Sikap
dan pendirian politik parti Harakah An-Nahdhah (Pergerakan Kebangkitan)
Tunisia, sangat menarik dan penting untuk diteliti, memandangkan
kedudukannya sebagai sebuah parti politik beraliran Islam, yang
berpeluang mempraktikkan hak berpolitik dalam sebuah negara demokrasi.
Dengan
‘penerjunan’ Nahdhah ke arena politik Tunisia dan seterusnya menjadi
‘pemain’ dalam arena itu, ‘perpustakaan’ politik Islam akan dibekalkan
dengan satu lagi model baru ‘perjuangan politik’ berteraskan Islam, yang
boleh dijadikan rujukan dan teladan dalam mengemudi politik Islam,
khususnya bagi umat Islam di negara ini.
Di sinilah letaknya kepentingan analisis dan pemerhatian terhadap ‘sepak terajang politik’ parti Nahdhah itu.
Parti
Nahdhah menjadi perhatian disebabkan statusnya sebagai sebuah parti
beraliran Islam yang dikemudi dan dianggotai bangsa Arab, yang begitu
dekat dengan sumber ilmu-ilmu dan pemikiran Islam, yang secara asasnya
ditulis dalam bahasa itu.
Status
ini menjadikan tindak tanduk dan aksi politik parti itu, boleh dinilai
sebagai ‘terjemahan berstandard tinggi’ kepada ajaran atau pemikiran
Islam berkenaan politik, yang boleh dijadikan rujukan dan panduan oleh
pergerakan-pergerakan Islam lain.
Sebelum
memenangi pilihanraya Tunisia secara rasmi, parti Nahdhah telah
memberikan bayangan kasar kepada bentuk kerajaan yang bakal
diterajuinya. Bayangan ini dilakarkan oleh pemimpin parti itu, Syaikh
Rashid al-Ghannoushi, 70 dan juga Setiausaha Agungnya, Hammadi
al-Jibali, 62.
Lakaran
bentuk negara Tunisia baru itu tertumpu kepada tiga perkara, iaitu
dasar negara Tunisia pimpinan parti Nahdhah terhadap sektor pelancongan,
dasar berhubung wanita dan sifat negara Tunisia baru yang bakal
dibentuk.
Nahdhah dan Pelancongan
Dalam
melakar negara Tunisia baru, parti Nahdhah memberikan perhatian utama
kepada sektor pelancongan negara itu disebabkan ia merupakan sebuah
negara destinasi pelancongan, yang menerima kunjungan seramai 7 juta
pelancong setiap tahun.
Mengambil
kira realiti ini, Ghannoushi awal-awal lagi menyatakan dengan jelas,
kerajaan Islam pada masa depan pimpinan parti beliau, akan mengekalkan
kedudukan Tunisia sebagai sebuah negara destinasi pelancongan. (Rujukan :
aljazeera.net)
Ghanoushi
menyedari, ikrar ini menuntut parti pimpinan beliau yang bakal
memerintah Tunisia, mengekalkan sektor pelancongan negara itu dalam
keadaannya yang sedia ada, seperti di zaman pemerintahan sekular Ben
Ali.
Justeru,
tanpa teragak-agak, pemimpin utama parti Islam Tunisia itu menyatakan,
parti pimpinan beliau tidak akan meletakkan sebarang syarat ke atas
sektor pelancongan di Tunisia.
Beliau
memberi jaminan, bila berkuasa nanti, partinya tidak akan mewajibkan
masyarakat Tunisia atau jutaan pelancong dari Barat, yang menghabiskan
cuti mereka di pantai-pantai negara itu, dengan etika dan akhlak
tertentu. (Rujukan : aljazeera.net)
Sehubungan
itu, Ghannoushi menyatakan, parti pimpinannya itu tidak akan menghalang
penjualan arak dan pemakaian bikini, yang begitu sinonim dengan sektor
pelancongan di kebanyakan negara, termasuk Tunisia. (Rujukan : aljazeera.net)
Senada
dengan pendirian beliau ialah Setiausaha Agung parti Nahdhah, Hammadi
al-Jibali, yang dilaporkan berkata, sektor pelancongan di Tunisia
dianggap sebagai “hasil pendapatan yang tiada ruang untuk diganggu”.
Beliau
mempersoalkan, “adakah logik kita menimpakan ‘kelumpuhan’ ke atas
sektor asasi seperti pelancongan, dengan mengharamkan arak dan pemakaian
pakaian mandi dan perlakuan-perlakuan seumpamanya?”. (Rujukan : aljazeera.net)
Bimbang
pendirian partinya yang liberal terhadap aktiviti berkaitan arak dan
pemakaian bikini disalah tafsir, Ghannoushi menjelaskan, “ini tidak
bermakna kami menggalakkan arak. Ini adalah haram dan kami tidak
mengingininya.
Tetapi,
tidak mungkin untuk kita bersepakat dengan orang ramai (dalam sesuatu
isu seperti arak) dengan kekuasaan, tetapi dengan kerelaan mereka. Maka,
objektif kami bukan menghentikan arak, tetapi mengurangkan permintaan
terhadap arak”. (Rujukan : aljazeera.net)
Kenyataan
beliau ini merupakan pernyataan jelas tentang pendekatan yang bakal
diambil oleh parti Nahdhah berhubung aktiviti membabitkan arak, iaitu
pendekatan yang tidak berteraskan kuasa dan undang-undang, tetapi
berteraskan pendidikan dan pemujukan, yang akan mencetus kerelaan
meninggalkan sebarang kegiatan melibatkan minuman yang memabukkan itu.
Dalam
rangka menangani secara berhikmah aktiviti membabitkan arak, Ghannoushi
juga menjelaskan, partinya tidak akan menutup tempat-tempat penjualan
arak, sebaliknya akan berusaha mewujudkan kawasan-kawasan perkelahan
yang sesuai bagi golongan beragama yang menghormati nilai-nilai Islam.
(Rujukan : aljazeera.net)
Pendekatan
yang harmoni dan pertengahan juga akan digunakan oleh parti Nahdhah
bagi mendepani budaya pemakaian bikini di kawasan perkelahan di negara
itu, seperti yang dapat disaring daripada kenyataan Ghannoushi, “kita
akan melakukan apa yang mampu untuk menjayakan musim pelancongan, dan
kita mahu menarik pelancong mengikut kadar termampu.
Tetapi,
dalam masa yang sama, kita perihatin terhadap budaya setempat dan kita
akan berusaha mencari kedudukan (sikap) yang pertengahan”. (Rujukan : aljazeera.net)
Nahdhah dan wanita
Perkara
kedua yang menjadi tumpuan parti Nahdhah dalam melakar negara Tunisia
di masa depan, ialah dasar parti Islam itu terhadap kaum wanita.
Lakaran
awal dasar parti Nahdhah terhadap wanita yang digariskan oleh
kepimpinan parti itu, sesungguhnya menggamit satu perasaan untuk
memerhati lebih dekat pergerakan parti yang ditubuhkan pada 1981 itu.
Sebaik
sahaja keputusan tidak rasmi pilihanraya Tunisia menunjukkan parti
Nahdhah memenangi lebih daripada 40% kerusi, Setiausaha Agung parti itu,
Hammadi al-Jibali mengumumkan, parti itu telah memutuskan untuk memberi
separuh daripada kerusi yang dimenanginya kepada aktivis-aktivis wanita
parti itu.
Yang
menarik dalam pengumuman itu ialah kenyataan beliau yang menyebut,
kerusi-kerusi tersebut akan diberikan kepada aktivis-aktivis wanita yang
bertudung dan yang tidak bertudung, tanpa diskriminasi. (Rujukan : onislam.net)
Sebenarnya,
parti Nahdhah memang bersungguh-sungguh menampilkan dirinya sebagai
sebuah parti yang tidak membezakan antara wanita yang bertudung dengan
yang tidak bertudung, seperti yang dinyatakan oleh akhbar Washington
Post dalam satu analisisnya.
Parti
Nahdhah pergi lebih jauh dalam soal dasarnya terhadap wanita, apabila
memberi jaminan akan mempertahankan hak wanita untuk memakai apa sahaja
pakaian yang mereka kehendaki. Jaminan ini dicatatkan dalam flayers yang
disebarkan parti itu, seperti yang dilaporkan oleh akhbar sama,
Washington Post.
Pendekatan
ini, mengikut akhbar itu lagi, telah berjaya menarik sokongan wanita
yang bertudung dan tidak bertudung kerana dengan jaminan ini, wanita
bertudung merasakan mereka dapat menikmati kebebasan memakai tudung,
yang sebelum ini diharamkan oleh regim Ben Ali. (Rujukan : aljazeera.net)
Parti
Nahdhah tidak menunggu sehingga memerintah untuk menunaikan jaminan
yang diberikannya kepada kaum wanita Tunisia, apabila membenarkan
seorang wanita yang tidak bertudung mengetuai salah satu senarai calon
parti itu.
Lebih
daripada itu, dalam satu majlis di pejabat parti Nahdhah bagi meraikan
kemenangan tidak rasmi parti itu dalam pilihanraya, sebelum Pengarah
Kempen Pilihanraya parti itu berucap, seorang calon wanita parti itu
yang tidak bertudung, telah menyanyikan lagu-lagu Lubnan dan Tunisia di
pentas, sambil menyatakan parti itu telah membuktikan kesederhanaannya
apabila membenarkan wanita tidak bertudung menjadi calonnya. (Rujukan : aljazeera.net)
Perkara
ketiga yang disentuh kepimpinan parti Nahdhah ketika mengemukakan
lakaran bayangan bagi negara Tunisia baru, ialah sifat negara Tunisia
yang bakal diasaskan.
Negara sekular
Berhubung
soal ini, parti Nahdhah-selaku sebuah parti Islam-dilihat mengambil
sikap yang ‘mengejutkan’, apabila berjanji akan “berusaha mewujudkan
sebuah masyarakat sekular pelbagai parti dan aliran yang menghormati
hak-hak manusia”. (Rujukan : onislam.net)
Pendirian
ini diambil di saat keputusan tidak rasmi pilihanraya negara itu,
menunjukkan parti Nahdhah mendahului parti-parti lain dengan perbezaan
kerusi yang besar, dan dijangka banyak pihak sebagai parti yang bakal
mengetuai kerajaan baru Tunisia.
Bicara
tentang sebuah parti Islam yang sedang berada di ambang pemerintahan
negara seperti Nahdhah, seakan tidak lengkap jika tidak disentuh
persoalan perlaksanaan Syariat Islam, termasuk hudud, dalam agenda parti
Islam itu.
Walau
bagaimana pun, persoalan ini mudah dijawab tanpa memerlukan kajian dan
penelitian terhadap manifesto atau tawaran parti itu kepada rakyat
Tunisia.
Hal
ini demikian kerana sejak awal-awal lagi, iaitu pada 22 Januari 2011,
pemimpin utama parti Nahdhah, Ghannoushi mengatakan, “partinya tidak
berusaha untuk melaksanakan Syariat Islam di Tunisia, sebaliknya
berusaha untuk membebaskan Tunisia daripada sistem satu parti dalam apa
jua bentuk sekalipun, sambil menegaskan bahawa apa yang diperlukan
Tunisia hari ini, ialah kebebasan”. (Rujukan : onislam.net)
Tinjauan
sepintas lalu ke atas sikap dan pendirian politik parti Nahdhah seperti
yang dipaparkan, sudah memadai untuk dirumuskan satu kesimpulan
penting, iaitu sikap atau dasar parti itu berhubung sektor pelancongan
(yang berkait rapat dengan arak dan bikini), wanita dan sifat negara
Tunisia di masa depan, secara umumnya tidak menepati kehendak dan
tuntutan Islam.
Demikian
juga kenyataan pemimpin parti itu, Ghannoushi yang terang-terang
menyatakan, partinya itu tidak berusaha untuk melaksanakan Syariat Islam
di Tunisia. Secara tersuratnya, ia jelas tidak menepati kehendak Islam
yang diperjuangkan sendiri oleh parti pimpinannya itu.
Walau
bagaimana pun, menariknya, tidak kedengaran suara-suara yang
berkredibiliti samada dari dalam parti Islam itu atau dari luar,
khususnya dari para ulama haraki, yang mengkritik pendirian politik parti Nahdhah itu.
Suara-suara
yang melebelkan parti Nahdhah sebagai sebuah parti yang menang pilihan
raya, tetapi kalah dalam menegakkan hukum Allah, atau keluhan ‘apalah
maknanya kemenangan andai ketetapan Allah diketepikan’, juga tidak
kedengaran.
Dakwaan
bahawa parti itu-dengan mengambil pendirian politik yang liberal
itu-lebih mementingkan kuasa berbanding melaksanakan hukum hakam Islam,
juga tidak disuarakan oleh mana-mana pihak yang berwibawa setakat ini.
Tafsiran ulama
Tafsiran kepada keadaan ini, ialah kefahaman pemimpin-pemimpin pergerakan Islam dan para ulama haraki
di Timur Tengah, terhadap tuntutan Islam yang menghendaki penganutnya
‘mengutamakan perkara yang utama, dan menangguhkan perkara kurang
utama’, atau yang diistilahkan sebagai Feqh Awlawiyyat.
Tuntutan
ini telah dipenuhi dengan jayanya oleh Nabi Muhammad SAW, apabila
Baginda hanya memfokuskan kepada aspek dakwah dan tarbiyah semasa berada
di Mekah, yang hanya berlegar sekitar dasar-dasar akidah, pengukuhan
tauhid, mengkhususkan ibadat hanya kepada Allah, membuang kesyirikan,
menjauhi taghut dan menghiasi diri dengan akhlak-akhlak terpuji.
Pengutamaan
ke atas persoalan-persoalan teras dan utama ini, telah mendorong
Baginda menangguhkan buat sementara pengajaran tentang hukum hakam Islam
(seperti hudud, kekeluargaan, perkahwinan, jual beli dsb) dan melarang
umat Islam mengangkat senjata bagi mempertahankan diri daripada
kezaliman Musyrikin Mekah.
Adalah
diyakini, kerana mendahulukan perkara-perkara yang lebih utama, iaitu
pembentukan negara yang berteraskan kebebasan, kemuliaan rakyat dan
keadilan, telah mendorong parti Nahdhah mengetepikan buat sementara soal
pemakaian bikini, sifat sekular negara Tunisia dan penjualan arak di
negara itu.
Soal
pemakaian bikini dan penggunaan arak, biar pun ia ditegah oleh Islam,
namun kesan dan akibatnya hanya terbatas kepada kelompok kecil manusia,
yang menyebabkan soal menangani kemungkaran itu boleh dikemudiankan.
Berbeza
dengan soal kewujudan sebuah negara yang bertunjangkan kebebasan,
kemuliaan rakyat dan keadilan, ketiadaannya akan memberi kesan langsung
ke atas seluruh rakyat, yang menuntut supaya soal ini didahulu dan
diutamakan.
Demikian
juga pemasyhuran Tunisia sebagai sebuah negara Islam, ia boleh
dikemudiankan memandangkan keperluan dan keutamaan membentuk negara
Tunisia yang bebas, adil dan ‘dikemudi’ rakyat jelata, boleh juga
dilakukan dalam sebuah negara sekular yang menghormati hak-hak manusia.
Dengan
pendirian politik yang terpancar dari ‘mata air’ Feqh Awlawiyyat ini,
parti Nahdhah telah berjaya meletakkan dirinya pada kedudukan sebuah
parti Islam yang dinamik, realistik dan sederhana.
Tulisan
ini tidak bermaksud mengajak mana-mana pihak meniru dan mencedok satu
persatu pendirian parti Nahdhah ini. Semua itu tidak perlu kerana
sesuatu tindakan yang sesuai di Tunisia, tidak semestinya secocok dengan
negara-negara lain, disebabkan faktor perbezaan suasana dan realiti
setempat.
Apa
yang mustahak ialah parti-parti beraliran Islam walau di mana ia
berada, mengambil semangat dan ruh yang mendasari sikap dan pendirian
politik parti Nahdhah ini.
Feqh Awlawiyyat!
No comments:
Post a Comment