AMALAN-AMALAN KHURAFAT DAN SIFAT-SIFAT TERCELA DI KALANGAN JEMAAH HAJI ASIA TENGGARA DAN PANDUAN MENGHINDARINYA
Mengunjungi Baitullah untuk menyempurnakan pekerjaan haji menjadi
suatu cita-cita murni yang sepatutnya wujud pada tiap-tiap diri umat
Islam. Pada kelazimannya orang yang belum lagi hendak melaksanakan
kewajipan tersebut, mereka tidak sangat bersedia dengan ilmu pengetahuan
sebagai bekalan untuk ibadat tersebut. Apabila hampir dengan waktunya
barulah secara bergopoh-gapah mempelajarinya mengikut kemampuan yang ada
padanya.
Banyak umat Islam yang
kurang bersedia dari segi ilmu pengetahuan
untuk mengerjakan haji, malah ada yang tidak memahami walaupun
perkara-perkara yang asas, akibatnya apabila mereka mengerjakan ibadat
tersebut, terjadilah perlanggaran hukum yang boleh mencacatkan
kesempurnaan ibadat tersebut. Hal ini berlaku kerana mereka
terikut-ikut
dengan perbuatan jemaah yang kurang arif tentang ibadat itu dan malu
hendak bertanya kepada orang lain.
Di samping tidak mendalami hukum hakam mengenai haji, ditambah pula
dengan kejahilan hukum-hukum mengenai akidah, maka berlakulah campur
aduk di dalam ibadat haji di antara yang hak dengan yang batil.
Kadang-kadang yang hak ditinggalkan dan yang batil dikerjakan.
Yang
batil seperti amalan-amalan khurafat dikerjakan sebaik-baiknya, atas
kefahaman bahawa amalan-amalan itu dituntut oleh syarak, sedangkan yang
sebenarnya sebaliknya.
Sering berlaku dari semasa ke semasa perbuatan-perbuatan yang
bercanggah dengan hukum syarak yang dicampurkan di dalam ibadat haji,
terutama
khurafat-khurafat yang diada-adakan oleh orang-orang yang tidak
bertanggungjawab. Mereka
memberi fatwa secara berbisik-bisik tanpa
menggunakan sebarang kitab atau kenyataan-kenyataan dari nas-nas yang
muktabar tentang perkara yang dibisik-bisikkan itu. Akhirnya
amalan-amalan khurafat itu menjadi ikutan turun temurun dari dahulu
hinggalah sekarang. Oleh yang demikian, maka diajarlah kita membicarakan
perihal khurafat tersebut.
PENGERTIAN KHURAFAT
Khurafat adalah perkataan Arab yang di asaskan dari akar kata:
خرف خرافة خرافات
Dalam kamus al-Marbawi khurafat itu diberi makna
cerita karut atau karut marut.
Di dalam al-Munjid disebut:
خرف قسد اخرفة افسده
الخر افة حديث الخرف المضحك
Al-khurafat juga disebut sebagai الحديث الباطل مطلقا
percakapan yang tidak betul sama sekali.
Istilah khurafat telah diterima pakai di dalam masyarakat Melayu dan
pada umumnya diketahui maksudnya kerana ianya semacam menjadi bahasa
Melayu. Khurafat maksudnya
kepercayaan karut yang direka-reka dan
diadakan untuk membentuk suatu keyakinan tentang akan berlakunya baik
atau buruk terhadap sesuatu kerja berpandukan kepada perbuatan dan
kejadian-kejadian alam yang berlaku
dengan mentafsirkan kejadian itu
akan membawa bala bencana atau membawa tuah keberuntungan.
Di dalam kitab
Addarul Nadid, halaman 179 ada disebut:
Yang bermaksud:
“Adapun apa yang diiktiqadkan oleh manusia dari dahulu
hingga sekarang tentang adanya bagi seekor burung atau ada hari-hari
atau bulan-bulan yang boleh memberi kesan pada kebahagiaan atau
kecelakaan manusia. Semuanya itu adalah khurafat. Islam membatalkannya
kerana jelas bertentanagn dengan tauhid”.
KHURAFAT SEBAGAI BUDAYA JAHILIAH
Masyarakat jahiliah adalah sebuah masyarakat yang b
anyak menghayati
budaya khurafat. Di antara khurafat mereka, mereka
mempercayai kepada
arah burung yang berterbangan memberi kesan kepada nasib mereka.
Orang-orang Arab jahiliah apabila hendak mengerjakan sesuatu kerja atau
sedang di perjalanan menuju sesuatu maksud
tiba-tiba kedapatan burung
yang melintasi mereka, maka
dikaitkan dengan suatu
kepercayaan-kepercayaan tertentu.
Malah mereka meletak nama khusus pada
keadaan burung yang melintasi mereka.
Yang melintasi dari arah kanan ke kiri dinamakan : As Sawaeh
Yang melintasi dari arah kiri ke kanan dinamakan : Al Bawareh
Yang datang kepada mereka dari arah hadapan dinamakan : An Nateh
Yang datang dari arah belakang ke hadapan dinamakan : Al Qaid
Dari nama-nama tersebut lahirlah tafsiran-tafsiran yang khusus, ada
bala bencana akan menimpa, ada tuah, ada keberuntungan yang akan berlaku
dan sebagainya yang mereka menggantungkan hal-hal tersebut sepenuhnya
kepada keadaan burung tersebut.
Masyarakat jahiliah juga percaya jika
burung hantu (al-Bumah)
menghinggapi dan berbunyi di atas sesuatu rumah maka ertinya
salah
seorang dari penghuni rumah itu akan meninggal dunia. Kepercayaan
sebegini mengakibatkan penghuni rumah akan bermurung durja, dukacita
yang tidak terkira kerana kematian yang akan menimpa.
Kepercayaan sedemikian terdapat juga di dalam masyarakat melayu di
Tenggara Asia yang
terbawa-bawa dengan budaya jahiliah hingga sekarang
ini. Padahal semua itu adalah khurafat belaka.
KHURAFAT MENODAI IBADAT HAJI
Ibadat haji adalah suatu ibadat yang semestinya dilakukan dengan
sempurna, tidak dicampur dengan
batil.
Apatah lagi khurafat
hendaklah
dijauhi sama sekali. Khurafat boleh mencemar ibadat haji dan
menjadikannya
ibadat yang sia-sia kerana perbuatan khurafat menjejaskan
akidah dan kadang-kadang merosakkannya.
Perlu diingat bahawa
khurafat
boleh membawa kepada syirik kerana ianya menyentuh persoalan
iktikad.
Jikalau sudah iktikad rosak kerana khurafat, maka orang yang
rosak
akidahnya tidak akan mendapat apa-apa kebaikan dari ibadatnya.
Namun demikian,
masih terdapat bakal-bakal haji yang seolah-olahnya
tidak menyedari bahawa mereka melakukan perkara-perkara khurafat ketika
hendak menunai haji dan ada pula yang melakukannya ketika mereka
di
dalam ihram dan sedang bertungkus lumus mengerjakan haji itu sendiri.
Kepada golongan ini seboleh-bolehnya apa yang diajarkan kepada mereka
oleh Tok-tok Guru yang mentadbir atau oleh pengkursus-pengkursus haji
adalah
tidak lengkap dan tidak sempurna.
Mereka masih hendak
menambah-nambah dan mengada-adakan berbagai-bagai perbuatan yang tidak
diajar oleh orang-orang tadi l
alu mereka menerima pakai fatwa-fatwa dari
orang yang tidak bertanggungjawab.
Khurafat bukan perkara kecil yang boleh dipermudah-mudahkan.
Khurafat
adalah perkara besar yang mesti difahami dan diberi perhatian untuk
menjauhinya. Umat Islam jangan mudah menerima pakai sesuatu perbuatan
yang disebutkan kepadanya bagi menambah-nambah amalan
di dalam haji yang
dipelajarinya secara terbuka dan ada sandarannya, itulah yang patut
diamalkan. Adapun yang diajar secara sembunyi-sembunyi dan dilakukan
secara sembunyi-sembunyi patutlah diambil perhatian dan dipastikan
dahulu boleh tidak mengamalkannya barulah diamalkan yang boleh dan
menjauhi yang khurafat.
PANDANGAN ISLAM TERHADAP KHURAFAT
Di dalam al-Quran al-Karim terdapat beberapa ayat yang menyeru kepada
pergantungan dengan Alllah sepenuhnya dan menolak kepercayaan terhadap
yang selain-lainnya bagi mendapat kebaikan dan menolak keburukan.
Yang
memberi segala kenikmatan dan kebaikan hanya Allah. Yang menolak segala
kejahatan hanya Allah. Kepadanya seluruh makhluk bergantung. Firman
Allah, surah al-Zumar, ayat 38: Yang bermaksud:
“
Katakanlah apakah kamu tidak melihat kepada apa yang kamu memohon
kepadanya selain dari Allah bahawa jika sekiranya Allah menghendaki ke
atasku sesuatu kemudaratan, adakah mereka itu boleh menghindari dari
kemudaratan itu atau jika Allah menghendaki sesuatu rahmat itu
dianugerahkan kepadaku, apakah mereka itu boleh menahan rahmat itu.
Katakanlah adalah memadai Allah itu bagiku untuk segala-galanya.
Kepadanya bertawakal semua orang yang bertawakal”.
Ayat di atas memperlihatkan
konsep tawakal kepada Allah dalam semua
keadaan. Kebaikan dan kejahatan adalah dari Allah. Dia yang menyebabkan
segala-galanya. Dia yang berkuasa atas segala sesuatu, bukannya lintasan
burung atau sebagainya yang terdapat dalam amalan-amalan khurafat.
Yang bermaksud:
“Dari Abu Hurairah R.H. bahawasanya Rasulullah SAW
bersabda: “tidak ada jangkitan (yang berlaku tanpa izin Allah), tidak
ada buruk sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada malang pada burung
hantu dan tidak ada bala pada bulan Safar (seperti yang dipercayai)”.
Yang bermaksud:
“Dari Ibnu Mas’ud R.H. bahawasanya Rasulullah SAW
bersabda: “Buruk sangka (dalam amalan khurafat) adalah syirik (dua kali)
akan tetapi Allah menghapuskannya dengan bertawakkal kepada Allah”.
Yang bermaksud:
“Dari Anas R.H. bahawasanya Rasulullah SAW pernah
bersabda: “Jangan ada buruk sangka (kerana khurafat) dan alfa’lu adalah
jauh lebih baik. Ditanya Rasulullah, apakah dia alfa’lu itu:
sebut-sebutan yang baik (baik sangka) yang boleh didengari oleh
seseorang”.
Yang bermaksud:
“Dari Ibnu Umar R.H. katanya: Nabi SAW pernah bersabda:
“sesiapa yang kerana buruk sangkanya terhadap sesuatu (khurafatnya)
sehingga boleh memesongkan diri menerusi hajatnya, maka sesungguhnya ia
telah syirik (kepada Allah). Mereka bertanya apakah kifarat bagi yang
demikian itu? Sabdanya: hendaklah ia berkata: Ya Allah, tidak ada
kebaikan melainkan kebaikanmu. Tidak ada yang buruk (jahat) melainkan
kejahatan yang datang darimu dan tiada tuhan yang berhak disembah
melainkan engkau”.
Dari semua urutan ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW yang
tersebut, jelas memperlihatkan
konsep baik buruk hanya dari Allah
S.W.T. Allah yang mengatur segala-galanya, bukannya ada kaitan dengan
kejadian-kejadian yang berlaku di dalam hidup ini yang boleh memberi
kesan kepada kebahagiaan dan kecelakaan manusia.
Khurafat adalah karut marut yang tidak benar sama sekali. Tidak
sepatutnya kepercayaan-kepercayaan sedemikian menghantui umat Islam
sehingga
menghindarkan perjalanan hidup mereka kerana kongkongan
khurafat itu. Umat Islam perlu
bersih niat dan pergantungan mereka hanya
kepada Allah SWT sahaja. Apabila kamu cekal bercita-cita, maka teruskan
dan bertawakkal kepada Allah.
KHURAFAT DI KALANGAN JEMAAH HAJI ASIA TENGGARA
Pengaruh khurafat ternyata masih kuat. Di dalam masyarakat Islam Asia
Tenggara masih kehadapan amalan-amalan khurafat di dalam berbagai-bagai
lapangan kehidupan. Di dalam perniagaan masih percaya kepada FONG SUAI.
Dalam pertanian masih percaya kepada
semangat padi. Dalam mencari
rezeki di lautan masih ada yang percaya kepada
gamala ikan dan
berbagai-bagai lagi. Bukan sahaja di dalam mencari rezeki ada
berbagai-bagai khurafat,
ketika hendak melakukan ibadat kepada Allah pun
masih diresapi berbagai-bagai khurafat. Antara yang ketara ialah
khurafat-khurafat di dalam ibadat haji.
KHURAFAT DI TANAH AIR SENDIRI SEBELUM TIBA DI TANAH SUCI
a) Tidak boleh memijak bendul rumah. Kalau dipijak alamat tidak akan balik semula.
b) Sesudah bertolak dari rumah, tidak boleh memandang ke belakang
melihat rumah. Kalau dipandang, pekerjaan hajinya tidak sempurna kerana
hatinya teringat-ingat ke rumah
c) Membawa uri, rambut dan kuku bayi untuk ditanam di Tanah Haram supaya anak tersebut menjadi orang ternama dan disukai ramai.
d) Setelah balik nanti mesti berkurung diri di rumah selama 40 hari
yang disebut
idah haji. Barulah haji itu berkat dan melekat di hati,
kalau melanggar, sia-sialah haji.
KHURAFAT DI TANAH SUCI
a) Mesti mencari
tiang Jin di dalam Masjidil Haram. Peluk kuat-kuat boleh memanjangkan umur.
b) Boleh mendapat toyol dengan bersembahyang sunat sebanyak-banyaknya
secara mengadap tiang tersebut untuk dibawa balik toyol itu sebagai
khadam.
c) Jin yang dibawa balik dari Mekah adalah Jin yang baik kerana mereka adalah Islam.
d) Menampal duit syiling yang siap bergam di bawah pintu Baitullah
dan dibawa balik untuk dibuat
ibu duit bagi tujuan melariskan
perniagaan, mendapat jodoh dan memurahkan rezeki.
e) Memungut anak-anak batu di Arafah untuk dibawa balik bagi tujuan,
jika dicampak di dalam perigi ikan, maka ikan akan menjadi banyak. Jika
ditabur di kebun tanaman, maka buah-buahan akan menjadi. Jika diletak di
dalam kedai, maka akan laris.
f) Mencuri tali-tali khemah di Padang Arafah dan Mina untuk dijadikan
tangkal bagi tujuan pelarisan untuk jualan dan memperbanyakkan
tangkapan ikan.
g) Membawa balik Tanah Arafah untuk upacara
“Memijak Tanah” buat
pertama kali bayi untuk menghindarkannya dari sebarang penyakit dan
gagah berani.
h) Tidak boleh melihat
cermin semasa di dalam Ihram. Jika dilihat muka akan menjadi hodoh dan orang tidak suka melihatnya.
i) Menyapu-nyapu tiang masjid dan diusap ke muka untuk menambah seri wajah.
j) Mengetuk-ngetuk pintu dan gelang kuncinya di kawasan Saei sebagai
simbolik kepada mengetuk pintu rezeki. Jika tidak membuatnya, rezeki
akan tertutup selama-lamanya.
k) Bersetubuh dengan isteri di dalam Masjid al-Haram boleh mendapat anak yang mudah masuk syurga.
l) Orang yang mandul boleh segera mendapat anak jika bersetubuh
dengan suaminya di dalam Masjid dua kali
dari arah pancur emas sekali
kerana kepercayaan pancur emas itu melambangkan kemaluan Nabi Adam dan
sekali lagi dari arah yang menghala ke Hajar Aswad kerana Hajar al-Aswad
melambangkan kemaluan Siti Hawa.
m) Kain ihram perlu dibawa balik dan diwasiatkan bila mati nanti
hendaklah dikafan dengan kain itu bagi menghindar diri dari siksa kubur.
n) Beli khusus kain putih yang hendak dijadikan kafan dan
basuh
dahulu dengan air zam-zam di Mekah, disimpan dan diwasiatkan untuk
dijadikan kain kafan. Dengannya Munkar dan Nakir tidak berani memukul
badan yang dibalut dengan kain tersebut.
o) Kalau berlaku hujan, maka
mandilah di bawah curahan air dari
pancur emas agar sembuh segala penyakit dan tidak akan terkena penyakit
hawar.
p) Tiang-tiang masjid boleh dibeli untuk diwakafkan. Sekiranya ada
orang yang menawarkannya, maka jangan disoal banyak, beli sahaja akan
menjaminkan masuk syurga.
q) Mandi bertelanjang
di telaga Ja’aranah boleh memikat suami dan cepat mendapat jodoh bagi yang belum bersuami.
Dan berbagai-bagai khurafat lagi yang masih diamalkan oleh masyarakat Islam Asia Tenggara.
AMALAN KHURAFAT DAN KAITANNYA DENGAN HUKUM SYARAK
Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah
ditegah oleh syarak kerana di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh
merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bid’ah
yang buruk sepertimana tersebut dalam hadith Rasulullah SAW yang
bermaksud:
“…………
Setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat akan ditempatkan di dalam neraka”.
Mengamalkan amalan khurafat dengan tidak disedari boleh menjauhkan
diri daripada Allah SWT, walhal kedatangan jemaah haji ke Tanah Suci
ialah untuk menghampirkan diri kepada Allah serta menyuci diri dari
segala dosa dengan tujuan mandapat haji mabrur.
PUNCA AMALAN-AMALAN TERCELA DAN TERPAUTNYA SESEORANG KEPADA AMALAN KHURAFAT
Di antara
punca-puncanya adalah seperti berikut:
- Tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam pengetahuan agama di mana
mudah menerima perkara-perkara yang dianggap menarik baginya.
- Mempelajari dari guru-guru atau ketua-ketua yang tidak bertanggungjawab.
- Terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain kerana menyangka amalan itu adalah amalan yang betul.
- Sudah terbiasa melayani nafsu ammarah.
CARA-CARA MENGHINDARINYA
Bakal-bakal haji hendaklah mengikuti dan mempelajari hukum-hukum
agama sebelum menunaikan haji. Penceramah-penceramah hendaklah dipilih
dari kalangan mereka yang benar-benar berkelayakan. Tajuk siri khurafat
perlu dimasukkan ke dalam kurikulum ibadat haji dengan ditekankan
keburukannya.
Jangan mudah terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain yang tidak diketahui puncanya.
Dalam kursus haji ditekankan bahawa Tanah Suci Mekah bukanlah tempat
berehat atau tempat melepaskan kemarahan atau komplen
sewenang-wenangnya. Perlu ditekankan bahawa di dalam pekerjaan haji
mesti akan ditemui berbagai-bagai dugaan Allah yang perlu diterima
dengan sabar.
Sebarang amalan yang dipetuakan kepadanya oleh orang yang diragui
keilmuannya hendaklah dipastikan terlebih dahulu dari orang lain yang
lebih berwibawa. Bertawakalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.
Tunaikanlah haji semata-mata kerana Allah.
TINGKAH LAKU BURUK SEBAHAGIAN JEMAAH HAJI
Selain dari khurafat yang tersebut di atas, ditambah pula dengan
adanya tingkah laku buruk yang sering kedapatan di kalangan jemaah haji
umumnya termasuk jemaah haji Asia Tenggara, menjadikan ibadat haji
ibadat yang seolah-olahnya tanpa roh dan tanpa hikmah.
Sebagai contoh yang ketara, berlakunya peristiwa terowong al-Muassim
pada tahun 1990 dan peristiwa pijak memijak di atas Jambatan Mina pada
tahun 1994 yang semuanya memakan korban nyawa yang begitu banyak,
mencerminkan masalah utamanya tingkah laku buruk jemaah haji.
Tingkah laku dan tuturkata manusia itu adalah sebagai cermin
peribadinya. Jika elok tingkah laku, berbudi bahasa dan manis kata-kata,
maka tinggilah nilai dirinya, mulialah pekertinya. Kalaulah itu
benar-benar menjadi cermin diri, maka alangkah buruknya keadaan umat
Islam ini kerana apa yang berlaku di musim haji menjadi ukuran yang
utama pada nilai diri kita.
Di Mekah umat Islam kelihatan seperti seolah-olah tidak tahu disiplin
diri dan disiplin kehidupan. Ada yang tidak bertolak ansur, bertengkar,
bergaduh, tengking menengking, herdik mengherdik, menolak, melanggar,
memukul, memijak, menghimpit, mengambil hak orang lain, menyusahkan
kawan, memijak kepala, menyepak muka orang yang beribadah, mengganggu
yang bersembahyang, menyepak al-Quran, meletak al-Quran di atas lantai,
mengubah (mengalih) al-Quran dengan kaki, berebut-rebut dengan segala
kekuatan untuk mencium batu hitam (al-Hajarul Aswad). Memegang tangan
berangkai kuat untuk merempuh orang yang sedang solat dan tawaf.
Perbuatan yang sama berlaku dengan dasyatnya ketika di Mina untuk
melontar. Segala selipar dan kasut serta pakaian tertanggal dari badan.
Yang sakit tidak diberi simpati. Yang tua uzur tidak dihirau dan
pelbagai perangai lagi yang boleh dilihat.
Mengenai tutur kata, umat Islam tidak hendak menjaga tutur katanya.
Walaupun ketika sedang tawaf dan saei, masih bercakap-cakap dengan
hal-hal yang terkeluar dari erti ibadah yang sebenar, bergelak ketawa
berdekah-dekah kerana kelucuan yang sengaja diada-adakan dalam
perbualan-perbualan, seolah-olah mereka bukan di hadapan Allah di dalam
ibadat yang shahdu.
Kata mengata, caci mencaci sering kedengaran di sepanjang masa berada
di Mekah dan Madinah seolah-olah tidak berbeza dari tempat-tempat lain.
Mengumpat, mencerca terus berlaku tanpa sebarang takut kepada dosa yang
perbuatan di Tanah Haram.
Semua tingkah laku buruk itu adalah sebahagian dari masalah yang
sebenar yang berlaku di kalangan jemaah haji kita yang sudah sewajibnya
kita menyedari perihal tersebut dan cuba menghindarnya.
BAGAIMANA MENGATASI PERMASALAHAN TERSEBUT
Masalah akhlak adalah masalah pokok untuk membina masyarakat yang
mulia. Akhlak yang terpuji menjadi tunjang kekuatan umat. Rasulullah SAW
diutuskan Allah adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Baginda
menjadi teladan untuk kemuliaan akhlak, mengasuh umatnya agar berakhlak
mulia.
Bagi mengatasi masalah yang disebutkan tadi, pendidikan kerohanian
yang menekankan kepada kemuliaan akhlak perlu dititik beratkan dalam
latihan dan syarahan-syarahan. Bakal-bakal haji hendaklah dipupuk dengan
budi pekerti yang mulia untuk dihayati sepanjang masa hidupnya,
lebih-lebih lagi ketika menunaikan haji.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
Yang bermaksud:
“Barang siapa yang ingin sangat hendak menjadi manusia
yang terkuat, maka bertawakkallah kepada Allah. Barang siapa yang ingin
sangat hendak menjadi manusia yang terkaya, maka hendaklah meyakini
bahawa apa yang ada di sisi Allah Azawajallla lebih baik dari apa yang
ada di dalam tangannya. Dan siapa yang ingin sangat menjadi manusia yang
termulia, maka hendaklah takut kepada Allah Azawajallla”.
Hadith ini mengingatkan kita tentang berakhlak dengan Allah.
Bertawakkal kepada Allah, takut kepada Allah. Apabila manusia sudah
mentaati perintah Allah dan amat mengharapkan keredaan, maka akan
lahirlah budi pekerti yang mulia untuk mereka di alam manusia.
Mengunjungi Baitullah untuk menunaikan ibadat haji adalah suatu
tuntutan syarak. Dari ibadat itu akan lahirlah pengajaran-pengajaran
yang amat berguna untuk manusia. Fadhilat haji amatlah banyak. Salah
satunya untuk mengingati Allah. Oleh itu, perbanyakkan takbir dan tahmid
kepada Allah, berzikir kepada Allah di dalam masa kerja haji dan
sesudahnya khususnya di Arafah dan Mina.
Salah satu rahisa Allah mewajibkan haji ialah untuk membersihkan diri
mereka dari segala dosa, dari segala perangai keji dan
perbuatan-perbuatan munkar. Kalaulah umat Islam memahami dan menghayati
tujuan tersebut dengan sebaik-baiknya, maka tentulah tidak akan berlaku
pekara-perkara munkar di tanah suci.
Semua orang yang menunaikan haji akan menjadi orang yang amat baik
pekertinya. Tidak ada khurafat berlaku dan tidak ada perkara-perkara
negetif berlaku kerana semuanya itu akan menyebabkan haji seseorang itu
sia-sia.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
Yang bermaksud:
“sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan
perkara-perkara jahat dan fasik, maka kembalinya ke tanah airnya nanti
ia menjadi seperti anak yang baru lahir”.
PENUTUP
Usaha untuk mempertingkatkan kualiti ilmu ke dalam masyarakat Islam
perlu diteruskan dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi perisai umat
Islam dari diresapi gejala-gejala tidak sihat seperti khurafat dan
sebagainya.
Pengetahuan tentang ibadat haji adalah pengetahuan fardu ain yang
sepatutnya diketahui oleh masyarakat umum. Perlu diajar dengan cara yang
berkesan di dalam kurikulum-kurikulum sekolah menengah dan di peringkat
universiti agar dengan ilmu yang manfaat itu setiap yang pergi menunai
haji benar-benar mengetahui mengapa ibadat itu diwajibkan.
Ibadat-ibadat dalam Islam adalah alat untuk mendidik manusia. Jika
dipergunakan ibadat itu sebagai alat mengajar, maka yang mempelajari
bersungguh-sungguh daripadanya akan mendapat pengajaran yang amat
berkesan. Rasulullah SAW telahpun mempergunakan untuk mendidik umat
Islam di zamannya. Dengannya mereka menjadi sebaik-baik umat yang Allah
ciptakan untuk menjadi contoh kepada manusia. Akhlak yang terpuji akan
lahir dari keikhlasan beribadat kepada Allah, apabila difahami maksud
dan tujuannya. Dari akhlak yang terpuji lahirlah peribadi unggul untuk
memimpin manusia ke jalan yang diredhai Allah.
Semoga Allah memelihara kita dari terjatuh ke dalam khurafat dan
semoga Allah memberi hidayah kepada kita untuk mencontohi akhlak mulia
Rasulullah SAW.
Wallahu ‘Alam.
Oleh : Y.Bhg.
Dato’ Dr. Haron Din
http://fitrahislami.wordpress.com/2012/09/17/panduan-menghindar-amalan-amalan-khurafat-ketika-mengerjakan-haji/