Filem hina Nabi SAW
Ustaz Fathul Bari Mat JahyaSoalan: Ustaz dah tengok filem Muhammad Movie Trailer, jadi apa komen ustaz?
Jawapan:
Bismillah, wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah, amma ba’d.
Saya tengok dalam tempoh lebih kurang 14 minit sebentar tadi, saya kira ini merupakan satu penghinaan yang sangat jelas ke atas Islam, ke atas Nabi kita SAW, ke atas Al-Quran dan ke atas sahabat Nabi RA.
Sebenarnya kalau kita tengok semula sejarah, penghinaan-penghinaan ke atas Islam dan ke atas Nabi kita SAW ini bukanlah kali pertama, dan saya yakin –wallahua’lam- ini juga bukan merupakan kali yang terakhir.
Dulu pernah ada filem pendek yang menghina Islam, kemudian ada juga karikatur, kemudian ada penulisan, hal-hal yang jelas menghina agama Islam.
Mengapa hal seumpama ini berlaku? Nabi SAW sebutkan di dalam hadis dan menceritakan bagaimana umat Islam ini yang digambarkan oleh Nabi SAW sendiri seperti buih-buih lautan yakni menggambarkan betapa ramainya bilangan mereka. Kata Nabi SAW dalam hadis yang panjang,
يُوشِكُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ الْأُمَمُ مِنْ كُلِّ أُفُقٍ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ عَلَى قَصْعَتِهَا. قَالَ: قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمِنْ قِلَّةٍ بِنَا يَوْمَئِذٍ قَالَ: أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنْ تَكُونُونَ غُثَاءً كَغُثَاءِ السَّيْلِ يَنْتَزِعُ الْمَهَابَةَ مِنْ قُلُوبِ عَدُوِّكُمْ وَيَجْعَلُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ قَالَ: قُلْنَا وَمَا الْوَهْنُ قَالَ: حُبُّ الْحَيَاةِ وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِMaknanya memang betul apa yang Nabi SAW katakan telah berlaku pada hari ini, orang bukan Islam membikin filem-filem yang seperti ini yang menghina Islam, menghina Nabi SAW, menghina umat Islam, menghina Al-Quranul Karim, menghina para sahabat Nabi RA, jelas Allah cabutkan daripada hati mereka perasaan takut dan hormat kepada orang Islam dan agama Islam.
“Hampir sahaja manusia ini akan diserang oleh golongan kuffar yang membenci Islam sama seperti orang yang lapar menuju kepada pinggan yang dihidangi dengan makanan. Sahabat Nabi bertanya, ‘Adakah kami pada ketika itu berada dalam kelompok yang kecil sehingga kami diserang sedemikian rupa?’ Jawab Nabi SAW, ‘Tidak, bahkan kalian ramai jumlahnya tetapi kalian ibarat buih di lautan (tidak bermanfaat). Pada hari itu ALLAH tanggalkan dari hati musuh-musuh ALLAH perasaan hormat kepada kalian dan ALLAH campakkan ke dalam hati kalian penyakit al-wahn.’ Sahabat bertanya, ‘Apakah itu al-wahn?’ Kata Nabi, ‘Cintakan dunia dan takut mati.’” (riwayat Abu Dawud)
Soalan: Tapi ini merupakan ekspresi dan kebebasan bersuara?
Jawapan:
Kalau kita hendak bercakap tentang kebebasan bersuara, kebebasan bersuara ini sangat luas perbahasannya. Di luar sana mereka mengwar-warkan tentang kebebasan bersuara. Dalam keadaan negara kita pada hari ini, kebebasan bersuara itu masih lagi dibatasi dengan perlembagaan.
Sebagaimana yang ditetapkan di dalam Islam. Kebebasan bersuara di dalam Islam ada batasan. Sebab itu Allah SWT menyebut di dalam Al-Quran contohnya ketika menceritakan tentang pembahagian harta pusaka,
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَاSebagaimana juga sabda Nabi SAW di dalam hadis,
Ertinya: “Itulah batasan-batasan Allah, maka janganlah kamu melampauinya.” (surah Al-Baqarah, 2: 230)
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْIni bermakna kita mempunyai batasan untuk bercakap, bukan bebas bercakap. Kalau bebas, kesan daripada kebebasan bersuara ini, yang sebahagian pihak, golongan-golongan liberal dan plural ini yang cuba berusaha memastikan negara kita memberikan kebebasan berkuasa mutlak kepada rakyat, adakah kita ingin kes pembikinan filem seperti ini berlaku dalam negara kita? Adakah kita ingin buku-buku yang menghina Nabi SAW ditulis dan disebarkan di dalam negara kita? Adakah kita ingin dalam negara kita orang bangkit dan mencerca Islam atau mana-mana agama secara terbuka?
Ertinya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)
Soalan: Adakah dengan kata pendek ustaz mengatakan Islam tidak memberikan kebebasan di peringkat antarabangsa?
Jawapan:
Kalau dilihat di peringkat antarabangsa, memang jelas Islam tidak diberikan kebebasan. Mengapa saya katakan Islam tidak diberi kebebasan, kita lihat contohnya, mereka yang mengatakan kebebasan beragama, apabila mereka mencerca Islam, umat Islam dan Nabi kita SAW, apa yang berlaku? Tindakan refleks atau tindakbalas fitrah bagi umat Islam yang cintakan agamanya mereka akan bertindak.
Apabila tindakan itu diambil, mereka menuduh umat Islam sebagai ekstrimis, sedangkan yang mula membuka ruang untuk dicerca, diserang, adalah mereka sendiri. Jadi di mana kita mengatakan kebebasan beragama sedangkan kalau di UK, contohnya tokoh yang banyak berbicara tentang perbandingan agama seperti Dr. Zakir Naik tidak dibenarkan masuk ke dalam negara mereka. Dibandingkan dengan kebebasan beragama dalam negara kita sangat dahsyat, yang saya kira wallahua’lam tidak ditemui pada negara-negara yang lain.
Tokong Buddha terbesar ada dalam negara kita, bakal gereja yang terbesar di Asia juga di dalam negara kita iaitu di Selangor, tokong hindu yang terbesar juga ada di Selangor juga. Ini satu muhasabah. Walaupun kita tengok masjid-masjid kita pun rasanya tidak ada sampai yang terbesar di Asia.
Saya kira kebebasan beragama dalam negara yang diberikan, kita perlu bersyukur dengan apa yang ada. Islam sendiri memberikan hurriyatul i’tiqad yakni kebebasan beragama, tetapi bukan kita menyeru kepada kebebasan beragama, kita menyeru kepada Islam, cuma kita membebaskan kaum bukan Islam untuk beramal dengan agama mereka masing-masing.
Kita ada perjanjian, asalkan sahaja mereka jangan melanggar perjanjian yang termetrai sesama kita agar tidak berlaku huru-hara dan kacau bilau.
Soalan: Apa pandangan dari kaca mata Islam ataupun pesanan Nabi SAW, apa patut seorang Islam buat terhadap agama lain?
Jawapan:
Jelas di dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman,
وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍMaknanya, asas dalam kebebasan beragama antaranya adalah tidak mencerca antara satu sama lain. Jadi sikap kita kepada agama lain, kita memberikan kepada mereka kebebasan dan kita tidak memaksa mereka memeluk Islam, tetapi kita berhak untuk berdakwah atau menyampaikan agama Islam tetapi bukan dengan cercaan kerana Allah SWT tidak membenarkannya.
Ertinya: “Dan janganlah kamu mencerca sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan mencerca Allah dengan melampaui batas tanpa ilmu.” (surah Al An’am, 6 : 108)
Itu adalah asas kebebasan beragama yang diberikan oleh Islam kepada mana-mana pihak atau kelompok manusia seperti mana Nabi SAW memberikan kebebasan beragama kepada Yahudi dan Kristian pada ketika itu walaupun pada masa yang sama Nabi SAW bergerak menyampaikan Islam kepada mereka.
Soalan: Apa pandangan ustaz seandainya perkataan kebebasan kita gunakan juga untuk membantah filem cercaan ke atas Nabi itu di kedutaan dalam negara?
Jawapan:
Impak filem ini iaitu sehingga terbunuh duta Amerika Syarikat ke Libya. Sebelum kita mengulas tentang bantahan itu sendiri, pembunuhan itu sendiri adalah satu tindakan yang tidak bijak bahkan satu tindakan yang menyelisihi syarak.
Sememangnya salah membunuh orang walaupun dia itu non-Muslim. Kita perlu melihat dia itu non-Muslim kategori mana, sebab itu kita dituntut untuk menuntut ilmu agar memahami agama.
Ini tidak bererti kita menyokong pembikinan filem tersebut. Saya sudah katakan tadi bahawa Sekretariat Ilmuwan Malaysia membantah dan mengecam sekeras-kerasnya pembikinan filem ini. Ini pegangan kami dan pegangan seluruh umat Islam. Kita membencinya kerana Allah SWT.
Tetapi adakah bererti kita boleh mengambil tindakan sewenang-wenangnya? Ini yang perlu dikawal oleh umat Islam, bukan bererti apabila kita membenci sesuatu, kita boleh bertindak sewenang-wenangnya. Islam meletakkan had.
Contohnya, orang yang dijatuhkan hukuman bunuh, adakah boleh kita memotong hidung atau telinganya dahulu? Adakah apabila dia dihukum bunuh bererti mayatnya boleh dicincang? Islam tidak membenarkannya sama sekali. Sebagaimana Nabi melarangnya di dalam peperangan.
Begitu juga di dalam persoalan ini. apabila kita dibenarkan mengecam orang yang mengecam agama kita, kita tidak mengecamnya dengan emosi, kita membantahnya dan membencinya kerana Allah SWT. Tetapi tidak sehingga melakukan pembunuhan kerana dia termasuk dalam kategori kafir yang ada perjanjian.
من قتل معاهدا لم يرح رائحة الجنة، وإن ريحها توجد من مسيرة أربعين عاماItu adalah asasnya. Tidak boleh kita mengkategorikan semua orang Amerika sebagai kafir harbi. Jadi kita perlu bertindak dengan ilmu pengetahuan, bukan dengan emosi.
Ertinya: “Barangsiapa yang membunuh orang kafir mu’ahid (yang ada perjanjian dengan umat Islam), maka ia tidak akan mencium bau syurga. Sesungguhnya bau syurga itu dapat tercium dari jarak perjalanan empat puluh tahun.” (riwayat Al-Bukhari, Ibn Majah, Ahmad, An-Nasa-i)
Ingat, Islam tidak pernah melanggar perjanjian dalam sejarah. Nabi SAW tidak pernah melanggar perjanjian walaupun perjanjian tersebut berat sebelah. Yang melanggar perjanjian adalah golongan Yahudi.
Soalan: Bagaimana dengan menunjuk perasaan secara aman?
Jawapan:
Berkenaan menunjuk perasaan, sebenarnya saya sudah tidak larat bercakap lagi tentang demonstrasi ini. sudah berapa kali saya bercakap tentangnya. Demonstrasi Bersih yang sebelum ini saya katakan haram, haram, haram itu, sama sahaja hukumnya dengan demonstrasi-demonstrasi yang lain.
Demonstrasi tidak memberikan apa-apa manfaat kepada umat Islam, sebaliknya yang memberikan manfaat adalah kita menjawab semula isu ini, mengambil kesempatan yang ada ini untuk menjelaskan kepada dunia tentang Nabi kita, agama kita, Al-Quran, sahabat Nabi.
Ingat kisah filem pendek “Fitna” di mana impaknya di Amerika berapa ramai orang memeluk Islam, sebab di sana mereka bertindak dengan menyebarkan tentang Islam. Mereka menyebarkan Al-Quran agar orang membacanya.
Soalan:
Apa cadangan ustaz, kalau bantah tak boleh, demonstrasi tak boleh, semua tak boleh?
Jawapan:
Bukan saya katakan bantah tidak boleh, kita boleh bantah tetapi hendaklah dengan cara yang betul.
من رأى منكم منكرا فليغيره بيده . فإن لم يستطع فبلسانه . فإن لم يستطع فبقلبه .وذلك أضعف الإيمانJadi ini susunan-susunan yang telah Allah SWT berikan. Dengan tangan bukan bererti dengan membunuh. Tetapi kita boleh mengubah kemungkaran itu dengan penulisan atau ucapan contohnya, bukan dengan tunjuk perasaan beramai-ramai.
Ertinya: “Barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemahnya iman.” (riwayat Muslim)
Dengan menunjuk perasaan beramai-ramai, masa kita terbuang, malah kita tidak mampu mengawal emosi dan adab orang yang hadir pada ketika itu, sedangkan Nabi SAW diutuskan untuk sempurnakan akhlak manusia.
Kalau kita tidak mampu mengawal akhlak manusia seperti mana baru-baru ini di Dataran Merdeka, orang sibuk memberi komen tentang tunjuk punggung, kita telah memberi komen lebih awal lagi tentang keburukan demonstrasi itu sendiri. Kalau kita menyekat dan tidak mengizinkan demonstrasi, maka tidak timbul isu-isu yang memalukan seperti tunjuk punggung dan sebagainya, dan Alhamdulillah pelajar tersebut telah meminta maaf dan isu tersebut telah selesai. Cuma saya menyebut contoh tersebut sebagai pengajaran untuk sama-sama kita fahami.
Soalan: Sebagai satu suara yang didengari oleh masyarakat Islam Negara dan saya pasti bukan Islam pun melihat dan mendengar suara ustaz tentang pandangan agama, apa nasihat ustaz kepada rakyat Malaysia khususnya agar mengambil iktibar atau pengajaran daripada filem tersebut.
Jawapan:
Pertama sekali, sewajarnya kita mengetahui apa tindakbalas yang perlu kita ambil. Sebenarnya demonstrasi memang bukan dari syariat Islam. Lihatlah Abu Jahal menghina Nabi sebanyak mana? Abu Lahab, Abdullah bin Ubay menghina Nabi banyak mana? Nabi dan para sahabat tidak pernah mengumpul pengikut-pengikutnya untuk berdemonstrasi.
Turun wahyu Allah SWT yakni ilmu. Kita bertindak sampaikan ilmu kepada masyarakat non-muslim. Sebab itu saya cadangkan secara serius kepada pihak seperti IKIM, JAKIM yang memiliki autoriti untuk membuat komentar terhadap filem ini.
Berikan jawapan-jawapan ilmiah, contohnya apabila ada pihak yang menggambarkan Nabi SAW gila seks yang merupakan satu pendustaan yang besar, penghinaan terhadap Al-Quran yang mengatakan Muhammad ini boleh buat apa sahaja, ikut suka, boleh mengambil isteri orang dan sebagainya, ia merupakan satu pendustaan ke atas Nabi kita SAW, jawab tuduhan-tuduhan tersebut, gunakan kepakaran-kepakaran dan sibukkan diri dengan hal-hal yang lebih besar menyentuh kemaslahatan manusia secara umumnya.
Ini masa yang penting untuk kita bekerjasama. Saya katakan juga tindakan kepada umat Islam, masa inilah kita pergi kepada tindakan bersuara yang saya bangkitkan tadi, di mana mungkin kita mendengar kelompok-kelompok tertentu bersuara tanpa membincangkan tentang had dan batasan kepada kebebasan.
Mereka mungkin berkata mereka memaksudkan kebebasan bersuara dalam politik. Mungkin ada argumen yang seperti itu, tetapi sekiranya perlembagaan itu ditukarkan dengan usaha mereka dan kelompok-kelompok ini untuk negara memberi kebebasan bersuara mutlak, pada ketika itu kita tidak akan mampu melakukan apa-apa. Pada ketika itu apabila orang mencerca Islam, kita mungkin setakat boleh pergi saman sahaja. Orang maki hamun Islam, mereka mengatakan itu kebebasan bersuara mereka.
Adakah kita inginkan keadaan sedemikian rupa? Sebab itulah kita perlu bersyukur, kebebasan bersuara dalam negara kita pada hari ini dibatasi dengan perlembagaan yang sedia ada, dan kita kena ingat keamanan yang ada pada hari ini dengan kehendak Allah SWT juga melalui perlembagaan yang sedia ada sampai kepada kita pada hari ini.
Soalan: Ustaz, daripada tadi sampai sekarang ini, ustaz asyik cakap tak boleh, tak boleh, tak boleh. Jadi apa yang boleh buat? Takkan nak tengok saja?
Jawapan:
Ini yang saya katakan tadi, sekali lagi saya ulang, saya bukan kata kita umat Islam tidak boleh bertindak, cuma yang saya maksudkan adalah tindakan kita itu perlu dibatasi dengan syariat, mengikuti lunas-lunas dan tuntutan syariat. Tidak boleh kita melampauinya.
Demonstrasi adakah disyariatkan? Takkan apabila saya katakan demonstrasi Bersih tak boleh, demonstrasi ini saya katakan boleh? Demonstrasi itu sendiri bukan daripada ajaran Islam itu sendiri. Itu jelas, jadi apa tindakan yang perlu kita ambil? Sebab itu saya katakan, antara tindakan yang rasional yang perlu kita ambil, pertama sekali kita perlu bersabar dengan apa yang berlaku.
Disebut tentang sabar di dalam Al-Quran dan hadis, kalau kita baca terjemahan surah Al-‘Asr pun sudah cukup. “Saling berwasiat dengan kebenaran dan kesabaran.” Jangan kita bersikap ‘ajalah (gopoh gapah) kerana sesungguhnya gopoh gapah itu daripada syaitan.
Kedua, redha dengan apa yang berlaku. Ini ujian Allah SWT ke atas umat Islam. Memang kita tidak redha kepada filem tersebut tetapi kita redha bahawasanya umat Islam pada hari ini diuji oleh Allah SWT, diuji dan dicuit perasaan mereka. Allah melihat sejauh mana sensitiviti kalian terhadap agama kalian.
Ketiga, kita mengambil tindakan dan usaha. Apa usaha yang kita kena buat. Berdoa kepada Allah SWT. Pada zaman ini umat Islam melihat doa sebagai satu benda yang tidak diyakini. Ini masalahnya. Mereka tidak yakin dengan doa. Kadang-kadang antara ubat dengan doa, mereka lebih yakin dengan ubat berbanding dengan doa. Bukan kita katakan tidak boleh makan ubat. Boleh makan ubat tetapi dia meninggalkan doa kerana dia kurang yakin dengan kuasa doa.
Kata Nabi SAW di dalam hadis tentang perintah berdoa ini sangat banyak. Nabi berdoa siang malam, Nabi beristighfar setiap hari, sehari 100 kali. Kerapnya baginda berdoa dan itu yang perlu kita contohi daripada Nabi kita SAW.
Kemudian selepas berdoa, apa tindakan yang boleh kita ambil? Demonstrasi sudah jelas tidak boleh. Sekarang ini apa yang kita boleh buat ialah menjawab balik. Bagaimana menjawab balik adalah dengan cara ilmiah. Bagi pihak yang berkemampuan, yang ada autoriti dan kapasiti seperti IKIM dan JAKIM, usahakan untuk menjawab semula satu per satu secara ilmiah, siarkan dan sebarkan agar semua orang mendapat manfaat daripada tuduhan-tuduhan dan fitnah ke atas Nabi kita SAW, fitnah ke atas Al-Quran, sahabat Nabi, dan umat Islam itu sendiri.
Kemudian, ambil peluang ini untuk sampaikan Islam kepada orang ramai, apa sahaja yang kita tahu tentang Islam.
بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةًKaki-kaki facebook dan twitter, daripada sibuk twitter bertanya masalah orang, membongkar keaiban orang, membangkit isu kesalahan orang, elok digantikan dengan twitter ayat-ayat Al-Quran, hadis-hadis Nabi SAW, cerita tentang Nabi SAW, bukankah itu lebih bermanfaat daripada asyik-asyik bercerita tentang figur yang memang semua orang telah kenal; satu pihak bercerita tentang TG Nik Abdul Aziz, satu pihak lagi bercerita tentang Dato Sri Najib Tun Abdul Razak, sedangkan ini peluang yang perlu kita ambil untuk sebarkan tentang Islam.
Ertinya: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.” (riwayat Al-Bukhari)
Bagi mereka yang tidak ada ilmu, apa tindakan mereka? Bagaimana mereka membantahnya adalah dengan melahirkan perasaan benci. Kata Nabi SAW di dalam hadis tentang benci,
أَوْثَقُ عُرَى الْإِيْمَانِ الْحُبُّ فِي اللهِ وَالْبُغْضُ فِي اللهِJadi ini adalah sebahagian cadangan saya tentang tindakan yang perlu kita ambil, sama-sama saya muhasabah untuk diri saya dan kita semua.
Ertinya: “Sekuat-kuat tali ikatan iman adalah cinta sesuatu kerana Allah dan membenci sesuatu kerana Allah.” (riwayat Ath-Thabarani dan dihasankan Asy-Syaikh Albani dalam Ash-Shahihah no. 998)
Wallahua’lam.
Sumber :http://ustazfathulbari.wordpress.com/2012/09/17/filem-hina-nabi-saw/
http://www.youtube.com/watch?v=T9nbaCgbQzc&feature=plcp
No comments:
Post a Comment