10 AMALAN TERBALIK YANG TIDAK DISEDARI
Antara amalan-amalan yang mengalami tranformasi ialah:
1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga
simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh
dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah
di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan
untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.
Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil.
Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau
mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau
harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak
menurut Islam?
“Abdullah bin Ja’far berkata: Ketika tersebar
tentang berita terbunuhnya Ja’far, Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam
bersabda: Hendaklah kamu menyediakan makanan untuk keluarga Ja’far,
mereka telah ditimpa keadaan yang menyebukkan (kesusahan)”
(Dihasankan oleh at-Turmizi dan di sahihkan oleh al-Hakim)
2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap
salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada
duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri.
Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak
berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut
memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana
tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah
pendapatan.
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita
berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di
rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak
berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.
4. Kalau
menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak
makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu,
sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang
dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
5.
Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat
malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah
seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.
6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang
berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta
perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di
bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya
perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan
kita?
7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan
membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah
tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah
kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak
bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita
mempunyai tujuan lain.
8. Semua ibubapa amat bimbang
kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas
tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca
Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca
Quran atau kelas khas mempelajari Islam.
Kalau guru tuisyen
sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada
Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun
menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih
berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak
lulus periksa.
9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira
siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap
diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah
(masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid.
Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke
rumahNya segan dan malas.
10. Seorang isteri kalau nak keluar
rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi
kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri
itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan
amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia