Soalan: Apa keburukan menukar pemerintah dengan cara undi yang aman (bukan memerangi)?
Jawapan:
Tidak ada mana-mana pemerintah yang mahu ditukar. Syariat Islam
apabila mewajibkan sesuatu atau melarang sesuatu, di antara aspek-aspek
yang diraikan adalah sifat fitrah manusia. Tidak ada manusia yang
apabila sudah sampai ke satu jawatan walaupun barangkali dia memang
tidak elok (tidak layak memegang jawatan itu), dia suka orang lain
mengganggu gugat kedudukannya.
Kita tidak perlu memandang jauh. Contoh paling dekat ialah Imam di
masjid. Adakah dia suka kalau ada orang lain datang ingin menggantikan
tempatnya sebagai imam? Syariat Islam menitik beratkan bukan sahaja
aspek luaran bahkan juga aspek psikologi, kerana itu Syariat Islam
melarang, sebagaimana Sabda Rasulullah
sallallahu ‘alaihi wasallam,
لا يؤم الرجل الرجل في سلطانه
“Jangan ada seorang lelaki hendak menjadi imam bagi seorang lelaki di tempat kekuasaannya.”
(Riwayat Muslim dan Ahmad)
Maknanya jangan ada seseorang itu hendak menjadi imam di satu tempat
yang sudah ada imam. Barangkali seseorang itu suaranya lebih sedap dan
dia lebih layak menjadi imam, tetapi Islam menitikberatkan soal
penjagaan ukhuwah, keharmonian dan kasih sayang sesama kita, juga antara
imam itu dan makmumnya. Jadi jangan kita ganggu gugat kedudukannya.
Begitu juga halnya rakyat dengan pemerintah. Tidak ada pemerintah
yang suka diganggu gugat kedudukannya. Kerana itu kita melihat bahawa
sepanjang sejarah Islam, pada zaman Khulafa Al-Rasyidin, juga pada zaman
para Khalifah yang datang sesudah mereka sehinggalah akhir abad yang
lalu apabila zaman Khalifah jatuh, majoriti kalau bukan semua Khalifah
itu memerintah sehingga ke akhir hayat mereka.
Tidak ada bukti yang lebih jelas selain empat orang Khalifah. Ada
mereka tetapkan, Omar Al-Khatthab memerintah 5 tahun, kemudian tukar
orang lain? Tidak ada. Apa yang pasti mereka semua memerintah sampai ke
akhir hayat mereka.
Ada yang mendakwa ini adalah satu kezaliman.
Berhati-hatilah dengan apa yang anda ingin katakan, kerana apa yang pasti ini adalah satu
ijma’
(persepakatan) bukan sahaja dari kalangan para Ulama bahkan umat Islam
seluruhnya. Mereka bersetuju dengan penetapan ini tanpa ada yang
membangkang, tanpa ada yang mengatakan ini satu kezaliman.
Tidak ada seorang pun Ulama terdahulu (salaf) yang mengatakan
seseorang itu perlu memerintah dalam tempoh tertentu kemudian
pemerintahan itu dibubarkan dan perlu mengadakan pemilihan yang baru.
Ini semua batil. Ini semua sistem
Thaghut demokrasi.
Soalan: Jika mengatakan tukar pemerintah akan membawa kesan buruk,
seolah-olah kita mengetahui perkara ghaib yakni perkara yang belum
berlaku.
Jawapan:
Tidak. Kita tidak mendakwa perkara yang ghaib, tetapi itu adalah
hikmah yang kita fahami daripada tuntutan Syarak. Ini kerana apa yang
pasti, apabila Syarak menetapkan sesuatu ia datang dengan hikmah untuk
maslahat (kebaikan) manusia itu juga.
Tidak ada satu hukum di dalam Syarak yang bertujuan untuk membawa
mudarat kepada manusia. Sama sekali tidak ada. Maka termasuklah dalam
perintah Syarak supaya kita taat kepada pemerintah. Cuma persoalannya
adalah sama ada kita faham hikmahnya atau tidak. Kalau ada yang tidak
faham tidak mengapa, tunggu tiga hari tiga malam engkau termenung
memikirkan hikmahnya, insyaAllah nanti engkau akan faham. Kalau tidak
faham juga, kita katakan
inna lillahi wa inna ilaihi raji’un, itu masalah engkau.
Apa yang pasti kita faham hikmahnya, kerana ianya sangat jelas.
Kerana apa juga usaha untuk menukar pemerintah itu mengenangkan ianya
dilarang oleh agama maka pasti kerana ada sesuatu yang buruk yang akan
berlaku, contohnya berlaku kekacauan dan sebagainya.
Soalan: Adakah salah beri peluang kepada parti lain untuk memerintah selama beberapa tahun?
Jawapan:
Salah. Kerana tidak menepati Syarak.
Soalan: Jika mereka dapat buktikan mereka dapat memerintah dengan adil, bukankah kebaikannya akan dirasai oleh rakyat juga?
Jawapan:
Ini bukan soal dapat memerintah dengan adil ataupun tidak. Sebaliknya
ada tujuan kenapa Syarak menetapkan supaya jangan menukar pemerintah
(Islam). Tujuannya apa? Menjaga kesatuan, menjaga keharmonian, menjaga
kemakmuran, menjauhi apa juga mudarat yang lebih besar seperti berlaku
huru hara, kacau bilau atau lebih buruk lagi pertumpahan darah.
(Disalin dari rakaman sesi soal jawab, Demokrasi & Pilihanraya, 30/04/2013)