IMAN adalah kedua-dua : cahaya dan kekuatan ; dengannya manusia meningkat setinggi-tingginya sehingga mencapai nilai yang melayakkannya ke Syurga. Dengan kegelapan KUFUR, ia jatuh serendah-rendah darjat yang membawanya ke Neraka..
Showing posts with label Riba. Show all posts
Showing posts with label Riba. Show all posts
Saturday, July 7, 2012
Ke mana industri kewangan Islam 20 tahun akan datang?
MASYARAKAT Islam di Malaysia amat bertuah kerana dapat melihat perkembangan industri kewangan Islam yang berlaku dengan begitu rancak. Dalam tempoh tiga dekad sahaja, negara kita mempunyai 17 institusi perbankan Islam yang menguasai lebih 20 peratus pasaran perbankan tempatan.
Industri Takaful juga berkembang pesat dengan wujudnya lapan syarikat yang bersaing secara sihat. Selain itu, pasaran saham negara juga tidak ketinggalan dalam menyediakan alternatif pelaburan berteraskan Islam apabila lebih 800 saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia adalah patuh syarak.
Kemajuan yang dicapai dalam industri ini juga mendorong penawaran program-program pengajian dalam bidang kewangan Islam. Disebabkan permintaan yang tinggi daripada pihak majikan, maka institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) berlumba-lumba menawarkan kursus di peringkat pra dan pasca siswazah dalam bidang berkaitan.
Persoalan yang timbul, ke manakah hala tuju industri ini dalam tempoh 20 tahun akan datang? Mampukah institusi kewangan Islam bertahan dan meneruskan perkembangan yang sedang rancak berjalan? Bagaimana industri ini mencorak program pengajian dalam bidang perniagaan, perakaunan, perbankan dan kewangan?
Dalam suatu dialog yang dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini, Dr. Zamir Iqbal dari Bank Dunia telah memberikan pandangan yang kritis tentang perkara-perkara di atas. Menurut beliau, masa depan industri kewangan Islam tidak begitu meyakinkan kecuali dua perubahan besar dilakukan.
Pertama, institusi-institusi kewangan Islam perlulah lebih berani dalam menawarkan produk-produk kewangan yang inovatif dan berbeza dengan kewangan konvensional. Masalah utama industri ini adalah produk-produk yang ditawarkan tidak mempunyai ciri-ciri tersendiri. Hal ini kerana institusi-institusi kewangan Islam menerima pakai metod duplikasi (peniruan) dalam memperkenalkan produk-produk baru mereka.
Ini bermakna, produk-produk kewangan konvensional akan 'diislamkan' selepas beberapa proses penjernihan dibuat. Oleh kerana kerangka sistem kewangan yang diguna pakai masih sama, maka metod sebegini tidak mampu mencapai objektif pengharaman riba seperti yang dijelaskan oleh para ulama.
Institusi-institusi kewangan Islam hanya dilihat sebagai pengantara kewangan yang menyalurkan modal kepada individu dan syarikat tanpa menanggung risiko yang sepatutnya. Oleh yang demikian, ramai yang beranggapan kedua-dua produk kewangan Islam dan konvensional adalah serupa. Tiada perbezaan ketara dari aspek nilai ekonomi, sebaliknya hanya berbeza dari sudut penggunaan terminologi.
Justeru, institusi-institusi kewangan Islam disaran supaya lebih berani dalam menanggung risiko perniagaan yang diceburi. Sebagai contoh, sukuk yang ditawarkan perlulah benar-benar menterjemahkan konsep perkongsian untung rugi. Pada masa ini, walaupun sukuk disandarkan kepada sesuatu aset atau pelaburan yang berpotensi tinggi tetapi pulangannya terikat dengan kadar tetap berpandukan kepada penanda aras seperti KLIBOR (Kuala Lumpur Interbank Offered Rate).
Sepatutnya kadar pulangan pelaburan sukuk adalah berdasarkan kepada keuntungan sebenar projek perniagaan yang berjaya. Ia mungkin jauh mengatasi kadar KLIBOR semasa. Sekiranya umat Islam tidak dapat melihat ciri-ciri perbezaan di antara instrumen pelaburan Islam dengan konvensional, maka dikhuatiri sokongan mereka terhadap sistem kewangan Islam akan menurun pada masa-masa akan datang.
Perbezaan di antara produk kewangan Islam dan konvensional amat ditekankan kerana masyarakat mahu melihat perubahan sosio-ekonomi kesan daripada meninggalkan riba dalam urusan kewangan seharian mereka. Ulama menjelaskan bahawa kezaliman dan penindasan ekonomi akan dapat dihapuskan sekiranya riba dijauhkan dalam semua aktiviti kewangan.
Namun, sehingga hari ini perubahan yang diharapkan masih belum dapat dirasai secara signifikan. Kita sedar akan kekangan-kekangan yang dihadapi oleh pengamal industri kewangan Islam, tapi usaha yang lebih inovatif dan berani perlu dilaksanakan supaya industri ini kekal maju dan terus berkembang.
Kedua, para penyelidik dalam bidang kewangan Islam perlu melipat gandakan usaha mereka dalam menghasilkan idea-idea inovatif untuk dimanfaatkan oleh pengamal-pengamal industri berkaitan. Isu utama yang dihadapi dalam hal ini ialah kekurangan penyelidikan yang dapat menganalisis secara kritis dalam menghasilkan penemuan-penemuan yang praktikal. Walaupun kemajuan dalam industri ini menarik minat ramai penyelidik namun tahap penyelidikannya masih rendah.
Di Barat, kemajuan yang dicapai oleh sistem kewangan konvensional adalah disokong oleh data-data yang konkrit yang dihasilkan oleh para sarjana mereka. Industri kewangan Islam juga memerlukan kepakaran yang serupa daripada penyelidik-penyelidik Islam untuk terus relevan dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Selain itu, aspek modal insan juga perlu diberi perhatian. Malaysia dilaporkan memerlukan lebih 10,000 tenaga kerja mahir dalam industri ini menjelang 2015. Ramai ahli profesional diperlukan untuk meningkatkan lagi kemajuan sektor pengurusan harta Islam, zakat, wakaf dan baitulmal di samping industri perbankan dan kewangan Islam.
Namun apa yang perlu ditekankan adalah pengisian program-program pengajian sama ada di peringkat diploma, diploma lanjutan, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah supaya berjaya melahirkan modal insan yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran tetapi mempunyai sifat amanah.
Krisis kewangan global baru-baru ini memberi pengajaran kepada dunia betapa pentingnya memiliki seorang pengurus dana yang amanah dan meletakkan kepentingan umum mengatasi kerakusan peribadi.
ARKIB : 06/07/2012
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm#.T_hRHOLaOSI.facebook
Ekonomi Riba Punca Krisis
Tulisan Dr. Kassim Ahmad dan Dr. Hakimi Ibrahim mengenai kegawatan ekonomi dan krisis mata wang yang sedang dialami sekarang amat menarik perhatian. Saya bersependapat dengan Dr. hakimi bahawa sistem ekonomi yang diamalkan sekarang ini berteraskan riba dan saya juga bersependapat dengan Dr. Kassim bahawa oligarki British-Amerika sememangnya ingin mengekalkan kuasanya ke atas semua negara di dunia tetapi siapakah kumpulan oligarki itu? Buat masa ini, saya lebih cenderung melihat kegawatan ekonomi dan krisis mata wang berpunca daripada sistem ekonomi berteraskan riba dan saya percaya kalangan pemerintah, ulama, pemikir, sarjana dan umat Islam amnya tahu bahawa riba itu haram kerana pengharamannya dinyatakan dengan tegas di dalam al-Quran. Malah jika kita membaca kitab-kitab fikah Imam Shafie, Imam Hanfi, Imam Hambali dan kitab fikah yang terbilang Al-Muwatta oleh Imam Malik Ibn Anas, maka kita akan tahu apakah dia urus niaga dan jual beli yang tergolong sebagai riba . Sedekah Berdasarkan pendirian yang tegas itu, beliau melarang sebarang keuntungan daripada hasil riba diberikan sebagai sedekah. St. Thomas Aquinas masih memegang pendirian yang sama dengan cekal dan tegas pada abad ke-14. Dalam, tradisi ilmu klasik Eropah, Aristotle berkata, jika dibuat perbandingan antara semua jenis perniagaan, perniagaan yang paling menyeleweng dan paling dibenci ialah riba. Riba menyalahgunakan wang kerana tujuan sebenar penggunaan wang ialah sebagai bahan perantara pertukaran, bukannya untuk menambah wang. Palto pula membuat pemerhatian bahawa riba pada akhirnya mengakibatkan pertelingkahan antara satu kelas manusia dengan yang lain, maka, ia merupakan satu unsur yang merosakkan negara. Lain-lain ahli falsafah Rom seperti Cicero, Cato dan Sepeca juga mengambil pendirian yang sama, maka kita boleh simpulkan bahawa kedua-dua tradisi Judeo-Kristian dan Graeco-Rom yang kedua-duanya merupakan sumber utama kepada tamadun Eropah sebulat suara menentang riba sama ada dari pandangan agama mahupun sekular. Bagaimanapun ini tidak bermakna bahawa amalan riba tidak berlaku. Kaum Yahudi mendakwa mereka diberi lesen oleh kitab Taurat untuk mengamalkan riba di bawah syarat-syarat tertentu. Protokol ke-20 zionisme di bawah tajuk kezaliman riba perkara 30 menyatakan, apakah sebenarnya sifat pinjaman, terutamanya pinjaman luar negara? Pinjaman ialah bil pertukaran yang dikeluarkan oleh kerajaan negara bangsa setara dengan jumlah yang dipinjamnya sebagai modal. Merosakkan Bagi orang bukan Islam dan juga bukan Yahudi, secara tradisi para pemikir di kalangan mereka menyifatkan riba itu merosakkan. Maka disebabkan riba itu zalim (daripada kaca mata kita dan juga kaca mata zionis), penentangan terhadap riba tidak terhad ekpada umat Islam sahaja tetapi harus juga disertai oleh orang bukan Islam yang inginkan kebebasan yang sebenar dalam urus niaga dan berjual beli. Memandangkan sifat sebenar riba dalam sistem ekonomi semasa seolah-oleah masih kabur saya akan cuba memberi sedikit latar belakang mengenainya. Dalam bahasa Arab, riba memberi maksud tambahan atau lebihan. Inilah juga makna riba yang difahami oleh para sarjana sama ada yang Islam atau tidak, ahli ekonomi dan masyarakat biasa. Kadi Abu Bakar Ibn al-Arabi, seorang alim dalam hal ehwal undang-undang Islam dari Andalusia dalam bukunya, Ahkamul Quran mendefinisikan riba sebagai apa sahaja tambahan atau lebihan yang tidak adil antara nilai barangan yang diberi berbanding dengan nilai barangan yang diterima (The End of Economics oleh Umar Vadillo). Dalam bukunya, The Problem With Interest Tarek El Diwany menarik perhatian bahawa terdapat dua bentuk riba yang utama yakni riba al-qarud yang berkaitan dengan kegiatan memberi pinjaman atau memberi hutang yang kini diistilahkan sebagai kredit dan riba al-buyu yang berkaitan dengan kegiatan melibatkan urus niaga. Kedua-dua bentuk riba itu diamalkan dengan meluas oleh Arab jahiliah sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. tetapi baginda turut mengingatkan para sahabat bahawa riba boleh muncul dalam pelbagai bentuk lain. Riba al-qarud melibatkan caj yang dikenakan pada pinjaman ekoran tempoh masa atau dalam lain perkataan pinjaman yang dikenakan afedah atau bunga dan ia biasanya dirujuk sebagai riba an-nasia yakni, riba kerana menunggu dan merupakan amalan bank. Sheikh tantawi yakni Syeikh al-Azhar di Kaherah pada masa buku itu ditulis, berhujah bahawa faedah atau bunga daripada bank ialah perkongsian keuntungan bank, oleh itu ia dibenarkan. Bagaimanapun, menurut Tarek, pandangan Syeikh al-Azhar itu ditolak oleh kebanyakan sarjana Islam.
Semua ini boleh secara longgar disimpulkan bahawa riba ialah apa sahaja yang diperoleh tanpa usaha iaitu dalam bahasa yang mudah "memdapat sesuatu atas angin" seperti seorang silap mata memetik daun pakau dari ruang udara.
Sepuluh tahun selepas seminar itu, dunia dikejutkan oleh krisis mata wang yang melanda negara-negara Asia Tenggara, Korea Selatan dan Jepun maka kita boleh menambah satu lagi alat riba kepada senarai itu, yakni pasaran pertukaran mata wang antarabangsa atau lebih dikenali umum sebagai forex kerana perniagaan itu pada asasnya berbentuk membuat duit daripada duit dan ia juga tidak memberi hasil yang berfaedah untuk kegunaan manusia atau mengikut istilah ekonomi moden, ia tidak produktif. Dua perkara yang amat menonjol dari senarai itu ialah kaitan antara wang kertas dengan bank. Kita semua maklum bahawa bank merupakan satu institusi ekonomi moden yang mengenakan caj bunga dan memberi bunga dalam semua 'perkhidmatan' dan 'produk' yang ditawarkannya. Maka dalam simpanan bank, wang kertas yang ditabung bukan sahaja wang pokok yang disimpan oleh penyimpan tetapi juga wang kertas yang tercipta akibat lebihan yang dikumpulkan daripada pinjaman yang dikeluarkan. "Institusi perbankan lebih berbahaya kepada kebebasan kita daripada bala tentera musuh .... Penciptaan yang hendak ditanggalkan daripada kuasa bank." - Thomas Jefferson )The Return of The Gold Dinar oleh Umar Vadillo). Wang kertas juga dicipta oleh kerajaan negara-negara bangsa dengan mengeluarkan sijil-sijil bon ataupun sekuriti. Perbendaharaan hanya dengan segaris tandatangan menteri-menteri kewangan ataupun gabenor-gabenor bank pusat masing-masing. Proses ini merupakan penciptaan wang atas angin. Bon dan sekuriti Perbendaharaan inilah yang dipanggil oleh ahli-ahli ekonomi semasa sebagai bil pertukaran yang fungsinya terbahagi dua, iaitu untuk menentukan jumlah nota janji (yakni wang kertas) baru yang perlu dicetak mengikut keperluan semasa kerajaan atau menjualnya kepada bank-bank perdagangan dan luar negara atau orang perseorangaan, kononnya untuk mengawal inflasi dan mengawal jumlah wang kertas yang berada di dalam pasaran. Mencetak dolar Bank, firma kewangan ataupun orang perseorangan sekarang ini membeli bon dan sekuriti Perbendaharaan itu supaya mereka boleh memakan bunga apabila sijil-sijil itu matang, mungkin selepas lima tahun, sepuluh tahun atau dua puluh tahun. Amerika Syarikat lagi hebat, Federal reserve Bank, iaitu gabungan 12 bank swasta, mencetak dolar iaitu wang kertas Amerika setiap hari. (Substance Over Symbolism oleh David Bradshaw dalam Swiss America Report 1994). Berikut ialah ulasan Sir Josiah Stamp mengenai penciptaan wang: " Sistem perbankan moden menjana wang dari angin. Proses ini mungkin merupakan silap mata yang paling hebat pernah dicipta ... " (Discredit Interest debt! The Instrument of World Enslavement oleh Abdur-Razzaq Lubis et al). Disebabkan sifat sistem perbankan meminta lebih daripada yang diberi dibantu pula oleh sifat wang kertas yang tidak stabil dan sentiasa berubah-ubah nilainya, maka ekonomi global merupakan satu ekonomi yang sentiasa bergolak dan mencetuskan suasana orak-arik dan mudah dimanipulasi.
|
|||||||||||
Subscribe to:
Posts (Atom)