Showing posts with label Al- Ahbash. Show all posts
Showing posts with label Al- Ahbash. Show all posts

Sunday, October 7, 2012

Kenali Ahbash dan Bahaya Mereka







Bahaya Hujah Dibayar Darah

Suka mengkafir dan menyesatkan orang lain bukan akhlak muslim. Ahlus Sunnah wal Jama’ah berpegang kepada asas tidak mengkafirkan individu muslim yang lain melainkan terdapat bukti
yang yakin tanpa syak dan tidak keuzuran lagi yang boleh diberikan kepadanya.

Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sikap suka menuduh orang lain kafir atau sesat sewenang-wenangnya merupakan penyakit jiwa yang terpendam dalam dada si penuduh yang berpunca dari keegoan, sikap pantang berbeza pendapat, suka monopoli kuasa dan suka menyalahgunakan agama.

Lebih bahaya daripada itu, sikap suka mengkafir ini akan membawa kepada perbalahan yang meruncing dalam masyarakat Islam, bahkan sering membawa kepada tumpah darah yang banyak terjadi dalam sejarah umat ini. Kebelakangan ini kita dapati ada pihak yang tidak menerima beberapa pandangan pembaharuan atau tajdid dalam masyarakat kita.

Tidak dapat menerima itu tidak menjadi masalah, kerana memang adat kehidupan untuk manusia berbeza pendapat. Tetapi apabila mereka yang enggan menerima pandangan yang dianggap berbeza dengan tradisi yang mereka pertahankan itu mula menggunakan pendekatan kafir mengkafir dan sesat menyesat, ini amatlah merbahaya.

Antara aliran yang terkenal suka mengkafirkan orang lain ialah aliran ‘Ahbash’. Ahbash adalah aliran atau puak yang berpusat di Lebanon yang diasaskan oleh seorang lelaki habsyi atau negro yang dikenali dengan nama Abdullah al-Harari. Mereka mendakwa merekalah Ahlus Sunnah wal Jama’ah sejati dan sesiapa yang berbeza pendapat dengan mereka menjadi sesat atau kafir.

Dr Yusuf al-Qaradawi mengulas tentang puak ini dengan katanya:
“Semenjak beberapa tahun yang lalu aku ada mendengar tentang satu jamaah yang zahir di Lebanon, ia menimbulkan masalah kepada umat Islam di sana dengan pandapat-pendapat yang pelik, menyeleweng dan pandangan-pandangan yang merbahaya dalam persoalan aqidah, fekah dan akhlak…dan yang lebih dahsyat bahayanya apabila mereka mengkafirkan setiap orang yang berbeza dengan mereka dalam kalangan umat Islam hari ini atau yang terdahulu. Mereka mengkafirkan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, anak muridnya al-Imam Ibn al-Qayyim, dan sesiapa yang mengikut dua orang tokoh ini seperti tokoh tajdid tauhid di al-Jazirah al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab. Demikian juga mereka mengkafirkan ramai dari ulama semasa seperti al-’Allamah al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz, Pemikir Islam Syed Qutb, dan selainnya… Golongan Ahbash yang pelampau dan menyeleweng ini mendakwa mereka adalah dari mazhab al-Imam Abu al-Hasan al-’Asy’ariy segi aqidah, mazhab al-Imam al-Syafi’i segi Fekah, dan mengikut Tarikat al-Rifa’iyyah dalam berakhlak. Akan tetapi hakikatnya mereka amat jauh dari manhaj kesemua para imam itu samada dalam pemikiran, adab dan akhlak.. Kumpulan ini yang mulanya timbul di Lebanon, dinamakan sebagai al-Ahbash, kerana tuan milik dakwah dan pemegang bendera mereka adalah seorang lelaki dari Habashah (Ethopia) berasal dari Harara, dia mendakwa dakwahnya ini adalah dakwah yang baharu, yang hasrat utamanya ialah memecah belahkan kesatuan umat Islam, mengucar-kacirkan mereka dan menyalakan api fitnah antara barisan umat Islam dan menghalang setiap usaha untuk membantu perkembangan agama ini. (Dr Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Muasarah 3/685-686, Dar al-Qalam).

Al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi juga menyebut:
“Termasuk perkara yang pelik, mereka golongan Ahbash ini mentohmah aku ini wahhabi dan taksub dengan para imam Wahhabi, seringkali aku apabila bercakap mengambil daripada Ibn Taimiyyah  dan Ibn al-Qayyim dan madrasah mereka berdua, mereka (Ahbash) menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim ini menyalahi ijma’ dalam persoalan ini dan itu..”.

Timbalan Presiden The European Council for Fatwa and Research (ECFR), al-Faisal Maulawi menyebut:

al-Ahbash atau (Jam’iyyah al-Masyari’ al-Khairiyyah al-Islamiyyah) mereka adalah anak-anak murid al-Syeikh Abdullah al-Harari. Mereka memiliki jalan tersendiri dalam perkara akidah yang menjadikan mereka mengkafirkan umat Islam dan para ulamanya hanya kerana sebab-sebab yang remeh temeh. Sama halnya, mereka memiliki jalan tersendiri dalam perkara fekah yang berbeza dengan kebanyakan para ulama hari ini. Perbincangan dengan mereka tidak mendatangkan faedah, kerana mereka tidak akan menerima melainkan pendangan-pandangan syeikh mereka. Jika kamu (orang yang meminta fatwa) menjauhi masjid-masjid mereka (golongan Ahbash), itulah yang lebih utama bagi mengelak berlakunya perbalahan yang tidak berfaedah”.

Kementerian Wakaf Mesir, Bahagian Dakwah pula membuat kenyataan berikut: “Maka untuk pertama kalinya muncul seorang lelaki yang pelik dari Habsyah, pelik dari segi pemikiran dan method yang diikutinya dalam menyebarkan fitnah di kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah.”

Pertama kali juga tersebarnya kalimah takfir (pengkafiran) melalui lisan sebahagian mereka. Juga pertama kalinya terjadi masalah kekeluargaan lalu anak-anak mengkafirkan ayah-ayah mereka dan berlakunya persengketaan dan perpecahan antara ayah dengan anak-anak.

Pertama kalinya muncul mereka yang melampau ke atas ulama besar Ahli Sunnah wal Jamaah yang beramal dan berjuang di atas agama dengan cara yang dipenuhi dengan hasad dengki dan menghukum para ulamak sebagai kafir. Sesungguhnya al-Habasyi (pengasas Ahbash) mengkafirkan ulama besar seperti Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Sayyid Qutb, Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, Muhammad al-Ghazali dan Sayyid Sabiq. Di antara ulama Lebanon yang mereka kafirkan ialah Hassan Khalid, Subhi Salih, dan Faisal Maulawi dan banyak lagi yang mereka kafirkan dari ulamak-ulamak Al-Azhar al-Syarif” Banyak lagi fatwa para ulama mengenai kemelampauan puak Ahbash ini.

Antara perkara yang menakutkan yang digunakan oleh puak Ahbash ini, selain dari maki-hamun, cerca, fitnah dan serangan peribadi, mereka juga menggunakan pendekatan menghalalkan darah orang yang mereka musuhi.

Sebab itu di Lebanon, sebelum ini mereka begitu bermaharaja lela sehinggalah mereka dikaitkan dengan pembunuhan Presiden Rafiq Hariri. Ini apabila ‘Ulil Amri’ yang dirasakan sudah tidak dapat berkerjasama dengan mereka. Sebelum itu mereka juga mengkafirkan bekas Mufti Lebanon Hasan Khalid dan membunuhnya. Mereka menulis di dinding-dinding di Lebanon: “Katakan tidak kepada Hassan Khalid yang kafir”.

Menjadi tabiat Puak Ahbash ini suka memfitnah mengada-adakan cerita bohong dan mempersendakan gambar dan mengubah fakta. Di Malaysia, kelompok Ahbash ini ada mempunyai blog-blog mereka yang tersendiri. Pembaca boleh layari untuk melihat gelagat mereka. Mereka memenuhinya dengan maki hamun, menokok tambah gambar-gambar orang yang mereka tidak suka dan membuat berbagai pembohongan fakta yang lain.

Juga antara pendekatan yang digunakan Ahbash ialah mendampingi pihak yang berkuasa untuk menentang dan memfitnah tokoh-tokoh yang mereka tidak suka. The Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA) menyebut bagaimana pengasas mereka Abdullah Harari berpakat menghasut pihak berkuasa Habshah sehingga menyebabkan pengetua Pusat Tahfiz al-Quran di sana di penjarakan selama 23 tahun. (http://www.amjaonline.com/ar) Pendekatan menggunakan pihak berkuasa dan mendampingi pemerintah dengan menyebarkan racun fitnah, cerca, mengkafir merupakan jalan yang dipilih oleh Ahbash di negara-negara yang mereka cuba bertapak.

Ahbash masuk ke negara kita melalui mereka yang belajar di Lebanon dan terpengaruh dengan aliran ini. Ahbash juga telah membelanjakan wang dengan menjemput tokoh-tokoh agama Malaysia ke tempat mereka serta dibekalkan buku-buku mereka. Maka sindrom ahbash ini mula merebak dengan aktif dalam masyarakat ini apabila kelompok ‘ahbash’ mendapat tempat dalam sesetengah pihak berkuasa agama dan ruang kuliah dan ceramah di masjid dan surau.

Apabila melihat kegusaran sesetengah pihak dengan gerakan pembaharuan minda agama di negara kita, kelompok ini cuba mendapatkan tempat dengan cara menjadi ‘wira’ untuk membantu sesetengah pihak yang merasa terancam.

Mereka menyalurkan bahan dan pemikiran mereka yang dikenali sebagai pemikiran mengkafirkan tokoh-tokoh ulama dan mana-mana pihak yang dianggap berbeza dengan mereka. Maka kebelakangan ini dalam media massa, seminar, masjid, surau dan selainnya kedengaran isu mengkafirkan Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Muhammad bin Abdul Wahhab, isu wahhabi, isu Ahlus Sunnah, isu tidak terikat mazhab al-Syafi’i dan berbagai lagi.
Bukan isu-isu ini tidak wujud sebelum ini, tetapi Ahbash berjaya menyemarakkan api permusuhan dan kebencian dengan lebih dahsyat. Isu-isu ini diulas bagaikan perang jihad mesti dilakukan untuk menghapuskan sesiapa yang berbeza. Racun awal Ahbash mula menyerap. Maki hamun kedengaran di masjid dan surau.

Malangnya mereka ini mendapat ‘lesen’ bercakap. Menfitnah, menyesat dan mengkafirkan mula dijadikan senjata. Ia amat menakutkan. Ini akan menghalang kemajuan pemikiran, lebih buruk lagi ia boleh mengundang perbalahan sengit sesama muslim.

Sebab itu Akhbar al-Watan ketika melaporkan kematian pengasas Ahbash itu menyebut:
“Kelmarin (2/9/2008) Abdullah al-Harari, Pengasas dan Mursyid kerohanian bagi gerakan al-Ahbash telah meninggal dunia di Lebanon ketika umurnya 98 tahun…Al-Harari (Abdullah al-Harari) dilahirkan di Harara pada tahun 1910M, seterusnya berpindah-randah di beberapa negara Arab sebelum menetap di Lebanon pada tahun 1950M, beliau sering mengkafirkan para ulama umat Islam.” (Akhbar al-Watan: Rabu 3 Ramadhan 1429, bersamaan 3 September 2008, bil. 2896 tahun kelapan).

Cuma yang agak menarik, dalam laman web YADIM pada hari kematian al-Harari menamakannya “Pejuang Ahli Sunnah wal Jamaah yang sejati”. Ini amat membimbangkan saya. Saya rasa pembaca juga demikian. Saya takut racun itu benar-benar telah memasuki masyarakat kita.

Datuk Dr Asri Bin Zainul Abidin, 22 November 2009
kredit to :
Iskandar Zulqarnain
Video berkaitan : http://www.youtube.com/watch?v=i1Y36XLYCVA&feature=related
 

Wednesday, January 25, 2012

Kenyataan al-Syeikh Hamid bin Abdillah al-'Aliy Tentang Ahbash





Di dalam lamanweb rasmi al-Syeikh Hamid bin Abdillah al-'Aliy (http://www.h-alali.net/) , terdapat soalan yang bertanyakan tentang kumpulan Ahbash bertarikah 13/12/2006. Teks soalan tersebut seperti dibawah:

التمس منكم مدي بمعلومات مدققة و تفصيلية عن فرقة الاحباش.هل هناك فتاوى وردت في هذا الموضوع؟هل هي فرقة ظالة ام لا؟

Maksudnya: "Saya memohon maklumat terperinci daripada tuan tentang kumpulan Ahbash, apakah telah ada fatwa tentang kumpulan ini? Apakah mereka itu kumpulan yang sesat ataupun tidak?"


Jawapan dari al-Syeikh Hamid bin Abdillah al-'Aliy (Pensyarah Peradaban Islam di Kuliah Pendidikan Asas Kuwait.).

Alhamdulillah wassolatu wassalam 'ala nabiyyina Muhammad wa 'ala alihi wa sahbihi wa ba'du:

al-Ahbash adalah satu kumpulan sesat yang dinisbahkan kepada Abdillah al-Habasyi. Zahir di Lubnan, dan mereka mengambil kesempatan daripada kejahilan dan kefakiran yang berlaku di Lubnan kesan dari peperangan yang berlaku di sana untuk menyebarkan seruan menghidupkan manhaj-manhaj Sufiah yang batiniyyah bertujuan merosakkkan aqidah dan memecah-belahkan kesatuan umat Islam.

Pengasas kepada kumpulan ini ialah Abdullah Muhammad al-Harari al-Habasyi, dia belajar agama di sana (di Habashah) dan telah mengadakan bai'ah (janji taat setia) dengan tarikat al-Tijaniyyah. Dia juga berbai'ah dengan Tarikah al-Rifa'iyyah, kemudian dia berhijrah ke Syiria dan Lubnan. Ketika di Habashah, Abdullah al-Harari pernah bekerjasama dengan pemerintah Indraji di Habashah "Sahr Hilasilasi" menghapuskan persatuan-persatuan Islam tahfiz al-Quran di bandar Harara yang membawa kepada hukuman penjara dan buang negeri ke atas Pengetuan Sekolah, Ibrahim Hasan selama 23 tahun. Semua ini menyebabkan para pendakwah dan para syeikh yang berada di Harara melarikan diri ke Saudi dan Mesir. Kerana itu Abdullah al-Harari (pengasas kumpulan Ahbash) dikenali disana dengan sifat al-Fattan (pembawa fitnah) atau Syeikh Fitnah.

Demikianlah keadaannya (al-Harari) apabila dia berada di Lubnan, dia bekerja untuk menyebarkan fitnah sama seperti yang dilakukannya di tempat asalnya dan menyebarkan kepercayaannya yang rosak, termasuk syirik, menyebarkan fahaman mazhab-mazhab yang batil tentang sifat Allah, menyebarkan fahaman murjiah, Jabariah, tasawwuf batiniyyah dan syiah rafidhah, mencela para sahabat (Nabi saw) dan menuduh Ummu al-Mukminin 'Aisyah melakukan maksiat dengan melanggar perintah Allah swt dengan fatwa-fatwa yang ganjil.

Antara pengikutnya ialah Nizar al-Halabi (نزار الحلبي), beberapa orang public figure seperti timbalan parlimen 'Adnan al-Tarobalasi (عدنان الطرابلسي) dan calon mereka yang lain seperti Toha Naji (طه ناجي) yang menerima suara sokongan kebanyakan dari penganut kristian, kerana janji mereka menghapuskan fahaman Islam fundamental. Akan tetapi dia tidak memperoleh kejayaan. Demikian juga dengan Hasan Qarqira timbalan presiden Jam'iyyah al-Masyari' al-Islamiyyah, Kamal al-Huth, 'Imaduddin Haidar, Abdullah al-Barudiy dan individu-individu yang menyeliakan peralatan penyelidikan dan menuskrip seperti al-Muassasah al-Thaqafiyyah lil Khidmaat dan Markaz al-Abhath wa al-Khidmaat. Mereka juga kebelakangan ini telah memulakan mentahkik kitab-kitab turath, dengan tahkikan jahmiyyah. Mereka juga melakukan muslihat dengan menggunakan nama ganjil yang tidak dikenali walaupun dikalangan para penuntut ilmu seperti mereka menulis : "Telah berkata al-Hafidz al-'Abdari di dalam dua dalilnya (قال الحافظ العبدري في دليليه)." Mereka menyembunyikan kepada orang ramai, sehingga orang ramai akan menyangka al-Hafidz yang dimaksudkan ialah dari kalangan ulama yang masyhur seperti al-Hafidz Ibn Hajar ataupun al-Nawawi, sebaliknya al-Hafidz itu ialah syeikh mereka sendiri al-Harari, mereka nakalkan dari kitabnya al-Dalil al-Qawim sebagai contohnya.

Kepercayaan-Kepercayaan mereka

1. Mereka mendakwa mereka bermazhab al-Syafie di dalam fiqh dan i'tikad, akan tetapi hakikatnya mereka jauh dari mazhab al-Syafie.

2. Mereka menganggap ringan berhukum dengan hukuman buatan manusia yang bertentangan dengan hukum Allah. al-Habasyi (Abdullah al-Harari) berkata: "Sesiapa yang tidak berhukum dengan syariat Allah dalam dirinya dan tidak melaksanakan sedikitpun kefardhuan Allah dan tidak menjauhi perkara-perkara haram, sebaliknya dia pernah mengucapkan walau sekali seumur hidup la-i-la-ha-illallah, maka dia seorang muslim dan digelarkan juga sebagai seorang beriman yang berdosa." (al-Dalil al-Qawim. m.s. 9-10).

Kepercayaan ini adalah kepercayaan firqah Murjiah yang sesat.

3. al-Ahbash memberi galakan kepada orang ramai untuk memohon dari kubur, memohon pertolongan dari kubur dan memohon ditunaikan hajar dari kubur. Ini kerana kumpulan Ahbash mempercayai orang-orang yang telah mati itu akan keluar dari kubur untuk menunaikan hajat orang yang memohon kepada mereka, kemudian mereka (orang-orang yang telah mati itu) akan pulang semula ke kubur mereka. Sama juga mereka mengharuskan memohon perlindungan kepada selain Allah, dan menyeru mengambil berkat dari beberapa batu. (Kitab al-Dalil al-Qawim, 173).

4. Ahbash akan memenangkan mazhab mereka dengan hadith-hadith yang lemah dan palsu, yang menyokong mazhab mereka. Kerana itu mereka menghukum banyak hadith yang sahih sebagai dhaif kerana tidak menyokong mazhab mereka. Perkara ini jelas di dalam kitab mereka al-Maulid al-Nabawi.

5. Abdullah al-Harari al-Habasyi telah mengkafirkan beberapa orang ulama umat Islam. Dia mengkafirkan Ibn Taimiyyah. Dia menjadikan perkara pertama yang wajib ke atas setiap mukallaf ialah beriktikad akan kekafiran Ibn Taimiyyah, dan dia benar-benar memberi peringatan supaya menjauhkan kitab Ibn Taimiyyah. Demikian juga al-Imam al-Zahabiy yang di sisinya (al-Harari) sebagai seorang yang hina. Dia juga menganggap al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab seorang penjenayah, pembunuh dan seorang kafir. Dia juga mengkafirkan al-Syeikh al-Muhaddith Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h. Mengkafirkan al-Syeikh Sayed Sabiq, dan menganggap syed sabiq sebagai seorang Majusi yang kafir, dia juga mengkafirkan Syed Qutb sepertimana yang disebut oleh al-Harari di dalam kitabnya al-Nahju al-Sawiy fi al-Radd 'ala Syed Qutb wa Tabi'ihi Faisol Maulawi.

6. al-Harari menyeru kepada tarikat Naqsyabandiyyah dan Rifaiyyah

7. al-Harari juga memiliki beberapa fatwa yang ganjil yang berpendapat harusnya membuat helah dalam agama dan berpendapat melihat, bercampur dan bersalaman dengan perempuan yang ajnabiy itu tidak mengapa, bahkan dia mengatakan wanita boleh keluar rumahnya dengan berwangi-wangian, bertabarruj sekalipun tidak direstui suaminya.

8. al-Harari mengharuskan jualan dan belian budak yang merdeka. Dia juga membolehkan orang ramai meninggalkan bayaran zakat dengan wang kertas dan mendakwa wang kertas tidak ada kaitan dengan zakat yang wajib dengan emas dan perak sahaja. Dia juga mengharuskan memakan riba, mengharuskan solat memakai pakaian yang bernajis. (Bughyah al-Tolib: 99)

9. al-Harari juga telah menimbulkan fitnah di Amerika dan Kanada dengan perubahan kiblat, sehingga mereka memiliki masjid yang khas yang mereka ubah arah kiblatnya 90 darjah, dan menjadikan mereka menghadap kiblat yang berlawanan dengan kiblat umat Islam. Mereka juga berkeyakinan bumi bukannya berbentuk globe seperti yang dimaklumi, sebaliknya bumi berbentuk setengah globe seperti bentuk setengah buah oren. Di Lubnan mereka sembahyang bersama dengan kumpulan-kumpulan khusus, selepas selesai para jamaah menunaikan solat.

Samahah al-Syeikh Abdul Aziz bin Baz telah mengeluarkan fatwa yang berbunyi: "Sesunguhnya kumpulan al-Ahbash merupakan kumpulan sesat, ketua mereka Abdullah al-Habasyi terkenal dengan penyelewengan dan kesesatannya. Maka wajib memboikot dan menginkari aqidahnya yang batil. Dan memberi peringatan kepada masyarakat supaya menjauhinya dan tidak mendengar serta menerima apa yang mereka katakan." (nukilan daripada al-Mausu'ah al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa al-Ahzab al-Mu'asarah 1/430, dengan sedikit ubai suai)

Dengan ini diketahui bahawasanya kumpulan ini (Ahbash) adalahsatu kumpulan sesat yang dicurigai yang ganjil dan wajib berhati-hati daripadanya.
Sumber :bankahbash.blogspot.com