IMAN adalah kedua-dua : cahaya dan kekuatan ; dengannya manusia meningkat setinggi-tingginya sehingga mencapai nilai yang melayakkannya ke Syurga. Dengan kegelapan KUFUR, ia jatuh serendah-rendah darjat yang membawanya ke Neraka..
Showing posts with label Kisah keinsafan. Show all posts
Showing posts with label Kisah keinsafan. Show all posts
Sunday, August 18, 2013
'Tak sangka ALLAH balas cepat'
KETIKA saya dan suami berkunjung ke Melaka untuk menziarahi sahabat, kami mengambil peluang singgah ke Kota A Famosa, monumen bersejarah yang menjadi kebanggaan bandar raya pelancongan itu.
Selepas puas menaiki beca keliling bandar, kami singgah ke surau di Bandar Hilir untuk Solat Asar. Ketika itu, panas mentari masih terik walaupun sudah menjengah petang.
Saya duduk di atas bangku menunggu suami yang saya fikir masih belum keluar dari surau. Rupa-rupanya, dia sudah pun bersembang dengan seorang penarik beca tidak jauh dari tempat saya.
Ketika saya menghampiri mereka, perbualan sudah pun tamat. Suami mengiringi langkah pakcik beca itu dengan pandangan seribu makna membuatkan saya hairan dan tidak sabar mahu bertanya.
"Kenapa? Macam serius bersembang?" Soal saya ingin tahu.
Sambil menggeleng-gelengkan kepala, dia mengajak saya masuk ke kereta kerana petang itu juga kami perlu sampai ke Shah Alam atas urusan lain.
“Sembang apa?” Soal saya lagi selepas memasang tali pinggang keledar. Suami masih menggelengkan kepala sambil menjawab,
“Lepas ni, jangan kedekut untuk bersedekah. Malu betul saya dengan pak cik tadi,”
Eh, lain pula yang dia jawab. Saya masih meneka-neka dalam hati. Kenapa pula suami jadi macam ni? Nak tanya lebih-lebih, bimbang terlalu mendesak pula. Akhirnya, saya diamkan sahaja.
Dermakan segumpal wang
Separuh perjalanan suami membuka cerita. Katanya, keluar sahaja dari surau, dia berjalan-jalan untuk melihat orang ramai di situ. Sedang berjalan-jalan, dia disapa seorang kanak-kanak berusia lingkungan 11 tahun.
Kanak-kanak itu menjinjit beg sandang berisi buku agama dan panduan solat sunat. Dia mendekati suami dan seperti yang mungkin anda biasa lalui, dia mempromosikan buku itu atau sekurang-kurangnya minta anda menderma.
Walaupun hairan dengan kewujudan kanak-kanak itu, suami menghulurkan juga RM1 dan menolak untuk membeli bukunya. Dengan langkah berat, kanak-kanak itu beralih pula kepada pakcik beca yang sedang menunggu pelanggan kira-kira 10 langkah daripada suami.
Dari jauh suami memerhati gelagat kanak-kanak itu. Lelaki lewat 50an itu pada mulanya menyerahkan RM5. Tersenyum kanak-kanak itu tadi apabila pakcik beca juga menolak untuk menerima buku daripadanya.
“Pakcik derma saja,” jawab lelaki tua itu.
Selepas kanak-kanak itu pergi, dia menyeluk pula saku seluarnya dan mengeluarkan segumpal RM1 dan RM5. Kalau dicongakkan, mungkin lebih RM20.
“Adik!” Lelaki tua itu menjerit memanggil semula kanak-kanak yang sudah beberapa langkah berlalu darinya. Kanak-kanak itu berpaling dan berlari perlahan mendekati pakcik beca semula.
“Nah ambil ni,” katanya sambil menepuk-nepuk bahu si kecil.
Kanak-kanak itu kelihatan terkejut namun tetap mengucapkan terima kasih dan menghadiahkan senyuman sebelum bersalam mencium tangan pakcik itu, dan berlalu pergi. Ketika itulah suami yang kehairanan mendekati pakcik beca.
Upah naik beca
Suami memberi salam dan disambut mesra pakcik beca. Apabila suami amati, lelaki itulah yang membawa kami bersiar-siar tadi.
“Saya perhatikan pakcik, mula-mula pak cik beri RM5, lepas tu beri lagi segumpal duit. Banyak tu. Kenapa ye?” Suami bertanya.
Dengan senyuman lelaki tua itu menjawab “Saya kesian.”
Jawapan pakcik itu bersahaja tapi ia membuatkan suami lebih hairan.
“Tapi, pak cik pun kerja bawa beca. Itu pendapatan hari ini ke?” soalnya.
“Tak apalah. Saya ni masih kuat lagi. Boleh bawa beca tu cari duit lain. Tapi budak macam tu sepatutnya pergi sekolah. Terpaksa cari duit dengan cara macam tu. Apalah sangat akal seorang budak,” jawabnya lagi.
"Tapi, mana tau ada sindiket ke, menyamar ke, atau..." ujar suami yang mahu memberi alasan lain sebelum pakcik itu tiba-tiba memintas kata-katanya.
"Pak cik tak fikir sejauh itu. Ia urusan ALLAH. kita doa yang baik-baik saja pada mereka," jawabnya.
Suami terpempan dengan jawapan pakcik beca. Melihat pakcik beca mahu berlalu, suami hulur sedikit wang kepada pakcik itu, tapi dia menolak. Suami paksa juga sambil bersalam dan menyelit wang di celah-celah tangannya.
“Pakcik anggap saja sebagai upah bawa saya dan isteri naik beca tadi,” kata suami memujuk pak cik itu untuk menerima pemberiannya.
Dengan senyuman pak cik itu menjawab, “Pakcik sedekah tadi ikhlas dan tak minta balasan. Tak sangka secepat ini ALLAH balas sedekah pakcik,” katanya.
Kenyataannya buat suami rasa terpukul apatah lagi membandingkan kemampuan kami dengan pak cik beca yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itu. Saya pula kelu seribu bahasa.
Memang betul kata pakcik itu. Kadang-kadang, bila ada yang minta sedekah, ada saja suara hati yang melarang dengan kata-kata seperti mungkin sindiket, kenapa tak kerja, duit hanya cukup untuk bulan ini dan pelbagai alasan lain yang mengehadkan saya daripada bersedekah.
Teringat pesan emak, dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Banyakkan memberi walaupun hanya RM1. Anda bagaimana? Setiap detik yang kita lalui itu ketentuan ALLAH. Dia menghantar kanak-kanak kecil menjual tasbih mahupun buku untuk menguji kita. Untuk memberi kita peluang berbuat pahala dan mengurangkan dosa.
Anggap saja, mungkin kita sudah lama tidak bersedekah hingga ALLAH datangkan mereka betul-betul di hadapan mata. Soal sindiket atau tidak, tipu atau sebagainya, itu bukan urusan kita. ALLAH Maha Mengetahui.
http://www.sinarharian.com.my/tak-sangka-allah-balas-cepat-1.193146
Sunday, June 3, 2012
KISAH KEINSAFAN: Jutawan, Pengasas Bank Al-Rajhi Yang Memilih Untuk ‘Miskin’
Jutawan Arab Saudi yang berjaya mengubah hidup beliau daripada seorang rakyat miskin hingga berjaya mengumpul kekayaan, Sulaiman Al-Rajhi, merupakan seorang dermawan yang terkenal di dunia.
Beliau adalah pengasas Bank Al-Rajhi, bank Islam terbesar di dunia, dan salah satu daripada syarikat terbesar di Arab Saudi.
Sehingga 2011, kekayaan beliau telah dianggarkan oleh majalah Forbes, bernilai sebanyak AS$ 7.7 bilion sekali gus disenaraikan sebagai orang ke-120 yang terkaya di dunia.
Yayasan Saar milik beliau adalah sebuah organisasi amal yang terkenal di negara tersebut.
Keluarga Al-Rajhi dianggap sebagai salah satu daripada keluarga kaya yang BUKAN daripada keluarga diraja, dan mereka adalah antara dermawan terkemuka di dunia.Keadaan tersebut terjadi apabila beliau memindahkan kesemua aset yang dimiliki kepada anak-anak beliau dan mendermakan aset-aset yang selebihnya.
Walaupun Al-Rajhi adalah seorang jutawan, tetapi beliau memilih untuk menjadi ‘miskin’ sehinggakan beliau tidak mempunyai sebarang wang dan juga saham yang dimiliki beliau sebelum ini.
Bagi menghargai jasa beliau terhadap dunia Islam, termasuk mengasaskan bank Islam terbesar dunia dan juga segala usaha yang dijalankan untuk membasmi kemiskinan, Al-Rajhi telah dipilih untuk menerima Anugerah Antarabangsa Raja Faisal atas jasa beliau kepada Islam.
Dalam satu wawancara yang dibuat oleh Muhammad Al-Harbi dari Al-Eqtisadiah Business Daily, Al-Rajhi menceritakan tentang bagaimana beliau mampu meyakinkan ketua-ketua bank di dunia, termasuk Bank of England, hampir 30 tahun lalu, bahawa bayaran ‘faedah’ adalah sesuatu yang haram bagi kedua-dua agama iaitu Islam dan Kristian, dan bank secara Islam adalah penyelesaian yang terbaik bagi menaikkan taraf ekonomi dunia.
Kisah Al-Rajhi berkisarkan tentang bagaimana seseorang itu meraih kekayaan dari bawah.
Beliau terpaksa melalui kesusahan ketika beliau kecil sebelum menjadi kaya, dan kemudiannya meninggalkan segala harta yang ada setelah mengecapi kejayaan.
Al-Rajhi masih lagi aktif dalam bekerja walaupun usia beliau telah mencecah lebih daripada 80 tahun.
Beliau memulakan tugas harian sejurus selepas solat Subuh dan terus bekerja hingga selepas solat Isyak.
Beliau kini sedang memberikan tumpuan terhadap Yayasan SAAR, dengan berulang-alik di negara-negara Arab bagi menguruskan segala hal-hal yang berkaitan dengan yayasan tersebut.
Beliau sering membawa diari kecil untuk mencatatkan aktiviti harian beliau dan sentiasa memastikan tidak akan terlepas dari satu aktiviti pun.
Al-Rajhi juga merupakan seorang yang amat berjaya dalam apa jua bidang yang beliau ceburi.
Selain daripada mengusahakan bank Islam terbesar dunia, beliau juga telah mengasaskan ladang binatang ternakan yang terbesar di Timur Tengah.
Daripada segi perladangan, beliau telah menjalankan banyak eksperimen ternakan secara organik di negara-negara Arab, termasuk perladangan udang Al-Laith. Beliau juga turut mengasaskan perniagaan hartanah dan juga beberapa lagi pelaburan.
Temubual:
Sheikh Suleiman, adakah anda kini telah menjadi miskin semula?Ya. Kini apa yang saya miliki hanyalah pakaian-pakaian saya. Saya telah membahagikan harta saya kepada anak-anak dan juga mendermakan selebihnya untuk menjalankan projek-projek amal. Ini bukanlah sesuatu yang aneh bagi saya. Kedudukan kewangan saya kini telah menjadi kosong sebanyak dua kali dalam hidup saya. Jadi, saya amat faham akan keadaan ini. Namun, kini perasaan itu dipenuhi dengan kegembiraan dan juga ketenangan. Sememangnya saya yang memilih untuk menjadi miskin.
Mengapa berbuat begitu?
Segala kekayaan dimiliki oleh Allah s.w.t, kita hanyalah ditugaskan untuk menjaga kekayaan tersebut. Ada beberapa sebab mengapa saya memilih untuk memilih jalan ini. Antara sebab-sebab utamanya adalah saya perlu menjaga sahabat-sahabat Islam dan juga anak-anak saya. Ia adalah antara perkara yang paling penting dalam hidup. Saya juga tidak suka untuk membuang masa di mahkamah hanya kerana ada antara mereka yang tidak bersetuju dengan jumlah harta yang diwariskan kepada mereka. Terdapat banyak contoh di mana anak-anak mula berpecah hanya kerana harta yang kemudiannya menghancurkan syarikat. Negara ini telah banyak kehilangan syarikat-syarikat besar kerana perbalahan harta yang boleh diselesaikan jika kita mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan. Selain daripada itu, setiap umat Islam perlu bersedekah sebagai bekalan pahala di akhirat kelak, Jadi, saya lebih suka jika anak-anak saya mencari kekayaan sendiri daripada bergantung dengan saya.
Adakah Sheikh mempunyai banyak masa terluang setelah membahagikan kesemua harta?
Seperti yang telah saya maklumkan tadi, saya masih lagi bekerja keras untuk mendapatkan lebih derma. Saya telah bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menjayakan projek ini. Secara kebiasaanya, umat Islam sering membahagikan satu per tiga ataupun suku daripada kekayaan mereka untuk bersedekah yang hanya akan diberikan setelah mereka meninggal dunia. Namun, bagi saya, saya mahu mula bersedekah ketika saya masih hidup. Jadi, saya telah membawa anak-anak saya ke Mekah pada hujung bulan Ramadhan dan memberitahu mereka idea saya. Mereka bersetuju terhadap idea tersebut. Saya telah meminta bantuan daripada agensi-agensi yang berkaitan untuk membahagikan kesemua harta saya termasuk saham dan juga hartanah kepada anak-anak dan juga untuk didermakan. Kesemua anak-anak saya berpuas hati terhadap inisiatif saya dan mereka kini sedang menguruskan segala harta yang saya berikan kepada mereka.
Berapa banyak harta yang dibahagikan kepada anak-anak dan juga untuk didermakan?
Beliau tergelak tanpa memberi sebarang jawapan.
Apakah perasaan Sheikh terhadap kesemua projek yang sedang dijalankan?
Saya ingin menegaskan bahawa terdapat beberapa faktor yang saya ambil sebelum melakukan sebarang pelaburan. Eksperimen yang saya lakukan terhadap pertukaran wang adalah salah satu daripada sebab mengapa saya mengasaskan bank. Ketiadaan bank Islam juga menjadi antara sebab mengapa saya mula mengasaskan Bank Al-Rajhi, yang kini merupakan bank Islam terbesar di dunia.
Saya mulakan eksperimen saya dengan membuka pejabat di Britain dimana kami mula memperkenalkan sistem perbankan Islam ke peringkat yang lebih besar. Eksperimen tersebut kemudiannya mula berkembang dan ia mula mendapat sokongan daripada ulama-ulama Saudi pada ketika itu. Saya masih ingat lagi bagaimana permohonan saya untuk mendapatkan lesen untuk membuka bank tidak diterima pada mulanya. Ini adalah kerana pihak British tidak memahami apa-apa pun tentang sistem perbankan Islam.
Saya kemudiannya pergi ke London dan berjumpa dengan Pengurus Bank of England dan dua daripada pegawai kanan beliau. Saya memberitahu mereka bahawa penggunaan faedah adalah haram bagi Islam dan juga Kristian dan kebanyakan daripada mereka sanggup menyimpan wang mereka di dalam kotak di rumah daripada menyimpan di dalam bank. Saya cuba untuk meyakinkan mereka bahawa (jika mereka mula membuka bank Islam) ini mampu menaikkan taraf ekonomi dunia.
Mereka akhirnya bersetuju untuk mula membuka bank-bank Islam. Saya kemudiannya mula mengembara ke serata dunia di bahagian Timur dan Barat, dan berjumpa dengan ketua-ketua bank negara di beberapa buah negara dan memberitahu mereka bagaimana ciri-ciri yang terdapat dalam dunia ekonomi Islam. Kami mula bekerja dan mencapai kejayaan di negara-negara Arab dan melaksanakan perbankan Islam di London, saya kemudiannya berjumpa dengan Mufti Besar Sheikh Abdul Aziz bin Baz dan Sheikh Abdullah bin Humaid, dan memberitahu mereka tentang rancangan saya bahawa : ‘Kita mampu, dengan izin Allah, memajukan perbankan Islam. Mereka memuji saya atas inisiatif yang saya jalankan.
Dari situlah kami mula mengusahakan Bank Al-Rajhi seperti mana yang anda dapat lihat hari ini. Bagi projek Ladang Ternakan Al-Watania pula, saya mula mendapat inspirasi untuk menjalankan projek tersebut apabila melawat ladang ternakan di luar negara. Saya dapati bahawa cara mereka menyembelih adalah salah.
Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk melabur dalam bidang ternakan atas nama Islam dan negara. Saya tetap menjalankan projek tersebut walaupun membuat pelaburan dalam industri ternakan adalah sesuatu yang agak berisiko pada masa tersebut. Kini, Al-Watania telah menjadi salah satu daripada projek mega di Saudi. Syarikat tersebut mendapat 40 peratus daripada saham di negara-negara Arab, dan ayam-ayam Al-Watania diberikan makanan yang cukup dan disembelih dengan cara yang halal menurut undang-undang syariah.
Walaupun dengan semua kekayaan yang dimiliki, mengapa syeikh tidak mempunyai satu pun kapal terbang sendiri?
Saya ada banyak kapal terbang, tetapi kesemuanya dimiliki oleh syarikat-syarikat penerbangan tertentu. Saya memilikinya setiap kali saya membayar tiket penerbangan untuk ke satu-satu destinasi (gurauan). Saya sering terbang dengan kadar kelas ekonomi kerana Allah tidak memberikan kita harta untuk ditunjuk-tunjuk.
Bagaimana pula dengan hobi syeikh?
Saya tidak mempunyai sebarang hobi yang khusus. Bagaimanapun, saya suka mengembara di padang pasir. Saya tidak pernah mengambil pakej percutian di negara-negara lain selain dari Saudi.
Ketepatan masa Al-Rajhi
Wawancara ini telah menunjukkan bagaimana disiplin Al-Rajhi dalam menepati masa. “Pada awal karier saya dalam industri, saya mempunyai beberapa perjumpaan dengan beberapa syarikat besar di Eropah. Saya masih ingat lagi kisah dimana saya terlambat selama beberapa minit dalam satu perjumpaan dengan salah seorang pegawai besar sebuah syarikat. Walaupun hanya beberapa minit, beliau tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut. Selepas kejadian tersebut, setelah projek kami mula berkembang, pegawai yang sama pula lambat untuk berjumpa dengan saya, jadi, saya pula yang tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut. Saya sering membawa kertas untuk menulis segala perjumpaan dan urusan dan sentiasa memastikan agar saya sering menepati masa walau apa pun.”
Al-Rajhi berkata lagi: Saya amat menepati segala perkara yang diterapkan dalam Islam sepanjang hidup saya. Saya pernah mendapat undangan daripada kerajaan Arab untuk menghadiri satu persidangan yang berkaitan dengan pelaburan. Kemudiannya, dalam persidangan yang sama, saya dijemput untuk mengambil bahagian dalam majlis makan malam mereka, saya dapati bahawa antara aktiviti yang dijalankan ketika majlis tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Saya kemudiannya keluar dari majlis makan malam tersebut. Kemudian, Abdul Aziz Al-Ghorair dari UAE turut serta bersama saya. Tidak lama selepas itu, menteri yang bertanggungjawab terhadap persidangan tersebut datang kepada kami dan kami mula menerangkan kepada beliau bahawa aktiviti yang dijalankan di majlis tersebut adalah bertentangan dengan budaya Islam. Beliau kemudiannya berkata bahawa aktiviti-aktiviti di majlis tersebut akan dibatalkan. Apabila mereka membatalkan aktiviti tersebut, kami kembali menyertai majlis tersebut
.
Penyelesaian Masalah
Al-Rajhi berkata: Pada satu masa, salah satu daripada kilang yang diuruskan oleh anak saya habis dijilat api. Apabila dia datang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada saya, saya memberitahu: Sebut Alhamdulillah. Saya meminta anak saya supaya tidak membuat sebarang laporan tentang kerugian yang dialami bagi meminta pampasan daripada pihak berkuasa. Sebaliknya, pampasan yang diberikan oleh Allah adalah lebih penting bagi kita. Assam Al-Hodaithy, Pengurus Kewangan bagi syarikat Ternakan Al-Watania berkata: “Apabila kilang tersebut terbakar, kami telah membuat keputusan untuk tidak menyakiti hati Al-Rajhi dengan memberitahu beliau tentang apa yang terjadi. Kami kemudiannya berjumpa dengan beliau keesokan harinya dan memberitahu akan perkara yang terjadi, beliau mengarahkan kami untuk berpindah ke tempat lain dan membersihkan segala kerosakan sehingga semuanya dibaiki.” Perkara yang sama terjadi di satu lagi projek Al-Watania di Mesir. Syarikat tersebut kerugian kira-kira SR10 juta Pound Mesir. Apabila pegawai projek tersebut menghubungi Al-Rajhi untuk memberitahu perkara tersebut, beliau terkejut apabila Al-Rajhi menjawab dengan menyebut: “Alhamdulillah.”
– Mynewshub.my
Artikel dlm bahasa Arabnya : http://www.aleqt.com/2012/05/25/article_660246.html
Subscribe to:
Posts (Atom)


