Syaikh Ghanoushi |
Baru-baru ini, meletus satu debat yang hangat di
Tunisia.Ia meledak ekoran penolakan Hizb an-Nahdhah (HN) terhadap satu desakan
aliran Salafiyyah negara itu.
Aliran tersebut mendesak agar Fasal Pertama
Perlembagaan Tunisia, dipinda.
Fasal itu menyebut, “Tunisia adalah sebuah negara
merdeka dan bebas, bahasanya ialah Arab dan agamanya ialah Islam”.
Pindaan ke atas Fasal Pertama ini mahu diusahakan,
bagi memasukkan perkara yang menyebut ‘Syariat Islam adalah sumber perundangan negara’.
Walau bagaimana pun, desakan ini ditolak HN, parti
yang menerajui Kerajaan Tunisia ketika ini. Kesudahannya, Fasal Pertama ini
kekal seperti sedia ada, tanpa sebarang pindaan.
Secara tersuratnya, sikap HN ini boleh dicatatkan
sebagai penolakan sebuah parti Islam yang muktabar, terhadap usaha
memertabatkan Syariat Islam. Iaitu dengan cara mengangkat kedudukannya dalam
perlembagaan negara ke tahap tertinggi, iaitu selaku sumber perundangan negara!
Justifikasi
Bagi yang terdidik dengan politik Islam yang
‘renggang’ dengan Feqh al-Maslahah, Feqh al-Awlawiyyat, Feqh Iltifat Ila al-Ma’al, Feqh
al-Muwazanah dan seumpamanya, penolakan HN ini boleh dengan mudah dilabelkan
sebagai tanda kelemahan iman,tidak yakin dengan janji-janji Allah kepada pejuang-pejuang
agamaNya, taqiyyah politik dan
seumpamanya.
HN disifatkan sebegitu, lantaran ia dilihat mengikut
citarasa dan hawa nafsu masyarakat, mengutamakan kuasa politik, takut
kehilangan kuasa atau kerusi, tunduk kepada tekanan manusia atau suasana dan
sebagainya, sehingga ‘tergamak’ menolak usaha memertabatkan kedudukan Syariat
Islam dalam perlembagaan!
Bagi menjustifikasi penolakan HN itu, presidennya,
Syaikh Rashid al-Ghanoushi, mengimbau kembali zaman pemerintahan Bourqiba di
Tunisia.
Jelas beliau, sejak dahulu lagi, Perlembagaan Tunisia meletakkan
prinsip ‘pengasingan kuasa’ sebagai dasar dan amalan Negara Tunisia.
Namun, realitinya, ketika menjadi presiden,
Bourqiba juga mengetuai Majlis Kehakiman Tertinggi Negara!
Perlanggaran terang-terangan terhadap perlembagaan
negara, jelas Ghanoushi, turut berlaku di Mesir dan Yaman.Perlembagaan
kedua-dua negara ini menyatakan dengan jelas kedudukan Islam sebagai sumber
perundangan negara.
Lebih ‘hebat’ lagi ialah Yaman, dimana
perlembagaannya menyatakan bahawa Syariat Islam adalah satu-satunya sumber
perundangan negara!
Namun, soal Ghanoushi, adakah dengan sebab
kedudukan ‘istimewa’ Islam ini dalam perlembagaan Mesir dan Yaman, rakyat
kedua-dua buah negara tersebut, bebas daripada perhambaan pemimpin-pemimpin
kuku besi?
Jawapannya, sudah tentu tidak.
Pewartaan tidak memadai
Daripada contoh-contoh ini, Ghanoushi menyaring
satu rumusan, iaitu kewujudan sesuatu peruntukan, atau fasal dalam perlembagaan
semata-mata, tidak memadai dan tidak memberikan makna yang besar.Ini kerana, nadi
yang ‘menghidupkan’ sesebuah perlembagaan itu ialah manusia yang
melaksanakannya.
Beliau memperkukuhkan lagi kesahihan rumusan ini
dengan menyoroti ‘nasib’dustur
(perlembagaan) yang paling hebat di dunia, iaitu al-Quran.
Kehebatannya yang agung semata-mata, masih tidak
mampu menjelmakan sepenuhnya segala ‘fasal’, ‘peruntukan’ dan ‘artikel’ yang
terkandung di dalamnya, di alam realiti.
Kitab suci ini kekal sebagai sekadar dustur
semata-mata, tanpa dikuatkuasakan sepenuhnya lantaran manusia tidak mahu
berbuat demikian.
Dengan berpijak di atas kesedaran ini, HN
mengambil sikap menolak desakan yang dikemukakan aliran Salafiyyah itu.
Bagi HN, dalam konteks suasana semasa, tiada
faedahnya melayan desakan tersebut. Ini kerana, selain ‘pewartaan Syariat Islam
sebagai sumber perundangan negara dalam perlembagaan’,tidak menjamin Syariat
Islam akan terlaksana di alam realiti, ia juga akan memecahkan masyarakat
Tunisia kepada dua kelompok. Iaitu kelompok yang menyokong pewartaan tersebut,
dan kelompok yang menentang.
Tambahan pula, menurut Ghanoushi, undang-undang
yang diguna pakai di Tunisia, diceduk daripada Feqh Islam.Ia seperti
undang-undang berkaitan akad (kontrak), undang-undang tanah, undang-undang
keluarga. Kesemuanya diceduk daripada Feqh Islam, kecuali beberapa aspek
tertentu.
Dalam pemikiran Ghonushi, semua fakta ini
‘berganding bahu’ antara satu sama lain dalam membentuk satu kesimpulan, iaitu‘pewartaan
Syariat Islam sebagai sumber perundangan negara dalam perlembagaan’, bukan suatu
keutamaan atau agenda besar.
Pemikiran tokoh pemikir besar Islam ini jelas
tidak seiring dengan pemikiran yang mengangkat ‘memperundangkan hudud (bukannya
Syariat Islam)’, sebagai‘perjuangan yang besar’!
Justeru, HN memutuskan untuk mengekalkan Fasal
Pertama perlembagaan seperti sedia ada,kerana pengekalan itu akan mengekalkan kesatuan
rakyat Tunisia.
Hal ini demikian kerana, menurut Ghanoushi,
seluruh rakyat Tunisia bersepakat menerima peruntukan sedia ada Fasal Pertama
tersebut, yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.
Dari sini Ghanoushi mengatakan, “oleh itu, kami
tidak mahu memecahkan masyarakat Tunisia menjadi dua kelompok, ‘kelompok
Syariat’ dan ‘kelompok Islam’, sedangkan Islam menyatukan semua [rakyat
Tunisia]”.
Kata-kata Ghanoushi ini diolah oleh wartawan
onsilam.net dan dicatatkan sebagai “Syaikh Rashid Ghanoushi : ‘Syariat’ memecahkan
rakyat Tunisia, Islam menyatukan mereka”.(Rujuk : islamonline.net)
Yang dimaksudkan dengan ‘kelompok Syariat’ ialah
pihak yang mahu mewartakannya dalam perlembagaan sebagai sumber perundangan negara.
Manakala ‘kelompok Islam’pula, ialah kumpulan yang mahu mengekalkan peruntukan sedia
ada Fasal Pertama perlembagaan, iaitu Islam sebagai agama rasmi Negara Tunisia,
tanpa sebarang penambahan.
Feqhul Waqi’ & Feqhul Muwazanah
Penjelasan Ghanoushi ini mengirim mesej yang jelas,
bahawa penolakan HN terhadap usaha ‘memertabatkan kedudukan Syariat Islam dalam
perlembagaan’, adalah didasarkan kepada Feqhul
Waqi’ dan Feqhul Muwazanah.
Ia bukannya didorong oleh kebimbangan hawa nafsu akan
kehilangan kuasa politik, tunduk kepada hawa nafsu manusia yang menolak
pemertabatan Syariat Islam, lemah iman,tidak percaya kepada janji-janji Allah
kepada pejuang-pejuang agamaNya, taqiyyah politik dan seumpamanya.
Waqi’(realiti)
yang ‘tercegat’ di depan mata membentangkan dengan jelas, bahawa ‘pewartaan
Syariat Islam selaku sumber perundangan negara dalam perlembagaan’, tidak
memadai dalam menjelmakan undang-undang dalam bentuk perlaksanaan di alam
realiti.
Feqhul
muwazanah pula memberi ‘arahan’, agar ditimbang aspek maslahah dan mafsadah yang bakal terhasil daripada pewartaan itu, sebelum
pewartaan dilakukan.
Pewartaan itu akan menghasilkan maslahah, iaitu dari segi membuka jalan
kepada perlaksanaan Syariat Islam. Namun, dalam masa sama, ia juga akan
mengundang mafsadah, iaitu
keterungkaian kesatuan rakyat Tunisia.
Bagi HN, mafsadah
yang bakal ‘membiak’ dan ‘menular’ daripada pewartaan ini, lebih besar
berbanding maslahah yang bakal ‘berputik’.
Justeru, bagi mengelakkan mafsadah yang lebih besar, iaitu perpecahan di kalangan rakyat
Tunisia, HN memutuskan untuk menolak cadangan ‘pewartaan Syariat Islam sebagai
sumber perundangan Tunisia dalam perlembagaan’.
Besar kemungkinan, HN antara lain, berpandukan ayat
dalam surah Taha dalam membuat keputusan ini.
Ayat tersebut memperihalkan kemarahan Nabi Musa
a.s terhadap Nabi Harun a.s.
Ia ekoran sikap Nabi Harun a.s yang tidak menegah
Bani Israel menyembah patung lembu ciptaan Samiri sepeninggalan Nabi Musa a.s.
Nabi Harun menjawab, beliau bertindak demikian
bagi mengelakkan berlaku perpecahan di kalangan Bani Israel. Berpandukan
ayat-ayat surah Taha ini, alasan ini diterima oleh Nabi Musa a.s.
Kisah ini dirakamkan dalam firman Allah yang
berbunyi :(Taha :92-94) :
قَالَ يَـٰهَـٰرُونُ مَا مَنَعَكَ إِذْ رَأَيْتَهُمْ ضَلُّوٓا۟
﴿92﴾ أَلَّا تَتَّبِعَنِ ۖ
أَفَعَصَيْتَ أَمْرِى ﴿93﴾ قَالَ يَبْنَؤُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِى وَلَا
بِرَأْسِىٓ ۖ إِنِّى خَشِيتُ أَن تَقُولَ فَرَّقْتَ
بَيْنَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِى ﴿94﴾
Maksudnya : Sekembalinya, Nabi Musa berkata: “wahai
Harun, apakah yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka telah sesat.
Apakah engkau tidak mengikut aku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?”.
Nabi Harun menjawab:“wahai anak ibuku! Janganlah
engkau merenggut janggutku, dan janganlah menarik rambut kepalaku.
Sesungguhnya, aku takut bahawa engkau akan
berkata:“Engkau telah memecah belahkan Bani Israil, dan engkau tidak mengambil
berat pesananku”.
Sunnah & Feqhul Muwazanah
Sorotan ke atas sunnah Rasulullah s.a.w
memperlihatkan,Baginda juga bertindak berasaskan Feqhul Muwazanah.
Antara contohnya, sikap Baginda s.a.w terhadap
orang-orang munafik.
Dalam sahih Muslim dinyatakan, Baginda s.a.w tidak
bertindak membunuh mereka, demi mengelak mafsadah
yang lebih besar, iaitu salah faham masyarakat terhadap Baginda, iaitu Baginda
membunuh sahabatnya sendiri!
Jabir Ibn Abdullah r.a meriwayatkan :
أتى رجل رسول الله صلى الله عليه وسلم بالجعرانة منصرفه من حنين وفي ثوب بلال
فضة ورسول الله صلى الله عليه وسلم يقبض منها يعطي الناس فقال : "يا محمد اعدل!". قال : "ويلك!
ومن يعدل إذا لم أكن أعدل، لقد خبتُ وخسرتُ إن لم أكن أعدل!". فقال عمر بن
الخطاب رضي الله عنه : "دعني يا رسول الله! فأقتل هذا المنافق!". فقال :
"معاذ الله أن يتحدث الناس أني أقتل أصحابي..."
Terjemahan : Seorang lelaki datang [menemui]
Rasulllah s.a.w di Ja’ranah sekembalinya [Baginda saw] dari Hunain dan [pada waktu
itu] terdapat [kepingan-kepingan]
perak
dalam baju Bilal r.a, sambil Rasulullah s.a.w menggenggam [sebahagian] daripadanya
[dan] diagih kepada orang ramai.
Lantas [lelaki itu] berkata, “wahai Muhammad,
[berlaku] adillah!”. Baginda berkata, “malang sungguh engkau! Siapakah [lagi
yang mampu berlaku] adil, kalau aku [sendiri] tidak [berlaku] adil?
Sesungguhnya, kecewa dan rugilah aku andai aku tidak [berlaku] adil.
Maka [Syaidina] Umar al-Khattab r.a berkata, “biarkan
aku membunuh orang munafik ini, wahai Rasulullah!”.
Lantas Baginda bersabda, “aku berlindung dengan
Allah [daripada] orang ramai mengatakan bahawa aku membunuh sahabat-sahabatku[sendiri]”.
Titik tolak
Bertitik tolak daripada Feqhul Muwazanah yang bertaut dengan Feqhul Waqi’ inilah, pada 22 Januari 2011, iaitu 8 hari selepas
kejatuhan Ben Ali yang digulingkan pada 14 Januari 2011, Ghanoushi memberikan
satu kenyataan kepada sebuah akhbar Jerman, Der Spiegel, bahawa partinya itu
tidak berusaha untuk melaksanakan Syariat Islam di Tunisia, jika berpeluang
memerintah negara itu.
Apa yang menjadi objektif partinya, jelas beliau,
ialah membebaskan Tunisia daripada sistem satu parti, dalam apa jua bentuk
sekalipun.
Kepimpinan parti Islam Tunisia itu juga mengumumkan
akan berusaha membentuk sebuah masyarakat sekular pelbagai parti, yang menghormati
hak-hak manusia! (Rujuk : warisan-semasa)
Tulisan ini tidak bermaksud menyokong segala
pendirian dan keputusan politik yang diambil HN. Atau mengajak mana-mana pihak
menurut sepenuhnya tindak tanduk parti Islam itu.
Apa yang cuba diangkat oleh artikel ini, adalah
tentang keperluan kepada pelbagai jenis feqh dalam melaksanakan Islam,
antaranya Feqhul Waqi’ dan juga Feqhul Muwazanah.
warisan-semasa.blogspot.com
No comments:
Post a Comment