Tafsir Surah al-Tien petikan drp Majalah Solusi Terbitan Telaga Biru Sdn Bhd
Firman Allah SWT menerusi ayat pertama hingga ke 8 dari surah al-Tiin : Demi buah tiin dan zaitun, Dan gunung Tursina, Serta negeri (Mekah) yang aman ini; Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus. (Jika demikian kekuasaanKu), maka apa pula yang menjadikan engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil yang membuktikan kekuasaanKu mengadakan hari pembalasan) itu? Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?
Latar belakang Surah
Tema utama surah ini adalah menyentuh tentang kesempurnaan kejadian manusia dan faktor kejatuhannya.Surah ini mengingatkan manusia bahawa kesempurnaan kejadiannya hanyalah berlaku apabila dia menggunakan segenap potensi yang Allah bekalkan selari dengan petunjuk dan perintahNya.Kejatuhannya pula adalah disebabkan pengabaiannya segala anugerah-anugerah Allah SWT itu.
Surah ini dimulakan dengan sumpah Allah SWT berkaitan empat perkara iaitu :
1. Al-Tin yang merujuk kepada pokok Tin yang tumbuh subur di negara Timur Tengah.Ini merupakan pandangan Mujahid.
2. Al-Zaitun iaitu pokok Zaitun atau tempat Nabi Isa menerima wahyu.
3. Bukit Sinai yang pernah diutuskan Nabi Musa AS ke kawasan itu berdakwah kepada Firaun.Ini adalah pandangan Ka’bul Ahbar.
4. Kota Makkah yang digambarkan Allah sebagai bumi yang aman yang menjadi tempat kebangkitan Nabi dan Rasul yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW.Pandangan ini hampir disepakati oleh semua ahli tafsir seperti Ibn Abbas, Mujahid, Ikrimah, al-Hasan, Ibrahim al-Nakha’ei, Ibn Zaid dan Ka’bul Ahbar.
Apa yang ditafsirkan di atas adalah tafsiran yang masyhur yang boleh kita lihat dalam kitab-kitab tafsir.Namun tidak dinafikan pandangan-pandangan yang lain contohnya seperti yang dinyatakan oleh tafsir Ibn Jarir al-Tabariy, menurut huraian Ibn Abbas r.a al-Tin adalah merupakan masjid yang terletak atas bukit Judiy dibangunkan oleh Nabi Nuh AS.
Al-Zaitun pula seperti yang ditafsirkan oleh Ka’bul Ahbar, Qatadah, Ibn Zaid adalah merujuk kepada tanah Baitul Maqdis yang mendapat keberkatan oleh Allah SWT.Mujahid dan Ikrimah pula mentafsirkan ia sebagai buah zaitun yang diperah untuk mendapatkan minyaknya yang penuh dengan khasiat.
Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, sebahagian besar ulama mengatakan maksud Allah itu adalah untuk menunjukkan keutamaan 3 daerah yang penting di muka bumi yang pernah menyaksikan perutusan para Nabi di kalangan Ulul Azmi yang membawa tiga watikah besar iaitu Nabi Muhammad yang diutuskan di bumi Makkah ( al-Baladul Amin ), Nabi Isa yang dituskan di bumi yang dipenuhi dengan pokok Tin ( Wal-Tin ) dan Kawasan Sinai ( Turusinin ) yang pernah diutuskan Nabi Musa AS.Ibn Kathir memperkukuhkan hujjahnya dengan mengemukakan seruan yang hampir sama yang dapat kita lihat dalam kitab Taurat.
Kemudian dalam ayat ke 3 Allah menyebut satu dari nikmat kejadian manusia iaitu pembentukannya dalam bentuk dan struktur yang paling indah, tegak dengan anggota yang lengkap dan normal.Ayat ini mempunyai kaitan dengan ayat ke 70 surah al-Isra apabila Allah menceritakan kemuliaan manusia sesuai dengan jawatan khalifah yang dipegangnya.Firman Allah dalam surah al-Isra ayat ke 70, maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.
Ayat ini juga memiliki kesamaan dari sudut mesejnya dengan ayat ke 8 surah al-Infitar, yang bermaksud : Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya; Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Dia menyusun kejadianmu.
Ayat ke 5 menjelaskan bahawa Allah SWT akan menjadikan kejadian yang mulia itu menjadi hina hingga akhirnya menjadi bahan bakaran api neraka.Penghinaan ini adalah berpunca dari kegagalan manusia mentaati Allah dan rasulNya.
Perkara ini adalah bertepatan dengan maksud hadis, riwayat Ahmad, Muslim dan lain-lain : Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa paras kamu tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu dan amalan kamu.
Terdapat juga pandangan dari Ibn Abbas seperti yang dinukilkan dalam Sahih Tafsir Ibn Kathir bahawa ayat ini merujuk pada golongan yang menghafaz ayat-ayat al-Quran tetapi kemudian sengaja melupakannya.Mereka akan ditimpa penyakit lupa ke peringkat nyanyuk.Riwayat ini pada dasarnya juga mendapat pilihan di sisi imam al-Mufassirin, Ibn Jarir dalam tafsirnya.
Kemudian Allah mengecualikan dalam ayat ke 6 bahawa di kalangan manusia yang terselamat dari menjadi hina.Mereka itu adalah golongan yang mentaati Allah dan rasulNya.Bagi manusia dalam golongan ini mereka akan mendapat ganjaran yang tidak putus-putus.Pahala yang dijanjikan ini akan terus mengalir umpama air yang berterusan untuknya.
Dalam ayat yang ke 7 dan ke 8 Allah SWT berfirman memberikan amaran mengapakah manusia masih melakukan pendustaan tentang hari pembalasan yang pasti berlaku itu.Kebanyakan manusia menolak hakikat ini sekalipun hati kecil mereka membenarkannya.Perkara ini ternyata disebabkan bergelumangnya seseorang itu dengan maksiat sehingga payah baginya untuk menerima ketetapan hukuman .
Akhirnya pada hujung surah ini menerusi ayat yag terakhir Allah SWT berfirman maksudnya : Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim? Diantara bukti keadilanNya ialah mengadakan mahkamah persidangan pada hari Kiamat untuk mengembalikan hak kepada yang berhak.
Sampai kepada kita menerusi hadis riwayat Abu Daud dari Abu Hurairah r.a bahawa kita dituntut apabila membaca surah al-Tin ini lalu sampai kepada ayat yang terakhir untuk mengucapkan : بَلى، وَأنَا عَلى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ.Maksud ucapan ini adalah : Sungguh ! itu benar, dan aku termasuk orang-orang yang bersaksi !
(Tafsir Surah al-Tien petikan drp Majalah Solusi Terbitan Telaga Biru Sdn Bhd)
Tafsir yang sangat bermanfaat. Terima kasih
ReplyDeleteBaarakalLahu Fiekum
ReplyDeleteAmat membantu memahami kalamulLah