Showing posts with label sumpah laknat.. Show all posts
Showing posts with label sumpah laknat.. Show all posts

Sunday, May 15, 2011

Isu Sumpah Laknat & Perlukah Dibalas Sumpah?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

oath

Sekali lagi isu sumpah berdengung hebat di dalam negara kita. Dalam peruntukan perundangan Islam, amalan sumpah wujud dengan syarat-syarat tertentu, bagi mensabitkan sesuatu dakwaan atau menolaknya. Apabila itu dilakukan, bermakna individu yang bersumpah sedang menyandarkan inti yang dikatakannya kepada Allah. Tindakan itu menjadikan inti yang didakwa atau bantah itu mempunyai suatu ‘weight’ menurut perspektif hukum Islam atau secara spiritual, malah juga mempunyai pengaruh di dalam menagih keyakinan dan kepercayaan hakim dan masyarakat umat Islam.

Ramai yang bertanya saya pandangan berkenaan sumpah yang dilakukan oleh orang-orang politik dengan bermotifkan politik tentunya. Sebenarnya, eloknya sokongan yang diinginkan tidaklah digunakan mana-mana kaedah-kaedah Islam sebagai platformnya. Ada yang berusaha untuk menjadikan satu peraturan dalam hukum Islam iaitu sumpah dengan nama Allah sebagai senjata dalam politik kepartian. Bagi saya,itu kurang sihat.

Bagi mereka yang sudi membaca dan menyelak lembaran artikel ini, saya nasihatkan agar membaca dengan tenang sehingga habis sebelum membuat sebarang tanggapan dan komentar. Itu perlu bagi mendapatkan gambaran jelas kandungan artikel ini.

WUJUDKAH SUMPAH LAKNAT DALAM HAL TUDUH ZINA?

Kembali kepada isu terkini iaitu ‘sumpah laknat’ yang dilakukan oleh Dato’ Eskay di dalam masjid tempohari sambil memegang dan mencium Al-Quran. Oleh kerana sumpah tersebut dilakukan atas dasar dan prinsip hukum agama, bagi dianggap sah dan mempunyai nilai, cara ia dilakukan mestilah disandarkan kepada dalil khusus dari Al-Quran atau Al-Hadis. Oleh itu, menjadi satu KEMESTIAN bagi memastikan sumbernya dalam hukum Islam dan betul pula cara pelaksanaannya.

Kedua hal tersebut mesti disemak sebelum inti sesuatu sumpah itu diterima oleh orang ramai dan pihak berkuasa sebagai mempunyai ‘sesuatu kekuatan’ untuk menyokong kes individu yang melakukan bersumpah.

Secara ringkasnya, membaca pandangan beberapa tokoh ilmuan tanahair dalam hal sumpah laknat ini, saya bersetuju dengan pandangan beberapa mereka yang secara ringkasnya berkata, sumpah yang dilakukan itu :-

1. TIDAK PERLU; disebabkan proses mahkamah perlu dinantikan bagi menjamin keadilan bagi semua pihak. Maruah adalah isu besar dalam Islam, justeru, setiap kes yang boleh memalukan dan tidak lagi dipastikan benar atau salah, mestilah dibicarakan secara adil di tempat perbicaraan yang tertutup.

2. TIDAK TERPAKAI; sumpah laknat dengan nama Allah itu tidak dikira terpakai atau sah, kerana sumpah laknat atau li’an hanya wujud untuk urusan suami isteri yang menuduh isteri pasangan mereka berzina, sebagaimana wujud peruntukan di dalam Al-Quran dalam surah an-Nur ayat 6-8. Ertinya :

“Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak ada mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima: bahwa laknat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta.” (An-Nur 6-7)

Justeru, sebarang tindakan mewujudkan sumpah laknat dalam hal menuduh zina individu lain adalah SATU TINDAKAN SALAH atau REKA CIPTA DALAM URUSAN AGAMA yang tidak dibenarkan oleh Islam. Ia ditegah oleh seluruh para ulama berdasarkan dalil-dalil yang sangat banyak, disebabkan ia memungkinkan individu secara bebas mencipta peruntukan baru tanpa sebarang basis atau sandaran dalil.

3. MENGELIRUKAN; Protokol sumpah tersebut dilaksanakan secara sangat mengelirukan dan ada juga yang kurang tepat, ini kerana bersumpah sambil memegang al-Quran bukanlah satu keperluan. Nabi bersabda :-

فمن كان حالفاً فليحلف بالله أو ليصمت

Ertinya : Barangsiapa yang ingin bersumpah, hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah atau (jika tidak), hendaklah dia diam sahaja (tidak bersumpah) (Riwayat Al-Bukhari)

Melakukannya di dalam masjid adalah HARUS menurut mazhab Hanafi dan Hanbali berdasarkan hadis nabi bahawa pernah kes kehakiman dan pertelingkahan serta sumpah laknat antara suami isteri dijalankan di masjid pada zaman Nabi s.a.w. ( rujuk Fath Al-Bari, 3/133 ; Syarah sohih Muslim An-Nawawi, 1/121 ).

Bagaimanapun mazhab Syafie menganggap melakukan urusan sumpah dan perbincangan pertikaian hak serta tuduh menuduh di dalam masjid adalah MAKRUH. (Fath al-Aziz, Al-Rafi’e, 8/165 ; Al-Muhazzab, Al-Shirazi, 2/293)

Apapun, kita tidak mahu, kaedah dan cara khususnya memegang Al-Quran ketika bersumpah dan dibuat di dalam masjid sedang telah wujud mahkamah, menjadi syarat dan kebiasaan masyarakat kita, hingga disalahfahami oleh ramai sehingga merasakan ia adalah kaedah dan cara sebenar pelaksanaan sumpah li’an. Sumpah laknat yang sebenarnya, perlu dilakukan di dalam proses mahkamah dengan empat kali, DIIKUTI yang kelima sumpah laknat dan IA TIDAK untuk tontonan dan sebaran awam.

4. Sumpah mubahalah juga tidak perlu dan tidak terpakai, kerana sumpah mubahalah memerlukan kedua-dua belah pihak untuk bertemu dan sama-sama bersetuju.

WALAUPUN BEGITU, SUMPAH BIASA MASIH SAH

Pun begitu, sumpah yang dikira terpakai dan sah dalam kes yang dirujuk adalah hanya sumpah biasa, bukan sumpah laknat. Sumpah biasa boleh dianggap sah apabila dimulakan dengan lafaz “wabillahi, wattallahi” atau salah satu antara lafaz tersebut juga sudah mencukupi.

Namun SUMPAH BIASA ini sepatutnya hanya dilakukan sesudahkan ‘bayyinah’ atau bukti yang diiktiraf oleh syarak dikemukan di mahkamah. Apakah bayyinah ini?

KEPERLUAN 'BAYYINAH' SEBELUM BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH

Di dalam Islam, setiap individu adalah dianggap TIDAK BERSALAH selagi belum dibuktikan bersalah. Prinsip ini datang dari pelbagai dalil dan disimpulkan oleh para ulama dalam kaedah dan dalil berikut :-

Hadis Nabi :-

لو يعطى الناس بدعواهم؛ لادعى رجال أموال قوم ودماءهم، ولكن البينة على المدعي، واليمين على من أنكر

Ertinya : Kalaulah diberikan (kebebasan) kepada manusia untuk mendakwa; nescaya akan akan individu yang mendakwa milikya harta satu kaum yang lain dan darah mereka, oleh itu (dalam Islam), Pembuktian menjadi tanggungjawab pertama ke atas pendakwa, dan (apabila telah sabit bukti), sumpah menolak adalah bagi mereka yang mengingkari (bukti tadi). ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Kaedah Fiqh :

الأصل برآءة الذمة

Ertinya : Hukum asal (bagi semua individu) adalah bebas dirinya dari tanggungan.

Dan satu lagi kaedahnya :

اليقين لا يزول بالشك

Ertinya : Yakin ( iaitu asal semua individu sebagai tidak bersalah), tidak akan dapat dihilangkan oleh bukti-bukti yang bertaraf syak.

Juga satu prinsip yang berbunyi

ان الشك يفسر لمصلحة المتهم

Ertinya : Sesungguhnya sebarang keraguan ( tidak kukuh bukti dakwaan), akan ditafsirkan sebagai menyebelahi pihak tertuduh (untuk membuktikannya tidak bersalah)

Berkata Az-Zubaydi

قاعدة أصولية مفادها أن الأصل براءة ذمة المكلف عن التكليف المشكوك

Ertinya : Kaedah di atas adalah kaedah usul yang kandungannya menyatakan bahawa asal bagi semua individu yang mukallaf adalah bebas dari dakwaan & tuduhan yang diragukan. (Az-Zubaydi, Taj Al-Urus)

AL-BAYYINAH yang disebut di dalam hadis nabi di atas AMAT diperlukan bagi mewajibkan sumpah ingkar dan bantah dari tertuduh, tanpanya, sumpah tertuduh TIDAK WAJIB sama sekali.

Imam Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni (10/139) dan para ulama menjelaskan ringkasan bahawa untuk mendapatkan bayyinah, ia bergantung kepada kes yang dibawa seperti berikut :

1. Zina dan liwat

Syarat untuk penuhi bayyinah : Empat saksi adil atau pengakuan pelaku.

2. Hukum hudud yang lain seperti bunuh, qazaf, murtad dan lainnya.

Syarat untuk penuhi bayyinah : saksi dua lelaki adil dan sumpah dibenarkan.

3. Jual beli, dan lain-lain pertikaian melibatkan isu harta dan pemilikan kewangan

Syarat untuk penuhi bayyinah : dua orang saksi lelaki atau seorang lelaki dan dua orang wanita ( sebagaimana disebut di dalam Al-Quran) dan sumpah dibenarkan.

4. Penyusuan, kelahiran, dara dan tamat iddah

Syarat untuk penuhi bayyinah : Seorang wanita yang adil.

Justeru, perlu ditegaskan dalam hal zina dan liwat, bagi menganggap bersalah, salah satu antara dua cara ini mestilah menjadi jalannya, iaitu :-

  • IQRAR ATAU PENGAKUAN SUKARELA secara insaf oleh pelaku bahwa dia melakukan sesuatu kesalahan itu, sama ada mencuri, berzina, liwat, membunuh dan sebagainya. Sebagaimana yang dilakukan oleh pemuda bernama Ma’iz bin Malik Al-Aslami di zaman Nabi Muhammad s.a.w

  • EMPAT SAKSI LELAKI YANG ADIL; Khusus bagi kes zina dan liwat, sesiapa yang menuduh mestilah membawakan empat orang saksi yang adil lelaki bagi mensabitkan kesalahan pada hukum Islam. Selagi tiada saksi sebegitu, kes MASIH BOLEH diadili tetapi IA BUKAN LAGI TERMASUK DALAM KES HUDUD BAGI SI TERTUDUH. Manakala yang menuduh tanpa empat saksi pula BAKAL DISABITKAN KESALAHAN QAZAF, penuduh hanya boleh terselamat dari hukuman qazaf (yang perlu dilaksanakan di dunia, jika tiada, hukumannya menanti di akhirat amat berat) apabila membawakan 4 saksi seperti di atas atau membawa kes tanpa 4 saksi secara senyap dan tertutup untuk perbicaraan di mahkamah. Di sana, hakim mahkamah akan menyemak semua bukti-bukti tambahan sama ada video, DNA, gambar dan sebagainya untuk beliau menjatuhkan sebarang keputusan di bawah peruntukan ta’zir.

LEPAS ‘BAYYINAH’, BARU KITA NANTIKAN BANTAHAN

Kerana asal setiap indiivdu TIDAK BERSALAH sehingga dibuktikan sebaliknya, setelah bayyinah dipersembahkan, barulah tindakan menjawab bayyinah perlu dilakukan oleh tertuduh.

Bantahan dan keingkaran hanya diperlukan apabila pihak pendakwa berjaya membawakan bukti yang sah dan diterima oleh pihak qadhi atau hakim. Pihak hakim pula perlu memberikan masa yang sesuai untuk tertuduh membela diri. Namun tertuduh tidak boleh sengaja senyap sunyi tanpa membawakan hujjah balas, bantahan dan ingkaran terhadap bukti yang dibawa. ( Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 16/63; As-Syarh Al-Kabir, Ad-Dardir, 4/151)


BAGI KES DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM (DSAI)

Melihat perkembangan dalam kes DSAI, menurut pandangan Fiqh Islam tanpa campur tangan politik kepartian adalah seperti berikut :-

a. DSAI TIDAK WAJIB membalas dengan bersumpah bersihnya diri beliau kerana sumpah laknat yang dijalankan itu tidak sah.

b. DSAI juga TIDAK WAJIB menjawab atau respon kepada sumpah laknat yang dilakukan kerana ‘bayyinah’ belum dikemukan oleh pendakwa.

c. NAMUN, sumpah yang dilakukan dengan nama Allah dengan lafaz yang betul ( wabillah, wattallah) oleh Dato’ Eskay adalah sah di sisi hukum Islam. Sama ada sumpah itu datang dari fakta yang benar atau tidak, tiadalah kita perlu menolaknya secara mutlaq. Namun umat ISLAM masih TETAP TIDAK BOLEH MEMPERCAYAINYA kerana ia tidak dilakukan di dalam proses kehakiman mahkamah dan ia juga tidak menyeratkan saksi empat orang yang adil. Sesiapa yang menyebarkan tuduhan zina itu akan tertanggung ke atasnya hukuman qazaf, yang walaupun tidak dilaksana di dunia, bakal amat menyusahkan di akhirat.

d. Jika individu yang dituduh adalah orang kebanyakan yang TIDAK DIKENAL OLEH RAMAI, PASTINYA SUMPAH YANG DITUJUKAN KEPADANYA TIDAK PERLU DILAYAN SAMA SEKALI. Kerana itu semua tidak memberi kesan kepada keputusan hakim di dunia dan Allah. Itulah hokum asal dalam kes seperti ini.

e. NAMUN, hukum asal boleh berubah mengikut zaman dan situasi sehingga menghasilkan hukum pengecualian tertentu. Sebagaimana Rasulullah pernah membatalkan hasratnya untuk mengubah bentuk Ka''bah kepada asas yang didirikan oleh Nabi Ismail a.s disebabkan desakan keadaan masyarakat, iaitu kejahilan mereka, masih barunya dengan Islam dan belum bersedia untuk Ka’abah diperlakukan sedemikian. Rasulullah bersabda kepada Aisyah:

لو لا أن قومك حديثو عهد بشرك لبنيت الكعبة على قواعد إبراهيم

Ertinya : Sekiranya tidaklah kaummu itu baru-baru sahaja (keluar) dari zaman syirik (menyembah berhala) nescaya sudah tentu akan ku bina semula Kaabah di atas binaan asal nabi Ibrahim ( Al-Bukhari & Muslim)

Malah Aisyah r.a ketika dituduh melakukan perbuatan jahat itu dengan seorang sahabat, beliau juga bersumpah menafikannya tetapi dalam bentuk sedikit berbeza iaitu beliau melafazkan :

والله لا أستغفر الله منه أبدا

Ertinya : Demi ALlah aku tidak akan meminta ampun kepada Allah sama sekali

Perkataan itu adalah sumpah membersihkan dirinya. Menyatakan beliau tidak perlu minta ampun kepada Allah dalam menghadapi tuduhan itu adalah satu tanda jelas beliau tidak melakukan sebarang kesalahan sebagaimana dituduh.

JUSTERU, MENURUT PANDANGAN PERIBADI SAYA, disebabkan DSAI adalah seorang pimpinan politik tanahair yang besar, menggalas beban tanggungjawab gerakan perjuangan politik yang besar, dicampur dek kejahilan majoriti umat Islam dalam persekitaran Malaysia serta momokan media yang sentiasa memburukan lagi suasana, saya cenderung kepada DSAI PERLU BERSUMPAH BIASA SAHAJA dengan NAMA ALLAH MENAFIKAN BELIAU ADALAH INDIVIDU DI DALAM VIDEO SEKS YANG DIDAKWA, itu penting untuk menangkis sangka buruk masyarakat yang kurang kefahaman serta kurang pula ilmu, bukan hanya terbeban ke atas dirinya selaku individu tertuduh, malah menjadi beban terhadap kepada seluruh ahli gerakan pakatan rakyat yang bersamanya serta masyarakat Malaysia lain yang melihatnya sebagai ketua pembangkang. yang terlibat dalam membentuk minda dan masa hadapan masyarakat Malaysia. Sebagaimana pertimbangan dalam bab Maqasid Shariah menyatakan :-

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Ertinya : Menolak keburukan didahulukan dari tindakan mensasarkan membawa kebaikan

Justeru, pada hemat saya, jika DSAI bersumpah dengan nama Allah, paling kurang ia mampu menyelamatkan keburukan yang lebih besar dalam masyarakat seperti bertambahnya individu yang di hukum qazaf di sisi hukum Islam, semakin melemahkan keyakinan terhadap gerakan Pakatan Rakyat di samping mampu meleraikan syak wasangka rakyat ‘atas pagar’.

Walau apa jua keputusan mahkamah, itu adalah suatu isu terasing dan boleh dihujjah atas lain-lain platform dan politik. Namun untuk membiarkan sumpah dengan nama Allah iu dibiar beredar di dalam masyarakat tanpa sebarang respon, bagi saya mudaratnya lebih besar, tanpa menafikan melayaninya dengan melakukan sumpah juga ada mudaratnya.

KESIMPULAN

Saya sedar, ahli politik yang melingkungi DSAI pastinya mempunyai pandangan pelbagai, memikirkan strategi, maruah yang mungkin dirasakan jatuh kerana seolah telah berjaya dipaksa untuk turut bersumpah dan sebagainya. Namun tulisan saya ini, benar-benar dari rasa hati sebagai seorang yang neutral, ahli akademik yang melihat perkembangan isu-isu semasa.

1. Saya berasa amat senang sekali selaku rakyat Malaysia jika DSAI boleh menyahut cabaran sumpah biasa tadi, tiada sebarang malu ditanggung walau terpaksa melakukan itu.

2. Perkara kedua, kita tidak mahu umat Islam mengambil cara bersumpah ini apabila sahaja ingin mendakwa sesuatu, kerana ia bukanlah cara yang betul dalam masyarakat Islam yang sepatutnya bediri di atas sifat kekuatan amanah dan jatidiri, tiada memerlukan kepada sumpah untuk menagih kepercayaan dan keyakinan.

Bahkan, kita bimbang teknik ini bakal digunakan oleh ramai penipu di luar sana untuk bersumpah bagi mendapatkan perhatian dan mencuri hak orang lain serta mengaibkan. Dari tiga jenis sumpah di dalam Fiqh Islam, sumpah dari penipu dan pencuri ini dinamakan ‘al-Yamin al-Ghamus’. Ditanya kepada Nabi apakah ‘Al-Yamin Al-Ghamus’ itu, baginda menjawab :

وما اليمين الغموس ؟ قال : الذي يقتطع مال امرئٍ مسلم هو فيها كاذب

Ertinya : Orang yang mengambil harta (hak, termasuk maruah dengan mengaibkan melalui qazaf) orang Islam lain (melalui sumpah) sedangkan dia adalah pembohong ( Riwayat Al-Bukhari)

Imam Az-Zahabi, Ibn Hajar Al-Asqalani menghuraikan sumpah dari pendusta (yamin ghamus) ini merupakan salah satu dari dosa besar. Ghamus ertinya tenggelam dan Imam An-Nawawi menyatakan dalam 'Tahzib Al-Asma wa al-Lughaat', sumpah tersebut dinamakan ghamus kerana penyumpah tenggelam dalam dosa dan bakal ditenggelamkan di dalam neraka Allah di akhirat kelak. Di dalam Al-Quran, pendusta bersumpah dan menagih habuan dunia ini disebutkan sebagai:

إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلاً أُوْلَـئِكَ لاَ خَلاَقَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللّهُ وَلاَ يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَ يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Ertinya : Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji (nya dengan) Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan menyucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih (Al-Imran : 77).

Justeru, penyumpah dusta ini perlu segera bertaubat dan jika ia telah mengambil hak orang lain melalui sumpahnya, WAJIBlah atasnya untuk memulangkannya.

3. Bagi orang ramai, semua perlu memahami bahawa isu maruah dan tuduhan sebegini WAJIB hanya dibicarakan di dalam Mahkamah Islam dan bukan di khalayak. Apabila, di sebabkan rosaknya system nilai dalam masyarakat, lalu ini dibicarakan terbuka di media dan kahalayak awam, semua individu mestilah memahami semua HAKIM TIDAK BOLEH menghakimi sesuatu isu secara emosi, takut itu dan ini, sakit, sedih, dukcaita, ngantuk, lapar, dahaga dan semua asbab luaran yang menganggu penilaian seorang hakim yang berkelayakan. Nabi memberi amaran :

لا يقضين حكم بين اثنين وهو غضبان

Ertinya : Tidak boleh se0rang hakim memberi keputusan terhadap dua orang ( yang dibicarakan) sedang dia dalam keadaan marah ( terhadap salah seorang atau sebab lain). ( Riwayat Al-Bukhari)

Para ulama sepakat menyatakan hadis di atas bukan hanya TERHAD kepada ‘marah’ tapi merangkumi semua emosi-emosi luaran yang menganggu seperti disebut di atas. (Al-Mabsut, Al-Sarakahsi, 16/78 ; Al-Minhaj wa nihayatul Muhtaj, 8/94 )

Kini malangnya, isu ini seolah dibicarakan di pentas awam, dipenuhi oleh manusia yang tiada kelayakan asas sebagai hakim, sering pula terpukau dengan emosi dan kepentingan masing-masing. Ia amat tidak adil kepada kedua-dua pihak. Justeru, nasihat ikhlas saya, wahai umat Islam jauhilah menentukan pendirian dan meletakkan keyakinan dalam isu berat sebegini, kerana anda tidak punyai basis yang diharuskan Islam untuk berbuat demikian.


Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

2 Mei 2011

Saturday, May 14, 2011

Hukum-Hakam Mubahalah



Al-Mubahalah (المباهلة) membawa maksud al-Mula’anah (الملاعنة) iaitu saling laknat melaknati. Dalam ertikata lain, saling berdoa diturunkan laknat ke atas individu yang berbohong dari kalangan orang yang bersedia bermubahalah. (Sila lihat al-Qamus al-Muhith)

Mubahalah ini suatu yang dibenarkan (disyariatkan) di dalam Islam bertujuan menyatakan kebenaran dan memusnahkan kebatilan, juga untuk menegakkan hujah ke atas orang yang berpaling dari kebenaran setelah kebenaran itu ditegakkan ke atasnya.

Asas kepada pensyariatan Mubahalah ini ialah firman Allah S.W.T.


فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: “Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu, kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpa ke atas orang yang berdusta.” (Ali Imran: 61)

Ayat ini diturunkan sempena dengan kedatangan wakil Nasara Najran ke Madinah yang berhujjah dengan Nabi S.A.W. tentang keyakinan batil mereka berkenaan Isa A.S. namun mereka tetap berkeras dengan keyakinan mereka yang batil itu setelah Nabi S.A.W. mendatangkan hujah yang jelas kepada mereka. Lalu Allah S.W.T. menurunkan ayat di atas supaya Nabi S.A.W. mencabar utusan Nasara itu untuk bermubahalah, namun cabaran itu telah ditolak oleh mereka disebabkan rasa takut atas perbuatan dusta mereka.

Dalam mubahalah setiap orang akan memohon kelaknatan Allah ke atas dirinya jika dia berada di pihak yang salah. Sebagai contoh satu pihak diminta menyebut: Ya Allah! jika aku lakukan apa yang dituduh ke atasku, maka laknatilah aku”. Sementara pihak yang lain menyebut: “Ya Allah! jika dia tidak lakukan apa yang aku tuduh itu, maka laknatilah aku”.

Apakah Mubahalah khas untuk Nabi S.A.W. sahaja?

Tidak ada bukti yang menunjukkan mubahalah adalah khusus untuk Nabi S.A.W. sahaja. Bahkan mubahalah adalah suatu perkara yang dibenarkan kepada umat Baginda S.A.W. sehinggalah berlakunya kiamat. Ia juga tidak dikhususkan bersama Ahli Kitab sahaja, sebaliknya terhadap setiap golongan yang berselisih.

Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi di dalam salah satu fatwanya menyebut:


ليست المباهلة خاصة بالرسول صلى الله عليه وسلم مع النصارى ، بل حكمها عام له ولأمته مع النصارى وغيرهم ، لأن الأصل في التشريع العموم ، وإن كان الذي وقع منها في زمنه صلى الله عليه وسلم في طلبه المباهلة من نصارى، فهذه جزئية تطبيقية لمعنى الآية لا تدل على حصر الحكـم فيها

Maksudnya: “Mubahalah bukanlah dikhususkan kepada Rasulullah S.A.W. bersama Nasara sahaja, akan tetapi ianya umum kepada Baginda dan kepada umat Baginda samaada bersama Nasara atau lainnya. Ini kerana asal dalam pensyariatan hukum, hukum itu umum (untuk semua, bukan khusus untuk Nabi), sekalipun mubahalah yang berlaku di zaman Nabi S.A.W. antara baginda dan Nasara Najran. Ini hanyalah sebahagian perlaksanaannya terhadap makna ayat (al-Quran), bukan menunjukkan terhad kepada hukum dalam keadan itu sahaja.” (Bil. Fatwa: 6238)

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyebut antara pengajaran dari kisah cabaran Mubahakah antara Nabi S.A.W. dengan Nasara Najran ialah:


أن السُّنَّة في مجادلة أهل الباطل إذا قامت عليهم حجة الله، ولم يرجعوا بل أصروا على العناد أن يدعوهم إلى المباهلة، وقد أمر الله ـ سبحانه ـ بذلك رسوله، ولم يقل: إن ذلك ليس لأمتك من بعدك, ودعا إليه ابن عمه عبد الله بن عباس لمن أنكر عليه بعض مسائل الفروع، ولم ينكر عليه الصحابة، ودعا إليه الأوزاعي سفيان الثوري في مسألة رفع اليدين ولم ينكر ذلك عليه، وهذا من تمام الحجة

Maksudnya: “Bahawa menjadi sunnah dalam berdebat dengan ahli kebatilan, apabila telah ditegakkan hujah namun mereka enggan kembali kepada kebenaran sebaliknya terus berdegil, maka diseru mereka agar bermubahalah. Allah telah memerintahkan rasul-Nya berbuat demikian. Tanpa Allah menyatakan ini bukan untuk umatmu selepas ini. Sepupu baginda Abd Allah bin ‘Abbas juga pernah mengajak mereka yang membantah dalam beberapa perkara furu’ bermubahalah dengannya. Tiada seorang sahabat Nabi SAW yang membantah tindakan itu. Juga al-Auza‘i pernah mengajak Sufyan al-Thauri bermubahalah dalam masalah ‘mengangkat tangan’ tanpa ada yang membantah tindakannya. Ini adalah hujah yang kuat” (Ibn Qayyim, Zad al-Ma‘ad 3/562-563)

Al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab juga pernah menyeru orang-orang yang menentangnya untuk bermubahalah sepertimana yang tercatit di dalam salah satu risalahnya:


وأنا أدْعُوْ مَنْ خَالَفَنِيْ إلى أحَدِ أرْبَع: إمَّا إلى كتاب الله، وإما إلى سنة رسوله، وإما إلى إجماع أهل العلم، فإن عاند دعوته إلى المباهلة

Maksudnya: “Dan aku menyeru kepada sesiapa yang menentangku kepada salah satu dari empat perkara: samaada kembali kepada Kitab Allah, atau kembali kepada Sunnah RasulNya, ataupun kembali kepada ijma’ para ulama atau jika dia degil juga aku menyeru dia kepada Mubahalah.”

Syarat-Syarat Mubahalah

(Disusun oleh al-Syeikh Ibrahim bin Soleh al-Humaidhi (Kuliah Syariah dan Usul al-Din di al-Qasim) dalam tulisannya bertajuk Hakikat Mubahalah menyebut 5 syarat yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu mubahalah dilaksanakan.)

1. Mengikhlaskan niat kerana Allah S.W.T. tidak boleh tujuan mubahalah ini dilakukan kerana hendakkan kemenangan dan memuaskan hawa nafsu. Sebaliknya ia dilakukan bagi tujuan menegakkan kebenaran, membela orang yang berada di atas kebenaran, menzahirkan kebenaran dan berdakwah kepada Allah

2. Berilmu. Mubahalah hendaklah dilakukan setelah adanya penjelasan dan dailog.

3. Orang yang menuntut Mubahalah itu terdiri dari orang soleh dan takwa.

4. Dilakukan selepas tertegaknya hujjah dan menzahirkan kebenaran dengan bukti-bukti yang jelas.

5. Mubahalah itu dilakukan dalam perkara yang penting dari urusan agama, diharapkan dengan terlaksananya mubahalah tersebut terhasilnya maslahah kepada Islam dan Umat Islam, atau bagi menolak mafsadah.

Kesan Mubahalah

1. Ibn Hajar al-‘Asqallani berkata: “Berdasarkan pengalaman, sesiapa yang bermubahalah sedangkan dia berbohong, dia tidak akan dibiarkan lebih dari satu tahun dari hari mubahalah. Telah berlaku mubahalah antara ku dengan seorang taasub kepada golongan Mulhid, dia tidak dibiarkan selepas mubahalah itu melainkan dua bulan.”

2. Seorang ulama India, al-Syeikh Abi al-Wafa’ Thana’ al-Amritsari (الشيخ أبوالوفا ثناء الأمرتسري) telah melakukan mubahalah dengan Mirza Ghulam Ahmad al-Qadyani yang mendakwa dirinya seorang Nabi. Lalu Allah S.W.T. membinasakan Mirza Ghulam Ahmad selepas setahun dari hari mubahalahnya. Manakala al-Syeikh Abi al-Wafa’ terus dipanjangkan umurnya hampir 40 tahun selepasnya. (Sila lihat al-Qadyaniyyah Dirasaat wa Tahlil oleh Ustaz Ihsan Ilahi Zahir. m.s. 154-159)

Wallahu a’lam.

http://soaljawab.wordpress.com/2008/07/09/hukum-hakam-mubahalah/

-------------------------------------------------------

Pandangan Prof. Madya Dr. Mohd. Radzi Othman:

berkenaan sumpah dan sumpah laknat


Berkenaan Sumpah ;


Mengikut sejarah Islam, sumpah secara umumnya adalah perkara biasa. Sumpah boleh berlaku pada bila-bila masa, sama ada dalam mahkamah kalau kes dibawa ke mahkamah atau jika diminta bersumpah ataupun dibuat di luar mahkamah sesama orang Islam. Sumpah dibuat bertujuan mendapat kepastian yang lebih tinggi tentang kebenaran sesuatu dakwaan.

Jika seseorang itu mendakwa sesuatu yang kita tidak pasti, kita boleh memintanya bersumpah. Jika orang tidak meminta kita bersumpah sekali pun, jika kita rasa maklumat yang kita beri tidak dapat diterima dengan baik, kita boleh bersumpah. Ini sumpahan biasa.

Sumpahan adalah sesuatu yang dibuat secara bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan, menguatkan dan menyokong kenyataan-kenyataan kita supaya kebenaran dapat diterima oleh

Sumpah juga idak hanya dalam kes jenayah, dalam isu pertikaian harta benda pun boleh bersumpah. Sumpah juga boleh dibuat untuk menentukan kebenaran kes-kes peribadi.

Bersumpah dengan menyebut nama Allah. Waallahi, Wabillahi dan Wataallahi. Ini lafaz-lafaz sumpah. Lafaz ini hanya digunakan pada perkara-perkara untuk mengukuhkan kebenaran dan dakwaan supaya pihak kedua boleh menerimanya.


Sumpah Laknat :


Sumpah yang melibatkan permohonan laknat dikenali sebagai mubahalah iaitu bermakna saling melaknat sesiapa yang berbohong antara kedua-dua belah pihak, termasuk orang yang bersumpah. Sumpah laknat melibatkan orang yang bersumpah itu sendiri. Andai kata apa yang disumpah tidak betul, sesuatu yang batil, ertinya orang yang bersumpah juga termasuk dalam mereka yang dilaknat dalam sumpahan itu. Tapi perkara ini jarang berlaku.

Dalam Surah al-Imran Ayat 61 Allah berfirman yang bermaksud: “Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan ) kamu, maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan- perempuan kamu, dan diri kami serta diri kami, kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang yang berdusta.

Latar belakang turunnya ayat itu ialah ada satu kabilah Nasara, Bani Najran, di selatan Semenanjung Tanah Arab bertemu Nabi Muhammad. Mereka ingin mendapatkan perlindungan keselamatan daripada negara Islam melalui Nabi Muhammad. Nabi Muhammad meminta mereka membayar jizyah. Dalam pertemuan itu, mereka enggan membayar jizyah sebaliknya mereka mencabar untuk bermubahalah.

Tetapi akhirnya mubahalah tidak berlaku kerana kabilah Nasara bersetuju membayar jizyah tanpa melakukan sumpah mubahalah. Orang Nasara itu takut melakukan mubahalah kerana merasakan Nabi Muhammad berada di pihak yang betul manakala mereka tidak betul. Hasilnya mereka terpaksa menanggung akibat buruk. Akibat itu bukan sahaja menimpa mereka tetapi turut dilaknat sehingga ke anak cucu. Justeru, kabilah Nasara membuat keputusan untuk menerima sahaja permintaan Nabi.


Akibat buruk dari sumpah mubahalah, Ia memang janji Tuhan. Melalui Ayat 61 Surah al-Imran itu juga pada perenggan yang terakhir, dinyatakan “kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang yang berdusta.”

Apabila kita bermubahalah, Allah akan memberi balasan buruk kepada mereka yang berdusta. Apabila kedua-dua belah pihak bermubahalah, mesti ada salah satunya benar dan salah satunya tidak benar. Melalui ayat itu, Allah menjanjikan balasan buruk kepada pihak yang tidak benar.


Daripada kes-kes sumpah yang berlaku, ulama-ulama hadis ada merakamkan beberapa kes. Kata Ibn Hajjar, akibatnya tidak melebihi tempoh satu tahun. Tidak melebihi tempoh dua bulan pun ada. Namun di kalangan pengikut Ahli Sunah Wal Jamaah, mubahalah dilafazkan hanya pada kes-kes yang serius dan pada kes-kes yang besar sahaja. Itu pun selepas dirujuk dengan pelbagai cara lain yang perlu diusahakan untuk menyelesaikan perbalahan dua pihak tadi. Jika ia masih tidak selesai, akhirnya barulah dirujuk kepada cara mubahalah.


Dalam sejarah Syiah, pengikut Syiah banyak merujuk kepada cara mubahalah. Mereka memang lebih suka cara mubahalah.

Berdasarkan satu catatan dalam laman web Syiah, terdapat beberapa kes mubahalah yang berlaku pada zaman Jaafar al-Sadiq. Orang Syiah bermubahalah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku pada waktu itu. Ketika itu mereka melakukan mubahalah dengan meletakkan jari-jari kedua belah tangan secara berselang seli antara satu sama lain dan kemudian berkata, “Ya Allah, andai kata si polan ini engkar kebenaran dan menerima kebatilan, maka kenakanlah dia dengan balasan daripada langit atau azab daripada engkau, ya Allah, dan melaknatnya sebanyak 70 kali.”

Mubahalah itu dilakukan pada waktu subuh iaitu ketika antara naik fajar hingga naik matahari. Orang Syiah memang biasa dan kerap bermubahalah.

Cuma bagi kita pengikut Ahli Sunah Wal Jamaah, mubahalah jarang-jarang berlaku. Apabila wujud kes-kes pertelingkahan yang tidak dapat diselesaikan dengan cara lain, baru mubahalah digunakan. Sumpah la'nat itu jarang digunakan kerana ia mengakibatkan perkara buruk yang boleh menimpa pihak-pihak yang berkenaan.


Hanya Allah yang tahuapakah balasan-balasan yang boleh berlaku akibat dar sumpah mubahalah ini.. Antara yang mungkin boleh berlaku seperti kematian secara mengejut atau sakit berpanjangan atau lain-lain.

Sumpah biasa sekalipun, kalau tidak benar, ia sudah merupakan satu dosa besar dan orang yang berdusta perlu bertaubat. Mubahalah tentunya lebih serius kerana ia bermaksud laknat Tuhan iaitu dijauhkan daripada rahmat Tuhan.

Jadi bila kita dijauhkan daripada rahmat Tuhan, rahmat siapa lagi yang kita harapkan? Dalam mubahalah, kita dijanjikan dengan balasan laknat. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk iaitu laknat Allah, laknat Nabi dan laknat para mukminin. Maknanya sumpah itu meminta pihak yang berkenaan dijauhkan daripada rahmat Tuhan.

Manusia dinaungi rahmat Tuhan dan Tuhan memberikan rahmat kepada sesiapa yang dikehendakinya, tidak kira Islam dan bukan Islam. Dalam sumpah laknat, rahmat itu akan dijauhi daripada orang yang berdusta.

cara bermubahalah:

Mubahalah tidak tertakluk kepada banyak syarat kerana dalam nas-nas syarak tidak dinyatakan dengan jelas syarat-syarat yang diperlukan. Cuma mubahalah ini boleh dilakukan ekoran daripada perbalahan yang tidak dapat diselesaikan dengan cara biasa melalui perbincangan dan persefahaman. Caranya boleh berlaku di mahkamah di depan hakim jika kes dibawa ke mahkamah. Ia juga boleh dilakukan di luar mahkamah bahkan di mana-mana sahaja. Pada zaman Abdullah Ibn Abbas Al-Auzar dan Syuraih Al-Qa‘di, mubahalah pernah berlaku di dalam masjid dan di luar masjid selepas kesepakatan kedua-dua pihak untuk sama-sama merujuk kepada pendekatan mubahalah untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.

(Tidak ada syarat tertentu ), ketika Nabi Muhammad mahu bermubahalah dengan kabilah Nasara, Bani Najran, baginda membawa anaknya, Siti Fatimah ,menantunya Saidina Ali serta cucunya Hasan dan Husin sebagai saksi.Bagaimanapun, kes pada zaman Rasulullah itu tidak berakhir dengan mubahalah.

Ketika mubahalah, kedua-dua pihak boleh hadir secara bersama ataupun satu pihak sahaja manakala pihak yang lagi satu yang melakukan mubahalah secara berasingan juga dianggap mubahalah.

Dalam kes di mana ada pihak yang engkar iaitu tidak mahu bersumpah, kebenaran memihak kepada pihak yang bersumpah.

Akibat dari Sumpah laknat;

Dalam kes sumpah laknat, kita akan dapat lihat petanda-petanda awal yang boleh menunjuk kepada pehak mana yang sebenarnya bathil ataupun berdusta. Sumber-sumber agama tidak menyebut secara jelas tentang petanda-petanda yang berkenaan kerana perkara seumpama itu jarang berlaku di kalangan kita pengikut Ahli Sunah Wal Jamaah dan ia tidak diperbesar-besarkan.

Bagaimanapun, ulama-ulama Syiah mencatatkan bahawa tidak lama selepas mubahalah berlaku kejadian seperti orang yang berdusta tidak boleh bercakap, cakapnya tidak lancar, tergamam, terjatuh dan bermacam-macam lagi. Sejauh mana kebenarannya tidak pula diketahui.

Apa yang penting ialah pihak berkenaan telah bersumpah dan yang kedua pula menyahut cabaran itu dengan bersumpah, jadi kita tengoklah di antara kedua belah pihak itu apa yang akan berlaku. Ulama Ibn Hajar Al Salam as Qualani pernah berkata, pada pengetahuannya, akibat sumpah akan dapat dilihat tidak lebih daripada satu tahun.


mubahalah adalah sebahagian daripada hukum Islam .


Mubahalah adalah sebahagian daripada hukum hakam Islam untuk menyelesaikan masalah yang berlaku bukan sahaja untuk Islam sesama Islam tetapi juga antara orang Islam dan pihak bukan Islam. Ia boleh dibuat dalam mahkamah dan boleh juga di luar mahkamah bergantung kepada persetujuan antara kedua belah

Yang penting, mubahalah adalah untuk menyelesaikan masalah

mubahalah, hanya bersumpah dengan nama Allah dan juga melaknat pihak yang berdusta.

Memang dalam kes mubahalah atau sumpah biasa tidak diperlukan memegang al-Quran atau junjung al-Quran ketika bersumpah atau bermubahalah. Akan tetapi jika ada yang berbuat demikian tak adalah boleh disamakan dengan amalan orang Kristian.Bersumpah atau bermuhabalah mengikut hukum syarak, seseorang yang bersumpah hanya bersumpah dengan nama Allah tidak boleh selain daripada Allah. Begitu juga dituduh itu’. Itu sudah cukup.

Dalam kes mubahalah, seseorang kena tambah ungkapan laknat Allah terhadap orang yang berdusta termasuk dirinya yang bersumpah andai kata dia berdusta.

.

.[Prof. Madya Dr. Mohd. Radzi Othman,adalah , pensyarah di Jabatan Pengajian Islam,USM. Telah 23 tahun berkhidmat di USM selepas memperoleh ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah kedoktoran dari Universiti Madinah, Arab Saudi. Beliau merupakan pakar bidang hadis, dakwah dan usuluddin. Berusia 57 tahun, Dr. Mohd. Radzi pernah menjadi ahli Majlis Fatwa Pulau Pinang selama 11 tahun. Sejak 23 tahun lalu, beliau ialah ahli Majlis Fatwa Perlis selain menjadi penasihat syariah Bank Rakyat.Beliau juga menulis buku dalam bahasa Arab mengenai sejarah sahabat Nabi dan gerakan pembaharuan dalam Islam.]


sumber: Utusan Malaysia

-----------------------------------------------


Pegawai penyelidik JAKIM :Harus bersumpah menafikan tuduhan


Penulis ditanya, salahkah jika seseorang yang dituduh berzina untuk bersumpah bagi menafikan tuduhan tersebut. Penulis katakan, tiada tegahan atau larangan menurut hukum syarak untuk seseorang bersumpah dengan nama Allah SWT atas tuduhan zina yang ditujukan kepadanya. Ia tidak semestinya hanya dilakukan di mahkamah.

Adapun jika kes tersebut dibawa ke mahkamah, pertama sekali, hakim akan meminta keterangan atau bukti daripada yang menuduh, jika yang menuduh tidak membawa bukti, maka hakim akan meminta yang tertuduh membuat perakuan atau menafikan dakwaan tersebut. Jika dia mengaku maka sabitlah tuduhan itu tetapi jika yang dituduh tidak mengaku maka hendaklah yang menuduh membawa keterangan atau bukti dakwaannya. Jika masih tiada bukti atau keterangan, yang menuduh berhak memohon kepada hakim supaya yang dituduh bersumpah menafikan dakwaan itu. Jika yang dituduh bersumpah menafikan, maka gugurlah tuduhan tersebut, tetapi jika tidak maka sabitlah tuduhan tersebut. Sesetengah pendapat mengatakan sumpah dikembalikan kepada yang menuduh. Perbicaraan ini adalah berdasarkan kaedah "al-bayyinah limanidda'a wal-yamin 'ala man ankar", bermaksud, "keterangan (bukti) bagi yang menuduh dan sumpah bagi yang menafikan". Ia jelas menunjukkan sumpah ingkar tetap diperlukan menurut fuqaha', sekurang-kurangnya ia dapat membersihkan maruah diri orang yang dituduh. Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (1427), Kuwait: Wizarah al-Awqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah, j.7, hal. 52.

Bersumpah mengingkari tuduhan atau dakwaan ini, bukan sahaja tertakluk kepada isu-isu muamalat tetapi ia juga merangkumi isu-isu ibadat, kaffarat dan hudud.

Menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik , Imam Syafi’iy dan al-Laith, jika seseorang dituduh dalam isu-isu tersebut maka yang dituduh boleh diminta supaya bersumpah untuk menafikan.

Contohnya, Imam Syafi’iy mengatakan jika seseorang berkahwin dengan seorang wanita yang tidak halal bagi dirinya dengan dakwaan kerana jahil, maka dia hendaklah bersumpah atas dakwaannya itu. Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (1427), j.7, hal. 54.

Sesungguhnya mempertahankan maruah diri dan keturunan adalah wajib dan ia termasuk dalam tangga ke-empat dalam maqasid al-syariah. Tambahan pula tuduhan zina adalah termasuk dalam jenayah berat yang boleh membawa kepada hukuman hudud. Peristiwa fitnah zina yang berlaku ke atas Sayyidatuna Aisyah boleh dijadikan rujukan dalam isu ini. Lihat ketika Rasulullah SAW bersoal jawab dengan Aisyah bagi mendapatkan kepastian tentang apa yang dituduh.

فخرج صلى الله عليه و سلم حتى أتى منزل أبي بكر فدخل عليها فقال : يا عائشة ان كنت فعلت هذا الامر فقولي لي حتى أستغفر الله لك فقالت : والله لا أستغفر الله منه أبدا، ان كنت قد فعلته فلا غفر الله لي وما أجد مثلي ومثلكم إلا مثل أبي يوسف (يوسف الآية 86 )

Bermaksud : Lalu Rasulullah SAW keluar sehingga sampai ke rumah Abu Bakar dan menemui Aisyah. Baginda berkata : Wahai Aisyah, jika kamu telah melakukan perkara ini katakan padaku supaya aku memohon keampunan kepada Allah bagi kamu. Lalu Aisyah menjawab : Demi Allah aku tidak akan sekali-kali memohon keampunan Allah kerananya, jika aku telah melakukannya, tiada keampunan Allah bagiku, aku tidak dapati diriku dan diri kamu semua kecuali seperti yang berlaku kepada bapa Yusuf (sambil membaca surah Yusuf ayat 86)". Lihat al-Sayyuti (1993), al-Durr al-Manthur, Beirut: Dar al-Fikr, j.6, hal. 149; al-Tabarani (1983), al-Mu'jam al-Kabir, Musil: Maktabah al-Ulum wa al-Hikam, j.23, hal. 124.

Dalam ungkapan Aisyah di atas, jelas menunjukkan bahawa beliau telah bersumpah atas nama Allah bagi menafikan dirinya terlibat dalam perbuatan tersebut. Malah Rasulullah SAW sendiri tidak menegur atau melarang Aisyah daripada bersumpah atas nama Allah bagi membersihkan dirinya. Sejurus selepas peristiwa ini juga turun beberapa ayat dalam surah al-Nur yang menafikan dan membersihkan Aisyah daripada tuduhan tersebut. Malah, dalam surah al-Nur ayat 16, Allah SWT mengajarkan kita apabila mendengar berita-berita dusta mengucapkan “Subhaanaka haza buhtaanun azhim” bermaksud, “Maha Suci Engkau (Allah) ini adalah pembohongan yang besar”. Kata Ibn 'Asyur ungkapan ini adalah untuk berlepas diri daripada sebarang tuduhan yang tidak patut. Lihat Ibn 'Asyur (1997), al-Tahrir wa al-Tanwir, Tunisia: Dar Sahnun, j.22, hal. 48.

Kesimpulannya, bagi penulis tidak mengapa untuk seseorang yang dituduh untuk bersumpah dengan nama Allah SWT bagi menafikan tuduhan berat yang ditujukan kepadanya bagi membersihkan maruah dirinya. Sebaliknya sumpah yang ditegah dan dilarang di dalam al-Qur'an dan al-Sunnah adalah sumpah dusta yang dibuat bagi kepentingan tertentu atau tujuan tertentu. Maka kepada Allah SWT, kita serahkan setiap mereka yang berdusta dan berbohong atas nama Allah SWT. Wallahu a'lam.

http://mufakkir-islami.blogspot.com/2011/05/harus-bersumpah-menafikan-tuduhan.html