yang lebih ‘parah’ daripada ‘sekularisme melampau’ di Tunisia, iaitu kewujudan bukan Islam yang ramai dan menjadi penentu kepada kemenangan sesebuah parti dalam pilihanraya.
Jika realiti semasa Tunisia yang dilatari ‘sekularisme melampau’ dalam tempoh yang lama, memerlukan Ennahda mengambil sikap dan pendirian politik yang liberal, bagaimana pula dengan realiti yang berteraskan kemajmukan agama dan kepercayaan seperti di Malaysia?
Pada titik ini, mana-mana pihak yang menyakini politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam, dan perjuangan menegakkan negara adalah tuntutan Islam, tidak perlulah tampil menyifatkan tindakan Ennahda ‘meminggirkan’ buat sementara perlaksanaan hudud dan penguatkuasaaan etika-etika Islam, demi menakluki mercu kuasa, sebagai tindakan mengorbankan prinsip perjuangan atau tuntutan agama demi kuasa politik.
Mereka tidak boleh berkata demikian, kerana mereka juga yang melaung-laungkan bahawa perjuangan menegakkan negara dan memerintah negara, adalah satu kewajipan dan tututan Islam.
Jika demikian, tindakan Ennahda itu termasuk dalam kategori mendahulukan kewajipan agama (menegakkan negara) yang dinilai lebih utama, dengan menangguhkan satu lagi kewajipan agama (perlaksanaan hudud dan penguatkuasaan etika-etika Islam) yang dinilai sebaliknya. Atau termasuk dalam cakupan konsep ‘tadarruj dalam perlaksanaan Islam’.
Ia adalah berkaitan Feqh Awlawiyyat.
Ia bukannya menggadai prinsip perjuangan demi kuasa!