Showing posts with label Ziarah kubur pada hari raya... Show all posts
Showing posts with label Ziarah kubur pada hari raya... Show all posts

Tuesday, August 28, 2012

Soal Jawab Agama Siri 9: Ziarah Kubur Pada 1 Syawal


Bersama Ustaz Dr. Fadlan Mohd Othman

 Soalan:

ASSALAMUALAIKUM, yang berbahagia Ustaz Dr. Fadlan Mohd. Othman. Soalan saya adalah:
1. Adakah kita digalakkan menziarahi kubur pada 1 Syawal seperti yang telah dilakukan oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia dan seolah-olah menjadi budaya masyarakat Melayu?
Ahmad Syukri Naim Mohd. Tahir
Kampar, Perak.

Jawapan:
Berkenaan dengan menziarahi kubur pada 1 Syawal seperti yang dilakukan oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia dan juga serata dunia, maka jawapannya adalah seperti berikut. Asalnya hukum ziarah kubur adalah sunat. Rasulullah SAW telah bersabda,
“”Dahulu saya pernah melarang anda semua daripada menziarahi kubur. Sesungguhnya telah diizinkan kepada Muhammad untuk menziarahi kubur ibunya. Maka ziarahlah kubur kerana ia mengingatkan anda semua tentang akhirat” (Hadis Sahih riwayat al-Imam al-Tirmizi. No. 1054).

Sebenarnya menziarahi kubur tidak mempunyai waktu-waktu khusus. Ia boleh dilakukan bila-bila masa sahaja. Sesetengah ulama mengatakan bahawa menziarahi kubur lebih afdal dilakukan pada hari Khamis atau Jumaat, akan tetapi tiada dalil sahih bagi pandangan ini.

Justeru, dapatlah disimpulkan bahawa menziarahi kubur pada hari raya mempunyai dua keadaan. Keadaan pertama ialah jika tujuannya adalah untuk mengingatkan kepada hari Akhirat atau memperingati orang yang telah mati, maka hukumnya adalah dibenarkan. Dibenarkan secara umum untuk lelaki, manakala untuk wanita adalah tidak digalakkan mengikut Jumhur ulama.

Keadaan kedua ialah jika tujuannya adalah untuk menimbulkan dan memperbaharui kesedihan dan mengulangi ucapan takziah maka hukumnya adalah makruh dan tidak digalakkan. Ini adalah kerana hari raya merupakan hari kegembiraan dan keriangan, maka adalah tidak wajar ditimbulkan kesedihan pada hari itu.

Sewajarnya ziarah pada hari raya dilakukan kepada orang yang masih hidup manakala orang yang telah meninggal dunia, maka boleh sahaja di ziarahi pada hari-hari yang lain berdasarkan keumuman hadis yang menggalakkan umat Islam menziarahi kubur bagi tujuan mendapat peringatan tentang kematian dan hari Akhirat.

Pada masa yang sama, sebahagian ulama menekankan bahawa perbuatan menziarahi kubur pada hari raya tidak pernah dilakukan secara khusus dan berterusan oleh Rasulullah SAW mahupun para sahabatnya r.a. Oleh itu, adalah wajar untuk umat Islam mengikuti jejak langkah mereka dalam melakukan amalan ibadah kerana pastinya contoh amalan mereka adalah uswah hasanah yang diredai dan dirahmati oleh Allah Taala.
Wallaahua’lam.
Siaran akhbar Mingguan, Ahad 26 Ogos 2012

http://ilmuanmalaysia.com/2012/08/28/soal-jawab-agama-siri-9-ziarah-kubur-pada-1-syawal/

Monday, August 27, 2012

Perbuatan Makan Dan Berzikir DiKuburan Pada Hari Raya

 


Antara bid’ah kaum-kaum jahiliyah ialah mengkhususkan ziarah kubur di Hari Raya. Duduk membaca Yasin, berzikir, bertahmid, menanam pokok, menabur bunga, mencantikkan kubur, menghias, menutup kepala nisan dengan kain putih atau kuning, menangis, meratap, meraung, bertawassul dengan ahli kubur dan ada membawa makanan untuk bersantap di kuburan. Di dalam hal ini, Imam as-Syafie rahimahullah mengharamkannya dan beliau berfatwa:

ويكره …. نقل الطعام الى القبور

“Dimakruhkan (haram) membawa makanan ke kuburan”. (Lihat: الطالبين اعانة (ina’atu at-Tholibin) Juz. 2 hlm. 146)

Haram menyambut Hari Raya di kuburan termasuklah di kubur para nabi, wali atau mana-mana kubur, kerana tidak ada Hari Raya kubur (عيد القبر). Nabi sallallahu ‘alahi wa-sallam bersabda:

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهَ وَسَلَّمَ : لاَ تَتَّخِذُوا قَبْرِيْ عِيْدًا

“Dari Abi Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Janganlah jadikan kuburku sebagai tempat berhari raya”. (Hadis Sahih H/R Ahmad 2/367 dan Abu Daud 2042)

Imam Syafie rahimahullah mengharamkan duduk di atas kubur, beliau berlandaskan kepada hadis:

لاَنْ يَجْلِسَ اَحَدُكُمْ عَلَىجَمْرَةٍ ، فَتَحرق ثِيَابَهُ ، فَتخلص اِلَىجَلْدِهِ خَيْرٌ مِنْ اَنْ يَجْلِسَ عَلَى قَبْر

“Abu Hurairah berkata: Telah bersabda Rasulullah: Jika salah seorang kamu duduk di atas bara api membakar sampai menembusi pakaianmu lalu membakar kulitnya, masih lebih baik baginya daripada ia duduk di atas kuburan”. (H/R Muslim, 3/62. Abu Daud 3228. Ahmad 2/311. Baihaqi 4/79. Ibnu Majah dan An-Nasaii)

Imam Syafie berfatwa: Membaca al-Quran untuk menghadiahkan pahalanya kepada orang mati adalah perbuatan yang haram dan sia-sia, kerana tidak sampai kepada Si Mati. Beliau berfatwa:

ان القراءة القرآن لايصل اهداء ثوا الى الموتى لانه من عملهم ولا كسبهم ولهذا لم يندب اليه رسول الله صلى الله عليه وسلم ولا ارشدهم اليه بنص ولا اعاء
“Sesungguhnya pahala bacaan al-Quran dan hadiah pahala tidak sampai kepada Si Mati kerana bukan dari amal mereka dan bukan usaha mereka. Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam tidak pernah menghukum sunnah umatnya dan tidak pernah mendesak mereka melakukan perkara tersebut dan tidak pula menujukkan kepadanya walau melalui satu nas atau seruan”. (Lihat: Tafsir Ibn kathir 4/335)

Orang-orang yang beriman sewajarnya mempu menghapuskan setiap amalan-amalan bid’ah, terutama yang telah dijelaskan dalil-dalilnya dan telah difatwakan oleh Imam Syafie rahimahullah.