Showing posts with label Taqwa. Show all posts
Showing posts with label Taqwa. Show all posts

Saturday, October 30, 2010

Simpang TAQWA...




assalamu'alaikum wr wb..

Ukhwah fi dden....mari kita mengulangkaji mengenai makna takwa, di mana dalam artikel yang lalu perbincangan kta berkisar perkataan muttaqin yang bererti orang yang bertaqwa..., dan kali ini kita akan m berkongsi bagaimana meperhaluskan lagi makna taqwa , sila ikuti ;


"Apa itu taqwa?" tanya Umar al-Khattab kepada Ubai bin Ka'ab Radhiyallahu 'anhuma.

"Pernah kamu susuri jalan yang penuh duri?" balas Ubai dengan suatu pertanyaan yang menduga.

"Pernah saja," jawab Umar.

"Apa yang kamu lakukan?" pintas Ubai.

"Aku angkat sedikit pakaianku, dan melangkah dengan hati-hati," jawab Umar lagi.

"Itulah taqwa!" simpul Ubai bin Ka'ab terhadap soalan Umar al-Khattab tentang taqwa.

Halus perbincangan taqwa ianya seolah-olah satu jisim yang menyerupai bakteria ikhlas. Diibaratkan sebagai seekor semut hitam di lorong yang gelap, tiada siapa yang menyedari kehadirannya melainkan Allah s.w.t, kerana itu ikhlas dijadikan rahsia simpanan kepada asas pertimbangan neraca mizan kelak.

Ikhlas bukan sahaja boleh rosak atau batal di awal perbuatan iaitu pada niatnya namun kata- kata, tindak-balas pada reaksi atau komen orang lain juga sedikit sebanyak menggugat ikhlas kepada amalan tersebut.

Ikhlas bererti suci dan murni tanpa noda melainkan disandarkan hanya pada Yang Esa. Namun, perkongsian kali ini bukanlah berkisar mengenai ikhlas sebaliknya pemahaman tentang konsep taqwa dalam iman.

Seorang muslim itu beriman jika dia bertaqwa dan bukan hanya kerana memegang pangkat yang tinggi atau memiliki bakat yang hebat atau kerana keturunannya yang disanjung.

Sebaliknya Allahs.w.t telah firman ;

"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)" (Surah Al-Hujurat ayat 13)

Definisi taqwa bermula dari kalimah waqa- yaqi- wiqoyah yang membawa maksud memelihara, melindungi, takut dan berjaga- jaga. Sesuai dengan pemahaman mendalam terhadap definisi tersebut bahawa taqwa berperanan sebagai penjaga diri dan pelindung tetapi bukan penakut kepada diri seorang muslim.

Sebaliknya di dorong rasa 'takut' kepada Allah s.w.t dengan sentiasa berusaha untuk mentaati segala suruhan dan menjauhi larangan-Nya malah yang paling utama berkorban untuk menjunjung syariat yang diturunkan dan bukan bersifat mempersendakannya atau mengabaikannya atau meringankan sesuatu hukum biarpun sudah mengetahui mengenainya secara teliti dan jelas.

Di situlah taqwa berfungsi iaitu dalam merasakan kemanisan iman dan tidak berasa susah untuk menurutinya walaupun jika menurut pandangan akal manusia ia adalah perbuatan yang sukar seperti bertudung, solat dan puasa serta lainnya.

Seruan taqwa setiap minggu dilaungkan oleh Khatib dalam Khutbah Jumaat malah ia adalah rukun khutbah. Saya yakin setiap muslim menyedari kedudukan 'rukun' dalam pelaksanaan ibadah. Oleh yang demikian, secara tidak langsung membuktikan bahawa peringatan taqwa adalah amat penting untuk sekalian muslim supaya diterapkan dalam kehidupan dan bukan hanya disimpan dalam telinga setiap minggu namun kefahaman mengenainya terus dipekakkan.

Allah telah berfirman dalam surah ali-Imran ayat 102 yang bermaksud ;

" Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. "


Bagaimana?

Jawapan mudah yang boleh diringkaskan iaitu berilmu, beramal soleh dan beriman. Renung- renungkan perkara ini di mana tahapnya pada diri kita. Melalui perkara ini seorang muslim mungkin dapat melihat penilaian koreksi taqwanya samada pada tahap ;

  • Taqwa awwam - masih terpengaruh dgn nafsu amarah walaupun mujahadah masih ada.
  • Taqwa khawas - terdedah kepada nafsu lawwamah, menerima virus maksiat batin dan menyemai mazmumah walaupun ia mengetahui ketuanan sifat- sifat tersebut menyumbang kepada kerugian amal dan kerapuhan titian menuju redha-Nya.
  • Taqwa khawasul khawas - nafsu mutmainnah iaitu jiwa yang tenang daripada maksiat zahir dan batin

Setiap tahap ini meletakkan batu perbezaan pada satu sempadan iaitu nafsu, semakin tinggi dan kukuh sempadan nafsu semakin rendah kedudukan taqwanya kerana sempadan nafsu telah menutupi penglihatan iman untuk melihat simpang taqwa dan membiarkan ilmu tergadai di 'kedai kejahilan' sekaligus menurunkan 'had kelajuan' amal soleh untuk ke simpang itu.

Sememangnya sukar untuk membawa diri ke simpang itu namun sedarilah bahawa kesusahan itu hanya sebentar iaitu tatkala nyawa dikandung badan, tapi apabila nyawa meninggalkan jasad segala kesusahan itu juga yang menjadi kebahagiaan yang abadi.

Jika kita takut atau terlalu memanjakan perasaan dan jiwa duniawi pada usia yang berbaki ini, cepatlah ingatkan semula atau muhasabah kembali bahawa tiada hidup kedua atau nyawa kedua setelah ia berakhir.

Awalnya mungkin terasa berat namun apabila ia dihidayahkan Allah s.w.t akan terasa kemanisan iman, saat itu senyuman taqwa dan tawa iman akan terus menemani hari- harimu.

Sesungguhnya janji Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud ;

"Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan. " (Surah ali-Imran ayat 120)

Allah pelindung,

Allah jua pemelihara,

Biar susah tidak terbendung,

kerana cinta-Nya ku gagahi jua.

Tuntutlah ilmu walau ke Negeri China,

Teruskan ia hingga ke hujung,

SIMPANG TAQWA simpang redha-Nya,

Iman, ilmu dan amal menjadi penghubung.

sumber : i love Islam.

Tuesday, October 26, 2010

BerTAKWAlah di mana jua anda berada...


Bertakwalah kepada Allah di mana jua anda berada..







Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas pembawa rahmat ke seluruh alam, keluarga dan para sahabat semuanya.



Saudaraku yang dimuliakan,

Kita berpeluang menjalani kehidupan yang singkat ini di dalam dakapan sunnah nabi saw dan hadithnya yang suci. Riwayat daripada Abu Zar r.a bahawa nabi saw telah bersabda:


“Bertakwalah di mana saja kamu berada, dan susulilah perbuatan dosa dengan amalan yang baik, nescaya amalan yang baik itu akan memadamkannya. Dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik”. (Tirmizi)



Hadith ini telah menghimpunkan prinsip hubungan bagi muslim di dunia, iaitu mencakupi hubungan tiga segi:

Hubungan yang pertama
ialah dengan Tuhannya dan Khaliqnya iaitu Allah SWT berdasarkan pernyataan nabi: “Bertakwalah di mana saja kamu berada”.

Hubungan dengan dirinya sendiri berdasarkan pernyataan nabi:

“dan susulilah perbuatan dosa dengan amalan yang baik, nescaya amalan yang baik itu akan memadamkannya”, dan

hubungannya dengan semua manusia berdasarkan pernyataan nabi:

“Dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik”.

1. Hubungan manusia dengan Allah

Tidak dapat dinafikan bahwa setiap hubungan ini saling berkait antara satu sama lain. Terutama hubungan manusia dengan Allah SWT yang semestinya wujud dan baik supaya rentetan dari itu hubungan manusia dengan dirinya baik dan kemudian hubungannya dengan orang lain (masyarakat) pun baik. Begitu juga tidak dinafikan bahwa hadith ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan apa yang diusahakan manusia ketika ini dan banyak hadith telah membicarakannya iaitu tentang isu pembaikan dan perubahan.

“Bertakwalah di mana saja kamu berada”. Bermaksud seorang muslim semestinya merasai kebersamaan Allah pada setiap masa..segelintir manusia menyangka bahawa orang yang berpegang dengan agama terbatas maknanya dalam ruang lingkup yang sempit dan terkepung antara dua dinding masjid. Salah seorang dari mereka bertanya: Adakah anda seorang yang berpegang dengan agama? Maka dengan segera ia menyambut tangannya dengan penuh perasaan sambil berkata: Al-Hamdulillah, saya solat dan saya tidak mengabaikan yang fardu, saya puasa Ramadhan, kalau saya memiliki harta saya pasti membayar zakat dan menunaikan haji. Setengah yang lain pula berkata: Saya telah menunaikan haji beberapa kali.


Kemudian apa pula selepasnya, apakah pula kesan Islam di dalam kehidupannya? Apakah pula kesan perlaksanaan ibadah-ibadah ini di dalam reality dirinya dan kepada orang lain?

Kenapa nabi saw tidak berkata: Bertakwalah kamu di dalam masjid, atau bertakwalah kepada Allah semasa kamu menunaikan ibadah atau semasa kamu menunaikan syiar-syiar ibadat, sebaliknya nabi bersabda: “Bertakwalah di mana saja kamu berada”..bertakwalah kepada Allah semasa kamu berniaga dengan menjadi peniaga yang jujur dan amanah supaya suatu hari nanti akan dikumpulkan bersama para nabi, siddiqin, syuhada’ dan salihin. Jikalau kamu seorang pembeli atau pengguna, maka kamu hendaklah menunjukkan tanda jualbeli yang penuh takwa seperti yang dinyatakan oleh nabi saw:

“Penjual dan pembeli diharuskan membuat pertukaran (kerana terdapat kerosakan atau kecacatan pada barang jualan) selagi belum berpisah, kerana sekiranya kedua-duanya jujur dan berterus terang pastilah akan memperolehi keberkatan dalam jual beli tersebut. Tetapi sekiranya kedua-duanya berdusta dan menyembunyikan sesuatu kerana mahukan sesuatu keuntungan, maka perbuatan itu merosakkan keberkatan jualbelinya itu”.


Bertakwalah di sekolah anda seandainya anda seorang pelajar, guru, kakitangan pejabat atau pentadbir sekolah..
Bertakwalah di fakulti anda seandainya anda seorang pensyarah atau dekan atau apa jua jawatan anda.

Bertakwalah di kilang anda, bertakwalah di bengkel anda, bertakwalah di syarikat anda, bertakwalah di pejabat anda, dalam semua bidang dan di semua tempat.. “Bertakwalah di mana saja kamu berada”, di mana-mana tempat anda berada, dalam apa jua keadaan anda hendaklah sentiasa bermuraqabah kepada Allah SWT.


Antara contoh perasaan kebersamaan Allah:

Saya nyatakan satu peristiwa mengenai seorang pengembala muda ketika Saidina Umar r.a menemuinya seperti di dalam satu riwayat atau bersama sekumpulan sahabat dalam riwayat yang lain.

Saidina Umar ingin menguji pemuda itu untuk mengetahui sejauh mana dekatnya dengan Allah dan sejauh mana hubungannya dengan Allah.

Umar berkata kepada pemuda itu:

“Wahai pemuda, kami telah berjalan selama beberapa hari di padang pasir. Kami benar-benar kelaparan. Berikanlah kami seekor kambing supaya kami boleh memakannya dan ambillah wangnya untuk perbelanjaan dirimu. Katakanlah kepada tuan kambing bahawa serigala telah membahamnya”..

Tentu jika dia mahu berbuat maksiat dia pasti beroleh keuntungan dan penyelewengan ini tentu mendatangkan kebaikan untuk dirinya..tetapi lihatlah kepada sifat muraqabah “Bertakwalah di mana saja kamu berada”

Apakah yang diperkatakan oleh pemuda yang bertakwa lagi tulus ini?
Pemuda itu tidak mengenali bahawa beliau ialah Umar Amirul mukminin dengan berkata:

Seandainya saya mampu berdusta kepada pemilik kambing bagaimana pula saya mampu berdusta kepada Tuhanku dan Tuhan pemilik kambing?”


Saidina Umar tahu bahwa pemuda ini seorang yang bertakwa, suci bersih dan bermuraqabah dengan Allah yang menghayati hadith nabi saw: “Bertakwalah kepada Allah di mana saja kamu berada”.

Saidina Umar ingin memberi ganjaran kepadanya. Lantas Saidina Umar bertemu tuannya untuk membeli pemuda ini dan sekumpulan kambing miliknya semua dan memerdekakannya kerana mengharapkan keredhaan Allah dan memberi sekumpulan kambing itu sebagai hadiah kepadanya selepas enggan mengambil harga seekor kambing yang diharamkan, kini sekumpulan kambing menjadi miliknya dan lebih dari itu kini beliau merdeka daripada menjadi hamba.


Saidina Umar berkata kepada pemuda itu:

“Saya telah memerdekakan kamu kerana perkataan kamu di dunia dan saya berdoa kepada Allah supaya membebaskan kamu daripada azab neraka”.


2. Hubungan manusia dengan dirinya

Namun begitu kadang kala ada orang berkata: Kita bukan malaikat dan kita bukan terpelihara daripada melakukan sebarang kesalahan, kita hanya manusia biasa yang tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan, yang boleh melakukan ketaatan dan maksiat.

Saya mampu menyantuni anak yatim dan saya mampu mengeluarkan sedekah dan mungkin juga saya mampu mengasari atau memukulnya .

Tidak dinafikan bahawa manusia kadang kala terjebak dengan maksiat dan kadang kala menyimpang dari jalan yang benar. Oleh itu apa yang patut kita buat?

Benar seorang muslim bukan terpelihara daripada melakukan kesalahan: Dalam petikan kedua hadith, ianya berkaitan hubungan manusia dengan dirinya sendiri.


Ya, anda bukan seorang yang terpelihara dari melakukan kesilapan dan kesalahan, anda hanya seorang manusia.

Justeru seadainya ada telah terjebak ke dalam maksiat atau terjerumus kepada penyimpangan , segeralah kembali ke pangkal jalan dan cepat bertaubat kepada Allah:

“dan susulilah perbuatan dosa dengan amalan yang baik, nescaya amalan yang baik itu akan memadamkannya”.


Sebaliknya jikalau terus kekal dengan kesalahan dan tidak disusuli dengan amalan baik bahkan ditambah dengan kesalahan yang lain, kemaksiatan yang ke tiga dan penyimpangan yang ke empat, maka akan bertimbunlah penyimpangan itu di dalam hati manusia dan akhirnya menutupi hatinya (kita mohon keampunan dan pemeliharaan daripada Allah) seperti yang diingatkan oleh Allah:

“Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka”. (Al-Mutaffifin:14 )


Orang yang bijak, cerdik dan pintar ialah apabila terjerumus kakinya ke dalam kancah maksiat dan terjebak dengan penyimpangan, maka dia segera bertaubat. Pintu Allah tidak pernah tertutup untuk menerima penuntutnya sampai bila-bila. Cukuplah Allah pernah berpesan bukan sahaja kepada pelaku maksiat bahkan kepada orang-orang yang berlebih-lebihan dan melampai batas dalam maksiat bahwa pintu rahmat Allah masih dibuka untuk mereka.

Firman Allah:

“Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Az-Zumar: 53)


Sebaik-baiknya , perbuatan dosa hendaklah disusuli dengan amalan yang baik, nescaya amalan yang baik itu akan memadamkannya.


Di antara kemuliaan Allah ialah menjadikan untuk kita pintu taubat yang sentiasa terbuka pada setiap masa. Firman Allah:

“Dan Dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat”. (Hud: 114)



3. Hubungan individu dengan orang di sekelilingnya


Seandainya seseorang baik hubungannya dengan Allah, diikuti hubungan yang baik dengan dirinya sudah tentu hubungan dengan manusia akan berlaku suatu hubungan yang terbina di atas manhaj Allah.

Maka tibalah potongan yang ketiga:

Dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik”.


“Bergaullah dengan manusia”: wanita, semestinya aku menggauli dan melayani isteriku dengan baik, anak-anakku, jiranku, teman sekerjaku, kaum kerabatku, semua manusia mesti aku melaninya dalam bentuk yang diredhai Allah.

wallahu 'alam.
Selamat beramal.

by: Dr. Yassir Abu Syabanah

Saturday, October 23, 2010

MUTTAQIN - orang yang bertakwa...


Tercapaidan terpeliharakahtaqwa kita.....?

"ya Allah...berikanlah diriku ini TAQWAnya, dan sucikanlah ia ...Engkaulah sebaik2 yang menyucikannya , Engkaulah walinya dan Engkaulah Maulanya (sbenar2nya yang memberi pertolongan dan perlindungan kepadanya )"-maksud al Hadis

"Erti "Muttaqin" yang paling mudah ialah orang yang BERIMAN dan BERAMAL SOLEH....seperti yang dijelaskan dalam surah AnNisa 4 : 124 , ertinya :
"barangsiapa yang mengerjakan amalan-amalan soleh, dari kalangan lelaki maupun wanita dan dia BERIMAN maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka tidak akan dianiaya sedikitpun."
....Dan untuk mereka inilah Syurga itu disediakan.

Orang yang bertakwa atau muttaqin adalah segolongan hamba yang paling istimewa dan paling mulia di sisi Allah ‘Azza wa Jalla. Hal ini ditegaskan di dalam firman-Nya yang bermaksud:

“...Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu,...”

(Al-Hujurat 49:13)


Orang yang bertakwa juga merupakan golongan yang diperakui berada di atas jalan yang benar dan termasuk dalam golongan mereka yang mendapat kemenangan. Di permulaan surah al-Baqarah, setelah menyebut beberapa ciri yang ada pada mereka yang bertakwa, Allah taala mengakhiri dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya.”

(Al-Baqarah:5)


Kejayaan dan keberuntungan yang diperoleh oleh mereka yang bertakwa bukan sahaja berupa kejayaan di akhirat. Sebaliknya Allah taala telah menjamin berbagai-bagai nikmat, ‘inayah dan ma’unah semasa hidup di dunia lagi.

Antaranya:

1. Disediakan jalan keluar daripada segala kesempitan dan permasalahan yang melanda dan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak diduga. Firman-Nya bermaksud:

“...dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya...”

(At-Talaq 65: (2-3)

2. Tidak mudah terpedaya hasutan syaitan. Allah ‘Azza wa Jalla akan sentiasa melindungi mereka daripada terjebak ke dalam kesesatan yang cuba diperdaya oleh syaitan durjana. Firman Allah bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan daripada syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).

(Al-A’raf 7: 201)

3. Allah akan menampakkan mereka perbezaan antara yang benar dan yang salah. Dengan yang demikian mereka akan terpelihara daripada tergelincir ke lembah dosa dan maksiat. Firman Allah (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.”

(Al-Anfal 8: 29)


Selain mendapat anugerah yang begitu besar di dunia, mereka disediakan pula ganjaran yang tidak ternilai hebatnya di akhirat kelak. Ganjaran-ganjaran itu digambarkan dengan cukup indah dan mendamaikan dalam banyak ayat yang terkandung dalam al-Quran.

Antaranya:

1. Diampuni dosa dan diberikan cahaya menerangi perjalanan di akhirat kelak sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad), supaya Allah memberi kamu dua bahagian daripada rahmat-Nya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak) serta diampunkannya dosa kamu, dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(Al-Hadid 57: 28)

2. Disediakan syurga yang indah tidak terkata:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur; Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman; mereka tidak mendengar di dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta sebagai balasan daripada Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikan-Nya).”

(An-Naba’78: 31-36)


Bagaimana memperoleh dan memelihara takwa?

Allah ‘Azza wa Jalla telah menunjukkan jalan bagaimana mencapai takwa dan bagaimana memeliharanya. Sebelum itu, perlu difahami terlebih dahulu apa maksud takwa yang sebenarnya.

Ibn Kathir meriwayatkan bahawa menurut Ibn ‘Abbas radiallahuanhu., orang yang bertakwa itu ialah orang beriman yang memelihara diri daripada syirik dan mentaati Allah dengan mengerjakan suruhan-Nya.

Al-Hasan al-Basri pula berkata, orang yang bertakwa ialah mereka yang memelihara diri daripada perkara yang diharamkan Allah dan melaksanakan apa yang difardhukannya.

Imam at-Tirmizi meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:

“Seseorang hamba itu tidak sampai ke darjat muttaqin sehingga dia meninggalkan perkara yang tidak berdosa kerana takut terjerumus melakukan perkara yang ada dosa”.

Ubai bin Ka’ab r.a. telah membuat satu perumpamaan yang mudah ketika beliau ditanya oleh Umar bin al-Khattab tentang takwa. Beliau bertanya Sayidina Umar, “Pernahkah anda berjalan di suatu jalan yang penuh duri?”, Umar menjawab, “Ya, pernah?” “Lalu, apa yang anda lakukan?” Umar menjawab, “Saya menyinsing kain dan melangkah berhati-hati.” “Maka, itulah dia takwa!”

Maka takwa adalah langkah menjauhkan diri daripada larangan Allah dan berusaha sedaya mampu melaksanakan suruhan-Nya.


Antara jalan untuk mencapai takwa adalah:

1. Berpuasa seperti yang termaktub dalam surah al-Baqarah ayat 183.

2. Menerima dan mengikuti ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Firman Allah bermaksud:

“Dan orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayat petunjuk serta memberi mereka (dorongan) untuk mereka bertakwa.”

(Muhammad 47:17)

3. Menghayati ciri-ciri orang yang bertakwa. Ciri-ciri mereka dinyatakan dalam beberapa ayat. Antaranya terkandung dalam surah az-Zariat yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ditempatkan dalam beberapa taman syurga, dengan mata air terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).

(Az-Zariat 51:15-19)

Mudah-mudahan peringatan yang serba ringkas ini dapat membantu kita mencapai takwa dan sentiasa memeliharanya.

sumber :Utzh Maznah Daud.