Sunday, August 10, 2014

Perkataan Sunnah





Perkataan Sunnah digunakan oleh ahli hadith dengan maksud Hadith. Hadith pula ialah apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi baik perkataan, perbuatan, persetujuan, atau sifat.
Para huffaz Mutaqaddimun tidak membezakan antara perkataan Hadith, Khabar, dan Athar dalam penggunaannya. Mereka terkadang menggunakan perkataan Hadith untuk Khabar, bahkan terkadang untuk Athar, perkara ini mudah dan luas bagi mereka.

Manakala para Mutaakhkhirin, seperti biasa mereka menyempitkan istilah-istilah, iaitu Hadith ialah apa yang disandarkan kepada Nabi, Athar pula ialah untuk apa yang disandarkan kepada selain Nabi semisal Sahabat, Tabi'in dan golongan selepas mereka. Manakala Khabar adalah umum merangkumi Hadith dan Athar.

Hadith terbahagi kepada dua komponen, Sanad dan Matan. Sanad ialah rantaian periwayat yang bersambung kepada Matan. Matan pula ialah teks yang dibawa oleh Sanad.

Mutaqaddimun ialah golongan ahli hadith yang hidup sehingga zaman al-Daraquthni, semisal Malik dan tabaqatnya, Syu'bah dan tabaqatnya, Waki' dan tabaqatnya, Ibn Mahdi dan tabaqatnya, Ahmad dan tabaqatnya, al-Bukhari dan tabaqatnya, al-Tirmizi dan tabaqatnya, al-Nasaie dan tabaqatnya.

Manakala Mutaakhkhirun pula ialah mereka yang datang selepas al-Daraquthni semisal al-Khatib al-Baghdadi, al-Nawawi, Ibn al-Solah, al-'Iraqi, Ibn Hajar, al-Suyuthi, hinggalah ke zaman moden kita.
Mutaqaddimun disebut juga Salaf, dan Mutaakhkhirun disebut juga Khalaf.

Had pemisah antara kedua Mutaqaddimun dan Mutaakhkhirun ini tidak terhad hanya pada zaman (pembahagian zamani), akan tetapi juga dengan manhaj (pembahagian manhaji).

Mereka yang datang selepas zaman Mutaqaddimun namun berdiri atas manhaj Mutaqaddimun maka mereka termasuk dalam kalangan Mutaqaddimun walaupun mereka pada zaman kita. Zaman Salafus soleh telah berlalu tidak bermakna tiada lagi mereka yang berdiri atas manhaj Salaf.
~ Fathi al-Sakandary ~

~ Fathi Al-Sakandary

No comments:

Post a Comment