Sebaik sahaja memenuhi jemputan keluarga terdekat di Kuantan, saya
menggesa anak-anak dan isteri agar bersiap segera untuk ke KLIA untuk
bertemu dengan Sheikh Raed Solah, tokoh pejuang pembebasan al Quds yang
juga dikenali sebagi Sheikh al Aqsa.
Ini mungkin peluang terakhir untuk kami sekeluarga dan teman-teman
bertemu dengan beliau yang sedang menyempurnakan detik-detik terakhir
amanahnya di bumi Malaysia setelah berada di sini selama 11 hari.
Sheikh Raed Solah adalah seorang tokoh besar perjuangan Palestin
yang disegani kawan dan lawan. Beliau telah membuat keputusan untuk
mewakafkan setiap titisan keringatnya dan setiap detik waktunya demi
perjuangan mulia untuk membebaskan Masjid al Aqsa yang telah ditawan
musuh buat seklain lamanya.
Percubaan untuk membawa tokoh yang digeruni Zionis ke Malaysia kali
ini bukanlah satu usaha yang mudah setelah pelbagai cubaan dibuat mulai
beberapa tahun yang lalu. Jadualnya yang padat dengan agenda besar al
Aqsa ke seluruh dunia beserta sekatan Israel, ugutan bunuh dan
pemenjaraan regim Zionis kepadanya, menyebabkan usaha ini hampir
mustahil. Namun ketentuan Allah swt mengatasi segala-galanya.
Sebaik sahaja sampai ke Malaysia, Sheikh A Aqsa telah memenuhi
pelbagai undangan dan program yang disusun samada di dalam bentuk
ceramah, seminar, kuliah, dialog terbuka, perbincangan dan sebagainya.
Beliau juga telah bertemu dengan beberapa pemimpin utama di negara ini
diantaranya TG Dato Haji Abdul Hadi Awang, DS Najib Razak dan Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Kehadirannya yang dinantikan oleh orang ramai terutamanya di kalangan pencinta perjuangan Palestin
amat dirasai. Beliau juga telah memenuhi ratusan permintaan di kalangan
orang ramai yang ingin mengambil foto kenanga bersamanya.
Walau pun jadualnya jelas padat, beliau kelihatan begitu menghormati
permintaan orang ramai dan sentiasa mencuba untuk memenuhi pelbagai
hajat masyarakat Malaysia. Keletihannya agak ketara di hari-hari
terakhir beliau berada di Malaysia apabila beberapa kali kelihatan
tertidur ketika membaca al Qur’an atau pun ketika sedang berzikir.
Kalimah jihad dan perjuangan sentiasa menjadi tajuk perbualan dan
perbincangan di antara beliau dengan sesiapa sahaja yang menjumpainya.
Kalau dulunya kita perhatikan bahawa kebanyakan sumbangan rakyat Malaysia agak terfokus kepada para pelarian di luar Palestin,
kemudian kepada bantuan kemanusiaan ke Gaza. Namun, anjakan yang
diharapkan daripada kedatangan beliau ke Malaysia ialah dengan
berlakunya peningkatan sokongan daripada rakyat dan pemimpin Malaysia
kepada perjuangan pembebasan Al Aqsa dan juga kepada umat Islam yang
tinggal di Palestin 1948 (atau dikenali sebagai Israel sekarang).
(Sheikh Raed Solah sendiri adalah pemegang pasport Israel kerana
beliau tinggal di Ummu Fahm yang telah dijajah israel sejak sekian
lamanya).
Apabila ditanya beberapa kali tentang kemungkinan bilakah beliau akan
ke Malaysia semula, beliau menjawab dengan lembut tetapi tegas, “Insya
allah saya tidak akan ke Malaysia lagi, selepas ini kita berjumpa di
Masjid al Aqsa setelah ianya dibebaskan”.
Begitulah optimisnya jawapan tokoh perjuangan ini. Semoga kesan
kehadirannya di Malaysia akan terus membangkitkan semangat perjuangan
serta meningkatkan gelombang perubahan bagi memertabatkan Islam di
Malaysia dan dunia antarabangsa umumnya serta di bumi Baitul Maqdis dan
Palestin khususnya.
Sebagai pecinta perjuangan ini, saya merasakan bahawa detik
perpisahan kali ini adalah di antara detik perpisahan yang sangat berat
untuk saya tempohi. Entah bila pula akan berpeluang untuk bertemu dengan
beliau di Masjid al Aqsa, apatah lagi untuk menyertai misi barisan
pejuang di dalam agenda pembebasan Masjid al Aqsa dan bumi Palestin yang
tercinta.
Penghargaan sumber foto :
Sdr Azmir & Fauzi daripada Aman Palestin Bhd.
//zainurrashid.com/
No comments:
Post a Comment